Selasa, 6 Mac 2012

Kitab Bahrul Madzii

Bab yang telah datang ia pada menyatakan hadits yang menunjukkan beramal segala amal itu kerana Allah


Ketahuilah kiranya ya saudaraku, bermula amal kerana Allah itu maknanya diperbuat kerana menjunjung suruh Allah Ta‘ala, maka apabila seseorang itu beramal ia kerana menjunjung suruh Tuhan, maka ialah amal yang dipuji oleh Syara’ .


Nabi s.a.w bersabda : ‘ Barang siapa memberi shadaqah ia atau hadiah atau hibah kerana Allah dan menahan ia daripada bershadaqah dan lainnya kerana Allah dan kasihi akan saudaranya sesama Islam itu kerana Allah dan benci ia akan saudaranya sesama Islam itu kerana Allah dan berkahwin ia kerana Allah, maka sesungguhnya telah menyempurna ia akan imannya ’ .

Masalah : Memberi kerana Allah, ya’ni bershadaqah dengan sebab menjunjung suruh Allah, bukannya kerana menunjukkan diri sendiri itu suka menderma dan bukannya kerana meminta puji pada orang ataupun kerana berlawan siapa berani membuang harta, bahkan diperbuat bershadaqah itu kerana telah disuruh Allah biar seseorang ada hartanya itu bershadaqah dan menolong orang yang berhajat . Mudah-mudahan dengan amal yang baik itu serta dengan niat baik ada datang rahmat Tuhan dan jauh daripada balanya .    

Masalah : Menahan kerana Allah, ya’ni tidak memberi shadaqah itu kerana menjunjung suruh Allah seperti datang seseorang yang meminta shadaqah cukup dengan kerasnya dan busuk-busuk cakap yang dikeluarkannya, maka tidak diberi shadaqah kepadanya supaya dapat pengajaran ia, atau seperti orang yang tahi judi meminta shadaqah, apakala diberi shadaqah kepadanya nescaya dijudikannya,  atau minum arak ia, atau berzina ia, atau diperbuatnya apa makshiat maka tidak diberi shadaqah kepadanya supaya ia tiada memperbuat judi atau minum arak atau berzina dan berbuat ma’shiat, maka ditahan, ya’ni tidak memberi shadaqah kepadanya itu disuruh Syara’ oleh kita kerana menolakkan dirinya daripada jahat ma’shiat itu .

Masalah : Kasih akan saudara sesama Islam itu kerana Allah, ya’ni kerana menjunjung suruh Allah apabila adalah saudara itu kasihkan Allah, ya’ni berjalan sebagaimana yang disuruh Allah, maka kasih engkau akan dia itu kerana baiknya dan kerana berjalan sebagai hukum Allah dan RasulNya, bukannya kasih akan dia itu kerana hartanya kalau-kalau dapat ditumpang atau kasihkan dia kerana bijaknya atau kerana eloknya atau kerana dapat pertolongannya dan lainnya, maka kasih kerana yang demikian itu ditegah pula oleh Syara’ kita .

Masalah : Benci akan saudara sesama Islam itu kerana Allah, ya’ni kerana orang itu menyalahi yang disuruh Allah seperti berbuat ma’shiat ia akan apa ma’shiat besar dan kecil dan tidak ia mahu taubat daripada ma’shiatnya itu, maka benci dan marah kamu akan tabiatnya itu, maka yang demikian itu benci yang dipuji Syara’. Adapun jikalau benci kamu akan saudara itu kerana ia tidak mahu menurut seperti kehendakmu yang berbetulan dengan hawa nafsu, maka iaitu benci yang ditegah Syara’ kita .

Masalah : Kasih kerana Allah dan benci kerana Allah itu yang terlebih utama iman . Nabi s.a.w. bersabda : ‘ Bahawa engkau kasih kerana Allah dan engkau benci kerana Allah dan engkau amalkan lidah engkau pada dzikir akan Allah iaitu bahawa engkau sukakan orang-orang itu barang yang kamu sukakan bagi dirimu dan engkau bencikan bagi orang-orang itu akan barang yang kamu benci bagi dirimu ’ .

Masalah : Kasihkan orang. ya’ni sukakan bagi orang-orang itu akan apa yang engkau sukakan bagi dirimu daripada bermacam-macam kebajikan dan berbagai-bagai kebaikan dan engkau jauhkan segala kejahatan dan kemudharatan daripada mereka itu sebagaimana engkau jagakan daripada dirimu .

Masalah : Berkahwin kerana Allah, ya’ni berkahwin kerana menjunjung suruh Allah supaya terpelihara dirimu daripada berzina dan jauh kamu daripadanya sebagaimana firman Allah ertinya : “ Bermula faraj-faraj isteri-isteri kamu itu tempat bertanam anak bagi sekalian kamu, maka tanamlah pada tempat tanam kamu itu sebagaimana kehendak kamu dan persembahkan oleh sekalian kamu bagi dirimu daripada anak yang shaleh dan takut oleh sekalian kamu akan Allah jima’ isteri itu dari lubang duburnya atau jima’ akan dia di dalam haidh . Dan ketahui oleh sekalian kamu bahawasanya itu jumpa akan Tuhan itu dan beri suka olehmu ya Muhammad akan orang-orang Mu’min yang menjauhkan diri daripada jima’ isterinya pada dubur atau dalam haidh itu dengan Syurga ” .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan