Khamis, 13 Oktober 2011

Garis panduan sebelum menyertai bidang seni mempertahankan diri ( silat )

S i l a t

Sesuatu seni mempertahankan diri tradisional ( silat ) perlulah didasarkan kepada garis panduan berikut bagi mengenal pasti ianya terhindar dari perkara-perkara yang bercanggah dengan ‘aqidah dan Syariat Islam :

1. Asal usul silat .

2. Syarat-Syarat Silat .

3. Guru Silat .

4. Ikrar sumpah dan thaat setia .

5. Pantang larang .

6. Adab .

7. Gerak langkah .

8. Amalan dalam silat .

9. Pengijazahan .

10. Matlamat silat .

Asal usul silat .

1. Demi menjaga kesucian ‘aqidah Islam, beberapa perkara perlu diambil perhatian iaitu setiap individu atau kumpulan itu :

a. Tidak boleh mendakwa bahawa silat mereka bersumber dari Nabi Muhammad Shallallaahu ‘alaihi wa sallam atau dari para Anbiya΄ atau diambil dari Al Quran dan hadits atau berasal dari amalan para Shahabat Nabi Muhammad Shallallaahu ‘alaihi wa sallam .

b. Tidak boleh mendakwa bahawa teknik atau pergerakan persilatannya berasal dari ‘ibadat-‘ibadat tertentu seperti rukun-rukun sembahyang .

c. Tidak boleh mendakwa bahawa seni silat mereka bersumberkan mimpi bertemu dengan Nabi Muhammad Shallallaahu ‘alaihi wa sallam atau bertemu dengan para Anbiya΄  atau para Shahabat serta ‘Ulama΄  .

Syarat-Syarat Silat

Bagi mempastikan syarat-syarat di dalam ‘ilmu persilatan tidak bercanggah dengan ajaran Islam maka :

a. Semua perkara yang wajib dilakukan atau wajib ditinggalkan oleh seorang Islam yang mukallaf tidak boleh dijadikan syarat di dalam silat seperti sembahyang, puasa, jangan derhaka kepada ibubapa sehingga mendatangkan anggapan bahawa perkara wajib tersebut menjadi wajib hanya apabila ianya dijadikan syarat .

b. Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat yang dipercayai boleh merosakkan pegangan ‘aqidah .

c. Tidak boleh percaya kepada sial seperti mandi membuang sial atau mandi-mandi tertentu yang dikaitkan dengan persilatan .

d. Tidak boleh melakukan gerak silat atau bacaan tertentu yang mengandung unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluq ‘ghaib’ dalam acara ‘gerak membuka atau menutup gelanggang’ atau ‘ayat kebal’ atau ‘pukulan angin maut’ atau sembelih ayam dalam gelanggang .

e. Tidak boleh menthaati guru atau seseorang pada perkara-perkara yang jelas bercanggah dengan ‘aqidah dan Syariat Islam .

f. Sebarang syarat yang bertentangan dengan ‘aqidah, Syariat dan akhlaq Islam, maka ianya tidak boleh diterima atau dithaati .

Guru Silat

Guru silat yang beragama Islam hendaklah bukan daripada :

a. Mereka yang melakukan perkara-perkara yang syirik, sama ada melalui perkataan, perbuatan atau i’tiqad .  

b. Mereka yang melakukan ma’shiat atau jenayah dan yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan moral .

c. Mereka yang mentafsir ajaran agama Islam menurut hawa nafsu .

d. Mereka yang memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti sihir dan ‘ilmu kebal di dalam ‘ilmu persilatan . 

e. Mereka yang melibatkan diri dalam hal agama tanpa mengetahui asas-asas agama Islam, sama ada fardhu ‘ain atau fardhu kifaayah seperti rukun iman, rukun Islam atau cara-cara menunaikan sembahyang dan sebagainya .

f. Pemecah belah masyarakat .

Ikrar Sumpah Dan Thaat Setia

a. Sumpah adalah tidak dibolehkan kecuali jika hanya sekadar ikrar .

b. Murid-murid tidak boleh thaat secara membuta tuli kepada guru . Mereka dibolehkan mengikut perintah guru selama tidak bercanggah dengan perintah Allah .

c. Sumpah tidak boleh digunakan kepada perkara-perkara yang telahpun diwajibkan di dalam Islam seperti bersumpah akan thaat kepada Allah dan Rasul atau bersumpah akan thaat kepada ibubapa dan sebagainya .

d. Bacaan-bacaan, amalan dan ikrar hendaklah tidak mengandungi perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan ‘aqidah dan Syariat Islam seperti unsur-unsur syirik atau unsur-unsur menjatuhkan maruah seseorang sebagai ummat Islam .

Pantang Larang

a. Sesuatu pantang larang itu hendaklah bukan termasuk daripada perkara-perkara yang telah jelas diwajibkan di dalam Islam seperti tidak meninggalkan sembahyang, tidak berkelahi sesama ahli dan sebagainya .

b. Sesuatu pantang larang itu tidak boleh dikaitkan dengan unsur-unsur pemujaan, meminta izin atau meminta perlindungan atau bantuan daripada makhluq-makhluq ghaib seperti larangan berludah kerana ditakuti ‘ilmu tidak menjadi .

c. Sesuatu pantang larang itu tidak boleh dipatuhi jika ianya membawa kepada melakukan perkara-perkara yang ditegah di dalam Islam seperti meninggalkan tanggungjawab sebagai suami atau isteri dan sebagainya .

d. Perkara-perkara yang harus dan halal tidak boleh dihukumkan haram . 

Adab murid dengan guru :

a. Guru tidak boleh menganggap dirinya yang paling mulia dan tidak pernah bersalah .

b. Guru hendaklah mengelakkan diri dari dianggap orang yang perlu dithaati secara muthlaq .

c. Guru tidak boleh menganggap orang yang lemah dan lekeh .

d. Guru hendaklah melarang murid-muridnya memuja. Mengagung dan taksub kepadanya .

Adab sesama murid seperguruan :

a. Seseorang murid tidak boleh memberikan hak secara khusus kepada murid seperguruannya sahaja seperti memberi ucapan salam, tidak boleh bergaduh sesama ahli dan sebagainya .

b. Seseorang murid tidak boleh menanam atau mengapi-apikan perasaan bangga diri dan taksub kepada kumpulannya sehingga memandang hina dan negatif kepada orang lain .

Adab murid dengan orang lain :

a. Seseorang murid tidak boleh mengutamakan guru silat dan murid-murid seperguruannya sehingga mengabaikan hak dan kewajibannya kepada ibubapa, suami,isteri, anak dan ahli keluarga .

b. Seseorang murid tidak boleh memandang rendah dan hina terhadap orang bukan dari kalangan ahli silatnya .

c. Seseorang murid yang beragama Islam mesti menjalinkan ikatan persahabatan, sama ada sesama ahli atau orang lain .

Gerak langkah

a. Gerak langkah silat tidak boleh dikaitkan dengan dzat Allah dan shifat-shifatNya atau merupakan maksud disebalik kalimah atau nama-nama Allah atau shifat-shifatNya .

b. Gerak langkah silat tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada diri atau jasad Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam, para Malaikat, Nabi-Nabi dan orang shaleh .

c. Gerak langkah silat tidak boleh dimaksudkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam atau perlakuan-perlakuan ‘ibadat yang tertentu seperti dua kalimah syahadah dan sembahyang .

Amalan dalam silat

a. Tidak boleh memuja dan memperhambakan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busut dan sebagainya .

b. Tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami, objek-objek tertentu dan bercampur aduk dengan ayat Al Quran .

c. Tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya kerana dikhuatiri mengandungi kata-kata iblis, syaithan atau nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan ayat Al Quran .

d. Tidak boleh meninggalkan ‘ibadat-‘ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadhan ketika melakukan amalan silat .

Pengijazahan

a. Tidak boleh melakukan isyarat sembah atau gerak tubuh yang melambangkan ketundukan yang menyamai atau melebihi ketundukan yang hanya layak kepada Allah Ta‘ala sahaja seperti tunduk sembah kepada guru .

b. Tidak boleh melakukan upacara-upacara yang mengandungi unsur-unsur penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa-kuasa atau tenaga-tenaga ghaib seperti mempersembahkan sedulang makanan, menyembelih ayam dan sebagainya .

Matlamat silat

a. Matlamat silat hendaklah matlamat yang baik seperti untuk kesihatan tubuh badan, mendisiplinkan diri, hidup bermasyarakat, untuk mempertahankan diri dari bahaya dan sebagainya .

Matlamat silat tidak boleh :

a. Untuk membalas dendam, menuntut bela, membuat aniaya, menakut-nakutkan dan mengugut orang lain .

b. Untuk menanam shifat berani yang keterlaluan sehingga hilang hormat kepada ibubapa, guru, ahli keluarga dan lain-lain .

c. Untuk memupuk sentimen perkauman atau taksub golongan atau kumpulan ekstrim agama yang melampau dikalangan ahli .

Penutup

Dengan mengikuti garis panduan ini diharap para pengamal silat dan seni mempertahankan diri supaya dapat menghindarkan diri supaya dapat menghindarkan diri menyimpang daripada ajaran Islam yang benar, agar sentiasa dirahmati Allah Ta‘ala . Wallaahu a’lam .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan