SOALAN MUNKAR DAN NAKIR
Semua orang yang meninggal dunia apabila dimasukkan ke alam kubur berhadapan dengan Munkar dan Nakir yang diwakilkan oleh Allah Subhaanahu wa Ta‘ala untuk bertanya beberapa soalan . Jika sekiranya semua soalan yang dikemukakan itu dapat dijawab dengan lancar dan sempurna, maka ia akan terlepas dan terselamat daripada azab siksa kubur tetapi jika sekiranya soalan yang diajukan tidak dapat dijawab, maka ia akan disiksa sehinggalah ia dapat menjawabnya atau hingga ke hari Qiyaamah .
SOAL :
Orang yang mati lemas dan tenggelam di lautan,
adakah akan disoal juga oleh Munkar dan Nakir atau tidak ?
Bagaimana pula dengan kanak-kanak,
adakah mereka juga akan disoal ?
Bagaimanakah pula orang yang mati syahid dalam perang Sabil ?
JAWAB :
Kanak-kanak yang masih kecil dan juga orang yang mati syahid dimedan perang, mereka akan terselamat dan tidak akan ditanya oleh Munkar dan Nakir ketika dimasukkan ke dalam kubur .
Adapun orang yang mati lemas dan tenggelam di lautan, orang yang mati syahid dunia, orang gila, orang yang meninggal dunia pada malam Juma‘at, orang mati pada zaman kemelesetan atau mati di tempat yang tidak mempunyai makanan ( mati kelaparan ) semua mereka akan disoal oleh Munkar dan Nakir tetapi soalan dalam bentuk penghormatan, senang dan mudah untuk menjawabnya . Akhirnya mereka juga akan terselamat daripada siksa kubur . ( Adapun selain daripada mereka yang disebutkan, akan menghadapi soalan Munkar dan Nakir dalam bentuk yang amat berat sekali ) .
SOAL :
Seorang yang kena pancung kepalanya dan meninggal dunia, yang dikebumikan hanya badannya sahaja sedang kepalanya tidak ditanam bersama badannya, adakah Munkar dan Nakir akan bertanya soalan kepada tubuh yang dikebumikan tanpa kepala atau kepalanya juga mesti ditanam bersama tubuhnya untuk menjawab soalan ?
Adakah siksa kubur itu hanya mengenai badannya sahaja atau dengan kepalanya sekali ?
JAWAB :
Seperti mana yang telah dijelaskan, roh seseorang itu berhubung kait dengan badan dan kepalanya walaupun kedua-duanya terpisah jauh . Adapun soalan Munkar dan Nakir akan diajukan kepada anggota yang biasanya boleh berkata-kata iaitu kepalanya, begitu juga tentang azab siksa, roh yang akan merasainya, maka hasillah siksa ini ke atas tubuh dan juga kepalanya, sebaliknya jika mendapat nikmat, semua akan merasainya .
Sementara kesan daripada azab siksa kubur ini tidak akan dapat dilihat dan diketahui oleh manusia yang masih hidup walaupun kuburnya dibongkar dan jenazahnya digali semula, jasadnya tetap kelihatan sama seperti hari dikebumikannya .
SOAL :
Adakah terdapat nas daripada hadits shahih yang menceritakan tentang persoalan dua Malaikat di dalam kubur, orang yang mati akan dihidupkan semula untuk menjawab soalan Munkar dan Nakir ?
Apakah mereka akan dihidupkan semula dengan kehidupan yang sebenar dengan dikurniakan ‘aqal pemikiran sehingga dapat menjawab semua soalan sama seperti keadaan hidup di dunia atau bagaimana ?
JAWAB :
Roh orang yang meninggal dunia akan dikembalikan kepada jasadnya sebaik sahaja jenazah itu dikebumikan dan ia akan hidup semula dengan kehidupan yang sempurna . Sebahagian pendapat ‘Ulama mengatakan bahawa jenazah yang dikebumikan itu dihidupkan hanya separuh bahagian atas badannya sahaja iaitu dari pinggang hingga kepala, selepas dihidupkan semula, ia akan didudukkan untuk ditanya beberapa soalan .
Antara hadits yang membuktikan adanya persoalan kubur seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud :
‘ Sesungguhnya roh orang yang beriman daripada kalangan kamu hidup dalam keadaan gembira dan sukacita . Apabila mereka bertemu antara satu sama lain, mereka akan bertanya mengenai si fulan, apakah Allah telah lakukan terhadap si fulan yang lelaki, dan apa pula yang telah Allah lakukan terhadap si fulan yang perempuan ? .
Jika mereka menjawab dengan mengatakan, bukankah si fulan atau si anu juga telah datang ke alam ini bersama-sama kita ? Maka mereka akan berkata, adapun si fulan telah dipertemukan dengan ibunya ’ .
Daripada cerita ini, jelas menunjukkan bahawa orang yang telah mati juga boleh berkata-kata, berbual-bual dan bertanya khabar sesama mereka .
SOAL :
Ada pendapat menyatakan bahawa mayat yang dikebumikan itu akan hidup semula apabila dikembalikan roh kepadanya, selepas itu ia akan didudukkan untuk dikemukakan beberapa soalan . Sekiranya kubur itu dibiarkan terbuka tanpa ditutup untuk beberapa hari atau beberapa bulan dan kita mengintainya dari jauh, adakah kita akan dapat melihat mayat itu hidup dan duduk untuk menjawab soalan, atau kita akan dapati mayat itu akan hilang ?
JAWAB :
Orang yang telah mati akan dihidupkan semula, didudukkan dan ditanya beberapa soalan . Ia menjawab soalan yang dikemukakan, semua ini tidak akan dapat dilihat dan disedari oleh orang yang hidup walaupun kita duduk bersamanya di dalam kuburnya .
Apa sebenarnya yang berlaku ke atas mayat itu tidak akan dapat dikesan oleh pancaindera manusia yang hidup kerana ia berlaku pada alam lain iaitu alam barzakh yang berlainan sama sekali dengan keadaan alam dunia ini .
Bukankah kita juga pernah duduk berhampiran dengan orang yang sedang tidur dan kita hanya melihat jasadnya yang tidak bergerak ( tetapi kita tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku ke atas orang yang sedang tidur itu ) .
Kadang-kadang dia berasa takut dan menjerit sekuat-kuatnya, kadangkala dia bergaduh dan bertumbuk dengan seseorang . Terkadang dia merasai keseronokan, bahkan terkadang ia merasakan seolah-olah ia berjalan dan berbagai-bagai lagi . Semua perlakuan ini kita tidak dapat melihatnya, yang kita lihat hanyalah jasadnya yang terbujur kaku .
Begitu juga orang yang berjaga ( tidak tidur ) tidak akan dapat melihat dengan matanya apa yang berlaku di sebalik dinding, sedangkan orang yang tidur terkadang dapat melihat dan mengetahuinya, perkara ini tidak mustahil berlaku bagi orang yang sedang tidur, maka begitulah halnya perbandingan bagi orang yang telah meninggal dunia .
PERINGATAN !!!
Wahai saudaraku,
Apakah kita telah mempersiapkan diri
untuk melangkah ke alam barzakh ini ???
Apakah segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah Ta‘ala
kepada kita selama ini telah kita manfaatkan melalui amal yang
shaleh untuk kita jadikan sebagai bekal menemani kita
ketika kita sendirian di alam barzakh nanti ???
Siapakah yang dapat kita harapkan yang bakal sentiasa
menitipkan doa keselamatan untuk kita
apabila kita kembali ke alam barzakh ini ???
Suami kitakah ???
Isteri-isteri kitakah ???
Anak-anak kitakah ???
Kawan-kawan kitakah ???
Atau siapa ???
Fikir – fikirkanlah wahai saudaraku !!!