Rabu, 22 Jun 2011

Soal Jawab Bab Shalat Furuul Masaail



( S ) : Bagaimanakah kita hendak mengerjakan shalat jika sehari sama dengan tempoh setahun ketika kedatangan Dajjal ?

( J ) : Terdapat hadits yang menyebutkan apabila hampir Qiyaamah, Dajjal akan turun . Pada hari pertama turun Dajjal seolah-olah menyamai selama satu tahun, hari kedua berikutnya menyamai satu bulan dan hari yang ketiganya menyamai satu minggu .

Ada orang bertanya, adakah pada ketika itu memadai kita bershalat hanya lima waktu sahaja ( dalam jarak masa setahun tersebut ) Maka dijawab, tidak ada nash yang menyebut tentang perkara tersebut tetapi hendaklah mengambil kira pergerakan masa dalam setahun berkenaan berpandukan permulaan harinya . Maka berlakulah segala hukum ( seperti mengerjakan shalat Shubuh pada waktunya dan diikuti dengan shalat-shalat lain selepasnya seperti Zhuhur, ‘Ashar, Maghrib dan ‘Isya΄ berdasarkan jarak masa ) dengan menyaringkan bacaan bagi shalat jahar ( iaitu Shubuh, Maghrib dan ‘Isya΄ walaupun hari masih siang ) disamping memperlahankan bacaan bagi shalat Zhuhur dan ‘Ashar untuk mengerjakan ‘ibadat puasa ( hendaklah berpandukan kepada kiraan bulan ) dan berbuka( berpandukan kiraan jam ) dan diikuti dengan shalat Tarawih ( walaupun hari masih siang ) dan shalat sunat Hari Raya . Begitu juga perkiraan masa ( untuk menentukan musim ) haji dan umrah, wuquf di ‘Arafah dan bermalam di Mina .

( S ) : Dalam shalat fardhu yang lima kenapa disyari‘atkan
atas empat perkara yang asas iaitu berdiri,ruku’,
sujud dan bacaan ( shurah Al Faatihah ) ?

Apakah hikmahnya disebalik mewajibkan bacaan
Al Faatihah sedangkan ayat-ayat
mahupun shurah-shurah yang lain hanya sunat sahaja ?

Apakah para Nabi-Nabi dan ummat dahulu kala
mengerjakan shalat sama seperti yang kita lakukan ?

Apakah hikmahnya disebalik Allah mensyari‘atkan Shalat,
ada yang dua raka‘at ada yang tiga raka‘at
dan ada pula yang empat raka‘at ?

Siapakah antara para Nabi yang mengerjakan
shalat dengan cara yang sedemikian ?

Dan kenapa dalam shalat,
ada ruku’, ada sujud dan dan sebagainya ?


Apakah hikmahnya di sebalik menyaringkan bacaan dalam
 shalat Shubuh, Maghrib dan ‘Isya΄ dan memperlahankan
bacaan bagi shalat Zhuhur dan ‘Ashar ?

( J ) : Hikmah di sebalik semua perkara ini hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui . Adapun disyari‘atkan shalat atas empat rukun asas iaitu berdiri, ruku’, sujud dan duduk kerana keseluruhan makhluq ini terbahagi kepada empat jenis :


Ada makhluq yang kelihatan sentiasa tegak berdiri iaitu tumbuh-tumbuhan .

Ada jenis makhluq yang kelihatan seperti sentiasa ruku’ iaitu makhluq haiwan ( yang berjalan di atas empat kakinya ) .  

Ada jenis makhluq yang kelihatan seolah-olah sentiasa sujud iaitu jenis haiwan yang hidup melata dan merayap di bumi .

Ada pula makhluq yang kelihatan sentiasa duduk iaitu makhluq jamadat ( seperti batu dan seumpamanya ) .

Allah Subhaanahu wa Ta‘ala menghendaki untuk mencipta bagi anak Adam ini sesuatu yang menyerupai gerak laku ketika bershalat . Adapun keseluruhan shalat itu hanya mengandungi empat kalimah iaitu سبحان ﭐلله , لله  ﭐﻟحمد,                   ﻵ  ﺇله  ﺇلا  ﭐلله   dan أكبر   ﭐللهdan di atas empat perkara itulah manusia mengerjakan shalat .

Adapun asal kejadian manusia juga daripada empat sumber iaitu udara, air, api dan tanah . Dalam shalat ada ketikanya kita duduk, perbuatan duduk itu menyerupai tanah ( bumi ) yang tetap. Ada pergerakan menundukkan kepala dan angkat semula ( ruku’ ), perbuatan ini menyerupai pergerakan udara ( naik dan turunnya ) . Adapun perbuatan sujud iaitu daripada berdiri kepada duduk menyerupai air ( yang mengalir turun dari pihak atas ke bawah ) sedang berdiri itu sendiri menyerupai api yang menyala . Maka empat perkara itu ( tanah, udara, air dan api ) adalah asal bagi segala-gala nya . Maka shalat juga adalah asal bagi agama .

Samalah keadaannya apabila seseorang dititahkan menghadap sultan atau raja, dia akan segera datang menghadap dan berdiri di hadapan nya menunggu titah . Apabila diketahui yang raja itu suka kepadanya, maka dia akan memperlihatkan rendah dirinya serta bertambah hina dirinya di hadapan raja tersebut supaya raja lebih menyukainya . Maka munasabahlah jika dia masuk menghadap dengan berjalan berdiri, tiba di hadapan raja, dia tunduk hormat, dan ( jika diperintah duduk ) dia akan duduk . Apabila selesai dan hendaklah meninggalkan raja, dia berpaling dengan penuh adab sopan melebihi ketika mula hendak masuk menghadap . Lantaran itulah dia merendahkan dirinya dan perbuatan ini menyerupai sujud .

Shalat dalam sehari semalam mempunyai tujuh belas raka‘at . Ini kerana manusia juga mempunyai tujuh belas persendian . Diperintahkan supaya membaca shurah Al Faatihah yang mempunyai tujuh ayat menjadikan jumlah semuanya dua puluh empat, menyamai bilangan dua puluh empat jam dalam sehari semalam, maka setiap satunya akan menghapuskan dosa yang dilakukannya dalam setiap jam itu .

Tidak pula dinyatakan dengan jelas, apakah sekelian pada Nabi dan ummat dahulu kala mengerjakan shalat sama seperti yang kita lakukan, cuma ada pendapat yang mengatakan boleh jadi sama dan ada pula pendapat lain yang mengatakan mereka juga mengerjakan shalat tetapi tidak sama dengan cara yang kita lakukan . Kalau ada pun pendapat yang terlebih hampir ialah shalat mereka hampir menyerupai shalat yang kita lakukan kerana sesuatu yang asal itu tidak akan diubah . Telah sedia maklum bahawa hanya bacaan Al Faatihah ( ketika dalam shalat ) sahaja dikhususkan kepada Nabi kita Muhammad Shallallaahu ‘alaihi wa sallam ( dan ummatnya ) .

Dipetik daripada setengah atsar bahawa shalat Shubuh itu diwajibkan ke atas Nabi Adam, shalat Zhuhur diwajibkan ke atas Nabi Daud, shalat ‘Ashar diwajibkan ke atas Nabi Sulaiman, shalat Maghrib diwajibkan ke atas Nabi Yunus . Kata sesetengah ‘Ulama΄, shalat ini dibahagikan ke atas sekelian para Nabi dan dihimpunkan keseluruhannya untuk ummat ini .

Shalat Shubuh telah dilakukan oleh Nabi Adam ketika dia mula berada di bumi ( setelah diturunkan daripada Syurga ) ketika itu cuaca masih gelap . Sebaik terbit fajar dan keluar dan keluar cahaya terang, Nabi Adam bershalat lagi iaitu shalat syukur kerana Allah telah menerangi dunia ini dengan cahaya setelah gelapnya .

Manakala shalat Zhuhur ialah shalat Nabi Ibrahim yang dilakukan ketika anaknya Ismail terselamat daripada penyembelihan . Kebetulan waktu itu ialah waktu Zhuhur, maka dia pun mengerjakan shalat Zhuhur .

Shalat ‘Ashar pula ialah shalat Nabi Sulaiman . Nabi ‘Isa mengerjakan shalat Maghrib, dua raka‘at untuk dirinya dan satu raka‘at untuk ibunya . Adapun shalat ‘Isya΄, maka ditentukannya untuk ummat ini ( disamping empat shalat yang sebelumnya ) .

Adapun hikmah disebalik shalat dua raka‘at, ada yang tiga raka‘at dan ada yang empat raka‘at ialah kerana ada Malaikat yang Allah ciptakan mempunyai dua sayap . Ada Malaikat yang mempunyai tiga sayap dan ada pula Malaikat yang mempunyai empat sayap dan dengan sayap-sayap ini Malaikat boleh naik sampai ke tempat yang paling tinggi .

Ini menunjukkan bahawa shalat, manusia boleh naik menjadi hampir kepada Allah Subhaanahu wa Ta‘ala, sebab itu bagi manusia disamakan dengan sayap bagi Malaikat dan Allah Subhaanahu wa Ta‘ala tidak menjadikan sesuatu bagi Malaikat melainkan dijadikan sebagai perbandingan bagi manusia bahkan adalah sesuatu yang menepati pada tempatnya supaya dapat disempurnakan kemuliaannya daripada segala makhluq yang lain 

Adapun difardhukan shalat lima waktu sehari semalam ialah kerana Ka‘abah juga dibina ( daripada batu yang diambil ) daripada lima bukit dan bukit-bukit itu pula adalah sebagai pasak bagi bumi, maka shalat juga dianggap sebagai pasak bagi agama .

Diperintahkan supaya membaca dengan jahar bagi shalat Shubuh, Maghrib dan ‘Isya΄ dan dibaca perlahan bagi shalat Zhuhur dan ‘Ashar kerana sejak dahulu ketika permulaan Islam, orang Islam takut kepada orang-orang kafir musyrikin sehingga apabila mereka hendak mengerjakan shalat terpaksa mereka lakukan secara bersembunyi dan memperlahankan bacaannya tetapi setelah orang Islam menjadi ramai dan mereka telah bersatu atas agama Islam, mereka tidak berasa takut lagi kepada orang musyrikin dan merasakan diri mereka telah terselamat daripada gangguan orang orang musyirikin, maka mereka pun bershalat dengan cara terang-terangan dan menyaringkan bacaannya .

Dikekalkan cara tersebut hingga sekarang sebagai mematuhi perintah Allah supaya mensyukuri segala nikmatnya yang mana dahulunya ummat Islam melakukan ‘ibadat secara bersembunyi lantaran kerana takutkan golongan musyrikin dan sekarang dilakukan secara terang-terangan sama sepertimana dikekalkan hukum berlari ketika melakukan thawaf ( bagi pusingan pertama hingga ketiga sahaja ) dan sa‘ie haji semata-mata bertujuan untuk memperbanyakkan syukur kepada Allah walaupun sebab yang menyebabkan untuk berbuat demikian sudah tidak ada lagi .

( S ) : Benarkah sekiranya seorang itu melengahkan shalat fardhu,dia perlu berniat mengerjakan shalat itu dalam waktunya?

( J ) : Waktu untuk mengerjakan shalat fardhu yang lima dipanjangkan sehingga sekadar sempat untuk melakukan shalat bagi waktu tersebut. Jika seseorang itu sengaja melengahkan shalat sehingga pertengahan waktunya, maka wajiblah ke atas dirinya berazam untuk mengerjakan shalat itu dalam waktunya – Fathul Wahhab .

( S ) : Apakah berdosa orang yang meninggal dunia sebelum
sempat bershalat fardhu sedangkan masanya telah masuk ?

( J ) : Jika seseorang telah berazam untuk melakukan shalat dalam waktu nya tiba-tiba dia meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan shalat padahal waktunya masih ada, maka dia dikira tidak berdosa . Ini berbeza dengan haji ( jika sengaja ditangguhkan sedangkan dia telah berkemampuan, maka jika ia mati dalam keadaan demikian, dia dikira bersalah dan dosa ) . Ini adalah pandangan Halabi .

     ( S ) : Adakah berdosa jika tidur setelah masuk waktu shalat fardhu ?

( J ) : Jika seseorang itu tidur setelah masuk waktu shalat dan pada kebiasaannya tidurnya itu akan menghabiskan waktu shalatnya tetapi kali ini dia percaya akan terjaga dan mengerjakan shalat dalam waktunya tidaklah menjadi haram keatasnya untuk tidur sekiranya dia yakin akan terjaga sebelum habis waktunya . Demikian menurut Ali Syubramulsi .

( S ) : Sekiranya seorang itu tiba-tiba berasa was-was dengan niat wudhu΄nya ketika sedang bershalat, adakah batal shalatnya ?

( J ) : Disyaratkan sah shalat, suci daripada hadats kecil mahupun hadats besar dan suci daripada najis, sama ada pada badan, pakaian dan tempat shalat . Jika dia syak tentang niat wudhu΄nya setelah memberi salam, maka tidak perlu dia mengulangi shalatnya . Berlainan sekiranya dia syak tentang sucinya sebelum dia mengerjakan shalat, maka khilaf bagi ‘Ulama΄ mutakhkhirin ( ada yang mengatakan hendaklah dia mengambil wudhu΄ semula, ada yang mengatakan tidak perlu ) .

( S ) : Sekiranya seorang itu tidak mempunyai pakaian untuk menutup auratnya ketika shalat selain kain sutera, bolehkah dia memakainya ?

( J ) : Jika seseorang itu tidak memiliki sebarang kain ( untuk dipakai untuk bershalat ) kecuali yang ada hanya kain sutera, maka wajiblah ke atasnya bershalat dengan kain tersebut dan tidak diwajibkan dia memotong bahagian yang lebih daripada keperluan menutup aurat nya .

Didahulukan kain yang terkena najis daripada kain sutera untuk dipakai bershalat atau untuk dipakai dalam keadaan biasa .

( S ) : Seseorang mengerjakan shalat ‘Ashar dalam waktunya dan dia memanjangkan shalatnya sehingga hilang syafaq merah di kaki langit, adakah cara sedemikian diharuskan, dan adakah disyaratkan supaya shalat yang hendak dikerjakan itu mesti ditamatkan dalam waktunya ?

( J ) : Harus seseorang itu memanjangkan shalatnya walaupun sehingga berakhir waktunya ( dan masuk waktu yang berikutnya ) tetapi jika dia mendapati masih ada waktu yang mencukupi untuk dia mengerjakan shalat pada waktunya ( lalu dikerjakan di dalam waktunya, maka itu adalah lebih baik ) . Sebaliknya jika dia mendapati waktu yang tinggal tidak mencukupi untuk dia mengerjakan shalat, maka memadai dia melakukan takbiiratul ihram dalam waktunya dan menghabiskan shalatnya dalam waktu yang berikutnya .

( S ) : Jika seseorang itu mengerjakan shalat Maghrib di suatu tempat sebaik sahaja matahari terbenam, kemudian dia musafir ke negeri lain. Apabila tiba di negeri itu dia mendapati matahari belum lagi terbenam, adakah dia diwajibkan mengulangi shalat Maghribnya ?

( J ) : Wajib ke atasnya mengulangi shalat Maghribnya, begitu juga ( jika sekiranya dia telah berbuka puasa, maka ) hendaklah dia menahan makan minumnya sehingga terbenam matahari dan wajib dia mengqadha puasanya kerana telah berbuka sebelum jatuh matahari . Bagi orang yang belum lagi mengerjakan shalat ‘Ashar, maka bolehlah dia mengerjakan shalat ‘Asharnya secara tunai .

( S ) : Adakah berdosa bagi orang yang sengaja melewatkan 
shalat ‘Asharnya setelah mengetahui dia akan sampai 
di negeri yang dituju masih dalam waktu ‘Ashar 
walaupun pada waktu ia berlepas dari tempatnya
 waktu ‘Ashar sudah masuk ?

( J ) : Ia dikira tidak berdosa . Demikianlah diceritakan daripada Saiyyidina ‘Ali yang menjadi pegangan Halabi .

( S ) : Ketika matahari naik di sebelah barat ketika hampir
Qiyaamah bagaimanakah hendak menentukan masuk waktu
‘Ashar dan waktu-waktu lain ?

Bagaimana pula hendak mengerjakan shalat-shalat fardhu
apabila tempoh waktu sudah tidak sama ?

( J ) : Berkata Ibnu al ‘Ammad, kita dikehendaki mengetahui masuk waktu ‘Ashar apabila matahari terbit di sebelah barat seperti mana yang disebut dalam hadits marfu’ iaitu apabila matahari terbit di sebelah barat, kemudian ia bergerak sehingga pertengahan langit dan selepas itu ia berpatah balik ke barat ( dan terbenam ) .

Selepas itu, ia naik pula di sebelah timur dan bergerak seperti biasa, maka kita akan mengetahui masuk waktu Zhuhur dengan kembali terbitnya ( di sebelah timur ) kerana ia menepati gelincirnya dan masuk waktu ‘Ashar pula apabila bayang tiap-tiap suatu itu menyamai baginya dan masuk waktu Maghrib pula ialah apabila terbenam matahari .

Disebut juga dalam hadits, apabila matahari mula terbit di sebelah barat, maka malamnya lebih panjang daripada siang iaitu sekira-kira menyamai tiga malam ( sedangkan shalat yang dilakukan hanya satu Maghrib dan ‘Isya΄ sahaja ) dan kita tidak akan mengetahui ( lama masa ) nya melainkan setelah kita laluinya sendiri .

Dengan terbitnya matahari di sebelah barat itu akan menimbulkan kesamaran bagi manusia . Maka pada ketika itu hendaklah diqiyaskan seolah-olah meninggalkan shalat itu dua malam dan dikehendaki supaya mengqadha shalat lima waktu bagi dua malam yang selebihnya . Maka dianggarkan ( tiap-tiap ) satu malam itu sebagai sehari semalam . Ini bererti dia diwajibkan mengqadha shalat lima waktu untuk dua hari dua malam – Ibnu Hajar .

Berkata pula Ibnu Qasim ; kadang-kala ada pendapat mengatakan jika sekiranya tidak kurang hari malam dalam sebulan, maka tidak wajib ke atasnya ( qadha ) melainkan bagi shalat Maghrib dan ‘Isya΄ sahaja kerana ( dia hanya mengerjakan satu shalat Maghrib dan satu shalat ‘Isya΄ ) sedangkan satu malam yang panjang itu dianggar menyamai dua malam ( maka dia dikehendaki mengqadha shalat Maghrib dan ‘Isya΄ untuk dua malam ) . Berlainan pada hari turunnya Dajjal .  

( S ) : Jika seseorang itu tidak dapat memastikan, sama ada waktu shalat telah masuk atau belum disebabkan cuaca buruk atau disebabkan perkara lain, dalam keadaan sedemikian dia diharuskan berijtihad . Berpandukan ijtihadnya dia yakin waktu telah masuk, lalu dia pun mengerjakan shalat . 


Setelah selesai shalat, dia mendapat tahu waktu shalat sebenarnya 
belum masuk lagi, adakah ia diwajibkan mengulangi shalatnya
 atau tidak perlu ?

( J ) : Apabila dia yakin sangkaannya salah dan ternyata ketika dia bershalat, waktu belum masuk lagi, maka wajib ke atasnya mengulangi shalatnya semula .

( S ) : Bolehkah kita mempercayai dan mengamalkan berpandukan kata-kata ahli falak dan ahli kaji bintang tentang waktu-waktu shalat ?

Adakah memadai bagi kedua-dua mereka mengamalkan kiraan mereka sendiri ?

( J ) : Kita boleh amalkan mengikut kata-kata kedua-duanya jika kita berkeyakinan kedua-dua mereka adalah benar pada pengakuan mereka .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan