Isnin, 5 Mac 2012

Pertanyaan Amal Di Padang Mahsyar

  Pertanyaan Tuhan Di Padang Mahsyar  ﴿  

Nabi s.a.w bersabda : ‘ Tiada berubah dan tiada berpindah dua kaki seseorang anak Adam yang berdiri di bumi Mahsyar itu pada hari Qiyaamah daripada sisi Tuhannya hingga ditanya akan dia daripada lima perkara ’ .
Maka lima perkara itu jikalau selamat seseorang itu memperbuatnya di dalam dunia dan menggunakannya dan mengambilnya sebagai jalan yang diizinkan Tuhan nescaya selamat ia daripada azab . Dan jika tidak, maka kena azablah ia .

Ditanya daripada umurnya pada apa dihabiskannya ’ .

Masalah : Umur manusia itu kena tanya Tuhan pada apa dihabiskan dia, ya’ni masa ia di dalam hidup sepanjang umur itu apakah diperbuatnya ? Adakah memperbuat kebajikan atau membuat kejahatan kerana seseorang yang diberi Allah hidup dengan panjang dan pendeknya itu bukannya diberiNya dan disuruhNya sia-siakan umur dan usia itu, bahkan disuruhNya kerjakan suruhNya dan jauhkan apa tegahNya, maka jikalau tidak yang demikian itu, ya’ni tidak menjunjung seperti suruhNya dan tegahNya, maka ialah orang yang mensia-siakan umur itu dan menghabiskannya pada bukan tempatnya, maka itulah ditanya Allah Ta‘ala akan hambaNya pada apa dihabiskannya umur itu . Jikalau pada kebajikan nescaya dapat balasan kebajikan dan jika pada kejahatan nescaya dapat balas kejahatan .

Dan ditanya seseorang hamba Allah itu daripada kemudaan pada apa dilasahkan mudanya itu ’ .

Masalah : Kemudaan seseorang itu ditanya akan dia oleh Tuhan pada hari Qiyaamah pada apa dilasahkan dia, ya’ni seseorang yang ada di dalam masa mudanya dan sedang gagahnya serta cukup sihatnya apakah yang digunakan muda itu ? Adakah ia gunakan kepada menurut syahwat dan keinginan nafsu ataupun menurut perintah Allah dengan menjunjung suruhNya yang difardhukanNya dan yang diizinkanNya dan menjauhkan yang ditegahkanNya daripada segala yang haram dan yang tiada diizinkanNya ? Maka jikalau digunakannya mudanya kepada menurut syahwat dan keinginan nafsu daripada segala yang haram dan yang ditegah Allah nescaya dapat azab dan siksa . Dan jika menurut perintah Tuhan nescaya dapat balasan baik jua .

Dan ditanya seseorang itu daripada hartanya yang ada didapatnya dalam seumur hidupnya daripada mana didapatnya harta itu ’ .

Masalah : Harta yang dapat dengan jalan pencarian atau lainnya bagi seseorang di dalam dunia itu semua ditanya dan dihisab Allah di dalam negeri akhirat satu persatunya . Ditanya akan dia : Engkau dapat tanah kebun dan rumah dan belanja kamu pada tiap-tiap hari dan lainnya itu dari mana engkau dapat harta itu, adakah engkau dapat dengan sambar dan samun atau dengan curi atau dengan riba atau dengan jalan tipu daya dan lainnya ? Ataupun dapat harta –harta itu dengan jalan seperti yang disuruh Allah dan jalan yang diizinkanNya, maka sekiranya daripada halal semuanya lepas orang itu daripada siksa Tuhan dengan sebabnya dan jika tidak nescaya kena azab .

Dan ditanya akan seseorang hamba Allah itu pada apakah dinafqahkannya segala harta dan rezeki yang didapatnya ’ .

Masalah : Nafqahkannya harta dan pencarian itu kena tanya di negeri akhirat . Sesungguhnya manusia ini ditanya Allah akan rezeki dan pencariannya di dalam dunia ini ke mana dinafqahkannya, iaitu adakah diperbelanjakan kepada yang disuruh Allah, seperti dapat harta padi yang cukup nishabnya atau dapat harta binatang yang cukup nishabnya adakah diberi zakat dan adakah bershadaqah fithrah daripada baki harta yang mencukupkan makan pada hari raya fithrah  Dan adakah diperbelanjakan harta itu bagi menanggung anak isteri dengan secukupnya dan adakah diperbelanjakan harta itu mengerjakan haji dan menuntut ‘ilmu yang fardhu dan lain-lainnya daripada menafqahkan kepada segala yang disuruhNya ? Maka jika diperbelanjakan harta-harta itu kepada yang disuruhNya, tidaklah kena azab dan dapat balasan baik pula .

Dan apakah diperbuatnya pada barang yang ia sudah ketahui ’ .

Masalah : Amalkan apa yang diketahui daripada hukum Syara’ itu akan ditanya oleh Allah pada hari Mahsyar kelak, ya’ni tiap-tiap yang diketahui daripada hukum Allah, suruhNya adakah dikerjakan dan yang ditegahkan adakah diberhentikan dan dijauhkan, adakah diambil apa-apa perkara yang dihalalkanNya ataupun mengambil apa perkara yang diharam akan dia ? Maka apabila seseorang itu mengetahui akan suatu hendaklah diambilkan sebagaimana diketahui itu pada tempat dan pada masa mengamalnya . Dan jika diketahui serta mengamalkan lain daripada seperti yang diketahui itu dengan dikehendak dan sengaja nescaya diazab Allah di negeri akhirat itu .  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan