Ahad, 9 Disember 2012

Sabar


Fashal Pada Menyatakan Sabar

( Syahdan ) Hakikat sabar itu iaitu menahan diri daripada memarah atas sesuatu yang tiada disukainya dan menahan lidah daripada mengadukan kepada yang lain daripada Allah Ta‘ala . Dan sabar atas berbuat thaat dan meninggalkan ma’shiat itu iaitu fardhu atas tiap-tiap mukallaf .

Dan demikian lagi, sabar atas bala dan segala kesakitan itu fardhu atas tiap-tiap orang yang mukallaf . Adapun sabar atas berbuat yang sunat dan meninggalkan yang makruh dan yang mubah ( harus ) dan meninggalkan dunia yang lebih daripada hajat, maka iaitu sunat 

Dan demikian lagi, sabar atas membalas akan seorang yang menyakiti akan dikau atau menzhalimi akan dikau iaitu sunat dan pahala yang demikian itu amat besar seperti firman Allah Ta‘ala, ertinya :

Hanya sesungguhnya disempurnakan akan
orang yang sabar itu akan pahala mereka itu
dengan tiada dapat dikira-kira .
Shurah Az Zumar : 10

Dan Sabar Itu Tiga Martabat

Pertama : Sabar orang yang ‘awam, ya’ni kebanyakan manusia iaitu menahan atas segala kesusahan dan kesakitan yang diperlakukan akan dia oleh Allah Ta‘ala daripada segala hukumNya kerana ia menilik akan tsawab ( pahala ) sabar yang disebutkan Allah Ta‘ala di dalam Al Quran . Dan demikian lagi, sabar atas berbuat thaat dan menjauh akan ma’shiat kerana hendak pahalaNya dan takut akan siksaNya.

Kedua : Sabar orang muriidin yang telah ringan di dalam hati mereka itu segala kesusahan dan kesakitan kerana menilik mereka itu dengan mata hati mereka itu akan sesuatu yang datang kepadanya itu semuanya daripada Allah Ta‘ala, maka ketika itu tiada susah ia meninggalkan akan sekalian yang demikian itu dan tiada menilik mereka itu akan pahalanya dan tiada menilik akan takut siksa dan hanya sesungguhnya ia semata-mata mengikut suruh daripada Allah Ta‘ala yang tersebut di dalam Al Quran dengan firmanNya, ertinya :

Sabar oleh kamu bahawasanya Allah Ta‘ala
serta orang yang sabar .
Shurah Al Anfal : 46

Ketiga : Sabar zaahidiin dan saalikiin, iaitu sabar atas segala hukum Allah Ta‘ala yang datang atas mereka itu serta berlepas mereka itu daripada ikhtiar dan tadbir kerana mereka itu telah melihat akan bahawasanya sekalian yang demikian itu daripada ketentuan Allah Ta‘ala dan tadbirnya yang di dalam azal, ya’ni di dalam Lauh Mahfuz tiada boleh berubah-ubah . Dan jika datang bala atas mereka itu atau sait, maka iaitu telah tersurat pada Lauh Mahfuz, tiada boleh berubah-ubah padahal hati mereka itu redha akan segala yang dihukumkan Allah Ta‘ala baginya . Dan jika ada padanya zhahir badannya itu merasa susah dan sakit sekalipun tetapi hati mereka itu redha akan Allah Ta‘ala dan akan segala hukumNya . Dan dinamakan sabar ini akan ‘sabar ‘alallaah’, ya’ni sabar atas hukum Allah Ta‘ala dan qadhanya .

Rujukan : Kitab Hidaayatus Saalikiin .

Adab Dalam Bershahabat



Ini Suatu Fashal Pada Menyatakan Adab Seorang
Yang Bershahabat Serta Shahabatnya

Dan adab orang yang bershahabat itu beberapa perkara tetapi disebutkan oleh Imam Al Ghazali rahimahullaahu Ta‘ala di dalam Bidaayatul Hidaayah dua puluh tiga perkara :

Pertama : Melebihkan ia akan taulannya itu atas dirinya dengan hartanya seperti ia memberi akan taulannya itu dengan hartanya pada hal dirinya itu berhajat kepada harta itu . Maka jikalau tiada kuasa akan yang demikian itu, maka hendaklah ia memberi akan taulannya yang lebih daripada hajat dirinya itu pada ketika berkehendak taulannya itu .

Kedua : Bahawa menolong ia dengan dirinya akan taulannya itu pada segala hajatnya atas jalan yang bersegera dengan tiada berkehendak taulannya itu meminta tolong akan dia .

Ketiga : Bahawa menyembunyikan ia akan rahsia taulannya itu .

Keempat : Bahawa menutup ia akan segala ‘aib taulannya itu .

Kelima : Apabila mendengari ia akan seorang yang mencela akan taulannya itu, maka jangan disampaikan perkataan itu kepada taulan itu .

Keenam : Apabila menyampaikan seorang akan dia dengan perkataan taulannya yang mencela akan dia, maka jangan didengar akan perkataan orang itu .

Ketujuh : Apabila mendengar ia akan seorang yang memuji akan taulannya itu atau mendengar sesuatu yang menyukakan akan dia, maka hendaklah ia menyampaikan akan yang demikian itu kepada taulannya .

Kedelapan : Apabila berkhabar taulannya itu akan dia, maka hendaklah sungguh ia mendengarkan akan khabarnya itu .

Kesembilan : Bahawa meninggalkan ia akan berbantah dengan taulannya itu .

Kesepuluh : Apabila memanggil ia akan taulannya itu, maka hendaklah ia memanggil akan namanya yang terlebih kasih ia dengan dia .

Kesebelas : Apabila melihat ia akan kebajikan taulannya itu, maka hendaklah ia memuji akan dia .

Kedua belas : Apabila berbuat taulannya itu akan sesuatu daripada kebajikan, maka hendaklah ia syukur atas perbuatannya itu .

Ketiga belas : Bahawa menegahkan ia akan seorang yang mencela akan taulannya itu pada ketika ia ghaib seperti menegahkan ia akan seorang yang mencela akan dia .

Keempat belas : Bahawa memberi nasihat ia akan taulannya itu dengan sindiran atau dengan perkataan yang lemah lembut apabila berkehendak akan yang demikian itu .

Kelima belas : Bahawa memaafkan ia akan segala kesalahan taulannya itu dan jangan ia tempelak akan dia .

Keenam belas : Bahawa mendoakan ia bagi taulannya itu di dalam sembahyangnya pada ketika hidupnya dan ketika matinya .

Ketujuh belas : Hendaklah berbuat kebajikan akan ahli taulannya itu dan akan segala keluarganya kemudian daripada matinya .

Kedelapan belas : Bahawa jangan memberati ia akan taulannya itu daripada sesuatu hajatnya supaya senang hati taulannya itu daripada kesusahannya .

Kesembilan belas : Menyatakan kesukaan dengan sebab segala yang dapat oleh taulannya itu daripada yang menyukakan akan dia dan menyatakan ia akan kedukaan dengan sebab yang didapat oleh taulannya itu daripada segala yang dibencinya . Dan sayugianya yang demikian itu bersamaan zhahirnya dan bathinnya supaya benar ia pada berkasih-kasihannya itu .

Kedua puluh : Hendaklah ia memulai memberi salam pada ketika berdapat dengan taulannya itu .

Kedua puluh satu : Apabila datang taulannya itu kepada suatu tempat perhimpunan duduk, maka hendaklah ia meluaskan baginya di dalam perhimpunan itu kedudukannya jika dapat diluaskannya . Maka jika tiada dapat, maka hendaklah ia berpindah daripada tempat duduknya itu kepada tempat yang lain .

Kedua puluh dua : Apabila keluar taulannya daripadanya, maka hendaklah ia megikut akan dia hingga ke pintu rumahnya atau barang sebagainya sekira-kira yang layak bagi memuliakan akan dia .

Kedua puluh tiga : Apabila berkata taulannya itu, hendaklah ia diam padahal ia mendengar akan perkataannya itu hingga selesai daripada perkataannya itu, maka memulai ia akan perkataan yang lain . Dan jangan memasukkan perkataannya itu di dalam perkataan orang itu .

Dan hasil daripada segala adab ini bahawasanya hendaklah diperbuat akan tiap-tiap seorang itu dengan segala perbuatan yang menyukai akan hati mereka itu dan jangan diperbuat akan seorang itu dengan segala perbuatan yang dibenci oleh mereka itu .

Rujukan : Kitab Hidaayatus Saalikiin .