ASAL USUL KEJADIAN ROH
Soal :
Adakah roh itu bershifat dengan shifat qadim ( tiada berpermulaan ) atau ia bershifat dengan shifat hadits ( shifat baharu yang ada berpermulaan ), dan apakah hakikat sebenar roh itu ?
Jawab :
Mengikut Madzhab Ahli Sunnah Wal Jama‘ah, roh itu bershifat dengan shifat hadits . Adapun hakikat roh, pada ‘Ulama berselisih pendapat mengenainya .
Antara mereka, ada yang berpendapat mengatakan bahawa persoalan mengenai roh adalah urusan Allah Subhaanahu wa Ta‘ala, tiada siapa yang berhak membicarakannya . Cuma, mereka sekadar mengatakan bahawa roh itu memang wujud ( ada ) . Ini adalah pendapat kebanyakan ahli tafsir .
Manakala pendapat lain mengatakan kita boleh membicarakan mengenai roh, cuma sejauh mana kita dibenarkan membicarakan mengenainya dan cara mana membicarakannya . Ini yang menjadi perbezaan pendapat sehingga terdapat lebih daripada seribu pendapat mengenainya .
Jumhur Mutakallimin berpendapat bahawa roh itu ialah jisim yang amat halus, ia meresap ke dalam seluruh badan, sama seperti tumbuhan ( yang hidup ) di mana rohnya meresap ke seluruh dahan, ranting dan daunnya .
Kebanyakan mereka berpendapat mengatakan roh itu ialah ‘arad ( benda yang hidup ) yang mengerakkan segala anggota badan selagi ia masih wujud dalam badan, walaupun ia boleh keluar dan masuk semula ke dalam badan menjadikan badan itu boleh hidup . Berkata Syeikh Saharwardi : Justeru itulah roh dishifatkan sebagai hadits, boleh naik dan turun, pergi dan datang dari alam barzakhnya .
Golongan ahli falsafah dan ‘Ulama sufi berpendapat bahawa roh itu bukan jisim dan bukan ‘arad tetapi ia adalah jauhar yang tersendiri di mana ia berdiri dengan sendirinya . Ia tidak mengambil tempat untuk menetap cuma ia dihubungkan dengan badan bertujuan untuk mengerakkan dan mentadbirkan pergerakan badan . Ia bukan bertempat di dalam badan, oleh itu tidak timbul soal ia keluar dari badan . Jumlahnya amat banyak berdasarkan berapa banyak jumlah alam .
Ia berlainan antara satu sama lain mengikut kelainan jenis anggota fizikal yang digerakkannya, tetapi ia boleh terhimpun menjadi satu gabungan antara jenis dan bentuknya, pelbagai rupa dan perbezaannya . Dengan perbandingan ini samalah seperti dikatakan bahawa bala tentera itu bersatu, ertinya berbagai-bagai unit dan ketumbukan dalam tentera yang berbeza tugas dan peranan, berbeza anggota dan pangkatnya .
Roh bercantum menjadi satu dalam melaksanakan peranannya pada anggota tubuh badan manusia walaupun jenisnya berbeza . Perbezaan ini berdasarkan kepada perbezaan anggota badan manusia sama seperti perbezaan antara manusia dan jin .
ROH TIDAK BOLEH DIBELAH DUA
Soal :
Ditaqdirkan jika badan seorang manusia dipotong dua atau dibelah dua sehingga terpisahlah kedua-duanya tetapi kedua-duanya bahagian badan yang terpisah itu masih boleh bergerak-gerak ( masih hidup ), maka yang mana satukah antara dua bahagian badan itu yang mempunyai roh ?
Jawab :
Sebenarnya roh bagi satu jasad manusia itu hanya satu sahaja, tidak berasingan antara satu sama lain . Ia tidak berada di dua tempat yang berasingan tetapi ia masih wujud dalam jasad manusia dan tetap berhubung antara satu sama lain walaupun jasad itu terpisah atau dipisahkan .
Apabila jasad seorang manusia dikerat dua ( atau dibelah dua ) dan kedua-duanya masih boleh bergerak, maka roh dalam kedua-dua bahagian itu masih ada hubungan antara satu sama lain sama seperti asalnya ketika sebelum ia terpisah .
KEADAAN ROH YANG TERPISAH DARIPADA JASADNYA
Soal :
Jika kita menziarahi kubur seseorang pada hari Juma‘at atau pada pagi Sabtu, adakah roh mengetahui orang yang menziarahi kuburnya padahal ia tidak bersama jasadnya ?
Adakah roh masih ada hubungan dengan jasad di dalam kuburnya ?
Jawab :
Sebenarnya roh orang yang meninggal dunia mengetahui orang yang menziarahi kuburnya walaupun jasadnya telah hancur dan binasa, roh tetap mengetahui siapa yang menziarahi kuburnya kerana perhubungan di antara jasad dan roh tidak terputus .
