NIAT SEMBAHYANG
Niat adalah salah satu syarat sembahyang menurut pendapat ‘Ulama΄ Hanafi dan Hanbali . Begitu juga menurut pendapat yang rajih di kalangan ‘Ulama΄ Maliki .
Sementara menurut pendapat ‘Ulama΄ Syafie dan sesetengah ‘Ulama΄ Maliki, niat adalah salah satu daripada fardhu sembahyang atau rukunnya kerana ia diwajibkan pada setengah bahagian sembahyang iaitu awal sembahyang, bukan sepanjang waktu semasa sedang mendirikan sembahyang . Oleh itu, niat adalah salah satu daripada rukun sebagaimana takbir dan ruku’ .
Niat dari segi bahasa ialah kehendak .
Dari segi Syara’ pula, niat bermakna azam hati untuk melakukan ‘ibadat bertujuan mendekati Allah Subhaanahu wa Ta ‘ala iaitu dia maksudkan perbuatannya itu untuk Allah Subhaanahu wa Ta‘ala, bukan kerana perkara lain yang dijadikan untuk makhluq ingin mendapat pujian di kalangan manusia atau seumpamanya dan ini adalah keikhlasan .
Para ‘Ulama΄ sependapat mengatakan bahawa niat adalah wajib dalam mengerjakan sembahyang untuk membezakannya sebagai ‘ibadat daripada ‘adat atau kebiasaan dan untuk mencapai keikhlasan kepada Allah Subhaanahu wa Ta‘ala dalam mengerjakannya kerana sembahyang adalah ‘ibadat dan ’ibadat ialah keikhlasan amalan dengan sempurna kerana Allah Subhaanahu wa Ta‘ala . Firman Allah Subhaanahu wa Ta ‘ala :
Terjemahan : “ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ‘ibadat kepadaNya ” .
( Shurah Al Baiyyinah 98 : 5 )
Al Mawardi berkata : Dan ikhlas dalam penggunaan biasa mereka ialah niat . Perkara ini disokong oleh hadits yang terkenal juga iaitu sabda Baginda Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :
Terjemahan : ‘ Sesungguhnya setiap perbuatan adalah dengan niat dan sesungguhnya setiap individu menurut niatnya ’ .
Oleh itu tidak sah sebarang sembahyang tanpa niat .
Niat yang sempurna ialah seseorang yang bersembahyang berusaha untuk merasai beriman dan melakukan sembahyang dengan tujuan untuk mendekati Allah dan dia mengakui bahawa niat itu wajib dan ditunaikan pada hari itu juga serta menentukannya dan meniatkan bilangan raka‘at dan menetapkan sama ada menjadi imam ataupun mengikutnya ( ma΄mum ) atau bersendirian, kemudian meniatkan takbiiratul ihram . ‘Ulama΄ sependapat mengatakan wajib berterusan ( istishab ) hukum niat dan bukan hakikatnya, dengan erti bahawa dia tidak bercadang untuk memutuskan niat . Jika lupa niat atau hilang ingatan pada niat ketika sembahyang, maka sembahyang itu dikira masih sah .
SYARAT NIAT
1 . Beragama Islam 2 . Mumaiyyiz 3 . Tahu apa yang diniatkan .
NIAT SEMASA TAKBIR
Menurut pendapat ‘Ulama΄ Hanafi, disyaratkan berhubung antara niat sembahyang dengan takbiiratul ihram tanpa sebarang selingan asing . Selingan asing adalah suatu perbuatan yang tidak sesuai dengan sembahyang seperti makan, minum dan seumpamanya, tetapi jika diselangi oleh perbuatan yang sesuai dengan sembahyang seperti wudhu΄ dan berjalan menuju masjid, maka tidak memutuskan hubungan antara niat dengan takbiiratul ihram . Boleh jika dilakukan niat, kemudian mengambil wudhu΄ atau berjalan menuju masjid, kemudian melakukan takbir tetapi tidak ada niat ( tidak mengulangi niat lagi ketika takbiiratul ihram ) kerana tidak ada selingan asing . Ini berdasarkan kes seseorang yang berhadats ketika sembahyang dia boleh meneruskan sembahyang sesudah diperbaharui wudhu΄ .
Bagi mengelakkan daripada perselisihan pendapat, disunatkan niat semasa atau beserta dengan takbiiratul ihram . Menurut pendapat yang shahih, tidak sah melewatkan niat daripada takbiiratul ihram .
Begitu juga harus mendahulukan niat dalam mengerjakan haji . Oleh itu, jika seseorang keluar dari rumah untuk melakukan ‘ibadat haji, lalu berihram, tetapi tidak diniatkan ( tidak mengulangi niat ) ketika itu, maka sah hajinya itu . Begitu juga dalam kes zakat iaitu sah zakat jika diniatkan ketika mengeluarkan zakat itu
Sebaliknya, tidak sah sembahyang jika diniat selepas takbiiratul ihram, tetapi dalam kes puasa, boleh dilewatkan niat kerana perlu mengetahui dengan yakin sama ada waktu berpuasa sudah bermula atau belum . Berlainan dengan sembahyang yang mana apabila melakukan takbir, maka sudah tentu melakukan sembahyang, maka perlulah diniatkan ketika itu juga .
Menurut pendapat ‘Ulama΄ Hanbali adalah lebih utama ( al afdhal ) jika diniatkan sembahyang beserta dengan takbir supaya tidak bertentangan dengan pendapat orang yang mengatakan wajib diniatkan beserta dengan takbir . Jika seseorang melakukan niat dahulu sedikit daripada takbir untuk menunaikan sembahyang fardhu bagi waktu itu dan juga sembahyang sunat Rawatibnya, setelah masuk waktu dan tidak membatalkannya serta kekal dalam agama Islam ( tidak berlaku murtad ), maka sah sembahyang itu kerana sekalipun niat berlaku lebih dahulu sedikit daripada takbir namun sembahyang masih menjadi matlamat niatnya yang ikhlas kerana niat adalah daripada syarat-syarat sembahyang, oleh itu diharuskan mendahulukan niat sebagaimana syarat lain . Tuntutan supaya niat dilakukan beserta dengan takbir menimbulkan kesulitan, maka tergugurlah tuntutan itu dengan firman Allah Subhaanahu wa Ta‘ala :
Terjemahan : “ … Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…”
( Shurah Al Hajj 22 : 78 )
Awalan sembahyang adalah sebahagian daripada sembahyang, maka memadailah di istishabkan ( berterusan atau tidak diubahkan ) niat sembahyang sebagaimana perkara lain juga .
Menurut pendapat ‘Ulama΄ Maliki, wajib dilakukan niat semasa takbiiratul ihram ataupun sebelumnya sedikit .
Menurut pendapat ‘Ulama΄ Syafie, disyaratkan melakukan sembahyang beserta dengan niat . Jika lambat niat daripada perbuatan sembahyang, maka ia dikira sebagai cita-cita ( ‘azam ) bukan niat . Jika seseorang yang ingin melakukan sembahyang berkata : ‘ Aku berniat sembahyang Zhuhur, Allaahu Akbar, aku berniat ’, terbatal sembahyang itu kerana perkataan ‘ Aku berniat ‘ selepas takbir adalah perkataan asing daripada sembahyang dan perkataan itu berlaku setelah bermula sembahyang, maka perkataan itu membatalkan sembahyang .
MENENTUKAN ( TA’YIN ) APA YANG DINIAT
Fuqaha΄ sependapat mengatakan, hendaklah ditentukan jenis fardhu sembahyang yang hendak dilakukan seperti Zhuhur atau ‘Ashar kerana sembahyang fardhu adalah banyak, maka tidak jadi satu-satu fardhu sembahyang jika diniatkan fardhu yang lain .
TEMPAT NIAT
‘Ulama΄ sependapat mengatakan bahawa tempat niat ialah di hati . Menurut pendapat jumhur kecuali ‘Ulama΄ Maliki, melafazkan niat adalah sunat . ‘Ulama΄ Maliki mengatakan harus melafazkan niat tetapi lebih diutamakan tidak dilafazkannya sama ada bagi sembahyang atau ‘ibadat lain .
Menurut pendapat yang ashah di kalangan ‘Ulama΄ Syafie, diwajibkan niat bagi sembahyang fardhu tanpa dikaitkan kepada Allah Subhaanahu wa Ta‘ala . Oleh itu, menurut ‘Ulama΄ Syafie syarat niat ada tiga :
( a ) Keinginan hati ( al Qashd ) – Qashad .
( b ) Penentuan ( al Ta’yin ) Ta’yiin .
( c ) Kefardhuan ( fardhiyyah ) – Ta‘arudh .