Rabu, 22 Jun 2011

Soal Jawab Qadha Shalat Furu' al Masaail


Bab qadha shalat

( S ) : Jika seseorang itu semasa mudanya pernah meninggalkan shalat, setelah meningkat umur dia pun bertaubat dan mengerjakan shalat . Adakah dia diwajibkan mengqadha shalat-shalat yang ditinggalkan semasa muda dulu sedangkan dia sendiri tidak tidak tahu banyak mana shalat yang ditinggalkan ?

( J ) : Dia diwajibkan mengqada semua shalat yang pernah ditinggalkan sehinggalah dia merasakan shalat yang diqadhanya itu sudah melebihi bilangan shalat yang pernah ditinggalkan setelah balighnya .

( S ) : Imam Al Ghazali dalam kitabnya Durrah al Faakhirah ada menyebut bahawa : Allah Subhaanahu wa Ta‘ala tidak akan menerima shalat daripada orang yang ada atasnya shalat dan tidak akan diterima shalat daripada orang yang ada atasnya kain yang haram, apakah maksud kata-kata ini ?

( J ) : Maksudnya ialah seseorang itu seharusnya berasa haloba dan bersungguh-sungguh dalam melakukan ‘ibadat shalat iaitu melakukannya dengan cara yang lebih sempurna kerana Allah tidak akan memerima shalat orang yang melakukannya atas rupa bentuk shalat semata-mata tanpa mengambil kira segala syarat-syarat sahnya seperti thaharah, menutup aurat dan seumpamanya .

Maka tidak akan oleh Allah Subhaanahu wa Ta‘ala akan shalatnya kalau hanya sekadar bershalat sahaja tanpa hakikatnya kerana shalat yang demikian tidak dinamakan shalat yang sebebnarnya pada Syara’, bahkan ia dikira belum lagi terlepas daripada kewajiban bershalat .

Demikian lagi katanya : tidak akan diterima daripadanya jika terdapat atasnya kain yang haram, maksudnya, ditakuti dan dibimbangkan shalatnya itu tidak akan diterima bahkan akan ditolak oleh Allah Subhaanahu wa Ta‘ala dan tidak akan diberi ganjaran pahala, jika pakaian yang dipakai ketika bershalat itu daripada pakaian yang haram, kerana orang yang memakai kain yang haram seolah-olah tidak memakai pakaian, maka tidak ada shalat baginya dan tidaka ada ganjaran pahala .

( S ) : Orang yang ada mempunyai shalat qadha, apabila ia hendak mendahulukan shalat qadhanya pasti waktu yang tinggal 
hanya mencukupi untuk satu raka‘at shalat dalam waktunya . 
Dalam keadaan sedemikian, 
mestikah dia mendahulukan shalat qadhanya 
atau mendahulukan shalat waktunya ?

( J ) : Hendaklah dia mendahulukan shalat qadhanya daripada mendahulukan shalat yang masih ada waktunya ( walaupun hanya sempat satu raka‘at sahaja ) 

( S ) : Ada orang luput waktu Zhuhur dan ‘Asharnya disebabkan uzur. Kemudian dia meninggalkan shalat Maghrib dan ‘Isya΄ dengan sengaja . Apabila dia hendak mengqadha shalatnya, mestikah dia mendahulukan shalat yang luput dengan sengaja atau ia mendahulukan shalat yang tertinggal disebabkan uzur untuk mendapatkan tertib susunannya ?

( J ) : Secara umum berpandukan amalan para Shahabat adalah disunatkan mengqadha shalat mengikut tertib susunan waktunya iaitu mendahulukan shalat Zhuhur diikuti ‘Ashar, Maghrib dan ‘Isya΄ walaupun pendapat ini menyalahi pendapat Syeikh Adzra‘ie 

( S ) : Seseorang masuk ke masjid dan mendapati imam sedang mengimamkan shalat ‘Isya΄ berjema‘ah sedangkan dia mempunyai qadha Maghrib yang belum ditunaikan . Manakah yang harus didahulukan ?

( J ) : Mengikut qaul yang mu’tamad, jika sekiranya dia mendapati waktu ‘Isya΄ masih panjang, maka hendaklah dia mendahulukan qadha Maghrib ( secara bersendirian ) . Selepas itu jika jema‘ah masih lagi bershalat, maka bolehlah dia ikut shalat ‘Isya΄nya bersama jema‘ah, tetapi jika tidak sempat, hendaklah dia mengerjakan shalat ‘Isya΄nya secara persendirian .

( S ) : Jika sekiranya seseorang berasa syak setelah habis waktu, adakah dia telah mengerjakan shalat atau belum ?

( S ) : Adakah dia diwajibkan qadha ataupun tidak ?

( S ) : Berlainan sekiranya dia syak, adakah telah mengerjakan shalat atau belum sedangkan waktunya masih ada ?

( J ) : Bagi masalah yang pertama, maka wajib ke atasnya qadha . Adapun bagi masalah yang kedua, maka tidak perlu dia qadha bahkan hendaklah dia mengerjakan shalat itu secara tunai pada waktunya dan tidak ada sebarang tafshil pada perkara tersebut .

( S ) : Bagi seseorang yang telah mengerjakan shalat fardhu Shubuh, adakah harus baginya mengerjakan shalat sunat ?

( S ) : Begitu juga sekiranya seseorang itu luput shalat sunat Witir pada waktu malam disebabkan tertidur . Dan telah menjadi kebiasaannya melakukannya pada setiap malam, adakah harus dia mengerjakan shalat sunat Witir selepas mengerjakan shalat fardhu Shubuh ?

( J ) : Tidak harus bagi seseorang mengerjakan shalat yang tidak bersebab pada waktu yang dilarang shalat padanya seperti selepas shalat fardhu Shubuh ( hingga matahari tinggi segalah ) . Begitu juga selepas shalat ‘Ashar sehinggalah habis waktu larangannya ( masuk waktu Maghrib ) .

Adapun shalat yang mempunyai sebab, sama ada sebab yang patut didahulukan seperti shalat sunat Witir, atau yang boleh dilakukan secara serentak seperti sunat tahiyyatul masjid atau shalat qadha seperti qadha Shubuh, maka sah dia lakukan, dan dikira sah qadha witir selepas shalat Shubuh ( jika itu sudah menjadi kebiasaannya pada setiap malam ) . Semua shalat-shalat ini sah dilakukan pada waktu larangan .

( S ) : Orang yang sengaja berniat untuk melakukan shalat sunat tahiyyatul masjid serta sunat-sunat yang lainnya pada waktu yang makruh, adakah sah shalatnya atau tidak ?

( J ) : Jika seseorang itu sengaja masuk ke masjid pada waktu yang dilarang semata-mata bertujuan untuk mengerjakan shalat tahiyyatul masjid, maka tidak sah shalatnya . Tetapi jika tidak ada niat dan qashad sedemikian, maka sah shalatnya .

Begitu juga shalat-shalat sunat yang lain, yang ada baginya sebab, yang bukan datang kemudian, yang diniatkan bersama shalat tahiyyatul masjid .

( S ) : Jika seseorang itu sengaja membaca ayat Sajdah
pada waktu yang dilarang bershalat padanya
dengan niat dan tujuan sengaja untuk melakukan sujud tilaawah, adakah perbuatan seperti ini dikira haram ataupun tidak ?

( S ) : Jika hukumnya adalah haram, bagaimanakah pula
dengan orang yang mengetahui tentang niat
dan tujuannya mendengar bacaannya ?

( J ) : Hukumnya haram melakukan perkara tersebut dan tidak sah sujudnya. Adapun orang yang mendengar bacaannya tidaklah dikira sebagai haram .

( S ) : Seseorang kafir yang tinggal di sebuah negara kafir harbi memeluk Islam tetapi tidak mengamalkan ajaran seperti shalat dan puasa kerana jahil tentang perkara tersebut . Selepas beberapa tahun baru dia mengetahui tentang kewajiban shalat dan puasa, adakah dia diwajibkan qadha semua shalat dan puasanya ?

( J ) : Wajib dia qadha mengikut perkiraannya sahaja iaitu sekadar yang dapat dilakukannya kerana kesulitan berbuat demikian, istimewa pula kerana dia hidup di negara kafir dan jahil tentang segala hukum -hakam dalam Syari‘at .

( S ) : Bagaimanakah pula sekiranya seseorang yang baru masuk Islam, atau seorang perempuan yang baru selesai mengangkat hadats besar seperti haidh dan nifas, atau seorang kanak-kanak yang baru masuk ke peringkat baligh, atau seseorang yang baru sembuh daripada penyakit gilanya, atau seseorang yang baru pulih daripada pitamnya, sedangkan waktu ( shalat ) yang masih tinggal hanya mencukupi sekadar untuk setengah takbiiratul ihram sahaja, adakah wajib ke atasnya shalat tersebut ataupun tidak ?

( J ) : Terdapat pendapat yang menyatakan tiadak diwajibkan ke atasnya shalat untuk waktu tersebut, tetapi mengikut fatwa Syeikh Ramli  Kabir, jika hilang segala halangan-halangan tersebut dan waktu masih ada sekadar mencukupi untuk takbiiratul ihram, maka wajib dia mengerjakan shalat pada waktu itu ( walaupun terpaksa menghabiskannya pada waktu berikutnya ) .

Jika tidak dilakukan, maka dia dikehendaki supaya mengqadha diwaktu berikutnya iaitu mengqadha Zhuhur pada waktu ‘Ashar dan mengqadha Maghrib pada waktu ‘Isya΄ .

( S ) : Perempuan yang kedatangan haidh apabila telah suci 
daripada haidhnya, adakah harus dia mengqadha 
semua shalat yang tidak dikerjakan sepanjang masa haidhnya ?

( S ) : Begitu juga orang yang gila apabila dia telah sembuh 
daripada penyakit gilanya, adakah disunatkan mengqadha 
semua shalat yang ditinggalkannya sepanjang masa gilanya ?

( S ) : Bagaimanakah pula seseorang kafir yang baru masuk Islam ? 
Adakah ia dikehendaki supaya mengqadha semua shalat yang ditinggalkan sepanjang masa dia kafir ? Apa hukumnya ?

( J ) : Bagi perempuan yang haidh, harus dia mengqadha shalat yang ditinggalkan selama masa kedatangan haidhnya tetapi dihukum sebagai makruh 

Adapun orang gila, sunat dia mengqadha shalat yang ditinggalkannya sepanjang masa gilanya setelah dia siuman Cuma beza antara kedua-duanya ialah peempuan yang haidh memang dilarang melakukan shalat ketika haidh, bahkan dituntut supaya meninggalkannya sebagai satu tuntutan Syara’ .

Adapun orang gila gugur daripadanya kewajiban shalat dan tidak diberati dengan kewajiban tersebut sebagai satu keringanan .

Adapun orang kafir yang memeluk Islam, gugur daripadanya kewajiban shalat, sama seperti gugur segala ‘ibadat yang lain kerana keinginannya untuk memeluk Islam . Jika sekiranya masih dituntut supaya mengqadha semua ‘ibadat yang ditinggalkan selama mereka dalam kufur, sama ada tuntutan wajib mahupun sunat, nescaya akan menyebabkan mereka keluar Islam kerana sukar untuk mereka lakukan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berumur . Dan jika sekiranya mereka ingin melakukan juga, maka shalatnya tidak sah, tetapi mengikut fatwa Syeikh Ramli Kabir yang berpegang padanya oleh Syeikh Ibnu Hajar, tidak sah perempuan yang haidh mengqadha shalat yang ditinggalkan nya sepanjang masa haidhnya, bahkan dihukum sebagai haram .

( S ) : Mengikut apa yang dijelaskan oleh Al Imam Al Adzra‘ie : tidak harus kita menyuruh kanak-kanak kecil supaya mengerjakan shalat, kerana kanak-kanak belum tahu lagi apa agamanya walaupun dia sudah mumaiyyiz dan sudah memiliki ciri-ciri keislaman ( kerana kedua-dua ibu bapanya orang Islam ) tidak harus kita menyuruh dia bershalat kerana pada anggapan kita, ada kemungkinan dia akan menjadi seorang kafir . Begitu juga kita tidak boleh menghalang ( seseorang kanak-kanak ) melakukan shalat kerana tidak ada bukti tentang kekufurannya, seperti kanak-kanak yang dijual sekarang ini    ( sama ada kanak-kanak Islam dijual kepada orang kafir atau sebaliknya ) . Adakah kata-kata Al Imam Al Adzra‘ie itu mu’tamad ataupun tidak ?

( J ) : Sebenarnya apa yang dijelaskan oleh Al Imam Al Adzra‘ie itu adalah yang mu’tamad .

( S ) : Seseorang kanak-kanak lelaki yang sedang bershalat,
tiba-tiba dia terasa keluar air mani dari dzakarnya
lalu dia memegang dzakarnya dari atas kain yang dipakainya
dan didapati tidak ada mani yang keluar,
adakah dengan keadaan demikian dia dihukum
dan dikira sudah baligh ?

( S ) : Bagaimanakah pula dengan shalat yang dikerjakannya,
adakah dikira masih sah ataupun tidak ?

( S ) : Apabila selesai bershalat dia memotong sebahagian dzakarnya 
dan mendapati ada air mani yang keluar, 
adakah wajib dia mandi ataupun tidak ?

( J ) : Dengan keadaan sedemikian dia dikira sudah sampai had baligh . Adapun shalatnya dikira sah ( sebagai shalat pertama setelah balighnya ) Dan tidak wajib dia mandi kerana keluar mani itu setelah terpisah sebahagian anggota dzakarnya .

( S ) : Seseorang mempunyai hutang beberapa shalat fardhu yang belum diqadha dan dia bercita-cita untuk mengqadhanya selepas Ramadhan nanti . Pada bulan Ramadhan nanti, dia akan mengerjakan shalat sunat Taraawih dan beberapa shalat sunat yang lain, adakah harus dia melengahkan qadha shalatnya yang tertinggal dengan azam untuk mengerjakannya ?

( J ) : Jika shalat ( fardhu ) yang ditinggalkannya itu disebabkan uzur Syar‘ie, maka harus dia tangguh untuk mengqadhanya ( walaupun dia akan melakukan shalat sunat Taraawih pada bulan Ramadhan dan beberapa shalat sunat yang lain ) .

Tetapi jika sekiranya sengaja ditinggalkan tanpa uzur, maka tidak harus dia melengah-lengahkannya kerana dia diwajibkan supaya mengqadhanya dengan segera ( dan pada waktu yang sama dia diharuskan mengerjakan shalat-shalat sunat seperti Taraawih dan seumpamanya ).

( S ) : Sekiranya seorang yang sedang shalat 
tiba-tiba dia was-was, sama ada dia telah berniat wudhu΄ 
ketika berwudhu΄ ataupun tidak, 
adakah sah shalatnya ?

( J ) : Seseorang berasa syak tentang niat wudhu΄ ( adakah dia berniat atau tidak ) ketika sedang mengerjakan shalat. Begitu juga jika dia syak tentang wudhu΄nya adakah sempurna ataupun tidak, maka keadaan sedemikian memberi mudharat kepada shalatnya jika lama masa keraguannya dan dikehendaki supaya dia mengulangi shalatnya semula .

Ibnu Qasim ada berkata : jika seseorang itu berasa syak tentang syarat-syaratnya ketika dia sedang bershalat, maka batal shalatnya jika dia ragu-ragu memakan masa yang agak panjang .

Ada pula setengah ‘ulama΄ berpendapat mengatakan : jika seseorang itu syak tentang asal thaharahnya ketika dia sedang bershalat, tidak memberi apa-apa kesan terhadap sah shalatnya, khususnya shalat yang sedang dikerjakannya itu, bahkan tidak perlu dia mengulangi shalatnya semula walaupun syaknya masih ada kerana yang disyakinya ialah adakah wudhu΄nya masih ada ataupun tiada, sedang asalnya ada . Perkara sedemikian itu dimaafkan terhadap shalat tersebut kerana dia memulakan shalatnya dengan yakin sempurna segala syaratnya .

( S ) : Seseorang sedang mengerjakan shalat tiba-tiba didatangi 
seorang Yahudi atau Nashrani atau seorang yang kafir 
memintanya supaya mengajarkannya dua kalimah syahadah, 
adakah harus ditunaikan permintaanya ataupun tidak 
yang mana ketika itu dia sedang bershalat ?

( J ) : Jika dia bimbang akan luput keinginan mereka untuk memeluk Islam ( jika dilengahkan ), maka wajib dia membatalkan shalatnya dan mengajar mereka dua kalimah syahadah .

Tetapi jika sekiranya dia tidak bimbang akan luput keinginan mereka untuk memeluk Islam, maka tidak harus dia membatalkan shalatnya dan dia boleh mengajar mereka menyebut dua kalimah syahadah selepas selesai shalatnya kerana keuzurannya .

( S ) : Jika seseorang syak mengenai takbiiratul ihramnya ketika dia sedang bershalat, adakah dia telah takbiiratul ihram ataupun tidak, lalu dia pun melakukan takbiiratul ihram sebelum berniat keluar daripada shalatnya, adakah sah takbiiratul ihramnya ?

( J ) : Tidak sah takbiiratul ihram itu kerana kita meragui cara tersebut adakah boleh sempurna shalatnya atau hanya kerana malasnya . Tidak sah shalatnya dengan syak yang demikian itu ( melainkan hendaklah ia mengulangi shalatnya dengan takbiiratul ihram yang baru ) .

Inilah sebahagian daripada pecahan yang indah seperti mana kata Syeikh Mudabighi dalam Syarah Kitab Syeikh Ramli .

( S ) : Sekiranya perkara yang menghalang seseorang itu telah hilang sedangkan waktu shalat masih ada, wajibkah dia bershalat ?

( J ) : Jika kedatangan sesuatu yang menyebabkan terhalang ( untuk melakukan shalat ) seperti gila, pitam atau kedatangan haidh dan nifas bagi perempuan dalam waktu shalat sekadar mencukupi untuk melakukan shalat sedangkan ia belum lagi mengerjakan shalat, ataupun kadar masa yang mencukupi untuk bersuci yang tidak boleh dilakukan sebelum waktunya seperti orang yang menggunakan tayamum sebagai ganti air, atau mereka yang kencing tidak lawas atau perempuan yang kedatangan darah penyakit, maka mereka wajib mengqadha shalat tersebut dan juga shalat yang diniatkan dengan jama’ ta΄khir 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan