Selasa, 22 November 2011

Soal Jawab Bab Sujud Sahwi Furu'ul Masaail

PERCABANGAN MASALAH TENTANG SUJUD SAHWI

KITAB FURU‘UL MASAAIL

Bab yang membicarakan tentang sujud Sahwi dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya


Soal :

Apakah hikmah disebalik tuntutan supaya melakukan sujud Sahwi ?

Jawab :

Antara hikmah disebalik perbuatan sujud Sahwi ialah bertujuan untuk menampung kekurangan lantaran kerana lupa atau tersilap, atau disebut juga sebagai menghina bagi syaithan kerana dialah yang menyebabkan lupa atau tersilap . Apabila seseorang itu terlupa atau melakukan apa jua kesilapan dalam shalatnya disebabkan angkara gangguan syaithan, menyebabkan pahala shalatnya berkurangan, bagi menampung kekurangan tersebut, maka disunatkan supaya melakukan sujud Sahwi .

Berlainan halnya dengan ‘ibadat haji, walau apa sebab atau kekurangan sekalipun, tidak dikehendaki supaya melakukan sujud Sahwi . Ini adalah kerana kekurangan dan kecacatan yang berlaku dalam ‘ibadat haji adalah perkara wajib, dan ia tidak dapat ditampung dengan sujud Sahwi kerana sujud Sahwi hanya mampu menampung kekurangan yang sunat sahaja ( Hasyiah Zaiyadi ) .

Soal :

Seseorang yang bershalat memindahkan rukun qauli seperti bacaan Al Faatihah atau bacaan Tasyahud akhir kepada bukan tempatnya, adakah ia dituntut supaya melakukan sujud Sahwi atau tidak ?

Jawab :

Ia disunatkan dan dikehendaki supaya melakukan sujud Sahwi dengan syarat selama ia beranggapan bahawa kedua-duanya itu adalah rukun bagi shalat . Namun, sekiranya berlaku perubahan rukun qauli seperti membaca Tasyahud awal ketika berdiri dan membaca Al Faatihah ketika duduk bagi Tasyahud akhir sehingga menyebabkan luput dan hilangnya rukun tertib susunannya dan dilakukan secara sengaja, maka batallah shalatnya .

Soal :

Antara perkara sunat ab‘adh ialah membaca Qunut, tetapi jika terpaksa meninggalkan Qunut kerana mengikuti Imam yang bermadzhab Hanafi, atau ia membaca Qunut ketika Imamnya tidak membacanya, apakah hukumnya ?

Dan adakah ia juga dikehendaki supaya sujud Sahwi ?

Jawab :

Bagi dua masalah di atas dibolehkan dan disunatkan supaya jika sekiranya Imam membaca Qunut ( dan ia hanya mengaminkannya sahaja ) maka tidak ada lagi baginya sujud Sahwi walaupun ia tidak mengi’tiqadkan bacaan itu sebagai perbuatan sunat ( Hasyiah  Zaiyadi ) .

Soal :

Jika seseorang itu lupa membaca Tasyahud awal dan terus bangun untuk raka‘at ketiga, belum sempat ia berdiri betul, iapun sedar lalu segera duduk semula untuk membaca Tasyahud awal, adakah ia disunatkan supaya sujud Sahwi ataupun tidak ?

Jawab :

Mengikut qaul yang mu’tamad, ia disunatkan supaya melakukan sujud Sahwi walaupun pada anggapan dan kepercayaannya tidak ada sujud Sahwi sekalipun, disunatkan juga sujud Sahwi .

Perlu diingat, orang yang terlupa duduk untuk membaca Tasyahud awal dan terus bangun untuk raka‘at yang ketiga, jika bangunnya itu sudah melebihi had ruku’ dan hampir menyamai berdiri, maka tidak boleh lagi ia duduk semula . Jika ia duduk semula dalam keadaan ia sedar lagi sengaja, maka batal shalatnya, melainkan berlaku dengan secara yang tidak disengajakan namun, sekiranya bangun itu belum sampai kepada had ruku’, maka ia boleh duduk semula .

Soal :

Seorang ma΄mum sedang membaca Tasyahud awal, tiba-tiba ia mendapati Imamnya bangun ke raka‘at ketiga sedang ia belum lagi habis membaca Tasyahud awal, adakah ia mesti menghabiskan bacaan Tasyahud awalnya walaupun terpaksa ketinggalan daripada Imamnya atau ia dikehendaki supaya memutuskan bacaan Tasyahudnya untuk mengikuti Imamnya yang berdiri atau   bagaimana ?

Jawab :

Harus baginya menghabiskan bacaan Tasyahud awalnya dan tidak wajib ia memutuskan bacaannya semata-mata untuk mengikut Imamnya ( selagi jarak masa kelewatan itu tidak melebihi jarak masa dua rukun fi’li yang panjang ) .

Soal :

Ketika seorang ma΄mum sedang membaca Tasyahud akhir bersama Imamnya, tiba-tiba timbul syak adakah ia telah melakukan sujud yang kedua pada raka‘at yang terakhir ataupun tidak ?

Adakah memadai baginya melakukan sujud Sahwi ataupun tidak atau bagaimana?

Jawab :

Jika seseorang itu syak pada meninggalkan salah satu rukun shalat seperti syak mengenai sujud yang kedua pada raka‘at yang terakhir ( tidak kira sama ada ia bershalat secara seorang diri ataupun mengikut bagi Imamnya ) maka hendaklah ia kembali kepada rukun yang disyakinya itu iaitu sujud yang kedua bagi raka‘at yang terakhir dan mengulangi bacaan Tasyahud akhirnya semula, sama ada ia qashad duduk itu sebagai duduk bagi Tasyahud akhir ataupun tidak kerana tidak dikehendaki dengan qashad dan niat bagi setiap perbuatan yang mengiringi selepas perkara yang disyakinya itu  .

Soal :

Seorang ma΄mum muwaafiq meninggalkan bacaan Qunut bersama Imamnya dan terus sujud, adakah harus ia bangun semula untuk mengikuti Imamnya ataupun tidak ?

Jawab :

Jika ia tertinggal membaca Qunut bersama Imam kerana terlupa atau tidak disengajakan, maka hendaklah ia bangun dan kembali semula mengikuti Imamnya, bahkan jika dilakukan secara sengaja sekalipun, ia dikehendaki supaya segera kembali mengikuti Imamnya .

Ada pendapat lain mengatakan jika ia sengaja mendahului Imamnya pada perbuatan seperti mendahului Imamnya pada ruku’ atau sujud, maka batallah shalatnya .

Soal :

Jika seseorang melakukan sujud Sahwi tetapi tidak melakukan duduk antara dua sujudnya dengan sengaja, sama ada langsung tidak duduk atau duduk yang tidak ada thama΄ninahnya, apakah batal shalatnya ataupun tidak ?

Jawab :

Jika seseorang hendak melakukan sujud Sahwi ( disebabkan sesuatu perkara yang menyebabkan ia dikehendaki supaya melakukan sujud Sahwi ) berniat ketika mula hendak melakukan sujudnya untuk tidak melakukan thama΄ninah, sedangkan ia tahu tentang haramnya, maka ini boleh membatalkan shalatnya .

Sujud Sahwi ialah perbuatan dua kali sujud dan antara keduanya hendaklah duduk antara dua sujud dengan thama΄ninah . Jika thama΄ninah itu sengaja ditinggalkan, maka rosaklah sujud Sahwinya. Oleh kerana ia telah berniat untuk melakukan sujud Sahwi, maka inilah yang menyebabkan rosak shalatnya .

Soal :

Seseorang yang sedang bershalat ( apabila selesai membaca shurah iapun terus ) menundukkan badan dengan qashad dan niat untuk melakukan sujud dan terlupa untuk melakukan ruku’ . Ketika sampai kepada had ruku’ iapun teringat kepada ruku’ lalu ia ruku’, adakah batal shalatnya ataupun tidak ?

Apakah ia dikenakan sujud Sahwi ataupun tidak ? 

Jawab :

Tidak batal shalatnya dengan keadaan sedemikian walaupun ia telah berniat untuk sujud dan terlupa untuk melakukan ruku’ diperingkat awalnya dan tidak perlu baginya sujud Sahwi . Namun, jika ia berniat untuk melakukan yang lain daripada sujud dan mengubah niatnya kepada ruku’, maka batal shalatnya -          Fatawa Syeikh Ramli Kabir  .

Soal :

Apakah hukumnya seseorang yang menceraikan antara sujud sahwi dan memberi salam dengan jarak masa yang lama pada ‘uruf ?

Jawab :

Mengikut fatwa Syeikh Ramli Kabir, tidak memberi mudharat jika diceraikan antara perbuatan sujud Sahwi dan salam walaupun jarak masa yang lama pada ‘uruf . 

Soal :

Sebaik Imam bangun daripada ruku’ yang terakhir bagi shalat Shubuh, seorang ma΄mum terus sujud dengan sangka Imamnya telah sujud . Ketika ia sedang sujud, ia mendapati Imamnya sedang membaca Qunut Shubuh . Iapun bangun daripada sujudnya dan duduk antara dua sujud menunggu Imamnya sujud . Ketika Imamnya melakukan sujud yang kedua, iapun turut ikut sujud sama, adakah sah shalatnya ataupun tidak ?

Jawab :

Batal shalatnya kerana ia dianggap telah mendahului Imamnya pada perbuatan sujud dengan sengaja ( Sepatutnya apabila ia menyedari yang Imamnya belum lagi sujud, ia hendaklah segera bangun semula untuk mengikuti Imamnya membaca Qunut walaupun ia telah melakukan sujud yang pertama kerana perbuatan itu tidak disengajakan dan sebelum salam ia dikehendaki supaya sujud Sahwi )

Soal :

Apabila seseorang hendak melakukan sujud Sahwi ( kerana terlupa atau seumpamanya ) adakah diwajibkan ia berniat ataupun tidak ?

Jika sekiranya diwajibkan niat, adakah wajib disertakan dengan menyebut takbir seperti mana pada Takbiratul ihram atau hanya memadai dengan niat dan qashad untuk melakukan sujud Sahwi sahaja ?

Apakah pula bezanya pada sujud Tilaawah ?

Adakah diwajibkan niat ataupun tidak ?

Jawab :

Seseorang yang hendak melakukan sujud Sahwi adalah diwajibkan supaya ia berniat ( qashad ) untuk melakukan sujud Sahwi dan tidak ada Takbiratul ihram, cuma takbir biasa sahaja, dan dikehendaki supaya muqaranah antara niat dan sujud .

Begitu juga sujud Sajdah . Adapun niat bagi sujud Tilaawah hanya disunatkan sahaja, tidaklah diwajibkan . Demikianlah fatwa Syeikh Ramli Kabir . 

Soal :

Setelah selesai mengerjakan shalat dan setelah berlalu masa yang agak lama pada ‘uruf tiba-tiba syak, adakah ia telah memberi salam ataupun tidak, adakah disunatkan ia melakukan sujud Sahwi ataupun tidak ?

Jawab :

( Ia dikehendaki supaya berijtihad dan memastikan, sama ada ia benar-benar telah memberi salam ataupun tidak ), jika ia merasakan telah memberi salam, maka tidak perlu kepada sujud Sahwi dan shalatnya dikira sah ( tetapi jika sekiranya masih syak juga, maka seelok-eloknya hendaklah ia mengulangi shalatnya semula ) .

Soal :

Sebelum seseorang yang bershalat itu memberi salam, kebiasaannya ia terlebih dahulu berdasarkan sangkaannya ( zhan ) yang shalatnya telah sempurna . Persoalannya, adakah memadai hanya sekadar sangka ( zhan ) sahaja yang shalatnya telah sempurna ?

Apakah pula perbezaannya antara masalah ini dengan masalah antara wudhu΄ dan mandi wajib apabila seseorang itu hanya menyangka yang mandinya telah sempurna sebelum ia mengambil wudhu΄ ?

Jawab :

Memadai walaupun sekadar ia sangka ( zhan ) yang shalatnya telah sempurna sekira-kira selama ia tidak mengekalkan secara berterusan syak wasangkanya terhadap masalah tersebut kerana ia dikaitkan dengan kebiasaan sangkaannya semata-mata . Namun kebanyakan Fuqaha΄ memberi erti ‘zhan’ itu sebagai yakin walaupun digunakan perkataan zhan .

Soal :

Seoang lelaki berniat untuk mengerjakan shalat fardhu Zhuhur . Sampai pada raka‘at yang kedua timbul syak, adakah ia berniat shalat fardhu Zhuhur atau fardhu ‘Ashar . Apabila samapi pada raka‘at ketiga, tiba-tiba hilang syaknya kerana ia yakin yang ia berniat shalat Zhuhur, adakah sah shalatnya ataupun tidak ?

Jawab :

Tidak memberi mudharat terhadap shalatnya apabila timbul syak di pertengahan shalat dan datang pula yakin selepasnya .

Soal :

Setelah memberi salam, seorang ma΄mum merasa ragu dan syak, adakah ia berniat mengikut Imamnya ataupun tidak di awal takbirnya, adakah syak seperti ini boleh memjejaskan shalatnya ataupun tidak ?

Jawab :

Tidak menjejaskan shalat fardhunya ( sama ada dia berniat sebagai ma΄mum ataupun tidak kerana jika dia berniat sebagai ma΄mum, dia akan mendapat pahala berjema‘ah . Jika tidak, shalatnya tetap dikira sah cuma diberi pahala sebagai shalat seorang diri ) kecuali bagi shalat Juma‘at yang mana dia disyaratkan supaya berniat sebagai ma΄mum . Jika tidak, maka shalat Juma‘atnya tidak sah .

Soal :

Seorang ma΄mum bershalat jema‘ah bersama orang ramai, tiba-tiba di akhir shalatnya sebelum Imamnya memberi salam timbul syak tentang bilangan raka‘atnya, adakah telah sempurna atau kurang . Dalam keadaan sedemikian, adakah dia dikehendaki supaya mengikut sahaja jema‘ah yang lain dan memberi salam apabila Imamnya memberi salam ?

Atau dia dikehendaki supaya berpegang kepada syak tentang bilangan raka‘atnya dan menambah bilangan raka‘at yang kurang selepas Imamnya memberi salam atau bagaimana ?

Jawab

Jika timbul syak tentang bilangan raka‘atnya ( adakah telah cukup bilangannya atau kurang ), maka dia dikehendaki supaya berpegang kepada syaknya dan menambah raka‘at yang kurang selepas Imamnya memberi salam . Dia tidak boleh mengikut jema‘ah yang lain kerana syak tersebut .

Soal :

Setelah selesai mengerjakan shalat, tiba-tiba ada orang memberitahunya yang shalatnya tidak sah kerana terdapat najis pada pakaiannya atau pada badannya, adakah dia diwajibkan supaya mengulangi shalatnya semula atau tidak perlu mengulanginya ?

Jawab :

Jika benar terdapat najis seperti yang dinyatakan atau ia yakin tentang perkhabaran tersebut, maka dia diwajibkan supaya mengulangi shalatnya semula kerana shalatnya dikira tidak sah .

Soal :

Jika seseorang yang mengerjakan shalat itu melakukan atau meninggalkan lebih daripada dua perkara yang memerlukan sujud Sahwi, adakah memadai dengan hanya satu sujud Sahwi sahaja ( dua kali sujud ) atau bagaimana ?

Jawab :

Memadai baginya hanya melakukan satu sujud Sahwi sahaja ( dua kali sujud ) di akhir shalatnya sebelum salam walaupun ia melakukan banyak perkara yang menyebabkan sujud Sahwi .

Soal :

Seorang ma΄mum ( masbuq ) mengikut shalat di belakang Imam yang telah melakukan sujud Sahwi, sedangkan semasa Imam melakukan kesilapan itu, ma΄mum tersebut belum lagi mengikuti Imamnya, adakah ia disunatkan supaya melakukan sujud Sahwi di akhir shalatnya sebelum ia memberi salam ?

Atau memadai ia melakukan sujud Sahwi bersama Imamnya sebelum ia bangun menambah bilangan raka‘at yang kurang kerana ia telah mengikuti Imam yang telah melakukan kecacatan dalam shalatnya ?

Jawab :

Ia disunatkan supaya melakukan sujud Sahwi di akhir shalatnya ( walaupun ia telah melakukan sujud Sahwi bersama Imamnya sebelum Imamnya memberi salam ) kerana mendatangkan cedera disebabkan mengikut Imam yang cedera pada shalatnya .

Soal :

Apabila seseorang Imam melakukan sujud Sahwi ( tidak kira apa sebab sekalipun ), adakah menjadi wajib bagi ma΄mum mengikut sujud bersama Imamnya seolah-olah sebagai satu rukun pada hak ma΄mum dan jika ia tidak sujud bersama Imamnya akan terbatallah shalatnya ?

Jawab :

Adalah diwajibkan ke atas ma΄mum supaya mengikut sujud ( sujud Sahwi ) bersama Imamnya, sama ada ia ma΄mum muwaafiq atau ma΄mum masbuq .

Jika ia tidak ikut sujud Sahwi bersama Imamnya dan tidak pula berniat untuk mufaraqah, maka batallah shalatnya .

Soal :

Seorang ma΄mum bermadzhab Syafie mengikuti di belakang seorang Imam bermadzhab Maliki bagi shalat Shubuh . Sebelum ruku’ di raka‘at kedua Imamnya membaca Qunut dan ia tidak mengikuti Qunut Imamnya tetapi selepas Imamnya bangun daripada ruku’, ia membaca Qunut untuk dirinya, manakala Imamnya terus sujud . Walau bagaimanapun ia sempat bersama Imamnya ketika Imamnya masih sujud yang pertama, adakah ia dikehendaki supaya melakukan sujud Sahwi kerana disebabkan mengikut fahamannya ia tidak mengi’tiraf Qunut yang dilakukan oleh Imamnya sebelum ruku’ dan ia pula membaca Qunut ketika Imamnya terus sujud, atau ia tidak perlu melakukan sujud Sahwi ?

Jawab :

Disunatkan supaya ma΄mum tersebut melakukan sujud Sahwi selepas Imamnya memberi salam walaupun mengikut fahamannya ia tidak mengi’tiraf Qunut yang dibaca oleh Imamnya kerana memindahkan kepada bukan tempatnya .

Soal :

Seseorang yang melakukan perkara yang menyebabkan ia dikehendaki supaya melakukan sujud Sahwi, lalu ia berniat untuk melakukan sujud Sahwi ( di akhir shalatnya ), namun ia hanya melakukan sekali sujud sahaja dan terus memberi salam, adakah sah shalatnya ataupun tidak ?

Dan jika sekiranya shalatnya masih dikira sah, adakah ia dikira sebagai mendatangkan sesuatu yang boleh mencacatkan shalatnya ataupun tidak ?

Jawab

Sekiranya ia berniat sejak awal lagi untuk melakukan sujud sahaja dan menyimpan satu sujud sedangkan ia mengetahui sujud Sahwi itu mempunyai dua kali sujud, maka batal shalatnya, tetapi jika sekiranya ia tidak berniat untuk melakukan satu kali sujud sahaja, cuma tanpa disedari ia hanya melakukan satu kali sujud sahaja, maka shalatnya masih dikira sah . Kekurangan bilangan sujud bagi sujud Sahwi ini tidak mencacatkan shalatnya .  

Soal :

Seorang ma΄mum masbuq ( sebaik sahaja ia takbiratul iharam ia mendapati Imamnya melakukan sujud Sahwi, lalu ia pun ) terus melakukan sujud bersama Imamnya, maka sebaik sahaja bangun daripada sujud, Imamnya terus memberi salam ( tanpa melakukan sujud yang kedua ) . Persoalannya, adakah ma΄mum masbuq ini dikehendaki supaya melakukan sujud yang kedua ( sebelum bangun berdiri untuk menambah bilangan raka‘atnya yang kurang ) atau tidak perlu melakukan sujud yang kedua ?

Jika ia lakukan juga sujud yang kedua, adakah batal shalatnya ataupun tidak ?

Jawab :

Tidak harus ia melakukan sujud yang kedua, bahkan ia dikehendaki supaya mengikut Imamnya ( lebih-lebih lagi apabila ia sendiri mengetahui yang Imamnya itu malakukan sujud Sahwi dan sujud Sahwi itu pula hanya sunat sahaja ) . Namun jika ia sengaja melakukan juga sujud yang kedua sedangkan ia mengetahuinya, maka batallah shalatnya sekiranya ia hendak melakukan juga sujud Sahwi . Seelok-eloknya hendaklah ia lakukan di akhir shalatnya sebelum salam mengikut fatwa Syeikh Ramli Kabir .

Soal :

Jika berlaku timbul syak setelah memberi salam, sama ada ia telah mendatangkan dalam shalatnya perkara yang fardhu ataupun tidak, adakah sama syak pada meninggalkan perkara yang fardhu dengan perkara yang rukun atau perkara yang dianggap sebagai syarat ?

Jawab :

Syak pada meninggalkan perkara yang wajib adalah sama seperti syak meninggalkan perkara-perkara yang rukun . Begitu juga dengan perkara-perkara yang menjadi syarat, yang penting, semasa memberi salam itu ia yakin shalatnya telah sempurna ( adapun timbul syak selepas memberi salam tidak perlu diambil kira ) kerana jika diambil kira, pasti akan menyusahkan kebanyakan orang, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai perasaan was-was ( contohnya ) apabila seseorang itu syak mengenai takbiratul ihramnya, maka ia dikehendaki supaya ulang semula shalatnya daripada takbiratul ihram Demikian mengikut fatwa Syeikh Ramli Kabir .

Soal :

Setelah seseorang itu bangun daripada melakukan sujud Sahwi, ia terlupa lalu berkata-kata ( dengan tidak sengaja ) sebelum ia memberi salam, adakah ia diharuskan mengulangi sujud Sahwinya semula atau tidak perlu ?

Jawab :

Tidak perlu ia mengulangi perbuatan sujud Sahwinya .



Tiada ulasan:

Catat Ulasan