KEJADIAN ROH DAN JASAD
Soal :
Antara roh dan jasad manusia, mana yang dijadikan lebih dahulu dan adakah kedua-duanya akan binasa ?
Jawab :
Roh sebenarnya telah terlebih dahulu wujud sebelum wujudnya jasad manusia . Roh tidak akan rosak, yang rosak dan binasa hanya jasad sementara nikmat dan azab siksa akan dirasai oleh kedua-duanya iaitu roh dan jasad .
ROH SALING MENGENALI
Soal :
Adakah roh-roh di alam barzakh saling mengenali antara satu sama lain ?
Jawab :
Roh bagi orang beriman akan terus mendapat nikmat yang berkekalan, mereka mengenali antara satu sama lain . Suami mengenali isterinya, begitu juga sebaliknya, si bapa akan mengenali anak-anaknya, begitu juga sebaliknya . Shahabat kenalan mengenali shahabatnya yang lain, bahkan mereka saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain .
Segala kebaikan dan perkara yang kebajikan yang mereka lakukan semasa hidup di dunia dulu didatangkan kepada mereka dalam bentuk kebaikan, tidak kira sama ada yang kecil mahupun yang besar, walaupun terkadang kebaikan yang dilakukan itu hanyalah sekadar memberi minum seteguk air kepada orang yang memerlukan tetapi pahalanya di sisi Allah Subhaanahu wa Ta‘ala amat besar .
Kadangkala hanya sekadar membelanjakan satu atau dua dirham ke jalan Allah didapati ganjarannya amat besar . Terkadang hanya dengan sekali memberi makan faqir miskin, didapati ganjaran pahalanya di sisi Allah amat besar .
KEADAAN ORANG MATI DI DALAM KUBUR DAN HARI AKHIRAT
Soal :
Bagaimana keadaan orang mati ketika di dalam kubur dan pada hari Qiyaamah nanti ?
Jawab :
Orang yang mati di dalam kubur saling menziarahi dalam keadaan berbalut kain kafan masing-masing tetapi apabila mereka dibangkitkan semula pada hari Qiyaamah nanti, keadaan mereka bertelanjang bogel kecuali mereka yang gugur syahid di medan pertempuran .
Terdapat hadits yang diriwayatkan daripada Saiyyidina Ali karramallaahu wajhah yang bermaksud :
‘ Orang pertama yang akan diberikan persalinan pakaian iaitu dua helai kain Qibti ialah Nabi Ibrahim ‘alaihis salaam selepas itu dikurniakan pula kepada Nabi Muhammad shallallaahu ‘alaihi wa sallam kain hibrah yang didatangkan dari pihak kanan ‘Arasy sebelum mereka berdua dibawa masuk ke Syurga . Selepas itu barulah akan diberikan pakaian kepada sesiapa yang Allah kehendakiNya sebelum mereka dibawa masuk ke Syurga ’ .
TEMPAT ROH DISIMPAN
Soal :
Di manakah roh-roh manusia akan ditempatkan ?
Jawab :
Roh orang beriman ditempatkan di ‘Iliyyin, manakala roh orang kafir ditempatkan di Sijjin . Walau bagaimanapun roh masih tetap ada hubungan dengan jasadnya .
Berkata Syeikh Al Qurthubi : Roh para syuhada berada di dalam Syurga dan ada pula pendapat mengatakan bahawa roh orang yang beriman semuanya di dalam Syurga .
Apabila tiba saat kematian bagi seseorang, Malaikat Maut akan ditugaskan mengambil nyawanya dan selepas itu rohnya akan disambut oleh para Malaikat. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam ada bersabda yang bermaksud :
‘ Sesungguhnya roh orang yang beriman daripada kalangan kamu hidup dalam keadaan gembira dan sukacita . Apabila mereka bertemu antara satu sama lain, mereka akan bertanya mengenai si fulan, apakah Allah telah lakukan terhadap si fulan yang lelaki, dan apa pula yang telah Allah lakukan terhadap si fulan yang perempuan . Jika mereka menjawab mengatakan bukankah si fulan atau si anu juga telah datang ke alam ini bersama-sama kita, maka mereka akan berkata, adapun si fulan telah dipertemukan dengan ibunya ’ .
Daripada cerita ini jelas menunjukkan bahawa orang yang telah mati juga boleh berkata-kata, berbual-bual dan bertanya khabar sesama mereka .
Cerita ini samalah seperti hadits yang menceritakan mengenai orang yang telah meninggal dunia dan telah dikebumikan, menjawab salam yang diucapkan oleh orang yang hidup ketika melintasi kawasan kuburnya .
Kadangkala ada manusia yang sampai ke tahap keramat / karamah ( wali ) dan setelah dikebumikan, mereka juga akan diperdengarkan kepadanya apa yang sedang berlaku di dunia .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan