Sabtu, 12 Januari 2013

Menuntut 'Ilmu


Bismillaah . 

Kata Imam Al Ghazali r.h di dalam kitab Bidaayatul Hidaayah

‘ Dan ‘ilmu yang memberi manfaat itu iaitu barang yang menambah takutmu akan Allah Ta‘ala dan menambah pula di dalam penglihatan hatimu dengan kecelaan dirimu dan menambah pula di dalam pengenalanmu akan ‘ibadat kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia dan Yang Maha Tinggi dan mengurangkan akan gemarmu kepada dunia dan menambah gemarmu kepada Akhirat dan membukakan ia akan mata hatimu dengan yang membinasakan akan amalmu hingga engkau memelihara diri daripadanya dan melihatkan ia akan dikau atas tipu syaithan dan perdayanya ’ .

Dan kata Syeikh Ibnu Abbad r.h di dalam kitab Syarah Al Hikam

‘ Ketahui olehmu bahawasanya telah datang di dalam Al Quran dan hadits Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam daripada kelebihan ‘ilmu dan ‘Ulama, barang yang tiada terhingga banyaknya dan tiada diharap hasil yang demikian itu melainkan bagi orang yang sah daripadanya niatnya . Dan sah niatnya pada yang demikian itu adalah dengan dikehendakinya dalam menuntut ‘ilmu itu menuntut akan yang diredhai Allah Ta‘ala iaitu mengerjakan thaat dan menjauhkan ma’shiat dan lagi diamalkannya ‘ilmunya pada yang memberi manfaat kepadanya dan lagi isyarat keluar daripada kelam jahil kepada terang ‘ilmu . Maka itulah niat yang shaleh yang dipuji atas kemudiannya itu di dalam Akhirat dan dapat faedahnya di dalam thaat akan Allah Ta‘ala di dalam dunia ’ .

Kata Imam Al Ghazali r.h pada permulaan kitab Bidaayatul Hidaayah

‘ Maka ketahuilah olehmu bahawasanya jika engkau kehendaki dengan menuntut ‘ilmu itu akan bersedap-sedap dan bermegah-megah dan terdahulu atas orang yang bersamamu dan supaya cenderung muka manusia kepadamu dan menghimpunkan kekayaan dunia nescaya engkau mengusahai pada meruntuhkan akan agamamu dan membinasakan dirimu dan engkau telah menjual Akhiratmu dengan duniamu . Maka penjualanmu itu rugi dan perniagaanmu itu tiada laku dan orang yang mengajar akan engkau itu menolong bagimu atas ma’shiat dan bersekutu ia akan engkau di dalam kerugianmu dan iaitu seperti menjual pedang kepada orang yang merampas             di jalan dan yang demikian itu adalah perbuatan ma’shiat . Dan barang siapa menolong akan seseorang atas berbuat ma’shiat dan jikalau dengan setengah perkataan sekalipun, maka adalah ia jadi bersekutu di dalamnya ’ .

Wallaahu a’lam .

Rujukan : Kitab Hidaayatus Saalikiin .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan