Ahad, 9 Disember 2012

Sabar


Fashal Pada Menyatakan Sabar

( Syahdan ) Hakikat sabar itu iaitu menahan diri daripada memarah atas sesuatu yang tiada disukainya dan menahan lidah daripada mengadukan kepada yang lain daripada Allah Ta‘ala . Dan sabar atas berbuat thaat dan meninggalkan ma’shiat itu iaitu fardhu atas tiap-tiap mukallaf .

Dan demikian lagi, sabar atas bala dan segala kesakitan itu fardhu atas tiap-tiap orang yang mukallaf . Adapun sabar atas berbuat yang sunat dan meninggalkan yang makruh dan yang mubah ( harus ) dan meninggalkan dunia yang lebih daripada hajat, maka iaitu sunat 

Dan demikian lagi, sabar atas membalas akan seorang yang menyakiti akan dikau atau menzhalimi akan dikau iaitu sunat dan pahala yang demikian itu amat besar seperti firman Allah Ta‘ala, ertinya :

Hanya sesungguhnya disempurnakan akan
orang yang sabar itu akan pahala mereka itu
dengan tiada dapat dikira-kira .
Shurah Az Zumar : 10

Dan Sabar Itu Tiga Martabat

Pertama : Sabar orang yang ‘awam, ya’ni kebanyakan manusia iaitu menahan atas segala kesusahan dan kesakitan yang diperlakukan akan dia oleh Allah Ta‘ala daripada segala hukumNya kerana ia menilik akan tsawab ( pahala ) sabar yang disebutkan Allah Ta‘ala di dalam Al Quran . Dan demikian lagi, sabar atas berbuat thaat dan menjauh akan ma’shiat kerana hendak pahalaNya dan takut akan siksaNya.

Kedua : Sabar orang muriidin yang telah ringan di dalam hati mereka itu segala kesusahan dan kesakitan kerana menilik mereka itu dengan mata hati mereka itu akan sesuatu yang datang kepadanya itu semuanya daripada Allah Ta‘ala, maka ketika itu tiada susah ia meninggalkan akan sekalian yang demikian itu dan tiada menilik mereka itu akan pahalanya dan tiada menilik akan takut siksa dan hanya sesungguhnya ia semata-mata mengikut suruh daripada Allah Ta‘ala yang tersebut di dalam Al Quran dengan firmanNya, ertinya :

Sabar oleh kamu bahawasanya Allah Ta‘ala
serta orang yang sabar .
Shurah Al Anfal : 46

Ketiga : Sabar zaahidiin dan saalikiin, iaitu sabar atas segala hukum Allah Ta‘ala yang datang atas mereka itu serta berlepas mereka itu daripada ikhtiar dan tadbir kerana mereka itu telah melihat akan bahawasanya sekalian yang demikian itu daripada ketentuan Allah Ta‘ala dan tadbirnya yang di dalam azal, ya’ni di dalam Lauh Mahfuz tiada boleh berubah-ubah . Dan jika datang bala atas mereka itu atau sait, maka iaitu telah tersurat pada Lauh Mahfuz, tiada boleh berubah-ubah padahal hati mereka itu redha akan segala yang dihukumkan Allah Ta‘ala baginya . Dan jika ada padanya zhahir badannya itu merasa susah dan sakit sekalipun tetapi hati mereka itu redha akan Allah Ta‘ala dan akan segala hukumNya . Dan dinamakan sabar ini akan ‘sabar ‘alallaah’, ya’ni sabar atas hukum Allah Ta‘ala dan qadhanya .

Rujukan : Kitab Hidaayatus Saalikiin .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan