﴾ Antara Orang Yang Bijak Dan Orang Yang Bodoh ﴿
Ketahuilah kiranya ya saudaraku, sebagus-bagusnya seseorang itu menahan hawa nafsunya tidak diturutkan apa kehendaknya yang merosakkan diri dan mengurangkan diri daripada menuntut bekal akhirat, maka apabila diturutkan hawa nafsu nescaya binasa diri pada akhirnya tiada beramal ‘ibadat dan tiada bersedia apa persediaan yang dibawa kemudian daripada mati melainkan persediaan yang tiada baik sahaja .
Nabi s.a.w. bersabda : ‘ Bermula orang yang lebih beramal dan bijaksana itu iaitulah orang yang mengira akan dirinya, jangan jatuh terikutkan hawa nafsu dan jangan kena bala besar dan kecil di akhirat dengan sebabnya, maka berhabis kira ia ke atas dirinya memperbuat sesuatu pekerjaan dan hal ahwalnya, adakah ia berfaedah bagi akhiratnya atau tidak berfaedah akhiratnya, maka jika berfaedah dikerjakannya dan jika tidak, diberhentikannya . Maka beramal ia dengan sungguhnya bagi barang yang kemudian daripada matinya, ya’ni sentiasa ia mengadakan bekal akhirat jua . Itulah shifat orang yang ber‘aqal dan bijaksana pada Syara’ .
Bermula orang yang lemah fikirnya, ya’ni orang yang tiada ber‘aqal pada Syara’, bahkan ia orang yang bodoh namanya iaitu orang yang menurut akan dirinya akan hawa nafsunya, maka apa yang dicita oleh hawa nafsunya ia turutkan, tiada dilawannya dan tiada diperbuatnya apa yang tiada disukai nafsunya, maka kesukaan hawa nafsu itu apa lebih daripada sukakan bersenang-senang diri dan bersedap-sedap makan minum dan pakaian dan berkata-kata yang tiada memberi faedah dan berdosa dan melihat apa yang sedap dilihat dan didengar apa yang sedap didengar daripada segala perkara haram dan mencinta ia atas Allah menyempurnakan kehendaknya yang berbetulan dengan kemahuan hawa nafsunya itu .
Saiyyidina ‘Umar Al Khaththab berkata : Ambil kira halus di dunia ini akan diri sekalian kamu sebelum bahawa diambil atas sekalian kamu kira-kira yang halus dan bersedia sekalian kamu bagi pertunjukkan yang besar di negeri akhirat kepada Tuhan, maka hanyasanya ringan hisab pada hari Qiyaamah itu atas siapa menghalusi hisab akan dirinya di dalam dunia, jikalau tiada ambil hisab dengan halus di dunia ini nescaya berat hisab di akhirat .
Maimun bin Mahram berkata : Tiada ada seseorang hamba Allah itu bernama orang taqwa hingga dihisabnya halus-halus akan dirinya sebagaimana ia berhalus kira bicara dengan taulannya, daripada mana diambilnya akan makanannya, dan dari mana diambilnya akan pakaiannya, adakah daripada halal atau haram, maka jika daripada haram dijauhkan dia, dan jika daripada halal, maka ia ambil akan dia .