PENDAPAT PARA FUQAHA΄ TENTANG NIAT
Pendapat ‘Ulama΄ Madzhab Hanafi :
Perbincangan tentang niat ini merangkumi tiga perkara, iaitu pentafsiran niat, cara berniat dan waktu berniat .
Pentafsiran Niat
Niat ialah kehendak, oleh itu niat sembahyang ialah kehendak melakukan sembahyang kerana Allah Subhaanahu wa Ta‘ala . Kehendak adalah perbuatan hati, maka tempat niat ialah di hati, iaitu hatinya mengetahui apakah sembahyang yang hendak dilakukan dan tidak disyaratkan melafazkan atau menyebutnya dengan lidah tetapi digalakkan untuk menolong hati iaitu dengan niat di hati dan menyebut dengan lidah .
Secara umum menentukan ( ta’yin ) sesuatu sembahyang adalah lebih baik dan lebih diutamakan . Jika sembahyang fardhu hendaklah ditentukannya seperti fardhu Zhuhur atau ‘Ashar atau sembahyang yang diwajibkan seperti sembahyang Witir, sujud Tilaawah, nazar dan sembahyang pada dua hari raya . Oleh itu, semuanya mestilah ditentukan . Begitu juga mesti ditentukan hari atau waktu ketika mengqadhakan mana-mana sembahyang yang telah luput tetapi tidak mesti diniatkan qadha . Bagi sembahyang tunai ( bukan qadha ) tidak mesti ditentukan hari, waktu dan bilangan raka‘atnya .
Menurut pendapat yang shahih di kalangan ‘Ulama΄ Hanafi, semua sembahyang sunat, sama ada sunat fajar, taraawih dan lain-lain hanya memadai dengan niat secara umum ( tanpa menentukan jenisnya ), tetapi sebaik-baiknya hendaklah ditentukan ( ta’yin ) juga sebagai menghormati shifat sunat, sama ada sunat taraawih atau sunat waktu .
Tidak terbatal niat sembahyang atau puasa jika dikaitkan dengan ‘ insyaa Allaah ’, kerana tempat niat ialah di hati .
Menurut pendapat yang muktamad bahawa ‘ibadat adalah perbuatan yang diliputi niatnya .
Jika seseorang itu sempat mengikuti sembahyang bersama-sama jema‘ah sedangkan ia tidak pasti sama ada sembahyang jema‘ah itu sembahyang fardhu atau Taraawih dan dia meniatkan sembahyang fardhu, jika jema‘ah itu melakukan sembahyang fardhu, maka sah sembahyangnya dan jika tidak, maka sembahyangnya menjadi sembahyang sunat .
CARA BERNIAT
Jika seseorang mengerjakan sembahyang berseorangan hendaklah ditentukan jenis fardhu atau wajibnya dan jika sembahyang sunat, maka mencukupi dengan niat sembahyang sahaja sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini .
Jika seseorang bersembahyang sebagai imam hendaklah ditentukan sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini . Seseorang lelaki yang memjadi imam kepada orang lelaki lain, tidak disyaratkan niat sebagai imam kerana sah bagi mereka mengikutnya tanpa niatnya sebagai imam mereka . Sebaliknya, seseorang lelaki yang menjadi imam bagi orang perempuan disyaratkan niat sebagai imam bagi mereka supaya sah mereka mengikutnya . Perbezaan antara kedua-dua kes itu ialah jika sah orang perempuan menjadi ma΄mum kepada orang lelaki tanpa berniat menjadi imam berkemungkinan orang perempuan itu sembahyang sebaris dengannya . Keadaan sedemikian membatalkan sembahyang orang lelaki itu dan merosakkan sembahyang tanpa kehendaknya . Oleh itu, disyaratkan niat menjadi imam bagi orang perempuan supaya tidak merosakkan sembahyang orang lelaki tanpa kerelaannya . Hal ini tidak berlaku bagi orang lelaki Kesimpulannya, diwajibkan niat imam dalam satu kes sahaja iaitu dalam kes orang lelaki menjadi imam bagi orang perempuan .
Jika mengikut imam ( memjadi ma΄mum ), maka hendaklah ditentukan sembahyang itu sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini . Dan hendaklah ditambah dalam niat sebagai mengikut imam seperti meniatkan fardhu bagi waktu itu dan mengikut imam atau berniat mendirikan sembahyang atau berniat mengikut imam dalam sembahyangnya .
WAKTU BERNIAT
Disunatkan niat serentak dengan takbir, iaitu menyertakan takbir dengan niat . Menurut mereka ( ‘Ulama΄ Hanafi ), sah diniatkan sebelum takbir jika tidak melakukan sebarang pekerjaan yang boleh memutuskan antara niat dengan takbir . Penyertaan niat dalam satu masa dengan takbir bukanlah satu syarat .
PENDAPAT ‘ULAMA MADZHAB MALIKI
Niat ialah menghendaki sesuatu dan tempatnya ialah di hati . Niat sembahyang adalah fardhu dan menurut pendapat yang rajih ia adalah syarat, contohnya ialah kehendak hati untuk menunaikan sembahyang fardhu Zhuhur . Menghendaki sesuatu adalah perkara luaran bagi dzat sesuatu itu . Lebih utama jika tidak menyebutnya kecuali bagi orang yang was-was, maka digalakkan menyebut niatnya supaya hilang keraguannya . Diwajibkan niat itu serentak dengan takbiiratul ihram . Jika niat mendahului takbir atau selepas takbir dengan berlalu masa yang panjang, maka ‘Ulama΄ sependapat mengatakan batal niat tersebut . Jika niat mendahului takbir dengan masa yang singkat, maka menurut setengah pendapat, iaitu pendapat yang terpilih, sah niat itu sebagaimana pendapat ‘Ulama΄ Hanafi . Menurut setengah pendapat lain pula, terbatal niat sebagaimana pendapat ‘Ulama΄ Syafie .
Hendaklah ditentukan ( ta’yin ) jenis fardhu atau sunat yang lima ( Witir, hari raya, gerhana matahari, gerhana bulan atau meminta hujan ) atau sunat fajar, tetapi tidak perlu ditentukan bagi sembahyang sunat lain seperti sunat dhuha, rawaatib dan tahajjud yang hanya memadai dengan niat sembahyang sunat sahaja . Sembahyang sunat tersebut menjadi sembahyang sunat Dhuha jika dilakukan sebelum al zawal (gelincir matahari dari garis tengah langit) sunat rawaatib jika dilakukan sebelum atau sesudah Zhuhur, sunat tahiyyatul masjid jika dilakukan ketika masuk ke masjid, sunat tahajjud jika dilakukan pada tengah malam dan sunat ‘Isya΄ ( al Shaf ) jika dilakukan sebelum witir .
Tidak disyaratkan niat tunai, qadha atau bilangan raka‘at . Dikira sah sembahyang qadha dengan niat tunai atau sebaliknya . Dikecualikan daripada kewajipan menentukan jenis sembahyang hanya bagi satu kes sahaja iaitu jika seseorang masuk ke dalam masjid dan didapati imam sedang sembahyang dan dia menyangka imam itu sedang melakukan sembahyang Juma‘at lalu diniatkan sebagai sembahyang Juma‘at, tetapi kemudian ternyata bahawa imam itu melakukan sembahyang Zhuhur, maka hukum sembahyang orang itu adalah sah, tetapi tidak sah jika sebaliknya .
Wajib diniatkan jika sembahyang bersendirian dan jika sembahyang mengikut imam ( sebagai ma΄mum ), tetapi tidak wajib diniatkan sebagai imam kecuali sembahyang Juma‘at dan jama’ taqdim kerana hujan, takut dan istikhlaf kerana imam adalah syarat di dalam sembahyang-sembahyang tersebut . Ibnu Rushd menambah lagi, iaitu diwajibkan juga niat sebagai imam ketika sembahyang jenazah . Jika imam tidak berniat sebagai imam ketika sembahyang Juma‘at, maka terbatal sembahyang imam dan ma΄mum . Jika tidak diniatkan jama’ taqdim kerana hujan maka terbatallah sembahyang yang kedua ( ‘Ashar atau ‘Isya΄ ) . Jika tidak diniatkan dalam sembahyang khauf, maka terbatallah sembahyang kumpulan pertama daripada ma΄mum sahaja, tetapi sah sembahyang imam dan kumpulan kedua daripada ma΄mum . Jika tidak diniatkan dalam sembahyang istikhlaf, maka sah sembahyang imam, tetapi terbatal sembahyang ma΄mum .
PENDAPAT ‘ULAMA΄ MADZHAB SYAFIE
‘Ulama΄ madzhab Syafie menghendaki sesuatu niat tersebut mestilah serentak dengan perbuatan (melaksanakan apa yang dikehendaki itu), dan tempatnya di hati . Disunatkan menyebut niat terdahulu sedikit daripada takbir . Jika berkata di dalam hati atau dengan lidahnya ( insyaa Allaah ), sesudah niat dengan tujuan mendapat keberkatan dan berlaku perbuatan sembahyang dengan kehendak Allah Subhaanahu wa Ta‘ala, maka tidak membatalkan niat itu . Tetapi jika bertujuan mengantungkannya dengan kehendak Allah ( iaitu jika diniatkan bahawa sembahyang itu dilakukan jika dikehendaki Allah Subhaanahu wa Ta‘ala ), atau ragu-ragu, maka tidak sah niat tersebut Bagi sembahyang fardhu, sekalipun fardhu kifaayah seperti sembahyang jenazah, mengulangi sembahyang atau nazar, maka diwajibkan tiga perkara, iaitu niat fardhu ( meniatkan bahawa sembahyang itu sembahyang fardhu ), niat melaksanakan perbuatan ( iaitu diniatkan perbuatan sembahyang untuk membezakan daripada perbuatan lain ), dan menentukan jenis fardhu seperti niat menunaikan sembahyang fardhu Zhuhur .
Niat dan perkara yang berkaitan dengannya itu hendaklah dilakukan serentak dengan takbiiratul ihram . Itulah yang dimaksudkan oleh ‘Ulama΄ madzhab Syafie dengan penyediaan ( niat ) dan ( penyertaan niat dengan takbir ) menurut kebiasaan ( ‘urf ) . ( Ini bermaksud menyediakan dalam ingatan segala perbuatan sembahyang yang terdiri daripada perkataan, perbuatan pada awal dan akhirnya, sekalipun secara umum, sebelum melakukan takbir, menurut pendapat yang muktamad, dan mengingati semua perkara tadi secara sepintas lalu ketika takbiiratul ihram ) . Jika sembahyang sunat yang berkaitan dengan waktu seperti sunat Rawaatib, atau yang berkaitan dengan sebab seperti sembahyang meminta hujan, maka diwajibkan dua perkara iaitu niat menunaikannya ( qashad fi’lih ) dan menentukannya ( ta’yinih ) seperti sunat Zhuhur atau hari raya puasa atau hari raya qurban . Tidak disyaratkan niat sunat menurut pendapat yang shahih dalam madzhab ini .
Bagi sembahyang sunat yang tidak dikaitkan dengan waktu atau sebab seperti tahiyyat masjid dan sunat wudhu΄ memadai dengan niat menunaikan sembahyang sahaja .
Tidak wajib diniatkan kerana Allah Subhaanahu wa Ta‘ala ( idhafah ) kerana semua ‘ibadat adalah kerana Allah Subhaanahu wa Ta‘ala semata-mata, tetapi digalakkan niat kerana Allah Subhaanahu wa Ta‘ala supaya tercapai maksud keikhlasan .
Digalakkan berniat dengan menghadap ke arah Kiblat dan bilangan raka‘at untuk mengelakkan daripada perselisihan pendapat dalam hal ini . Jika tersilap niat bilangan raka‘at seperti diniatkan sembahyang Zhuhur tiga raka‘at atau lima raka‘at, maka sembahyang itu tidak sah. Begitu juga digalakkan niat tunai atau qadha΄ .
Menurut pendapat yang ashah, sah tunai dengan niat qadha΄ dan sebaliknya ketika keuzuran seperti tidak tahu waktu kerana awan mendung atau seumpamanya . Oleh itu, jika disangka sudah keluar waktu lalu dilakukan sembahyang qadha΄, kemudian didapatinya waktu masih ada lagi, atau disangkanya waktu masih ada lagi lalu dilakukan sembahyang tunai, kemudian didapatinya waktu sudah tamat, maka sah sembahyang itu .
Begitu juga, sah sembahyang seseorang ketika tidak dalam keuzuran jika apa yang dikehendakinya daripada niat itu bermaksud daripada segi bahasa kerana semuanya boleh digunakan untuk makna lain seperti dikatakan, ‘ Aku menunaikan hutang dan membayarnya ’, dengan erti menjelaskan hutang .
Jika dilakukan perkara itu tanpa keuzuran dan tidak dikehendaki ertinya daripada segi bahasa, maka tidak sah sembahyangnya kerana mempermain-mainkannya .
Tidak disyaratkan mengaitkannya dengan waktu . Jika ditentukan hari tetapi tersilap, maka tidak terbatal . Seseorang yang terluput sembahyang bagi waktuyang telah lalu seperti terluput sembahyang Zhuhur bagi hari yang sudah berlalu, tidak disyaratkan niat sembahyang Zhuhur bagi hari tersebut, memadai dengan niat sembahyang Zhuhur sahaja . Menurut pendapat muktamad, tidak sunat menentukan hari, bulan atau tahun .
Niat adalah disyaratkan dalam semua sembahyang . Jika timbul keraguan tentang niat seperti adakah telah berniat atau tidak, maka terbatal sembahyang .
Imam tidak disyaratkan berniat sebagai imam tetapi digalakkan supaya mendapat kelebihan berjema‘ah . Jika tidak berniat sebagai imam, dia tidak mendapat kelebihan itu kerana seseorang itu tidak akan mendapat hasil daripada pekerjaannya kecuali apa yang diniatkannya . Tetapi disyaratkan niat sebagai imam dalam empat keadaan berikut : sembahyang Juma‘at, sembahyang jama’ taqdim kerana hujan, sembahyang ulangan dalam waktu secara berjema‘ah dan sembahyang yang dinazarkan untuk melakukannya secara berjema‘ah supaya terlepas dari dosa .
Ma΄mum disyaratkan berniat menjadi ma΄mum . Hendaklah diniatkan mengikut atau menjadi ma΄mum atau berjema‘ah dengan imam yang ada pada waktu itu atau dengan orang yang berada di dalam mihrab atau seumpamanya beserta dengan takbiiratul ihram kerana mengikut ( al tab‘iyah ) adalah perbuatan yang memerlukan niat kerana seseorang itu tidak mendapat hasil daripada perbuatannya kecuali apa yang diniatkan . Tidak memadai dengan niat mengikut secara umum sahaja tanpa dikaitkan dengan imam ( iaitu mengikut imam ) . Jika diikut tanpa niat atau ragu-ragu pada niat itu, maka terbatallah sembahyangnya itu jika lama menunggunya ( imam ) .
PENDAPAT ‘ULAMA΄ MADZHAB HANBALI
Niat ialah keinginan hati untuk melakukan perbuatan ‘ibadat bagi mendekati kepada Allah Subhaanahu wa Ta‘ala . Tidak sah sebarang sembahyang tanpa niat . Diwajibkan niat di dalam hati dan disunatkan menyebutnya .
Bagi sembahyang fardhu disyaratkan dua perkara iaitu menentukan ( ta’yin ) jenis sembahyang sama ada Zhuhur, ‘Ashar atau lain-lain dan berazam untuk melakukannya, tetapi tidak disyaratkan niat fardhu seperti, ‘ Sahaja aku sembahyang fardhu Zhuhur ’ .
Bagi sembahyang qadha΄, jika ditentukan dihatinya sembahyang ( seperti ) Zhuhur bagi hari itu, maka tidak perlu lagi meniatkan qadha΄ atau tunai . Dikira sah sembahyang qadha΄ dengan niat tunai atau sebaliknya jika berlainan dengan sangkaannya .
Bagi sembahyang sunat, wajib ditentukan sembahyang tertentu atau yang berkaitan dengan waktu seperti sembahyang gerhana matahari, minta hujan, Taraawih, Witir, dan sunat Rawaatib . Tetapi tidak wajib menentukannya bagi sembahyang sunat yang lain daripada itu seperti sembahyang malam, maka dikira sah sembahyang dengan meniatkan sembahyang sahaja kerana sembahyang itu tidak ditentukan . Pendapat mereka ( ‘Ulama΄ Hanbali ) sama dengan pendapat ‘Ulama΄ Syafie .
Menurut pendapat mereka, jika memulakan sembahyang dengan niat yang serba salah antara menyempurnakannya atau menghentikannya, maka dikira tidak sah kerana niat adalah kehendak yang tegas . Oleh itu, jika serba salah, maka tidak dikira tegas sebagaimana sepakat pendapat para Fuqaha΄ . Jika memulakan sembahyang dengan niat yang betul kemudian diniatkan pula untuk berhenti atau keluar daripada sembahyang, menurut pendapat jumhur terbatal sembahyang tersebut kerana niat adalah syarat bagi semua sembahyang . Menurut pendapat Abu Hanifah pula, sembahyang tersebut tidak dikira sebagai batal kerana setiap ‘ibadat apabila sah di permulaannya, maka tidak terbatal dengan niat keluar daripadanya seperti ‘ibadat haji .
RAGU – RAGU TERHADAP NIAT
Jika timbul keraguan semasa sembahyang, adakah telah diniat atau tidak atau ragu-ragu terhadap takbiiratul ihram, maka hendaklah dimulakan semula sembahyang itu sebagaimana pendapat ‘Ulama΄ Syafie kerana pad asalnya tiada ada keraguan terhadap perkara-perkara itu . Walau bagaimanapun, jika teringat sebelum berhenti daripada sembahyang bahawa dia telah berniat atau telah melakukan takbir, maka boleh diteruskan sembahyang itu kerana tidak ada perkara yang membatalkannya . Keadaan ini ialah sekiranya dia belum melakukan sesuatu perbuatan lain ( dalam sembahyang itu ), tetapi jika sudah dilakukan sesuatu perbuatan lain sedangkan dia berada dalam keraguan, maka terbatal sembahyang itu sebagaimana menurut pendapat ‘Ulama΄ Syafie .
BERUBAH NIAT
Jika melakukan takbir dengan niat sesuatu fardhu sembahyang, kemudian mengubah niat kepada fardhu lain, maka terbatal kedua-dua fardhu itu . Ini disebabkan niat fardhu yang pertama telah terputus dan tidak pula meniatkan fardhu yang kedua dalam takbiiratul ihram . Pendapat ini sama dengan pendapat ‘Ulama΄ Syafie .
Jika diubahkan niat sembahyang fardhu kepada niat sembahyang sunat terdapat dua pendapat menurut ‘Ulama΄ Syafie dan Hanbali . Pendapat yang terkuat dalam kedua-dua madzhab itu ialah sembahyang itu berubah menjadi sunat kerana niat fardhu mengandungi niat sunat . Alasannya ialah jika melakukan takbiiratul ihram dengan niat fardhu, kemudian ternyata belum masuk waktu lagi, maka sembahyang itu menjadi sembahyang sunat dan sembahyang fardhu dikira tidak sah tetapi tidak ada sesuatu yang membatalkan sembahyang sunat .
Tidak disyaratkan menyebut ‘ kerana Allah Subhaanahu wa Ta‘ala ’ dalam semua amalan ‘ibadat seperti berkata : ‘ Aku sembahyang kerana Allah Subhaanahu wa Ta‘ala, berpuasa kerana Allah Subhaanahu wa Ta‘ala ’ atau seumpamanya kerana semua ‘ibadat adalah diniatkan kerana Allah Subhaanahu wa Ta‘ala tetapi disunatkan menyebut kerana Allah Subhaanahu wa Ta‘ala bagi mengelakkan daripada perselisihan pendapat dengan orang yang mewajibkannya . Tidak diwajibkan juga meniatkan bilangan raka‘at dan menghadap ke arah Kiblat sebagaimana pendapat ‘Ulama΄ Syafie
Niat hendaklah dibuat semasa takbiiratul ihram, sama ada serentak dengannya atau terdahulu sedikit daripadanya, sebagaimana juga pendapat ‘Ulama΄ Maliki dan Hanafi, tetapi diutamakan serentak dengan takbir sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini .
Syarat sah sembahyang jema‘ah ialah meniatkan sebagai imam atau ma΄mum, maka imam hendaklah berniat sebagai imam dan ma΄mum sebagai ma΄mum pada mula-mula sembahyang kecuali dalam dua kes yang berikut :
a ) Ma΄mum orang masbuq, maka dia boleh mengikuti ma΄mum masbuq lain setelah imam memberi salam dalam mana-mana sembahyang selain sembahyang Juma‘at .
b ) Apabila orang bermukim sebagai ma΄mum mengikut imam (seorang musafir) yang mengqasharkan sembahyang . Orang bermukim itu boleh mengikut pula orang bermukim lain bagi raka‘at yang selebih daripada qashar itu .