Selasa, 19 November 2013

Kecelaan Marah - Sairus Saalikiin



Ini Suatu Fashal Pada Menyatakan Kecelaan Marah

Sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Marah itu iaitu membinasakan iman seperti membinasakan jadam akan madu ’ . R. Thabrani dan Al Baihaqi ( hadits dhaif )

Dan lagi, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Tiada marah seorang itu melainkan hampir ia atas api Neraka Jahannam ’ . R. Al Bazzar dan Ibnu Adi ( hadits dhaif )

Ertinya : ‘ Menceritakan oleh Saiyyidina Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu akan hadits bahawasanya seorang laki-laki berkata ia bagi Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam dengan katanya : Ya Rasulullah ! Suruh olehmu akan daku dengan berbuat amal dan hendaklah amal itu sedikit sahaja . Maka sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam baginya : ‘ Jangan engkau marah akan seseorang. Kemudian mengulangi ia akan pertanyaan itu, maka sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam : ‘ Jangan engkau marah akan seseorang ’ . R. Bukhari

Dan lagi, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Apa yang kamu  bilang di dalam kamu itu orang yang sangat berani ? Maka kami jawab : Orang yang sangat berani itu iaitu orang yang tiada dapat dikalahkan akan dia oleh beberapa orang laki-laki . Maka sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam : ‘ Bukan orang yang demikian itu orang yang berani tetapi orang yang sangat berani itu iaitu orang yang memiliki akan dirinya pada ketika ia marah, ya’ni orang yang dapat menahan akan marahnya itu pada ketika ia sangat marah itu ’ . R. Muslim

( Syahdan ) Ketahui olehmu bahawa bagi manusia di dalam marahnya itu iaitu tiga darjat :

Darjat yang pertama : Iaitu ketiadaan baginya marah sekali-kali, ya’ni sama ada di dalam pekerjaan yang baik atau di dalam pekerjaan yang jahat . Dan demikian itu dicela oleh Syara’ dan dicela oleh adat pula . Inilah murad dengan perkataan Imam Syafie radhiyallaahu ‘anhu :

Ertinya : Apabila didatang oleh seorang akan sesuatu sebab yang membawa kepada marah, maka tiada ia marah, maka adalah orang itu seperti himar, ya’ni seperti keldai, ya’ni seperti binatang, bukan manusia .

Darjat yang kedua : Iaitu pertengahan iaitu orang yang marah sebab melihat ia akan pekerjaan kejahatan yang dicela Syara’ dan tiada ia marah pada ketika melihat ia akan pekerjaan yang dipuji oleh Syara’ dan jikalau tiada muwaafaqat dengan nafsunya sekalipun, ya’ni adalah marahnya itu dan tiada marahnya itu mengikut akan yang disuruh akan dia oleh Syara’, bukan marahnya itu dan tiada marahnya dengan kehendak hawa nafsunya . Maka inilah martabat yang dipuji oleh Syara’ akan Shahabat Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam yang tersebut di dalam firman Allah Ta‘ala :

Ertinya : “ Adalah shahabat Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam itu sangat mereka itu marah akan orang kafir padahal berkasih-kasihan antara mereka itu ” . QS Al Fath : 29

Darjat yang ketiga : Iaitu orang yang marah sebab mengikut hawa nafsunya . Dan martabat inilah yang dicela oleh Syara’ yang tersebut kecelaan di dalam ayat Al Quran dan beberapa hadits Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam yang tersebut dahulu itu dan lainnya .

Ertinya : Dan diriwayatkan akan hadits bahawa Saiyyidatina ‘Aisyah radhiyallaahu ‘anha, adalah ia marah pada suatu waktu, maka sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam : ‘ Apa keadaanmu, telah datang syaithanmu ? . Maka berkata ia bagi Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam : ‘ Engkau tiada bagimu syaithan ? Maka sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam : ‘ Bahkan, tetapi aku berdoa akan Allah Ta‘ala, maka menolongi Ia akan daku atasnya, maka Islam ia, maka tiada menyuruh ia melainkan dengan berbuat kebajikan ’ . R. Muslim

Dan kata Saiyyidina Ali radhiyallaahu ‘anhu :

Ertinya : ‘ Adalah Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam tiada ia marah kerana dunia . Maka apabila marah akan dia oleh marah yang sebenar nescaya tiada mengetahui akan dia oleh seseorang dan tiada dapat kuat berdiri bagi marahnya oleh sesuatu hingga dapat ia menolong akan kebenaran itu ’ .

Ketahui olehmu bahawasanya orang yang kuat marah itu jika tiada dapat dihilangkan akan marahnya itu secara keseluruhan, maka hendaklah dikurangi akan marahnya itu dengan dilawaninya akan dia dan diperangi akan dia hingga kembali ia kepada marah yang pertengahan iaitu marah yang dituntut oleh Syara’ seperti yang tersebut pada darjat yang kedua dahulu itu kerana asal jadi marah itu daripada orang yang membesarkan diri itu dengan merendahkan diri dan menghinakan diri . Dan sayugianya bahawa diketahui asal kejadian dirinya itu iaitu daripada suatu yang terlebih hina iaitu daripada air mani yang keji, kemudian dijadikan segumpal darah yang najis, kemudian maka dijadikan segumpal daging yang hina, kemudian maka dijadikan rupa kanak-kanak yang dhaif . Maka sekalian itu menunjukkan kehinaan diri yang dapat menghilangkan takabbur ( sombong ) itu . Dan apabila hilang takabbur itu nescaya hilang kuat marah itu dan jadi bershifat ia dengan hilm iaitu tiada kuat marah dan kembali kepada marah yang pertengahan iaitu yang dituntut oleh Syara’ dahulu itu .

( Syahdan ) Apabila bangkit marah seseorang itu hendaklah dihilangkan marahnya itu dengan dua perkara . Pertama dengan ‘ilmu dan kedua dengan amal .    

Adapun dengan ‘ilmu itu iaitu dengan enam perkara :

Pertama : Apabila marah seorang itu, maka hendaklah difikirkannya dan dibangkitkannya di dalam hatinya akan ayat-ayat Al Quran dan hadits-hadits Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam yang menyebutkan kelebihan orang yang menahan akan marahnya .

Dan kata Malik bin Harits radhiyallaahu ‘anhu : Adalah Saiyyidina Umar radhiyallaahu ‘anhu, marah ia akan seseorang, maka menyuruh ia memalu akan orang itu, lalu berkata ia bagi Saiyyidina Umar itu :

Ertinya : Hai Amirul Mu΄minin ! Ambil olehmu akan memaafkan kesalahan manusia dan suruh olehmu akan dia dengan berbuat kebajikan dan berpaling engkau daripada orang jahil .

Maka ketika itu membaca Saiyyidina Umar radhiyallaahu ‘anhu akan ayat tadi :

Ertinya : “ Ambil olehmu akan memaafkan kesalahan manusia dan suruh olehmu akan dia dengan berbuat kebajikan dan berpaling engkau daripada orang jahil ” . QS Al A’raaf : 199

Maka mengulang-ulang ia akan ayat itu serta ia memikirkan akan maknanya, kemudian maka memaafkan ia akan orang yang hendak dipalunya itu lalu melepaskan ia akan dia .

Dan lagi, adalah Saiyyidina Umar bin Abdul Aziz radhiyallaahu ‘anhu marah ia akan seseorang, maka menyuruh ia memalu akan orang itu, maka membaca ia akan firman Allah Ta‘ala :

Ertinya : “ Beberapa pahala orang yang menahan akan marahnya itu dan orang yang memaafkan daripada kesalahan manusia itu ” .
QS Ali Imran : 134

Kemudian maka berkata ia bagi hambanya : Lepaskan olehmu akan orang itu .

Dan demikian lagi, apabila marah seorang itu hendaklah memikirkan dan mengingatkan beberapa hadits Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam yang menyebutkan kejahatan orang yang marah itu dan beberapa hadits Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam yang menyebutkan kelebihan orang yang menahan akan marahnya itu dan kelebihan orang yang memaafkan kesalahan orang itu seperti yang lagi akan datang beberapa hadits yang menyebutkan kelebihan orang yang menahan akan marahnya itu .

Keduanya : Apabila marah seseorang itu, maka hendaklah ia menakuti akan dirinya dengan siksa Allah Ta‘ala seperti kata ia bagi dirinya :

Ertinya : Qudrat Allah Ta‘ala atasku itu terlebih besar daripada qudratku atas manusia ini . Jikalau aku lepaskan marahku atas manusia ini nescaya tiada aku sentosa bahawa melepaskan Allah Ta‘ala akan murkaNya atasku di dalam hari Qiyaamah .

Dan kata Imam Al Ghazali rahimahullaahu Ta‘ala :

Ertinya : ‘ Dan menyuruh Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam akan washiifa iaitu seorang pelayan yang masih muda kepada suatu hajat, maka lambat ia datang . Maka tatkala ia datang kepada Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, maka bersabda ia : ‘ Jikalau tiada aku takut akan balasan orang yang memalu akan orang pada hari Qiyaamah nescaya aku sakitkan akan dikau dengan memalu akan dikau ’ .

Ketiga : Apabila marah seorang itu, maka hendaklah menakuti akan dirinya dengan kesusahan orang yang berseteru ( bermusuh ) itu dan kesusahan orang yang berkelahi itu kerana marah akan seorang itu membawa kepada berkelahi dengan dia dan berkelahi itu membawa kepada fitnah yang amat besar yang membawa kesusahan di dalam dunia dan membawa kesakitan di dalam dunia dan barangkali membawa kepada binasa dunia .

Keempat : Apabila marah seorang itu, maka hendaklah memikirkan ia akan sangat keji rupa orang yang marah itu dan memikirkan akan yang demikian itu pada dirinya kerana orang yang marah itu diserupakan dengan anjing dan binatang yang buas yang memberi mudharat akan manusia . Dan diserupakan orang yang halim yang tiada kuat marah itu seperti Anbiya΄ dan Auliya΄ . Dan hanyasanya orang yang ber‘aqal itu sayugianya menyerupai akan Anbiya΄ dan ‘Ulama΄ dan jangan ia menyerupai akan anjing dan binatang yang buas itu .

Kelima : Apabila marah seseorang itu, maka hendaklah ia memikirkan sebab yang membawa marah akan seseorang itu, maka iaitu tiada baginya daripada sebab, iaitulah seperti dikata syaitan baginya di dalam hati : Mengapa tiada engkau marah akan orang yang menyakiti akan dikau atau orang yang memberi malu akan dikau dan tiada malu engkau bahawa dikata oleh orang akan dikau penakut dan lemah dan hina pada orang lain daripada orang banyak . Maka engkau kata bagi dirimu : Inilah perkataan syaitan, padahal ia berkehendak mengadu-ngadu akan dikau dengan saudaramu yang Muslim dan lagi adalah syaitan itu berkehendak membinasakan akan dikau di dalam akhirat pada hari Qiyaamah . Maka, adakah engkau malu kepada manusia padahal tiada malu akan Allah Ta‘ala, dan adakah engkau takut dimalukan oleh manusia di dalam dunia padahal engkau tiada takut hina di dalam akhirat . Dan jikalau engkau marah nescaya dapat beberapa siksa Allah Ta‘ala dan beberapa murkaNya  di dalam akhirat . Maka sebab inilah barangkali hilang marahmu itu, insyaa Allaahu Ta‘ala .

Keenam : Apabila engkau marah akan seseorang, maka hendaklah engkau ketahui bahawasanya orang yang marah itu pada hakikatnya tiada ia redha akan perbuatan Allah Ta‘ala yang dilakukanNya atas hambaNya itu dan tiada ia redha akan kehendak Allah Ta‘ala yang tiada muwaafaqat dengan kehendak dirinya . Maka dengan yang demikian itu adalah orang yang marah itu sejahil-jahil manusia akan Tuhannya dan yang demikian itu membawa kepada murka Allah Ta‘ala akan dia seperti yang tersebut di dalam hadits Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Bahawasanya marah seseorang itu iaitu sebab yang mendatangkan murka Allah Ta‘ala akan dia ’ . ( Belum dijumpai perawi hadits ini )

Adapun amal yang menghilangkan marah seseorang itu, maka iaitu apabila marah seseorang itu, maka hendaklah ia mengucap : 

ﺍﻠﺮﺠﻴﻡ  ﺍﻠﺸﻴﻂﺎﻥ  ﻤﻦ  ﺑﭑﷲ  ﺃﻋﻮﺫ
Ertinya : ‘ Aku meminta peliharakan dengan Allah Ta‘ala daripada kejahatan syaithan yang kena rejam yang mengerakkan marah ini ’ .

Demikianlah disuruh oleh Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam mengucap akan dia oleh tiap-tiap orang yang marah itu supaya hilang marah itu kerana telah maklum bahawasanya adalah marah itu daripada syaithan .

Ertinya : ‘ Dan adalah Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam apabila melihat melihat ia akan Saiyyidatina Aisyah radhiyallaahu ‘anha marah, maka mengambil ia akan hidungnya, ya’ni memegang Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam akan hidung Saiyyidatina Aisyah radhiyallaahu ‘anha dan bersabda ia : Ya ‘Uwaisy ! ( maksudnya Aisyah ) Kata olehmu :

Ertinya : ‘ Ya Allah, Tuhan Nabi Muhammad ! Ampuni olehMu bagiku akan dosaku dan hilangkan olehmu akan marah di dalam hatiku dan peliharakan olehMu akan daku daripada segala fitnah yang menyesatkan ’ .

Dan apabila tiada hilang marah itu dengan mengucap :

ﺍﻠﺮﺠﻴﻡ  ﺍﻠﺸﻴﻂﺎﻥ  ﻤﻦ  ﺑﭑﷲ  ﺃﻋﻮﺫ

Dan dengan diucap doa ini, maka jika ia marah di dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk dan jika ia marah di dalam keadaan duduk, maka hendaklah ia berbaring seperti sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Marah itu iaitu bara api yang menyala di dalam hati . Tiadakah kamu lihat akan kembung urat leher orang yang marah itu dan merah dua matanya ? Maka apabila mendapat seseorang daripada kamu akan sesuatu daripada yang demikian itu, maka hendaklah jika ia berdiri, maka hendaklah duduk . Dan jika ia duduk, maka hendaklah ia tidur, ya’ni berbaring . Maka jika tiada hilang marah yang demikian itu, maka hendaklah ia mengambil sir sembahyang dengan air yang sejuk atau hendaklah ia mandi, maka bahawasanya marah itu api dan tiada memadamkan api itu melainkan oleh air ’ .

Dan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Apabila marah seseorang daripada kamu itu, maka hendaklah ia mengambil air sembahyang, maka hanyasanya marah itu jadi daripada api ’ .   R. Abu Daud

Dan pada riwayat yang lain :

Ertinya : ‘ Bahawasanya marah itu daripada syaithan dan bahawasanya syaithan itu dijadikan akan dia daripada api dan hanyasanya padam api itu dengan air . Maka apabila marah seseorang daripada kamu, maka hendaklah ia mengambil air sembahyang ’ . R. Abu Daud

Dan kata Saiyyidina Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu :

Ertinya : ‘ Apabila marah Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam padahal ia berdiri, maka duduk ia dan apabila ia marah padahal ia duduk, maka berbaring ia, maka hilanglah marahnya ’ . R. Ibnu Abid Dunya Wallaahu a’lam .

Rujukan : Kitab Sairus Saalikiin jilid 3

Isnin, 8 Julai 2013

Puasa ( Faedah Lapar )

Ini suatu fashal pada menyatakan beberapa faedah lapar dan menyatakan kebinasaan kenyang .

( Bermula ) Faedah lapar itu iaitu sepuluh perkara :

( Faedah lapar yang pertama )

Lapar itu menyucikan hati dan menerangkan akan dia dan membukakan akan mata hati dan kenyang itu mengurangkan ‘aqal dan membutakan akan mata hati dam mematikan akan dia .

Sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Hidupkan oleh kamu akan hati kamu itu dengan sedikit tertawa-tawa dan sedikit kenyang dan sucikan oleh kamu akan hati kamu itu dengan lapar supaya jadi suci dan jadi lembut hati itu ’ .

 ( Faedah lapar yang kedua )

Lapar itu melembutkan hati dan dengan dia hasil lazat munaajat akan Tuhannya dan dengan dia hasil lazat di dalam berbuat ‘ibadat akan Tuhannya dan lazat di dalam dzikrullaah .

Kata Abu Sulaiman ; Bermula yang terlebih manis ‘ibadat itu kepada aku apabila berdampak belakangku itu dengan perutku . Dan lagi, ia berkata ; Bermula hati itu apabila lapar dan dahaga nescaya suci ia dan lembut ia dan apabila kenyang nescaya buta ia dan keras ia dan tidur ia .

( Dan faedah yang ketiga )

Lapar itu memecah akan hati dan menghinakan akan dia dan menghilangkan takabbur dan menghilangkan kesukaan di dalam dunia .

( Bermula ) Takabbur itu asal segala zhalim dan asal yang melupakan akan Allah Ta‘ala dan tiada sesuatu yang terlebih memecahkan akan hati dan yang terlebih menghinakan akan dia melainkan dengan lapar itu dan ketika kembali ia kepada Tuhannya dan tetap ia kepada Tuhannya dengan khusyu’ ia akan dia serta melihat dirinya hina dan melihat akan Tuhannya itu yang Amat Mulia . 

( Dan dari kerana ) inilah bahawasanya adalah Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam pada satu masa sangat lapar hingga ia mengikatkan akan batu di atas perutnya, maka datang Jibril ‘alaihis salaam padahal disuruh oleh Allah Ta‘ala menjadikan akan dua bukit yang di Makkah, emas supaya jadi belanja Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam, maka enggan Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam akan yang demikian itu, maka sabda ia dengan katanya :

Ertinya : ‘ Tiada aku berkehendak akan kekayaan dunia tetapi biar aku lapar di dalam sehari dan aku kenyang di dalam sehari, maka apabila aku lapar nescaya aku sabar dan aku memohon kembali kepada Allah Ta‘ala serta merendahkan diriku . Dan apabila aku kenyang nescaya aku kembali kepada Allah Ta‘ala serta mengucap akan syukur ’ .

Dan kata Imam Al Ghazali rahimahullaahu ta‘ala kemudian daripada ia menyebut akan hadits ini ;

Ertinya : Maka bathar, ya’ni membesarkan diri dan farah, ya’ni suka hati akan dunia itu iaitu satu pintu daripada beberapa pintu Neraka dan asalnya itu iaitu kenyang . ( Dan ) menghinakan diri dan memecahkan hati, ya’ni dukacita hati itu iaitu satu pintu daripada beberapa pintu Syurga dan asalnya itu iaitu lapar . Dan barang siapa menutup akan pintu daripada Neraka, maka sesungguhnya ia membuka akan pintu daripada pintu Syurga dengan lazim yang tiada syak kerana bahawasanya keduanya itu berlawanan seperti mashriq dan maghrib, maka jikalau hampir daripada salah suatu daripada keduanya nescaya jauh daripada yang lainnya .

( Dan faedah yang keempat )

Lapar itu tiada lupa akan bala΄ Allah Ta‘ala dan tiada lupa akan siksaNya dan tiada melupakan akan orang yang kena bala΄ dan tiada lupa akan orang yang kelaparan, maka bahawasanya kenyang itu melupakan akan orang yang lapar dan lupa akan dirinya itu lapar, kerana ingat akan bala di dalam dunia itu mengingatkan bala΄ Allah Ta‘ala di Akhirat, ya’ni ingat akan siksa di dalam Akhirat dan ingat akan lapar di dalam dunia itu iaitu mengingatkan akan lapar di dalam Akhirat dan dahaga di dalam Akhirat dan yang demikian itu membawa kepada takut akan Allah Ta‘ala .

Dan dari kerana inilah ditanya oleh orang bagi Nabi Yusuf ‘alaihis salaam dengan katanya ;

Ertinya : Mengapa engkau berlapar dan di dalam tanganmu beberapa harta yang di dalam perbendaharaan di dalam bumi, ya’ni di dalam dunia ?

Maka sabdanya : ‘ Aku takut jika aku kenyang, maka aku lupa akan orang yang lapar di dalam Akhirat dan orang yang lapar di dalam dunia kerana ingat akan orang yang lapar di dalam dunia itu membawa kepada kasih sayang akan makhluq yang lapar itu dan dengan dia membawa kepada membanyakkan memberi shadaqah akan orang yang lapar dan ingat akan yang demikian itu dapat pahala yang amat besar ’ .

Seperti sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Barang siapa memberi makan akan saudaranya yang Muslim hingga kenyang ia dan memberi minum akan dia hingga puas dahaganya nescaya menjauhkan Allah Ta‘ala akan dia daripada api Neraka dengan tujuh puluh dinding daripada parit dan tiap-tiap satu parit itu antaranya perjalanan lima ratus tahun

( Dan faedah yang kelima )

Lapar itu iaitu yang terlebih besar faedah lapar itu iaitu memecahkan akan segala syahwat ma’shiat dan dengan dia dapat mengerasi akan nafsu ammaarah dan dengan dia dapat mengerasi akan syaithan, dapat mengalahkan akan dia kerana bahawa kenyang itu asal kejadian segala ma’shiat .

Dan kata Dzun Nun rahimahullaahu ta‘ala, ertinya : Tiada aku kenyang sekali-kali melainkan jadi aku akan berbuat ma’shiat atau jadi aku bercita-cita dengan berbuat ma’shiat .

Dan lagi, kata Imam Al Ghazali rahimahullaahu ta‘ala :

Ertinya : Maka sekalian ma’shiat anggota yang tujuh itu sebabnya itu kuat yang hasil daripada kenyang .

( Dan faedah yang keenam )

Lapat itu menolakkan akan tidur dan mengekalkan akan berjaga malam kerana berbuat ‘ibadat, maka bahawasanya barang siapa banyak tidur itu menghilangkan umur dan meluputkan sembahyang tahajjud dan mengurangkan ‘aqal dan mengeraskan hati dan membanyakkan tidur itu iaitu mematikan hati dan iaitu asal segala kebinasaan .

Dan kata Imam Al Ghazali rahimahullaahu ta‘ala :

Ertinya : Dan berhimpun bicara tujuh puluh orang yang Shiddiqqin atas bahawasanya banyak tidur itu jadi daripada membanyakkan minum dan membanyakkan tidur itu menghilangkan akan umur itu iaitu sebaik-baik modal perniagaan Akhirat .

( Dan faedah yang ketujuh )

Bahawasanya lapar itu memudahkan mengekali atas berbuat ‘ibadat kerana bahawa membanyakkan makan itu menegahkan daripada membanyakkan berbuat ‘ibadat kerana membanyakkan makan itu berkehendak kepada memutuskan beberapa masa yang masyghul ( sibuk ) dengan dia dan terkadang berkehendak memutuskan beberapa masa di dalam masyghul dengan membeli makanan dan masyghul dengan memasak akan dia dan berkehendak kepada membasuh akan tangan dan berkehendak menyelat-nyelat akan gigi dan barang sebagainya, kemudian maka berkehendak berulang-ulang kepada tandas dan yang demikian itu menghilangkan beberapa masa berbuat ‘ibadat sebab masyghul ia dengan membanyakkan makan itu . Bersalahan jika mensedikitkan makan, maka kebanyakan masa itu masyghul ia dengan berbuat ‘ibadat, maka kebanyakan masanya itu tiada jadi sia-sia .

Dan kata Imam Al Ghazali rahimahullaahu ta‘ala :

Ertinya : Menghikayatkan oleh As Sari As Saqathi rahimahullaahu ta‘ala daripada setengah Masyaaikh bahawasanya adalah tiap-tiap makan itu memerlan ( menelan ) tepung yang dimasak jua padahal tiada pernah ia memamah akan roti, maka ditanya oleh orang baginya pada pekerjaannya yang demikian itu, maka ia menjawab ; Bahawasanya aku hisab di dalam antara memamah akan roti dan memerlan tepung yang dimasak itu tujuh puluh tasbih, maka sebab inilah tiada pernah aku memamah akan roti di dalam masa empat puluh tahun .

( Dan faedah yang delapan )

Bahawa mengurangkan makan itu menyihatkan badan dan menolakkan ia akan segala penyakit kerana membanyakkan makan itu iaitu sebab mendatangkan beberapa penyakit dan penyakit itu menegahkan daripada berbuat ‘ibadat dan menyusahkan hati dan lagi menegahkan membanyakkan dzikrullaah dan menegahkan akan berfikir yang iaitu yang dimaksud bagi orang yang menjalani akan jalan Akhirat itu . Dan lagi, penyakit itu berkehendak kepada ubat dan ubat itu berkehendak kepada belanja dan belanja itu barangkali tiada mudah bagi orang yang menjalani akan jalan itu .

Dan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Dan mengurangkan makan itu menyihatkan segala jisim daripada segala penyakit dan menyihatkan segala hati daripada penyakit dan ma’shiat yang bathin dan menghilangkan akan bathar, ya’ni kibr ( sombong ) di dalam hati dan yang selain daripada keduanya ’ .

( Dan faedah yang kesembilan )

Bahawa mengurangkan makan itu iaitu meringankan belanja kerana bahawasanya barang siapa mengurangkan makan itu iaitu memadalah ia sedikit harta . Bermula membanyakkan makan itu berkehendak kepada harta yang banyak dan banyak harta itu berkehendak kepada berusaha dan berusaha itu barang kali memutuskan ia akan jalan Akhirat yang iaitu maksud bagi orang yang salik .

( Dan faedah yang kesepuluh )

Bahawasanya mengurangkan makan itu iaitu dapat memberi shadaqah dengan makanan yang lebih makannya akan orang yang faqir dan orang yang miskin dan dapat memberi shadaqah kepada segala anak yatim dan dengan yang demikian itu dapat beberapa pahala yang amat banyak dan lagi, adalah shadaqahnya itu pada hari Qiyaamah jadi tempatnya bernaung daripada panas matahari seperti sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Beri oleh kamu akan shadaqah dan jikalau dengan satu buah tamar sekalipun, maka bahawasanya satu buah tamar itu memadai daripada orang yang lapar dan memadamkan akan kesalahan seperti memadamkan air akan api ’ .

Dan lagi, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Takuti oleh kamu akan api Neraka dan jikalau dengan memberi dengan sebelah buah tamar sekalipun, maka jikalau tiada ada kamu dapat yang demikian itu, maka memberi kamu akan nasihat dengan satu perkataan yang baik ’ .

Wallaahu a’lam .

Rujukan : Kitab Sairus Saalikiin jilid 3 . 





Puasa ( Mengira Kadar Fidyah Puasa )

Kaifiat ( cara ) bagi mengira jumlah fidyah puasa yang wajib dibayar atas puasa Ramadhan yang telah sengaja ditinggalkan


Contoh : Jika seseorang telah sengaja meninggalkan puasa Ramadhan pada tahun 2005, ya’ni tanpa uzur Syar‘ie sebanyak 10 hari, maka :

1 : Wajib ia mengqadhakannya dan wajib disegerakan qadhanya iaitu wajib ia memulakan qadha itu bermula pada dua hari bulan Syawal pada tahun 2005 itu serta wajib pula diqadhanya itu dengan cara berturut-turut bagi menunaikan kewajiban bersegera qadhanya .

Perhatian !!!

Seseorang yang meninggalkan puasa tanpa uzur diwajibkan mengqadhakan sebanyak jumlah hari yang ditinggalkannya pada tahun yang sama dan tidak diwajibkan membayar fidyah terhadap jumlah hari yang ditinggalkan pada tahun itu melainkan apabila telah berlalu masa sehingga masuk kepada tahun yang kedua .

2 : Dan jika tiada diqadhakannya sehingga masuk Ramadhan tahun 2006, maka wajib ia mengqadhakan puasa Ramadhan 2005 yang berjumlah 10 hari yang ditinggalkannya dahulu itu iaitu bermula pada dua hari bulan Syawal pada tahun 2006 juga dengan cara berturut-turut bagi menunaikan kewajiban bersegera qadhanya serta wajib membayar fidyah puasa 10 hari itu dengan sebanyak 10 cupak beras .

Akan tetapi jika seseorang itu meninggal dunia selepas hari raya Fitrah pada tahun 2006, maka jumlah fidyah puasanya yang wajib ditunaikan telah menjadi kepada 20 cupak beras iaitu 10 cupak beras daripada fidyah puasanya serta dicampurkan dengan jumlah 10 hari yang wajib diqadhakannya diganti dengan 10 cupak beras kerana ia tiada lagi dapat mengqadhakannya disebabkan oleh kematiannya itu .        

3 : Dan jika masih belum diqadha akan puasanya itu sehingga masuk pula Ramadhan pada tahun 2007, maka wajib ia mengqadhakan puasa Ramadhan 2005 yang berjumlah 10 hari yang ditinggalkannya dahulu itu iaitu bermula pada dua hari bulan Syawal pada tahun 2007 dengan cara berturut-turut bagi menunaikan kewajiban bersegera qadhanya serta wajib membayar fidyah puasa sebanyak 10 hari pada tahun 2005 itu menjadi berganda kerana telah masuk kepada tahun yang ketiga iaitu dengan sebanyak 20 cupak beras .

Akan tetapi jika seseorang itu meninggal dunia selepas hari raya Fitrah pada tahun 2007, maka jumlah fidyah puasanya yang wajib ditunaikan telah menjadi kepada 30 cupak beras iaitu 20 cupak beras daripada fidyah puasanya serta dicampurkan dengan jumlah 10 hari yang wajib diqadhakannya diganti dengan 10 cupak beras kerana ia tiada lagi dapat mengqadhakannya disebabkan oleh kematiannya itu .

Perhatian !!!

Dan perlu diperingatkan di sini bahawa jumlah hari yang wajib diqadhakannya itu tidaklah menjadi berganda apabila bertukar tahun, cuma kewajiban membayar fidyah puasa sahaja yang menjadi berganda apabila masuk kepada tahun yang ketiga dan kepada tahun yang seterusnya iaitu daripada sebanyak 10 cupak beras menjadi kepada 20 cupak beras atau kepada 30 cupak beras atau seterusnya .. 

4 : Dan jika telah berlalu masa sehingga tahun 2013 sedangkan ia masih belum mengqadhakan puasa yang ditinggalkannya sebanyak 10 hari pada tahun 2005 dahulu, maka wajib ia mengqadhakan puasa itu iaitu bermula pada dua hari bulan Syawal pada tahun 2013 dengan cara berturut-turut bagi menunaikan kewajiban bersegera qadhanya serta wajib membayar fidyah puasa sebanyak 10 hari pada tahun 2005 itu menjadi berganda daripada 10 cupak beras kepada 80 cupak beras .

Akan tetapi jika seseorang itu meninggal dunia selepas hari raya Fitrah pada tahun 2013, maka jumlah fidyah puasanya yang wajib ditunaikan telah menjadi kepada 90 cupak beras iaitu 80 cupak beras daripada fidyah puasanya serta dicampurkan dengan jumlah 10 hari yang wajib diqadhakannya diganti dengan 10 cupak beras kerana ia tiada lagi dapat mengqadhakannya disebabkan oleh kematiannya itu . 

Perhatian !!!

Apabila meninggalnya seseorang Muslim yang memiliki harta, maka wajib atas wali atau ahli keluarganya mengeluarkan daripada harta peninggalan si mati bagi menjelaskan segala hutang-hutang si mati jika ada termasuk fidyah puasa ini sebelum membahagikan pesaka kepada pewaris . Dan jika si mati tiada meninggalkan harta peninggalannya sedang ia masih terdapat hutang-hutang yang belum lagi diselesaikan, maka menjadi sunat hukumnya bagi wali atau ahli keluarganya atau orang lain menolong akan si mati itu bagi menjelaskan hutang-hutang tersebut .

Seseorang yang sengaja meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur :

1) Haram jika ia sengaja meninggalkan puasa Ramadhan .

2) Haram jika ia tidak mengqadhakannya .

3) Haram jika ia melambatkan qadhanya .

4) Haram jika ia tidak melakukan qadha secara berturut-turut .

5) Haram jika ia tidak bertaubat kerana sengaja meninggalkan puasa .

Serta :

1) Wajib bertaubat jika ia sengaja meninggalkan puasa Ramadhan .

2) Wajib bertaubat jika ia tidak mengqadhakannya .

3) Wajib bertaubat jika ia melambatkan qadhanya .

4) Wajib bertaubat jika ia tidak melakukan qadha secara berturut-turut

5) Wajib bertaubat jika ia tidak bertaubat kerana sengaja meninggalkan puasa .


Wallaahu a’lam .

Jumaat, 5 Julai 2013

Neraka ( Khabar Tentangnya )

Bismillaah .

Di dalam ‘Uyuunul Akhbar, Ath Thusi meriwayatkan daripada Anas bahawa Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam telah bertanya kepada Jibril mengenai firman Allah Ta‘ala :

Ertinya : “ Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu yang bertabur dan ditiup angin ” . ( QS Al Qaari‘ah : 5 )

Jibril berkata : ‘ Segala gunung-ganang menjadi hancur kerana ketakutan Neraka Jahannam . Pada hari Qiyaamah, ia, ya’ni Neraka Jahannam itu dibawakan serta ditunda dan diarak dengan 70 ribu tali penunda oleh 70 ribu Malaikat dan ditempatkan di hadapan Allah Ta‘ala, maka Neraka Jahannam itu pun berkata : ‘ Tiada Tuhan melainkan Engkau ’ . Demi ketinggianMu dan keagunganMu, sesungguhnya aku mahu menyiksa keranaMu pada hari ini setiap orang yang memakan rezekiMu dan menyembah selainMu . Tiada yang terlepas melainkan orang yang ada jawaz ’ .

Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bertanya : ‘ Wahai Jibril, apa erti jawaz itu ’ ? Jibril menjawab : ‘ Orang yang mengucapkan laa i laa ha illal laah, yang akan lalu melintasi di atas Neraka Jahannam itu ’ .

Riwayat daripada Adam bin Iyas daripada Ibnu Abbas radhiyallaahu ‘anhuma mengenai tafsir firman Allah Ta‘ala :

Ertinya : “ Apabila Neraka melihat mereka daripada tempat yang jauh, mereka mendengar suara kemarahannya dan suara nyalaannya ” .
( QS Al Furqan :12 )

Kata Ibnu Abbas : ‘ Itu ialah sejauh perjalanan 100 tahun . Neraka Jahannam itu ditunda dengan 70 ribu talu penunda yang setiap satunya ditarik oleh 70 ribu Malaikat . Jika dibiarkannya nescaya ia akan terus menerkam ahlil mauqif yang baik ( yang thaat ) dan yang fajir ( yang fasiq ) dan mereka mendengar suara kemarahannya dan ngaumannya . Sekali ia mengaum, airmata bercucuran jatuh ke bumi hingga tiada tinggal setitik pun di mata . Kali kedua ia mengaum segala hati gugur daripada tangkainya dan langit-langit daripada halqumnya . Firman Allah Ta‘ala :

Ertinya : “ Segala hati tiba ke halqum ” . ( QS Al Ahzab : 10 )

Ka‘ab meriwayatkan pada suatu hari bahawa Umar bin Al Khaththab berkata kepadanya ; Wahai Ka‘ab, ingatkan kami dengan sesuatu . Aku pun berkata ; Wahai Amirul Mu΄minin !!! Beramallah mengikut seorang lelaki yang sempurna amalannya seperti amalan 70 orang Nabi dan pada hari Qiyaamah ia berharap akan dapat menambahkan lagi amalannya itu kerana amat beratnya kehuru-haraan hari Qiyaamah seperti yang engkau tahu .

Saiyyidina Umar berkata : Tambahkanlah lagi peringatanmu itu !!! Aku menjawab ; Wahai Amirul Mu΄minin !!! Jika dibukakan pintu Neraka Jahannam di sebelah masyriq ( di sebelah matahari terbit ) sekadar lubang hidung lembu nescaya otak orang yang berada di sebelah maghrib ( di sebelah matahari terbenam ) akan mengelegak dan mencair kerana amat panasnya . Saiyyidina Umar berkata : Tambahkanlah lagi !!! Aku menambah ; Wahai Amirul Mu΄minin !!! Neraka Jahannam itu mengelegak dan mengaum pada hari Qiyaamah Sekali ia mengaum, setiap Malaikat yang Muqarrabin dan Nabi yang dipilih akan rebah dan melutut serta masing-masing berkata : ‘ Wahai Tuhanku !!! Diriku … diriku … tiada yang aku pinta pada hari ini melainkan untuk diriku sahaja . Aku berkata ; Wahai Amirul Mu΄minin !!! Bukankah ini tersebut di dalam kitab Allah iaitu firmanNya :

Ertinya : “ Pada hari setiap diri datang mempertikai tentang dirinya sendiri ” . ( QS An Nahl : 11 )

Wallaahu a’lam .


Rujukan : Kitab Jauhar Al Mauhuub Wa Munabbihaat Al Quluub .

Amaran Kepada Anak Yang Derhaka Kepada Ibu Bapanya

Hikayat Antara Anak Dan Ayahnya


Cerita daripada Thawus Al Yamani menyebut bahawa seorang lelaki telah jatuh sakit sedangkan ia mempunyai empat orang anak dan ia tidak mempunyai sebarang harta . Anaknya yang sulung pun berkata kepada ketiga-tiga saudaranya : ‘ Siapakah di antara kita yang sanggup menjaga bapa ? Kalau kamu mahu menjaganya, kamu tidak akan memperolehi apa-apa daripada harta pusakanya sebab bapa tidak berharta . Kalau aku menjaga pun, aku tidak akan memperolehi apa-apa ’ . Lalu ketiga-tiga saudaranya menjawab : ‘ Engkau sahajalah menjaganya ’ . Maka si abang yang sulung itu pun mengambil tanggung jawab menjaga bapanya yang sakit itu sehingga bapanya meninggal dunia tanpa memperolehi sebarang harta pusaka yang tiada itu .

Pada suatu malam si abang yang sulung itu bermimpi seseorang menyuruhnya : ‘ Pergilah ke tempat sekian dan ambil seratus dinar tetapi tiada sebarang berkat padanya ’ . Pada keesokan pagi itu ia memberitahu isterinya mengenai mimpinya itu dan isterinya mendesak supaya mengambilnya tetapi suaminya enggan .

Pada malam yang kedua, ia bermimpi lagi dan orang itu menyuruhnya pergi ke tempat sekian pula untuk mengambil sepuluh dinar tanpa sebarang berkat padanya . Sekali lagi ia memberitahu isterinya yang kuat menggesanya supaya pergi mengambil wang itu tetapi suaminya tetap enggan .

Pada malam yang ketiga, lelaki itu bermimpi orang itu menyuruhnya dengan berkata : ‘ Pergilah ke tempat sekian itu untuk mengambil berkat ’ . Kali ini ia pergi ke tempat tersebut dan mengambil berkatnya, kemudian ia pergi ke pekan dan tiba-tiba menemui seorang lelaki yang menjual dua ekor ikan . Ia menanyakan kepada penjual ikan itu tentang harganya yang dijawab oleh penjual ikan itu : ‘ Satu dinar ’ . Ia pun membeli kedua-dua ikan tersebut dan membawanya pulang ke rumah di mana ia membelah kedua-dua ekor ikan itu dan mendapati perut masing-masingnya mengandungi sebiji mutiara yang tidak pernah dilihat sepertinya sama sekali .

Ia membawa sebiji mutiara itu untuk ditunjukkan kepada raja dan setelah melihatnya, maka raja pun bertitah : ‘ Manakah pasangannya yang sebiji lagi ’ ? Maka jawab lelaki itu : ‘ Pasangannya ada pada patik ’ . Raja itu bertitah : ‘ Bawakannya kepada beta dan beta akan memberikan dikau hadiah yang berlipat kali ganda lagi ’ . Lalu lelaki itu pun pergi mengambil mutiara yang sebiji lagi itu dan menyerahkannya kepada raja yang memberikannya hadiah yang amat besar seperti yang dijanjikannya iaitu sebanyak 60 ribu dinar . Tidak lama selepas itu ia bermimpi orang yang sama berkata kepadanya :                             ‘ Itulah berkat khidmat baktimu kepada bapamu yang dibalas di dunia lagi . Balasan yang akan diberikan oleh Allah Ta‘ala di Akhirat kelak lebih afdhal  lagi ’ .

Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Ertinya : ‘ Barang siapa yang meletakkan di rumahnya makanan yang baik dan ia memakannya tanpa kedua ibu bapanya nescaya Allah Ta‘ala mengharamkannya menikmati kelazatan makanan Syurga ’ .

Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Ertinya : ‘ Barang siapa tidur dalam keadaan kenyang dan tanpa kehausan sementara salah seorang dari ibu bapanya lapar atau dahaga nescaya dikumpulkannya oleh Allah Ta‘ala pada hari Qiyaamah dala keadaan lapar dan dahaga dan Allah Ta‘ala tidak malu menyiksanya pada hari Qiyaamah ’ .


Tersebut di dalam Ihya’, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bahawa bau Syurga dapat dihidu dari jarak sejauh perjalanan 500 tahun dan orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya tidak akan dapat mencium baunya . Begitu juga orang yang memutuskan silatur rahim .


Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Ertinya : ‘ Barang siapa mengangkat tangannya hendak memukul salah seorang daripada kedua ibu bapanya nescaya pada hari Qiyaamah tangannya dibelenggu ke lehernya dalam keadaan lumpuh ’ Mereka ( Shahabat ) bertanya : Ya Rasulullah, jika ia memukul kedua-dua ibu bapanya ? Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda : ‘ Dipotong tangannya sebelum ia menyeberangi Shirath dan dipukulnya akan dia oleh Malaikat ’ .

Wallaahu a’lam .

Rujukan : Kitab Jauharal Mauhub Wa Munabbihatul Quluub .















Selasa, 2 Julai 2013

Puasa ( Kelebihan Lapar Dan Kecelaan Kenyang )

Fashal pada menyatakan kelebihan lapar dan kecelaan kenyang

Dan kelebihan lapar itu iaitu sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa  sallam :

Ertinya : ‘ Perangi olehmu akan nafsu kamu itu dengan lapar dan dahaga kerana bahawasanya pahala yang di dalam yang demikian itu seperti pahala perang di dalam perang sabil dengan kafir dan bahawasanya tiada daripada amal yang terlebih kasih kepada Allah Ta‘ala daripada lapar dan dahaga ’ .


Dan lagi, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Tiada masuk seseorang yang memenuhi akan perutnya itu ke dalam alam Malakut iaitu alam yang ghaib ’ .

Dan dinamakan akan ghaib itu alam Mitsal dan alam Arwah iaitu yang dapat dilihat akan dia dengan mata hati dan tiada dapat dilihat akan dia dengan mata kepala . Bersalahan alam Ajsam, maka iaitu dapat dilihat akan dia dengan mata kepala .


Dan lagi, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Makan oleh kamu akan makanan dan minum oleh kamu akan minuman di dalam setengah perut kamu, maka bahawasanya yang demikian itu satu suku pada martabat Nubuwwah’, ya’ni barang siapa makan dan minum setengah perutnya nescaya dapat ia satu suku daripada martabat Anbiya΄ ’ .

Dan lagi, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Dan yang terlebih afdhal martabat kamu pada Allah Ta‘ala itu iaitu orang yang memanjangkan akan lapar dan membanyakkan tafakkur akan nikmat Allah Ta‘ala . Dan yang terlebih benci daripada kamu kepada Allah Ta‘ala itu iaitu tiap-tiap orang yang membanyakkan tidur dan membanyakkan makan dan membanyakkan minum ’ .

Dan lagi, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Bahawasanya Allah Ta‘ala mengkhabarkan akan Malaikat dengan kemegahan orang yang mengurangkan makan dan minum di dalam dunia itu dengan firmanNya bagi Malaikat itu : “ Lihat oleh kamu kepada hambaKu padahal aku beri bala΄ ( ujian ) akan dia dengan makanan dan minumannya di dalam dunia, maka meninggalkan ia akan keduanya kerana Aku . Naik saksilah kamu atasKu hai MalaikatKu, tiada meningggalkan ia satu makanan melainkan Aku gantikan akan dia dengan sebab ia meninggalkan akan makanannya itu, akan beberapa darjat di dalam Syurga ” .

Dan lagi, kata Sulaiman rahimahullaahu ta‘ala :

Ertinya : Bahawasanya aku meninggalkan akan satu suapan daripada makananku pada petang-petang itu terlebih aku kasih kepada aku daripada aku berbuat ‘ibadat semalam-malam hingga waktu Shubuh .

( Bermula ) Kecelaan kenyang itu iaitu sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa  sallam :

Ertinya : ‘ Tiada sesuatu kejahatan manusia yang terlebih daripada segala kejahatan yang memenuhi akan perutnya dengan makanan . Dan memadalah anak Adam itu memakan ia akan sedikit makanan yang mendirikan akan pinggangnya pada berbuat ‘ibadat akan Allah Ta‘ala . Dan jika tak dapat tiada ia mengerjakan akan makan itu, maka hendaklah ia membahagikan akan perutnya itu iaitu tiga bahagi . Sebahagi bagi tempat makanannya dan sebahagi bagi tempat minumannya dan sebahagi bagi tempat nafasnya ’ .

Dan lagi, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Jangan kamu mematikan akan hati kamu itu dengan banyak makan, maka bahawasanya hati itu seperti tanaman, apabila dibanyakkan atasnya air nescaya mati ia ’ .

Dan tersebut di dalam kitab Taurat, ertinya : Bahawasanya Allah Ta‘ala benci akan orang yang ‘alim yang gemuk tubuhnya .

Dan lagi, kata Saiyyidina ‘Abdullah Ibnu Mas‘ud radhiyallaahu ‘anhu, ertinya : Bahawasanya Allah Ta‘ala benci akan orang yang qari yang gemuk tubuhnya .

Dan lagi, tersebut di dalam hadits :

Ertinya : ‘ Bahawasanya memakan di atas perut yang kenyang itu iaitu mempusakai akan penyakit sopak ’ .

Wallaahu a’lam .


Rujukan : Kitab Sairus Saalikiin jilid 3 .