Sabtu, 17 Disember 2011

Penawar Bagi Hati - ( Video ) SIRI 4



Juz 'Amma - Shurah Al Masad ( Perkata ) Video Serta Tafsirnya





TAFSIR AL AZHAR JILID 10

SHURAH 111 : 5 AYAT 


Abu Lahab adalah paman ( bapa saudara ) dari Nabi s.a.w sendiri, saudara dari ayah beliau . Nama kecilnya Abdul ‘Uzza . Sebagai kita tahu, ‘Uzza adalah nama sebuah berhala yang dipuja orang Quraisy ; Abdul ‘Uzza bin Abdul Muthalib . Nama isterinya ialah Arwa, saudara perempuan dari Abu Sufian Sakhar bin Harb, khalah dari Muawiyah . Dia dipanggilkan Abu Lahab, yang dapat diartikan ke dalam bahasa kita dengan “ Pak Menyala ” kerana mukanya itu bagus, terang bersinar dan tampan . Gelar panggilan itu sudah lebih dikenal orang buat dirinya .

Dalam kekeluargaan sejak zaman sebelum Islam, hubungan Muhammad s.a.w sebelum menjadi Rasul amat baik dengan pamannya ini, sebagai dengan pamannya yang lain-lain juga . Tersebut di dalam riwayat bahawa seketika Nabi Muhammad s.a.w lahir ke dunia, Abu Lahab menyatakan sukacitanya kerana kelahiran Muhammad dipandangnya akan ganti adiknya yang meninggal di waktu muda, ayah Muhammad iaitu Abdullah sampai Abu Lahab mengirimkan seorang jariahnya yang muda bernama Tsuwaibah untuk menyusukan Nabi s.a.w sebelum datang Halimatus Sa’diyah dari desa Bani Sa‘ad .

Dan setelah anak-anak pada dewasa, salah seorang puteri Rasulullah s.a.w kahwin dengan anak laki-laki Abu Lahab tetapi setelah Rasulullah s.a.w menyatakan dakwahnya menjadi Utusan Allah mulailah Abu Lahab menyatakan tentangannya yang amat keras sehingga melebihi dari yang lain-lain, bahkan melebihi dari sikap Abu Jahal sendiri .

Seketika datang ayat yang tersebut di dalam Shurah 26, Asy Syu‘ara΄ ayat 214 :

Dan beri peringatanlah kepada kaum kerabatmu yang terdekat ”, keluarlah Nabi s.a.w dari rumahnya menuju bukit Shafa . Dia berdiri dan mulai menyeru :

Ya shabahah ! ( Berkumpul pagi-pagi ) . Orang-orang yang mendengar tanya bertanya, siapa yang menyeru ini ? . Ada yang menjawab : Muhammad rupanya, lalu orang pun berkumpul .  

Maka mulailah beliau mengeluarkan ucapannya :

Hai Bani Fulan, Hai Bani Fulan, ‘ Hai Bani Fulan, ‘ Hai Bani ‘Abdi Manaf, ‘ Hai Bani Abdul Muthalib ! ’ .

Semua Bani yang dipanggilnya itu pun datanglah berkumpul, lalu beliau berkata :

Kalau aku katakan kepada kamu semua bahawa musuh dengan kuda peperangannya telah keluar dari balik bukit ini, adakah di antara kamu yang percaya ?

Semua menjawab : Kami belum pernah mengalami engkau berdusta .

Maka beliau teruskanlah perkataannya :

Sekarang aku beri peringatan kepadamu semuanya bahawasanya di hadapan saya ini azab Tuan yang besar sedang mengancam kamu ’ .

Tiba-tiba sedang orang lain terdiam mempertimbangkan perkataannya yang terakhir itu, bersoraklah Abu Lahab : Apa hanya untuk mengatakan itu engkau kumpulkan kami ke mari ? Tubban laka ! Anak celaka !

Tidak berapa saat kemudian turunlah Shurah ini sebagai sambutan keinginan Abu Lahab agar Nabi Muhammad s.a.w, anak saudaranya itu mendapat kebinasaan .

1. Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab ! ( Pangkal ayat 1 ) .

Diambil kata ungkapan ‘ kedua tangan ’ di dalam bahasa ‘Arab yang bererti bahawa kedua tangannya yang bekerja dan berusaha akan binasa . Orang berusaha dengan kedua tangan, maka kedua tangan itu akan binasa ertinya, usahanya akan gagal .

Dan binasalah dia ” ( hujung ayat 1 ) .

Bukan sahaja usaha kedua belah tangan yang akan gagal, bahkan dirinya sendiri, rohani dan jasmaninya pun akan binasa . Apa yang direncanakannya di dalam menghalangi dakwah Nabi s.a.w tidaklah ada yang akan berhasil, malahan gagal !

Menurut riwayat tambahan dari Al Humaidi : Setelah isteri Abu Lahab mendengar ayat Al Quran yang turun menyebut nama masjid, beliau s.a.w di waktu itu memang ada dalam masjid di dekat Ka‘abah dan di sisinya duduk Abu Bakar r.h . Dan di tangan perempuan itu ada sebuah batu sebesar segenggaman tangannya, maka berhentilah dia di hadapan Nabi s.a.w yang sedang duduk bersama Abu Bakar itu, tetapi yang kelihatan olehnya hanya Abu Bakar sahaja . Nabi s.a.w sendiri yang duduk di situ tidak kelihatan olehnya, lalu dia berkata kepada Abu Bakar : Hai Abu Bakar, telah sampai kepada saya beritanya bahawa kawanmu itu mengejekkan saya . Demi Allah ! Kalau saya bertemu dia, akan saya tampar mulutnya dengan batu ini !

Sesudah berkata begitu dia pun pergi dengan marahnya . Maka berkatalah Abu Bakar kepada Nabi s.a.w : Apakah tidak engkau lihat bahawa dia melihat engkau ? Nabi s.a.w menjawab :

Dia ada menghadapkan matanya kepadaku tetapi dia tidak melihatku . Allah menutupkan penglihatannya atasku ’ .  

Tidaklah memberi faedah kepadanya hartanya dan tidak apa yang diusahakannya ” . ( ayat 2 )

Dia akan berusaha menghabiskan harta bendanya buat menghalangi perjalanan anak saudaranya, hartanyalah yang akan licin tandas namun hartanya itu tidaklah akan menolongnya . Perbuatannya itu adalah percuma ( sia-sia ) belaka . Segala usahanya akan gagal .

Menurut riwayat dari Rabi‘ah bin ‘Ubbad  ad Dailiy yang dirawikan oleh Al Imam Ahmad : Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w di zaman masih jahiliyyah itu berseru-seru di Pasar Dzil Majaz :

Hai sekalian manusia ! Katakanlah Laa I laa ha ill al laah, nescaya kamu sekalian akan beroleh kemenangan ’ .

Orang banyak berkumpul mendengarakan dia berseru-seru itu tetapi di belakangnya datang pula seorang laki-laki, mukanya cakap pantas  Dia berkata pula dengan kerasnya : Jangan kalian dengarkan dia . Dia telah khianat kepada agama nenek moyangnya, dia adalah seorang pendusta ! Kemana Nabi s.a.w pergi, ke sana pula diturutkannya . Orang itu ialah pamannya sendiri, Abu Lahab .

Menurut riwayat dari Abdur Rahman bin Kisan, kalau ada utusan dari kabilah-kabilah ‘Arab menemui Rasulullah s.a.w di Mekah hendak minta keterangan tentang Islam, mereka pun ditemui oleh Abu Lahab . Kalau orang itu bertanya kepadanya tentang anak saudaranya itu sebab dia tentu lebih tahu, dibusukkannyalah Nabi s.a.w dan dikatakannya : Kadzdzab, Sahir ( penipu, tukang sihir ) .

Namun segala usahanya membusuk-busukkan Nabi itu gagal juga !    

Akan masuklah dia ke dalam api yang bernyala-nyala ” . ( ayat 3 ) .

Dia tidak akan terlepas dari siksaan dan azab Allah . Dia akan masuk api Neraka . Dia kemudiannya mati sengsara kerana terlalu sakit hati mendengar kekalahan kaum Quraisy dalam peperangan Badar . Dia sudah yakin Quraisy pasti menang dan kawan-kawannya akan pulang dari peperangan itu dengan gembira, tetapi yang terjadi ialah sebaliknya . Utusan-utusan yang kembali ke Mekah lebih dahulu mengatakan mereka kalah . Tujuh puluh yang mati dan tujuh puluh pula yang tertawan . Sangatlah sakit hatinya mendengar berita itu, dia pun mati . Kekesalan dan kecewa terbayang di wajah jenazahnya .

Anak-anaknya ada yang masuk Islam seketika dia hidup dan sesudah dia mati, tetapi seorang di antara anaknya itu bernama ‘Utaibah adalah menantu Nabi s.a.w, kahwin dengan Ruqaiyyah kerana disuruh oleh ayahnya menceraikan isterinya, maka puteri Nabi s.a.w itu menceraikannya . Nabi s.a.w mengahwinkan anaknya itu kemudiannya dengan Utsman bin Affan . Nabi s.a.w mengatakan bahawa bekas menantunya itu akan binasa dimakan ‘ anjing hutan ’, maka dalam perjalanan membawa perniagaan ayahnya ke negeri Syam, di sebuah tempat bermalam di jalan dia diterkam singa hingga mati .

Dan isterinya ” ( ayat 4 ) . Dan isterinya akan disiksa Tuhan seperti dia juga . Tidak juga akan memberi faedah baginya hartanya, dan tidak juga akan memberi faedah baginya segala usahanya : “ Pembawa kayu bakar ” ( hujung ayat 4 ) .   

Sebagai dikatakan tadi nama isterinya ini Arwa, gelar panggilan kehormatannya sepadan dengan gelar kehormatan suaminya . Dia bergelar Ummu Jamil ( ibu dari kecantikan ) . Dia saudara perempuan dari Abu Sufyan . Sebab itu dia adalah ‘ammah ( saudara perempuan ayah ) dari Mu‘awiyah dan dari Ummul Mu΄minin Ummu Habibah, tetapi meskipun suaminya di waktu dulu seorang yang tampan dan ganteng dan dia ibu dari kecantikan kerana sikapnya yang buruk terhadap agama Allah, kehinaan yang menimpa diri mereka berdua . Si isteri menjadi pembawa kayu api, katu bakar menyebarkan api fitnah ke sana sini buat membusuk-busukkan Utusan Allah .  

Yang di lehernya ada tali dari sabut ” . ( ayat 5 ) .

Ayat ini mengandung dua maksud . Membawa tali dari sabut ertinya, kerana bakhilnya, dicarinya kayu api sendiri ke hutan, dililitkannya kepada lehernya, dengan tali daripada sabut pelepah kurma sehingga berkesan kalau dia bawanya berjalan .

Tafsir yang kedua ialah membawa kayu api ke mana-mana atau membawa kayu bakar . Membakar perasaan kebencian terhadap Rasulullah s.a.w mengada-adakan yang tidak ada . Tali daripada sabut pengikat kayu api fitnah ertinya, boleh menjerat lehernya sendiri

Ibnu Katsir mengatakan dalam tafsirnya bahawa Tuhan menurunkan Shurah tentang Abu Lahab dan isterinya ini akan menjadi pengajaran dan i’tibar bagi manusia yang mencuba berusaha hendak menghalang dan menentang apa yang diturunkan Allah kepada NabiNya kerana memperturutkan hawa nafsu, mempertahankan kepercayaan yang salah, tradisi yang lapuk dan adat istiadat yang karut-marut . Mereka menjadi lupa diri kerana merasa sanggup kerana kekayaan ada . Disangkanya sebab dia kaya, maksudnya itu akan berhasil, apatah lagi dia merasa bahawa gagasannya akan diterima orang sebab selama ini dia disegani orang, dipuji kerana tampan, kerana berpengaruh . Kemudian ternyata bahawa rencananya itu digagalkan Tuhan dan harta bendanya yang telah dipergunakannya berhabis-habis untuk maksudnya yang jahat itu menjadi punah dengan tidak memberi hasil apa-apa, malahan dirinyalah yang celaka – Demikianlah Ibnu Katsir .

Dan kita pun menampak di sini bahawa meskipun ada pertalian keluarga di antara Rasulullah s.a.w dengan dia, namun sikapnya menolak kebenaran Ilahi, tidaklah akan menolong menyelamatkan dia hubungan darahnya itu .

Selain dari bernama “ Al Lahab ” ( nyala ) shurah ini pun bernama juga “ Al Masad ”, yang bererti tali yang terbuat dari sabut itu .

Beberapa faedah dan kesan kita perdapat dari shurah ini :

Pertama : Meskipun Abu Lahab paman kandung Nabi s.a.w saudara kandung dari ayahnya, namun oleh kerana sikapnya yang menentang Islam itu, namanya tersebut terang sekali di dalam wahyu sehingga samalah kedudukannya dengan Fir‘aun, Haman dan Qarun, sama disebut namanya dalam kehinaan .

Kedua : Shurah “ Al Lahab ” ini pun menjadi i’tibar bagi kita bagaimana hinanya dalam pandangan agama seseorang yang kerjanya ‘ membawa kayu api ’ iaitu menghasut dan memfitnah ke sana ke mari dan membusuk-busukkan orang lain . Dan dapat pula dipelajari di sini bahawasanya orang yang hidup dengan sakit hati, dengan rasa kebencian kerap kalilah bernasib sebagai Abu Lahab itu, iaitu mati kejang dengan tiba-tiba bilamana menerima suatu berita yang tidak diharap-harapkannya . Mungkin juga Abu Lahab itu ditimpa oleh penyakit darah tinggi atau sakit jantung .