Jumaat, 16 Disember 2011

Hukum Hadd Bagi Pencuri - Kitab Al Iqna' Juzuk 2

Rukun pemotongan tangan :

1 . Masyruq iaitu benda yang dicuri .

2 . Sariqah iaitu terjadinya tindakan pencurian .

3 . Sariq iaitu orang yang melakukan pencurian .

Sedangkan penulis kitab Fathul Qarib hanya meringkaskannya menjadi dua rukun sahaja iaitu sariq dan masyruq .

Imam Ibnu Jauzi berkata : Ketika aku ditanya masalah hukuman hadd terhadap pencuri, maka aku menjawab : Jika tangan ini dipercayai dan mampu memegang amanah, maka tangan ini sangat mahal harganya . Namun jika tangan ini mengkhianati amanah, maka tangan ini telah menjadi murah dan terhina serta tidak ada harganya sama sekali .

SYARAT – syarat yang menyebabkan dipotongnya tangan pencuri iaitu enam :

1 . Orang yang mencuri mestilah telah baligh .

2 . Orang yang mencuri mestilah orang yang ‘aqil ( berakal ) .

3 . Benda yang dicuri mestilah telah mencapai satu nishab atau
lebih sedangkan ukuran satu nishab adalah sepertempat dinar sekalipun seperempat dinar itu milik orang ramai
yang dikumpulkan menjadi satu .

Yang dimaksudkan seperempat dinar ini adalah harta benda yang murni satu jenis sahaja, maksudnya bukan harta benda yang bercampur kerana harta benda campuran pada hakikatnya bukan seperempat dinar . Oleh kerana itu, jika harta yang dicuri jumlahnya seperempat dinar atau nilainya sama dengan seperempat dinar, maka pencurinya mesti dipotong tangannya .

Jika yang dicuri itu bukan dinar atau bukan emas, maka nilainya diperhitungkan dengan dinar tersebut . Dan jika waktu dicuri harta tersebut telah mencapai seperempat dinar, kemudian setelah itu nilainya kurang, maka hukuman potong tangan itu tidak berubah dan tidak gugur kerana hukuman tersebut ditetapkan pada waktu pencuri itu mencuri harta tersebut .

Orang yang mencuri emas mentah sebanyak seperempat dinar belum memenuhi syarat untuk dipotong tangannya kerana timbangan emas yang masih mentah berbeza dengan emas yang telah dibuat perhiasan 

Jika ada seseorang yang mencuri cincin emas yang timbangannya kurang daripada seperempat dinar sedangkan jika dihitung dengan wang harganya sama dengan seperempat emas yang telah dicetak atau sama dengan harga seperempat dinar, maka pencuri tersebut tidak dipotong tangannya .

Dan jika benda yang dicuri terdiri dari dua jenis, maka hendaklah dikira jumlahnya menjadi dua nishab, ertinya masing-masing harta tersebut hendaklah mencapai satu nishab kerana setiap benda yang dicuri mestilah dikira menurut jenis benda tersebut .

Jika ada pencuri yang mencuri baju yang telah rosak, kemudian ia tidak mengetahui bahawa di dalam saku baju itu ada duit yang jumlahnya mencapai satu nishab, maka pencuri itu tetap dipotong tangannya kerana ketidaktahuan pencuri itu tidak dijadikan pertimbangan .

4 . Benda yang dicuri hendaklah telah disimpan
di tempat yang selamat .

Jika seseorang yang mencuri benda yang berada atau disimpan di tempat yang tidak selamat atau benda yang tidak disimpan, maka pencuri itu tidak dipotong tangannya sekalipun benda yang dicuri itu telah mencapai satu nishab .

Jika terjadinya kecurian di waktu siang hari, maka seseorang yang meletakkan motosikalnya di hadapan rumah sudah dianggap menyimpan atau menjaga dengan baik, namun jika terjadi di malam hari setelah motosikal itu diletakkan di hadapan rumah, maka ia dikira sebagai tidak menjaganya dengan baik .

Jika seseorang yang tidur di tempat yang lapang atau di masjid atau di tepi jalan sambil menunggu harta perniagaannya, maka ianya telah dikira sebagai menyimpan harta kerana tidurnya dengan tujuan untuk menjaga harta yang dibawa dengan syarat harta itu bukannya harta yang berharga .  

Jika harta benda yang telah disimpan di tempat yang selamat kemudian dicuri oleh seseorang dengan cara membuat lubang pada tempat simpanan tersebut dan mengambil harta itu sedikit demi sedikit dan akhirnya jika dikumpulkan menjadi jumlahnya satu nishab, maka pencuri itu dipotong tangannya . Hal ini sama halnya dengan  seseorang pencuri yang mencuri sebanyak dua kali akan harta benda yang telah tersimpan di tempat yang selamat dan jika dikumpulkan jumlahnya mencapai satu nishab, maka pencuri itu wajib dipotong tangannya kerana pada hakikatnya ia telah mencuri harta yang disimpan itu samapai kepada satu nishab .

Akan tetapi hal ini berbeza jika ada pencuri yang mencuri dua kali di mana kecurian yang pertama dilakukan di tempat yang tersembunyi, kemudian diketahui oleh pemiliknya . Kecurian yang pertama mendapat harta yang kurang daripada satu nishab, kemudian setelah beberapa waktu, pencuri tersebut mengulangi perbuatannya lagi dengan mencuri harta yang masih disimpan di tempat yang sama tangan pencuri itu tidak dipotong sekalipun jika dikumpulkan harta yang dicurinya itu telah mencapai satu nishab kerana di antara pencurian yang pertama dan yang kedua itu telah dipisahkan dengan pengetahuan pemiliknya .

5 . Orang yang mencuri itu bukan pemilik harta tersebut .

Jika seseorang yang mencuri suatu harta yang menjadi miliknya sendiri atau harta yang merupakan milik bersama dengan cara menanam saham atau lainnya, maka tangannya tidak dipotong kerana harta miliknya itu mungkin diserahkan kepada orang lain untuk dikelolakan atau untuk digadaikan atau untuk disewakan .

Dan juga tidak dipotong tangan pencuri yang mencuri barang yang telah dijual kepada orang lain dan belum diserahkan kepada pembelinya sekalipun wang pembeliannya telah diserahkan, atau seseorang yang mencuri harta benda yang dijual dalam masa khiyar atau seseorang yang mencuri benda yang telah diberikan kepada orang lain sebelum benda tersebut diserahkan kepada yang berhak . Ini sesuai dengan keterangan Imam Nawawi di dalam kitab Raudhah .

Dan jika ada seseorang yang mendapat wasiat, kemudian ia mencuri benda yang diwasiatkan kepadanya sebelum meninggalnya orang yang berwasiat atau ia mencuri benda yang diwasiatkan kepadanya setelah meninggalnya orang yang berwasiat itu namun belum lagi harta tersebut diserahkan kepadanya, maka ia wajib dikenakan hukuman potong tangan .

Jika seseorang yang faqir mencuri harta benda yang telah diwasiatkan kepada para faqir miskin di mana kecurian itu dilakukan sesudah meninggalnya orang yang berwasiat, maka pencuri tersebut tidak dipotong tangannya kerana kecurian itu disamakan dengan seseorang yang mencuri harta milik bersama di mana pencuri tersebut turut memiliki bahagian di dalamnya .        

6 . Orang yang mencuri itu tidak memiliki bahagian sedikitpun terhadap harta yang dicurinya itu .

Jika seseorang mengambil harta benda yang dikira miliknya, kemudian ia mengetahui bahawa ternyata harta benda tersebut bukan miliknya atau milik orang tuanya, maka pencuri itu tidak dikenakan hukuman potong tangan .

Jika seseorang anak mencuri harta salah seorang daripada orang tuanya, maka tidak diwajibkan hukuman potong tangan kerana dalam kes ini dianggap kecurian yang samar, ya’ni kerana syubhah milik, maksudnya anak turut memiliki harta orang tuanya dan orang tua turut memiliki harta anaknya kerana harta tersebut memang disediakan untuk masing-masing orang tua dan anak pada waktu memerlukan sekalipun antara orang tua dan anak itu berbeza agamanya .

Jika seseorang mencuri makanan pada masa susah, maka tidak dipotong tangannya kerana ia mencuri lantaran tidak mampu membeli makanan sedangkan perutnya tidak mampu menahan lapar . Kemudian menurut Ibnu Muqri, jika ada seseorang yang diberi izin untuk masuk ke dalam rumah atau ke dalam kedai, kemudian orang itu mencuri, maka pencuri itu tidak dikenakan hukuman potong tangan .

Jika seseorang mencuri benda yang tidak tahan lama seperti makan atau buah-buahan atau sayur-sayuran jika semuanya mencapai satu nishab, maka pencurinya dikenakan hukuman potong tangan .     

Menurut Syeikh Khathib Syarbini bahawa syarat hukum potong tangan ada sepuluh, di mana syarat selanjutnya ialah :

7 . Orang yang mencuri itu adalah dengan kehendaknya sendiri .

Orang yang dipaksa mencuri tidak dipotong tangannya kerana berdasarkan hadits bahawa kalam itu diangkat terhadap tiga orang iaitu kanak-kanak, orang gila dan orang yang dipaksa melakukan sesuatu . Begitu juga orang yang memaksa seseorang supaya mencuri juga tidak dipotong tangannya kecuali jika orang yang dipaksa itu adalah anak yang belum baligh atau anak yang bodoh, maka orang yang memaksa mencuri itu harus dipotong tangannya .

8 . Orang yang mencuri itu hendaklah orang yang
terkena beban hukum taklif .

Jika pencuri itu adalah kafir harbi, tidaklah dipotong tangannya . Lain halnya jika pencuri itu adalah Muslim atau kafir dzimmi, maka dipotong tangannya kerana keduanya menerima beban taklif .   

9 . Benda yang dicuri adalah benda yang dimuliakan oleh agama .

Jika orang Muslim atau kafir dzimmi yang mencuri arak, anjing, babi, kulit bangkai yang belum disamak, maka pencurinya tidak wajib dikenakan hukum potong tangan kerana benda yang diambilnya itu adalah bukan benda yang dimuliakan sebab sesuatu benda yang tidak dimuliakan ianya tidak dikategorikan sebagai harta .   

Jika mencuri sesuatu benda untuk dirosakkan kerana adanya perlanggaran Syara’ seperti mencuri seruling, salib atau berhala untuk dipecahkan atau untuk dirosakkan, maka pencuri itu tidak dipotong tangannya kerana bertujuan untuk menghilangkan kema’shiatan .

10 . Benda yang dicuri jumlahnya ada satu nishab
dengan milik yang sempurna .

Menurut Imam Nawawi di dalam kitab Raudhah bahawa seseorang yang mencuri tikar masjid tidak dipotong tangannya kerana tikar tersebut disediakan bagi semua orang yang hendak melaksanakan shalat sehingga tidak ada pemiliknya secara individu kerana yang memilikinya adalah masjid .

Begitu juga orang yang mencuri karpet, lampu yang menerangi masjid atau harta lainnya yang disediakan untuk kemashlahatan umat Islam seperti harta Baitul Mal, maka pencuri itu tidak dipotong tangannya kecuali jika tikar, karpet atau lampu tersebut berfungsi sebagai hiasan, maka dipotong tangan yang mencurinya itu . Ini sesuai dengan pendapat Ibnu Muqri .

Kemudian jika benda tersebut disediakan untuk orang kafir dzimmi, maka pencurinya dipotong tangannya kerana benda yang disediakan untuk kafir dzimmi itu jelas dimiliki oleh orang tertentu .

Jika ada yang mencuri lantai masjid yang digunakan untuk umat Islam shalat di masjid, maka tidak dipotong tangannya kerana disamakan dengan mencuri tikar yang disediakan untuk shalat .

Hal ini berbeza dengan orang yang mencuri pintu masjid, kayu dan genting, tiang masjid, kayu penahan masjid, atap masjid serta lampu perhiasan masjid, maka pencurinya harus dikenakan hukuman otong tangan kerana pintu masjid adalah berfungsi untuk menjaga benda-benda yang ada di dalam masjid dan kayu penahan dan tiang serta kayu masjid yang lain berfungsi untuk ketegapan bangunan masjid sedangkan lampu masjid yang berfungsi sebagai hiasan diqiyaskan seperti kain penutup Ka‘abah yang dijaga, maka kerana itulah orang yang mencurinya dipotong tangannya .

Begitu juga, orang yang mencuri Al Quran yang diwaqafkan untuk dibaca, maka juga tidak dipotong tangannya jika pencuri itu mampu membacanya atau jika untuk ia mempelajarinya atau jika untuk ia menyuruh orang lain membacanya kemudian ia dapat mendengarkannya .

Wallaahu a’lam .       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan