Ahad, 13 Januari 2013

Amaran Kepada Orang Yang Suka Makan Banyak



Bismillaah . 

Ketahuilah kiranya ya saudaraku !!! Makan banyak itu bala ke atas seseorang yang mengamalkannya . Kerana ialah ( makan banyak ) yang menyebabkan rugi dunia dan Akhirat kerana seseorang yang banyak makannya itu kuat kenyangnya . Apabila kuat kenyangnya kuat pula malasnya dan mahu pula kuat tidurnya dan bersenang-senang diri, tiada mahu buat kerja dan tiada mahu berbuat ‘ibadat disebabkan berat perut dan badannya . Maka apabila seseorang itu malas bekerja dan malas berbuat ‘ibadat, rugilah ia dunia dan Akhirat dan jadilah ia banyak ( lama masa ) laparnya di negeri Akhirat kerana kosong ia daripada ‘ibadat yang menjadi bekalan Akhirat itu, dengan kerana itulah diberitahu oleh Nabi kita kepada ummatnya, hendaklah ummatnya jangan kemukakan makan banyak kerana orang yang banyak makan dan kenyang ia secukup-cukup kenyang di dalam dunia ini nescaya panjang laparnya di negeri Akhirat . Begitulah datang khabarnya di dalam hadits-hadits, satu daripadanya iaitu hadits yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At Tirmidzi dengan katanya ;


Diriwayatkan daripada seorang Shahabat bagi Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam, namanya Abdullah bin Umar, katanya ;

Telah mengeluarkan sendawa oleh seorang laki-laki di sisi Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam . Bila didengar oleh Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam akan sendawanya itu lalu ditegurnya kerana sendawa itu satu alamat ( tanda ) kenyang daripada makan banyak dengan sebab itu keluar bunyi dari dalam kerongkong itu serta angin dengan sebab kenyang daripada makan banyak itu .

Sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam pada tegurannya :

Hai laki-laki, jauhkan olehmu akan sendawa kamu itu daripada kami, ya’ni jangan buat makan banyak sampai mengeluarkan sendawa kerana perbuatan yang demikian itu mendatangkan sangat kenyang, maka bahawasanya yang banyak kenyang daripada orang-orang dalam dunia ini, jadi panjang mereka itu laparnya pada hari Qiyaamah . Dengan kerana itu aku beri ingat padamu ’ .

Kata Abu ‘Isa At Tirmidzi : Bermula ini hadits gharib daripada ini wajah . Dan ada datang satu riwayat daripada Abi Juhaifah pada bab ini .


Makan banyak di dalam dunia menjadikan panjang
( lama ) lapar di negeri Akhirat

Demikianlah beberapa hadits yang menunjukkan atas yang demikian itu, seperti yang telah datang riwayatnya lagi begini :

Diriwayatkan daripada ‘Atiyyah bin ‘Amir Al Juhaniy, katanya ; Telah aku dengar akan seorang daripada Shahabat Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam padahal dibanyakkan orang atas makanan yang dimakannya, maka katanya ; Memadaku, bahawasanya telah aku dengar akan  Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda ia :

Bahawasanya yang lebih banyak daripada orang pada makan kenyang di dalam dunia ini ialah yang lebih panjang masa lapar               di negeri Akhirat ’ .
Meriwayatkan hadits ini oleh Ibnu Majah dan Al Baihaqi .


Makan banyak itu bala ini ummat
Muhammad shallallaahu ‘alaihi wa sallam

Sungguhnya inilah awal-awal bala yang turun ke atas ummat Muhammad kemudian wafat Nabi iaitu membanyakkan makan dan loba atas bersedap dengan semegah-megah makanan, dengan kerana itu jadilah sedikit amal mereka itu sebagai hadits yang datang riwayatnya demikian ini :

Diriwayatkan daripada Isteri Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam katanya :

Awal-awal bala yang jadi pada ini ummat Muhammad kemudian daripada wafat NabiNya ialah kenyang, ya’ni membanyakkan makan, maka bahawasanya satu kaum itu apakala kenyang perutnya gemuk tambun tubuhnya, maka jadi dha‘if ( lemah ) hatinya, ya’ni berkurangan imannya dengan Allah Ta‘ala kerana tinggalnya atas kesedapan dan berkekalannya atas versuka-sukaan . Dan jadi kuat ia menurut hawa nafsunya ’ . R. Bukhari .

Wallaahu a’lam .

Rujukan : Kitab Bahrul Maadzi Jilid 17

Sabtu, 12 Januari 2013

Menuntut 'Ilmu


Bismillaah . 

Kata Imam Al Ghazali r.h di dalam kitab Bidaayatul Hidaayah

‘ Dan ‘ilmu yang memberi manfaat itu iaitu barang yang menambah takutmu akan Allah Ta‘ala dan menambah pula di dalam penglihatan hatimu dengan kecelaan dirimu dan menambah pula di dalam pengenalanmu akan ‘ibadat kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia dan Yang Maha Tinggi dan mengurangkan akan gemarmu kepada dunia dan menambah gemarmu kepada Akhirat dan membukakan ia akan mata hatimu dengan yang membinasakan akan amalmu hingga engkau memelihara diri daripadanya dan melihatkan ia akan dikau atas tipu syaithan dan perdayanya ’ .

Dan kata Syeikh Ibnu Abbad r.h di dalam kitab Syarah Al Hikam

‘ Ketahui olehmu bahawasanya telah datang di dalam Al Quran dan hadits Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam daripada kelebihan ‘ilmu dan ‘Ulama, barang yang tiada terhingga banyaknya dan tiada diharap hasil yang demikian itu melainkan bagi orang yang sah daripadanya niatnya . Dan sah niatnya pada yang demikian itu adalah dengan dikehendakinya dalam menuntut ‘ilmu itu menuntut akan yang diredhai Allah Ta‘ala iaitu mengerjakan thaat dan menjauhkan ma’shiat dan lagi diamalkannya ‘ilmunya pada yang memberi manfaat kepadanya dan lagi isyarat keluar daripada kelam jahil kepada terang ‘ilmu . Maka itulah niat yang shaleh yang dipuji atas kemudiannya itu di dalam Akhirat dan dapat faedahnya di dalam thaat akan Allah Ta‘ala di dalam dunia ’ .

Kata Imam Al Ghazali r.h pada permulaan kitab Bidaayatul Hidaayah

‘ Maka ketahuilah olehmu bahawasanya jika engkau kehendaki dengan menuntut ‘ilmu itu akan bersedap-sedap dan bermegah-megah dan terdahulu atas orang yang bersamamu dan supaya cenderung muka manusia kepadamu dan menghimpunkan kekayaan dunia nescaya engkau mengusahai pada meruntuhkan akan agamamu dan membinasakan dirimu dan engkau telah menjual Akhiratmu dengan duniamu . Maka penjualanmu itu rugi dan perniagaanmu itu tiada laku dan orang yang mengajar akan engkau itu menolong bagimu atas ma’shiat dan bersekutu ia akan engkau di dalam kerugianmu dan iaitu seperti menjual pedang kepada orang yang merampas             di jalan dan yang demikian itu adalah perbuatan ma’shiat . Dan barang siapa menolong akan seseorang atas berbuat ma’shiat dan jikalau dengan setengah perkataan sekalipun, maka adalah ia jadi bersekutu di dalamnya ’ .

Wallaahu a’lam .

Rujukan : Kitab Hidaayatus Saalikiin .

Selasa, 1 Januari 2013

Kasih Akan Dunia



              Fashal Yang Ketujuh Pada Menyatakan Kasih Akan Dunia

Adapun hubbud dunya, ya’ni kasih akan dunia, maka iaitu dicela oleh Syara’ dan iaitulah asal segala shifat kejahatan yang membinasakan akan manusia seperti firman Allah Ta‘ala :

Erinya : “ Barang siapa ada ia berkehendak akan pahala Akhirat nescaya Aku ( Allah ) tambah baginya di dalam pahalanya itu . Dan barang siapa ada ia bekehendak pahala dunia nescaya Aku beri akan dia daripadanya dan tiada dapat baginya di dalam Akhirat daripada bahagian” . ( QS ASY SYURA : 20 )

Dan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Kasih akan dunia itu iaitu kepala segala kesalahan dan kejahatan ’  
R. Al Baihaqi .

Sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Dunia itu penjara orang Mu΄min dan Syurga orang kafir ’. R. Muslim .

Dan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Dunia itu dilaknat dan dilaknat akan barang yang di dalamnya melainkan yang ada ia diperbuat kerana Allah Ta‘ala daripadanya ’ . R. Abu Nu‘aim .

Dan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Jika ada dunia itu pada Allah Ta‘ala bernilai setimbang sayap nyamuk, nescaya tiada dituangi Allah Ta‘ala akan orang kafir satu teguk air ’ . R. Ibnu Majah dan Al Hakim .

Dan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Barang siapa kasih akan dunianya nescaya memudharatkan akan Akhiratnya . Dan barang siapa kasih akan Akhiratnya nescaya memudharatkan akan dunianya, maka pilihlah akan Akhirat yang kekal atas dunia yang binasa ’  R. Ahmad dan Al Hakim .

( Syahdan ) Dan murad dengan dunia itu iaitu tiap-tiap kelakuan yang dahulu daripada mati yang tiada memberi manfaat akan dirinya kemudian daripada matinya . Dan murad dengan Akhirat itu iaitu tiap-tiap kelakuan yang kemudian daripada mati . Adapun kelakuan di dalam dunia yang memberi manfaat akan dia kemudian daripada matinya itu seperti ‘ilmu dan amal Akhirat dan jikalau ada daripada sekira-kira rupa amalnya itu di dalam dunia sekalipun .

Rujukan : Kitab Hidaayatus Saalikiin