Ini Suatu Fashal Pada Menyatakan
Adab Seorang
Yang Bershahabat Serta Shahabatnya
Dan adab orang yang bershahabat itu beberapa perkara
tetapi disebutkan oleh Imam Al Ghazali rahimahullaahu Ta‘ala di dalam Bidaayatul
Hidaayah dua puluh tiga perkara :
Pertama : Melebihkan ia akan taulannya itu atas dirinya dengan
hartanya seperti ia memberi akan taulannya itu dengan hartanya pada hal dirinya
itu berhajat kepada harta itu . Maka jikalau tiada kuasa akan yang demikian
itu, maka hendaklah ia memberi akan taulannya yang lebih daripada hajat dirinya
itu pada ketika berkehendak taulannya itu .
Kedua : Bahawa menolong ia dengan dirinya akan taulannya itu
pada segala hajatnya atas jalan yang bersegera dengan tiada berkehendak
taulannya itu meminta tolong akan dia .
Ketiga : Bahawa menyembunyikan ia akan rahsia taulannya itu .
Keempat : Bahawa menutup ia akan segala ‘aib taulannya itu .
Kelima : Apabila mendengari ia akan seorang yang mencela
akan taulannya itu, maka jangan disampaikan perkataan itu kepada taulan itu .
Keenam : Apabila menyampaikan seorang akan dia dengan perkataan
taulannya yang mencela akan dia, maka jangan didengar akan perkataan orang itu
.
Ketujuh : Apabila mendengar ia akan seorang yang memuji akan
taulannya itu atau mendengar sesuatu yang menyukakan akan dia, maka hendaklah
ia menyampaikan akan yang demikian itu kepada taulannya .
Kedelapan : Apabila berkhabar taulannya itu akan dia, maka
hendaklah sungguh ia mendengarkan akan khabarnya itu .
Kesembilan : Bahawa meninggalkan ia akan berbantah dengan
taulannya itu .
Kesepuluh : Apabila memanggil ia akan taulannya itu, maka
hendaklah ia memanggil akan namanya yang terlebih kasih ia dengan dia .
Kesebelas : Apabila melihat ia akan kebajikan taulannya
itu, maka hendaklah ia memuji akan dia .
Kedua belas : Apabila berbuat taulannya itu akan sesuatu
daripada kebajikan, maka hendaklah ia syukur atas perbuatannya itu .
Ketiga belas : Bahawa menegahkan ia akan seorang yang mencela
akan taulannya itu pada ketika ia ghaib seperti menegahkan ia akan seorang yang
mencela akan dia .
Keempat belas : Bahawa memberi nasihat ia
akan taulannya itu dengan sindiran atau dengan perkataan yang lemah lembut
apabila berkehendak akan yang demikian itu .
Kelima belas : Bahawa memaafkan ia akan segala kesalahan
taulannya itu dan jangan ia tempelak akan dia .
Keenam belas : Bahawa mendoakan ia bagi taulannya itu di
dalam sembahyangnya pada ketika hidupnya dan ketika matinya .
Ketujuh belas : Hendaklah berbuat kebajikan akan
ahli taulannya itu dan akan segala keluarganya kemudian daripada matinya .
Kedelapan belas : Bahawa jangan memberati ia
akan taulannya itu daripada sesuatu hajatnya supaya senang hati taulannya itu
daripada kesusahannya .
Kesembilan belas : Menyatakan kesukaan dengan
sebab segala yang dapat oleh taulannya itu daripada yang menyukakan akan dia
dan menyatakan ia akan kedukaan dengan sebab yang didapat oleh taulannya itu
daripada segala yang dibencinya . Dan sayugianya yang demikian itu bersamaan
zhahirnya dan bathinnya supaya benar ia pada berkasih-kasihannya itu .
Kedua puluh : Hendaklah ia memulai memberi salam pada ketika
berdapat dengan taulannya itu .
Kedua puluh satu : Apabila datang taulannya itu
kepada suatu tempat perhimpunan duduk, maka hendaklah ia meluaskan baginya di
dalam perhimpunan itu kedudukannya jika dapat diluaskannya . Maka jika tiada
dapat, maka hendaklah ia berpindah daripada tempat duduknya itu kepada tempat
yang lain .
Kedua puluh dua : Apabila keluar taulannya
daripadanya, maka hendaklah ia megikut akan dia hingga ke pintu rumahnya atau
barang sebagainya sekira-kira yang layak bagi memuliakan akan dia .
Kedua puluh tiga : Apabila berkata taulannya itu,
hendaklah ia diam padahal ia mendengar akan perkataannya itu hingga selesai daripada
perkataannya itu, maka memulai ia akan perkataan yang lain . Dan jangan
memasukkan perkataannya itu di dalam perkataan orang itu .
Dan hasil daripada segala adab ini bahawasanya hendaklah
diperbuat akan tiap-tiap seorang itu dengan segala perbuatan yang menyukai akan
hati mereka itu dan jangan diperbuat akan seorang itu dengan segala perbuatan
yang dibenci oleh mereka itu .
Rujukan : Kitab Hidaayatus Saalikiin .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan