Hendaklah
berniat dengan menuntut ‘ilmu itu akan keredhaan Allah dan akan negeri akhirat
dan menghilangkan jahil daripada dirinya dan terjauh daripada orang yang jahil
dan menghidupkan agama kerana bahawasanya kekal agama Islam itu dengan ‘ilmu .
Dan tiada sah zuhud dan taqwa melainkan dengan ‘ilmu dan berniat syukur atas
nikmat iman dan ‘aqal dan sihat badan .
Dan jangan
berniat dengan berniat menuntut ‘ilmu itu akan berhadap manusia kepadanya dan
mendatangkan dunia dan kemuliaan pada raja-raja dan lainnya daripada dunia .
Dan hendaklah bagi orang yang menuntut itu memelihara akan adabnya kerana tiada
mencapai akan ‘ilmu dan tiada manfaat dengan dia dan tiada berkat padanya
melainkan dengan beradab .
Setengah
daripadanya membesarkan ‘ilmu dan ahlinya dan membesarkan gurunya dan jangan
berjalan di hadapannya dan jangan duduk pada tempatnya dan jangan memulai
perkataan dan jangan membanyakkan perkataan dan tertawa-tawa di hadapannya
melainkan dengan izinnya atau redhanya .
Dan jangan
bertanya akan dia masalah pada ketika ia jemu dan jangan diserukan dia dengan
namanya seperti jangan diserukan dua ibu bapanya dengan nama keduanya .
Dan jangan
memegang kitab melainkan dengan wudhu΄ kerana bahawasanya ‘ilmu itu
nur dan wudhu΄ itu nur, maka bertambah nur ‘ilmu itu dengan nur wudhu΄ dan jangan
menghanjurkan kakinya kepada kitab dan jangan meletakkankan atasnya sesuatu,
maka iaitu haram melainkan kerana hajat .
Dan lagi,
menghormati taulannya yang bersekutu pada menuntut ‘ilmu dan memeliharakan
daripada perangai yang keji-keji serta memelihara ia daripada kenyang dan
banyak tidur dan daripada membanyak perkataan yang sia-sia dan memelihara ia
daripada makan akan makanan pekan kerana makanan pekan itu terlebih hampir bagi
najis dan khianat dan terlebih jauh daripada dzikrullah dan terlebih hampir
kepada lalai dan lagi kerana bahawasanya mata segala faqir jatuh atasnya dan
tiada kuasa mereka itu membeli akan dia dan jadi menyakiti mereka itu dengan
demikian itu, maka hilang berkatnya .
Kitab : Pelita Bagi Penuntut