kitab 'aqiidatun najiin, fariidatul faraaid, penawar bagi hati, muhimmah, sabiilal muhtadiin, furu'ul masaail, munyatul mushalli, 'minhajul 'abidin, al mawaa'izh al badii'ah, ayyuhal walad, bahrul madzi, memahami bacaan di dalam dan selepas sembahyang ( perkata ),tuhfatur ghaaribiin, kifaayatul muhtadi, malaikat, syurga, neraka dan lainnya Insyaa Allah akan kami paparkan dari masa ke semasa
Khamis, 25 Ogos 2011
Dzikir vs Sihir Mona
Perempuan ini telah dikhianati oleh salah seorang kawannya yang menggunakan bomoh yang pernah menjadi murid Mona Fandey dan alhamdulillaah kini ia telah selamat dipulihkan dengan izin Allah Ta'ala .
Isnin, 15 Ogos 2011
Apakah Di Syurga Ada Malam Dan Siang ?
Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam ditanya :
Adakah Syurga itu malam dan siang ?
Adakah Syurga itu malam dan siang ?
Baginda menjawab : Dalam Syurga tiada kegelapan sama sekali . Semuanya nur di dalam nur . Ahli Syurga berada di tengah-tengah nur ‘Arasy untuk selama-lama malam dan siang . ‘Arasy itu bumbung Syurga seperti mana langit itu ialah bumbung dunia . Cahaya ‘Arasy gilang-gemilang . Ia dijadikan daripada nur yang hijau, nur yang merah, nur yang kuning dan nur yang putih . Semua warna di dunia dan di akhirat berasal daripada nur ‘Arasy . Allah Ta‘ala mencampakkan nur ‘Arasy sebesar biji sawi kepada matahari untuk menerangi dunia .
‘Alamat ( tanda ) malam di Syurga ialah apabila pintu-pintu Syurga tertutup, semua tabir tirai dilabuhkan, burung-burung mengucapkan tasbih kepada Tuhan Al Wahidul Qahhar, para Malaikat memberi salam kepada mereka dengan membawa hadiah dan pemberian daripada Allah Ta‘ala, saudara-saudara menziarahi mereka kerana Allah Ta‘ala, begitu juga anak-anak dan segala kaum kerabat yang masuk Syurga .
Rujukan : Kitab Al JAUHARUL MAUHUB WA MUNABBAHATUL QULUUB
Jumaat, 15 Julai 2011
Hukum Masbuq Dan Muwaafiq
Go To Budilosong web
http://budilosong.orgBagi seseorang ma΄mum semasa berjema‘ah dengan imamnya, ia mesti berada dalam salah satu dari dua keadaan, sama ada dia menjadi seorang muwaafiq ( bersama ) dengan imamnya atau masbuq ( didahului ) oleh imamnya .
Atau dengan lain perkataan, bahawa setiap ma΄mum kadang-kadang dia sempat bersembahyang bersama imamnya daripada permulaan sembahyang imamnya . Dan kadang-kadang dia masuk berjema‘ah lewat sedangkan imam sedang sembahyang atau kadang-kadang seorang ma΄mum niat berjema‘ah bersama imam pada awal takbiiratul ihram lagi tetapi apabila sampai dipertengahan sembahyang, ma΄mum tersebut ditinggalkan oleh imamnya dengan sebab sesuatu hal .
Oleh itu, seorang ma΄mum kadang-kadang dia menjadi seorang masbuq dan kadang-kadang ia menjadi muwaafiq . Jika semasa dia menjadi muwaafiq, maka wajib ke atasnya menjaga hukum dan syarat-syarat muwaafiq, kalau tidak, sembahyang ma΄mum itu tidak sah dan batal . Dan begitu juga, manakala semasa dia menjadi seorang yang masbuq, kewajiban ke atasnya memelihara syarat dan peraturan-peraturan sebagai seorang masbuq pula .
Muwaafiq : Seorang ma΄mum yang sempat berjema‘ah dengan imam semasa berdiri imamnya di mana ia sempat berjema‘ah dengan imam sekadar masa yang membolehkan ia membaca shurah Al Faatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan dikalangan ‘uruf orang ramai, tidak berdasarkan kepada bacaan ma΄mum itu dan juga tidak berdasarkan kepada bacaan imamnya, tetapi berdasarkan kepada bacaan ‘uruf orang ramai .
Masbuq : Seorang ma΄mum yang tidak sempat berjema‘ah semasa berdiri imamnya sekadar masa membaca Al Faatihah dengan bacaan yang pertengahan, tidak terlalu cepat dam tidak terlalu lambat malahan perhitungan bacaan Al Faatihah itu tidak berpandukan kepada bacaan imam dan tidak berpandukan kepada bacaan ma΄mum itu bahkan mengikut bacaan ‘uruf orang ramai . Mana-mana ma΄mum yang tidak sempat berjema‘ah dengan imam semasa berdiri imamnya sekadar masa yang membolehkan ia membaca Al Faatihah hingga selesai, maka dinamakan masbuq .
Muwaafiq dan masbuq boleh berlaku ke atas seseorang ma΄mum pada empat raka‘at, sama ada pada raka‘at pertama, raka‘at kedua, raka‘at ketiga dan seterusnya pada raka‘at keempat .
Hukum bagi orang muwaafiq dimaafkan kepadanya tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya, tidak termasuk rukun-rukun yang pendek, rukun-rukun yang panjang itu seperti ruku’ dan sujud manakala rukun yang pendek seperti i’tidal dan duduk di antara dua sujud .
Juga dikehendaki ketinggalan tiga rukun yang panjang itu tidak termasuk dan dikira duduk istiharah . Begitu juga tidak kira duduk tasyahud awal dan i’tidal .
1 : Seorang ma΄mum yang muwaafiq sedang sembahyang berjema‘ah sebelum imam berdiri tegak daripada sujud yang kedua dia sudah ruku’, maka ma΄mum berkenaan mendapat raka‘at itu kerana ketingalannya daripada imam belum masuk kepada rukun keempat .
2 : Seorang ma΄mum yang muwaafiq sedang sembahyang berjema‘ah sebelum imam duduk tasyahud akhir ma΄mum berkenaan sudah ruku’, hukumnya dia juga mendapat raka‘at itu .
Kedua-dua contoh di atas menunjukkan bahawa ma΄mum berkenaan masih lagi berada dalam jarak tiga rukun daripada imamnya belum lagi masuk ke rukun yang keempat sebagaimana contoh-contoh di atas itu bahawa rukun-rukun yang renggang atau jarak antara ma΄mum dengan imam ialah tiga rukun yang dikira daripada :
a ) : Ruku’ b ) : Sujud yang pertama c ) : Sujud yang kedua .
3 : Jika seorang muwaafiq itu sembahyang berjema‘ah apabila imamnya sudah berada dalam berdiri raka‘at kedua untuk membaca Al Faatihah tetapi ma΄mum berkenaan masih lagi berada ketika berdiri pada raka‘at yang pertama masih lagi belum selesai bacaan Al Faatihahnya atau imam telah berada pada tasyahud akhir sedangkan ma΄mum masih lagi berdiri dalam raka‘at pertama dan bacaan Al Faatihahnya masih belum selesai, maka hukumnya adalah batal sembahyang ma΄mum yang sedemikian, kecuali jika ia membuat dua pilihan segera ketika imam hendak berpindah kepada rukun keempat iaitu :
Pilihan pertama : Ma΄mum berkenaan dikehendaki meninggalkan bacaan Al Faatihahnya dan terus mengikut dan melakukan apa yang sedang dilakukan oleh imam dan ia tambah satu raka‘at lagi selepas salam imam .
Pilihan kedua : Ma΄mum berkenaan dikehendaki niat mufaaraqah dari mengikut imam kemudian ia hendaklah meneruskan bacaan Al Faatihahnya dan rukun-rukun yang lain dengan seorang diri sehingga selesai sembahyangnya .
Jika ma΄mum berkenaan gagal membuat pilihan segera sebelum imam sampai kepada rukun keempat iaitu berdiri pada raka‘at yang kedua atau imam sampai kepada tasyahud akhir, maka batal sembahyang ma΄mum itu apabila sampainya imam kepada rukun yang keempat sedangkan ma΄mum itu masih berada pada rukun yang pertama, tetapi tidak mengapa jika serentak ma΄mum berpindah kepada ruku’, manakala imam pada ketika itu berpindah kepada berdiri dalam raka‘at yang kedua atau serentak dengan imam yang berpindah kepada tasyahud akhir .
Khamis, 14 Julai 2011
Rukun Puasa ( Sabiilal Muhtadiin ) siri 1
Pada menyatakan segala rukun puasa dan syaratnya dan barang yang ta‘alluq dengan dia
( Bermula ) Rukun puasa itu tiga perkara :
( Pertama ) Niat . Dan hanyasanya wajib niat dengan hati jua .
Dan sunat melafazkan dia dengan lidah .
Dan wajib berniat puasa tiap-tiap hari, sama ada puasa itu fardhu atau sunat dari kerana puasa di dalam tiap-tiap hari itu suatu ‘ibadat, masing-masing berkehendak sekelian kepada niat .
Maka jika berniat seseorang pada malam yang pertama daripada bulan Ramadhan bahawa ia puasa sebulan Ramadhan, tiadalah memada ia akan dia niat yang demikian itu melainkan bagi puasa hari yang pertama jua, tetapi sayugianya hendaklah ia berniat seperti demikian itu pada malam yang pertama daripada bulan Ramadhan supaya hasil pahala puasa Ramadhan jika lupa ia akan niat pada setengah daripada segala malamnya yang kemudian daripada itu { dapat ia taqlid } pada Madzhab orang yang memada ia akan niat yang demikian itu .
( Dan wajib ) Pada puasa fardhu berniat pada malam iaitu barang yang antara masuk matahari dan terbit fajar, sama ada ia fardhu Ramadhan atau nadzar atau kaffarah dan samada ia tunai atau qadha΄ dan jikalau pada puasa kanak-kanak yang mumaiyyiz sekalipun kerana sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :
﴾ من لم يبيت الصيام قبل الفجر فلا صيام له ﴿
Ertinya : ‘ Barang siapa tiada bermalam akan niat puasa
dahulu daripada fajar, maka tiadalah baginya puasa ’.
Dan tiada batal niat { itu } sebab jima’ ia atau makan { atau minum } atau menyahaja muntah atau barang sebagainya kemudian daripada berniat pada malam .
Dan sah niat bagi perempuan yang haidh atau nifas jika putus haidhnya atau nifasnya kemudian daripada niat pada malam dengan syarat jika genap masa sebanyak-banyak haidh atau nifas atau genap sekadar ‘adatnya, maka tiada wajib membaharu niat pada segala yang tersebut itu .
Maka diketahui daripada wajib berniat pada malam itu, bahawa tiada memadai niat jika beserta ia dengan naik fajar atau syak ia pada niatnya itu, adakah jatuh ia dahulu daripada fajar atau kemudiannya, tetapi jika berniat ia, kemudian maka syak ia, adakah sudah terbit fajar tatkala berniat atau belum terbit, maka iaitu tiada mengapa kerana yang asal itu malam jua .
( Dan demikian lagi ) Jika syak ia pada siang hari, adakah berniat ia pada malam atau tiada, kemudian maka ingat ia akan sudah berniat dan jikalau ada waktu ingat itu kemudian daripada lalu masa siang hari terbanyak daripada yang tinggal sekalipun seperti ingat ia dahulu daripada masuk matahari, maka iaitu tiada mengapa . Bersalahan jika lalu masa yang tersebut itu dan tiada ingat ia akan dia, maka tiadalah sah niatnya .
Dan tiadalah wajib pada puasa sunat berniat pada malamnya, hanya yang demikian itu terakmal jua . Maka memadailah pada puasa sunat berniat pada siang hari daripada gelincir matahari kerana tersebut di dalam hadits yang shahih bahawasanya Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam masuk ia kepada rumah Siti Aisyah pada suatu hari, maka sabdanya bagi Aisyah :
هل عندكم من غذاء قََالت لا قَال فانى اذا أصوم ﴾ ﴿
Ya’ni : ‘ Adakah pada kamu daripada makanan pagi ? Maka sembahnya Siti Aisyah ;‘ Tiada ada ’ Maka sabda Nabi Allah bahawasanya :‘ Aku puasa ’ .
Dan tak dapat tiada daripada berhimpun segala syarat puasa seperti bahawa ditahaninya dirinya daripada segala yang membatalkan puasa, mula-mula daripada fajar kerana dihukumkan di atasnya dengan bahawasanya ia puasa dari pada awal siang hari hingga diberi pahala ia atas sekelian hari puasanya kerana puasa tiada ia bersetengah . Dan jika tiada berhimpun segala syaratnya, maka tiadalah { tiadalah sah } puasanya .
Dan jikalau berpagi-pagi seseorang dan tiada ia berniat puasa tatkala itu, kemudian berkumur-kumur ia dengan tiada mubaalaghah, maka lalu termasuk air ke dalam perutnya, kemudian maka berniat ia puasa sunat, sahlah puasanya Dan seperti demikian inilah tiap-tiap barang yang tiada batal dengan dia puasa
( Dan wajib ) Pula pada puasa fardhu itu menta’yinkan yang diniatkannya, sama ada yang diniatkan itu puasa Ramadhan atau nadzar atau kaffarah seperti diniatkannya ; Sahaja aku puasa esok hari daripada Ramadhan atau daripada nadzar atau daripada kaffarah, dan jika tiada dita’yinkannya akan sebabnya sekalipun .
Tetapi jika yakin seseorang akan bahawasanya ada atasnya puasa fardhu sehari dan syak akan ketentuannya, adakah ia fardhu qadha΄ atau nadzar atau kaffarah, memadailah akan dia berniat puasa yang wajib, dan jika ada ia serta syak sekalipun kerana dharurat .
( Dan demikian lagi ) Wajib ta’yin pada puasa sunat yang berwaktu seperti Isnin dan Khamis dan ‘Arafah dan ‘Asyuraa΄ dan Aiyyaamul baidha’ { hari yang ketiga belas dan empat belas dan lima belas pada tiap-tiap bulan Islam } dan puasa enam hari daripada bulan Syawal .
( Dan demikian lagi ) Pada puasa sunat baginya sebab seperti puasa minta hujan yang tiada disuruhkan Imam dan hanyasanya ta’yin itu jadi syarat bagi sah puasa sunat jika ada puasa sunat itu dimaksud bagi dirinya dengan tertentu
( Adapun ) Jika tiada puasa itu dimaksud bagi dirinya dengan tertentu, hanya yang dimaksud wujud puasa sebarang puasa, maka ta’yin padanya tiada jadi syarat sah, hanya adalah ia jadi syarat sempurna dan menghasilkan pahala atasnya .
Dan tiada wajib ta‘arrudh ya’ni meniatkan fardhu puasa yang fardhu kerana bahawasanya puasa Ramadhan daripada yang baligh tiada jatuh melainkan fardhu .
Bersalahan sembahyang, maka wajib padanya meniatkan fardhu dari kerana sembahyang Zhuhur umpamanya daripada yang baligh, terkadang jatuh sunat seperti sembahyang mi‘aadah, maka diketahui daripada yang demikian itu bahawasanya sekurang-kurang niat puasa Ramadhan itu bahawa dihadirkannya di dalam hatinya :
﴾ نويت صوم غد عن رمضان ﴿
Ertinya : Sahaja ku puasa esok hari daripada Ramadhan .
( Bermula ) Niat yang akmal itu :
أداء فرض رمضان هذه السنة للّه تعالَى ﴾ عن نويت صوم غد ﴿
Ertinya : Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta‘ala .
( Bermula ) Wajah akmal niat seperti demikian itu supaya sah ia dengan tiada khilaf sekelian ‘Ulama΄ dan supaya beza ia daripada segala lawannya seperti qadha΄ dan puasa sunat dan fardhu nadzar atau kaffarah dan Ramadhan tahun lain, maka diketahui daripada yang demikian itu bahawa tiada wajib meniatkan adaa΄ { tunai } dan mengidhafatkan kepada Allah Ta‘ala seperti tiada wajib meniatkan fardhu .
( Dan demikian lagi ) Tiada wajib mengta’yinkan tahun kerana meniatkan puasa esok hari itu memadai daripadanya .
( Adapun ) Meniatkan ghadan, ertinya : esok hari, maka iaitu wajib, tak dapat tiada daripadanya, tetapi memadai pada setengah tempat meniatkan yang umum yang terkandung dalamnya ghadaa iaitu seperti berniat seseorang pada malam yang pertama daripada bulan Ramadhan .
Demikianlah niatnya :
نويت صوم شهر رمضان كله ﴾ ﴿
Ertinya : Sahaja aku puasa sebulan Ramadhan sekeliannya .
Langgan:
Catatan (Atom)