Bismillaah .
Kata Imam Al
Ghazali r.h di dalam kitab Bidaayatul Hidaayah
‘ Dan ‘ilmu yang memberi manfaat
itu iaitu barang yang menambah takutmu akan Allah Ta‘ala dan menambah pula di
dalam penglihatan hatimu dengan kecelaan dirimu dan menambah pula di dalam
pengenalanmu akan ‘ibadat kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia dan Yang Maha Tinggi
dan mengurangkan akan gemarmu kepada dunia dan menambah gemarmu kepada Akhirat
dan membukakan ia akan mata hatimu dengan yang membinasakan akan amalmu hingga
engkau memelihara diri daripadanya dan melihatkan ia akan dikau atas tipu
syaithan dan perdayanya ’ .
Dan kata Syeikh
Ibnu Abbad r.h di dalam kitab Syarah Al Hikam
‘ Ketahui olehmu bahawasanya
telah datang di dalam Al Quran dan hadits Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam
daripada kelebihan ‘ilmu dan ‘Ulama, barang yang tiada terhingga banyaknya dan
tiada diharap hasil yang demikian itu melainkan bagi orang yang sah daripadanya
niatnya . Dan sah niatnya pada yang demikian itu adalah dengan dikehendakinya
dalam menuntut ‘ilmu itu menuntut akan yang diredhai Allah Ta‘ala iaitu
mengerjakan thaat dan menjauhkan ma’shiat dan lagi diamalkannya ‘ilmunya pada
yang memberi manfaat kepadanya dan lagi isyarat keluar daripada kelam jahil
kepada terang ‘ilmu . Maka itulah niat yang shaleh yang dipuji atas kemudiannya
itu di dalam Akhirat dan dapat faedahnya di dalam thaat akan Allah Ta‘ala di
dalam dunia ’ .
Kata Imam Al
Ghazali r.h pada permulaan kitab Bidaayatul Hidaayah
‘ Maka ketahuilah olehmu
bahawasanya jika engkau kehendaki dengan menuntut ‘ilmu itu akan bersedap-sedap
dan bermegah-megah dan terdahulu atas orang yang bersamamu dan supaya cenderung
muka manusia kepadamu dan menghimpunkan kekayaan dunia nescaya engkau
mengusahai pada meruntuhkan akan agamamu dan membinasakan dirimu dan engkau
telah menjual Akhiratmu dengan duniamu . Maka penjualanmu itu rugi dan
perniagaanmu itu tiada laku dan orang yang mengajar akan engkau itu menolong
bagimu atas ma’shiat dan bersekutu ia akan engkau di dalam kerugianmu dan iaitu
seperti menjual pedang kepada orang yang merampas di jalan dan yang demikian
itu adalah perbuatan ma’shiat . Dan barang siapa menolong akan seseorang atas
berbuat ma’shiat dan jikalau dengan setengah perkataan sekalipun, maka adalah
ia jadi bersekutu di dalamnya ’ .
Wallaahu a’lam .
Rujukan : Kitab Hidaayatus Saalikiin .