Ahad, 13 Januari 2013

Amaran Kepada Orang Yang Suka Makan Banyak



Bismillaah . 

Ketahuilah kiranya ya saudaraku !!! Makan banyak itu bala ke atas seseorang yang mengamalkannya . Kerana ialah ( makan banyak ) yang menyebabkan rugi dunia dan Akhirat kerana seseorang yang banyak makannya itu kuat kenyangnya . Apabila kuat kenyangnya kuat pula malasnya dan mahu pula kuat tidurnya dan bersenang-senang diri, tiada mahu buat kerja dan tiada mahu berbuat ‘ibadat disebabkan berat perut dan badannya . Maka apabila seseorang itu malas bekerja dan malas berbuat ‘ibadat, rugilah ia dunia dan Akhirat dan jadilah ia banyak ( lama masa ) laparnya di negeri Akhirat kerana kosong ia daripada ‘ibadat yang menjadi bekalan Akhirat itu, dengan kerana itulah diberitahu oleh Nabi kita kepada ummatnya, hendaklah ummatnya jangan kemukakan makan banyak kerana orang yang banyak makan dan kenyang ia secukup-cukup kenyang di dalam dunia ini nescaya panjang laparnya di negeri Akhirat . Begitulah datang khabarnya di dalam hadits-hadits, satu daripadanya iaitu hadits yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At Tirmidzi dengan katanya ;


Diriwayatkan daripada seorang Shahabat bagi Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam, namanya Abdullah bin Umar, katanya ;

Telah mengeluarkan sendawa oleh seorang laki-laki di sisi Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam . Bila didengar oleh Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam akan sendawanya itu lalu ditegurnya kerana sendawa itu satu alamat ( tanda ) kenyang daripada makan banyak dengan sebab itu keluar bunyi dari dalam kerongkong itu serta angin dengan sebab kenyang daripada makan banyak itu .

Sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam pada tegurannya :

Hai laki-laki, jauhkan olehmu akan sendawa kamu itu daripada kami, ya’ni jangan buat makan banyak sampai mengeluarkan sendawa kerana perbuatan yang demikian itu mendatangkan sangat kenyang, maka bahawasanya yang banyak kenyang daripada orang-orang dalam dunia ini, jadi panjang mereka itu laparnya pada hari Qiyaamah . Dengan kerana itu aku beri ingat padamu ’ .

Kata Abu ‘Isa At Tirmidzi : Bermula ini hadits gharib daripada ini wajah . Dan ada datang satu riwayat daripada Abi Juhaifah pada bab ini .


Makan banyak di dalam dunia menjadikan panjang
( lama ) lapar di negeri Akhirat

Demikianlah beberapa hadits yang menunjukkan atas yang demikian itu, seperti yang telah datang riwayatnya lagi begini :

Diriwayatkan daripada ‘Atiyyah bin ‘Amir Al Juhaniy, katanya ; Telah aku dengar akan seorang daripada Shahabat Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam padahal dibanyakkan orang atas makanan yang dimakannya, maka katanya ; Memadaku, bahawasanya telah aku dengar akan  Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda ia :

Bahawasanya yang lebih banyak daripada orang pada makan kenyang di dalam dunia ini ialah yang lebih panjang masa lapar               di negeri Akhirat ’ .
Meriwayatkan hadits ini oleh Ibnu Majah dan Al Baihaqi .


Makan banyak itu bala ini ummat
Muhammad shallallaahu ‘alaihi wa sallam

Sungguhnya inilah awal-awal bala yang turun ke atas ummat Muhammad kemudian wafat Nabi iaitu membanyakkan makan dan loba atas bersedap dengan semegah-megah makanan, dengan kerana itu jadilah sedikit amal mereka itu sebagai hadits yang datang riwayatnya demikian ini :

Diriwayatkan daripada Isteri Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam katanya :

Awal-awal bala yang jadi pada ini ummat Muhammad kemudian daripada wafat NabiNya ialah kenyang, ya’ni membanyakkan makan, maka bahawasanya satu kaum itu apakala kenyang perutnya gemuk tambun tubuhnya, maka jadi dha‘if ( lemah ) hatinya, ya’ni berkurangan imannya dengan Allah Ta‘ala kerana tinggalnya atas kesedapan dan berkekalannya atas versuka-sukaan . Dan jadi kuat ia menurut hawa nafsunya ’ . R. Bukhari .

Wallaahu a’lam .

Rujukan : Kitab Bahrul Maadzi Jilid 17