Khamis, 14 Julai 2011

Rukun Puasa ( Sabiilal Muhtadiin ) siri 1

(  FASHAL  )

Pada  menyatakan  segala  rukun  puasa  dan  syaratnya  dan  barang  yang  ta‘alluq  dengan  dia

(  Bermula  )  Rukun  puasa  itu  tiga  perkara  :

(  Pertama  )   Niat  . Dan  hanyasanya  wajib  niat  dengan  hati  jua .

Dan  sunat  melafazkan  dia  dengan  lidah  .

Dan wajib berniat puasa tiap-tiap hari, sama ada puasa itu fardhu atau sunat dari kerana puasa di dalam tiap-tiap hari itu suatu ‘ibadat, masing-masing berkehendak sekelian kepada niat .

Maka jika berniat seseorang pada malam yang pertama daripada bulan Ramadhan bahawa ia puasa sebulan Ramadhan, tiadalah memada ia akan dia niat yang demikian itu melainkan bagi puasa hari yang pertama jua, tetapi sayugianya hendaklah ia berniat seperti demikian itu pada malam yang pertama daripada bulan Ramadhan supaya hasil pahala puasa Ramadhan jika lupa ia akan niat pada setengah daripada segala malamnya yang kemudian daripada itu       { dapat ia taqlid } pada Madzhab orang yang memada ia akan niat yang demikian itu .

( Dan wajib ) Pada puasa fardhu berniat pada malam iaitu barang yang antara masuk matahari dan terbit fajar, sama ada ia fardhu Ramadhan atau nadzar atau kaffarah dan samada ia tunai atau qadha΄ dan jikalau pada puasa kanak-kanak yang mumaiyyiz  sekalipun  kerana  sabda  Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam  :

   من   لم   يبيت   الصيام   قبل   الفجر  فلا   صيام   له  ﴿

Ertinya : Barang  siapa  tiada  bermalam  akan  niat  puasa  
dahulu  daripada fajar,  maka  tiadalah  baginya  puasa  ’.

Dan tiada batal niat { itu } sebab jima’ ia atau makan { atau minum } atau menyahaja muntah atau barang sebagainya kemudian daripada berniat pada malam .

Dan sah niat bagi perempuan yang haidh atau nifas jika putus haidhnya atau nifasnya kemudian daripada niat pada malam dengan syarat jika genap masa sebanyak-banyak haidh atau nifas atau genap sekadar ‘adatnya, maka tiada wajib membaharu niat pada segala  yang tersebut itu .

Maka diketahui daripada wajib berniat pada malam itu, bahawa tiada memadai niat jika beserta ia dengan naik fajar atau syak ia pada niatnya itu, adakah jatuh ia dahulu daripada fajar atau kemudiannya, tetapi jika berniat ia, kemudian maka syak ia, adakah sudah terbit fajar tatkala berniat atau belum terbit, maka iaitu tiada mengapa kerana yang asal itu malam jua .

( Dan  demikian  lagi )  Jika syak  ia pada  siang  hari, adakah berniat ia pada malam atau tiada, kemudian maka ingat ia akan sudah berniat dan jikalau ada waktu ingat itu kemudian daripada lalu masa siang hari terbanyak daripada yang tinggal sekalipun seperti ingat ia dahulu daripada masuk matahari, maka iaitu tiada mengapa . Bersalahan jika lalu masa yang tersebut itu dan tiada ingat ia akan dia, maka tiadalah  sah niatnya .

Dan tiadalah wajib pada puasa sunat berniat pada malamnya, hanya yang demikian itu terakmal jua . Maka memadailah pada puasa sunat berniat pada siang hari daripada gelincir matahari kerana tersebut di dalam hadits yang shahih bahawasanya Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam masuk ia kepada rumah Siti Aisyah pada suatu hari, maka sabdanya bagi Aisyah  :

هل  عندكم   من   غذاء   قََالت   لا   قَال   فانى   اذا   أصوم      ﴿

Ya’ni : Adakah  pada  kamu  daripada  makanan pagi ?  Maka sembahnya Siti Aisyah ;‘ Tiada  ada ’ Maka sabda  Nabi  Allah bahawasanya :‘ Aku puasa ’ .

Dan tak dapat tiada daripada berhimpun segala syarat puasa seperti bahawa ditahaninya dirinya daripada segala yang membatalkan puasa, mula-mula daripada fajar kerana dihukumkan di atasnya dengan bahawasanya ia puasa dari pada awal siang hari hingga diberi pahala ia atas sekelian hari puasanya kerana puasa tiada ia bersetengah . Dan jika tiada berhimpun segala syaratnya, maka  tiadalah { tiadalah sah } puasanya .

Dan jikalau berpagi-pagi seseorang dan tiada ia berniat puasa tatkala itu, kemudian berkumur-kumur ia dengan tiada mubaalaghah, maka lalu termasuk air ke dalam perutnya, kemudian maka berniat ia puasa sunat, sahlah puasanya  Dan seperti demikian inilah tiap-tiap barang yang tiada batal dengan dia puasa 

( Dan wajib ) Pula pada puasa fardhu itu menta’yinkan yang diniatkannya, sama ada yang diniatkan itu puasa Ramadhan atau nadzar atau kaffarah seperti diniatkannya ; Sahaja aku puasa esok hari daripada Ramadhan atau daripada nadzar atau daripada kaffarah, dan jika tiada dita’yinkannya akan sebabnya sekalipun .

Tetapi jika yakin seseorang akan bahawasanya ada atasnya puasa fardhu sehari dan syak akan ketentuannya, adakah ia fardhu qadha΄ atau nadzar atau kaffarah, memadailah akan dia berniat puasa yang wajib, dan jika ada ia serta syak sekalipun kerana dharurat .

( Dan demikian lagi ) Wajib ta’yin pada puasa sunat yang berwaktu seperti Isnin dan Khamis dan ‘Arafah dan ‘Asyuraa΄ dan Aiyyaamul baidha’ { hari  yang ketiga belas dan empat belas dan lima belas pada tiap-tiap bulan Islam } dan puasa enam hari daripada bulan Syawal .

( Dan demikian lagi ) Pada puasa sunat baginya sebab seperti puasa minta hujan yang tiada disuruhkan Imam dan hanyasanya ta’yin itu jadi syarat bagi sah puasa sunat jika ada puasa sunat itu dimaksud bagi dirinya dengan tertentu 

( Adapun ) Jika tiada puasa itu dimaksud bagi dirinya dengan tertentu, hanya yang dimaksud wujud puasa sebarang puasa, maka ta’yin padanya tiada jadi syarat sah, hanya adalah ia jadi syarat sempurna dan menghasilkan pahala atasnya .

Dan tiada wajib ta‘arrudh ya’ni meniatkan fardhu puasa yang fardhu kerana bahawasanya puasa Ramadhan daripada yang baligh tiada jatuh melainkan fardhu .

Bersalahan sembahyang, maka wajib padanya meniatkan fardhu dari kerana sembahyang Zhuhur umpamanya daripada yang baligh, terkadang jatuh sunat seperti sembahyang mi‘aadah, maka diketahui daripada yang demikian itu bahawasanya sekurang-kurang niat puasa Ramadhan itu bahawa dihadirkannya di dalam hatinya :


  نويت   صوم   غد   عن   رمضان   ﴿
Ertinya :       Sahaja  ku  puasa  esok  hari  daripada  Ramadhan  .

( Bermula )  Niat  yang  akmal  itu  :

أداء   فرض   رمضان   هذه   السنة   للّه   تعالَى     عن نويت   صوم  غد  ﴿

Ertinya :  Sahaja  aku  puasa  esok  hari  daripada  menunaikan  fardhu  Ramadhan  tahun  ini  kerana  Allah  Ta‘ala  .

( Bermula )  Wajah akmal  niat seperti demikian itu supaya sah ia dengan tiada khilaf sekelian ‘Ulama΄ dan supaya beza ia daripada segala lawannya seperti qadha΄ dan puasa sunat dan fardhu nadzar atau kaffarah dan Ramadhan tahun lain, maka diketahui daripada yang demikian itu bahawa tiada wajib meniatkan adaa΄ { tunai } dan mengidhafatkan kepada Allah Ta‘ala seperti tiada wajib meniatkan  fardhu .

( Dan demikian lagi ) Tiada wajib mengta’yinkan tahun kerana meniatkan puasa esok  hari  itu  memadai  daripadanya  .

( Adapun )  Meniatkan ghadan, ertinya : esok hari, maka iaitu wajib, tak dapat tiada daripadanya, tetapi memadai pada setengah tempat meniatkan yang umum yang terkandung dalamnya ghadaa iaitu seperti berniat seseorang pada malam yang pertama daripada bulan  Ramadhan .  

Demikianlah  niatnya  :

نويت    صوم    شهر   رمضان    كله      ﴿
Ertinya :  Sahaja  aku  puasa  sebulan  Ramadhan  sekeliannya .

Maka sahlah puasanya bagi hari yang pertama dengan tiada meniatkan esok hari  kerana sebulan Ramadhan itu mengandung ia akan esok hari . Demikianlah yang tersebut di dalam Tuhfah dan Nihaayah dan Mughni serta berlain-lainan ‘ibarat dan maksud satu jua.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan