Isnin, 25 Februari 2013

Adab Sebelum Makan - Sairus Saalikiin jilid 2


Fashal Yang Pertama

Pada Menyatakan Adab Yang Dahulu Daripada Makan

Adab-adab yang dahulu daripada makan iaitu tujuh perkara :

Adab yang pertama : Bahawa adalah makanan itu halal seperti yang lagi akan datang pada bicara halal dan haram insyaa Allaah Ta‘ala kerana firman Allah Ta‘ala :

Ertinya : “ Hai segala Rasul ! Makan oleh kamu dengan makanan yang baik-baik dan perbuat oleh kamu akan amal yang shaleh ” .
( QS Al Mu΄minuun : 51 )

Dan murad ( yang dikehendaki ) dengan makanan yang baik-baik itu iaitu makanan yang halal .

Adab yang kedua : Bahawa sunat dahulu daripada makan itu membasuh tangan kerana sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Mengambil wudhu΄ dahulu daripada makan itu menafikan (menghilangkan) papa dan kemudian daripada makan itu menafikan was-was syaithan dan membaikkan penglihatan ’ .

Dan murad ( yang dikehendaki ) dengan wudhu΄ di sini ialah membasuh tangan 

Adab yang ketiga : Bahawa yang terlebih utama menaruh makanan itu di atas sufrah iaitu suatu tempat yang dihamparkan pada tempat makan itu kerana demikian itu terlebih hampir kepada sunnah yang diperbuat oleh Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam .

Dan adalah Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam apabila didatangkan akan dia dengan makanan, maka menaruhkan ia akan dia di atas sufrah kerana yang demikian itu terlebih hampir kepada merendahkan diri . Dan tiada makruh menaruhkan makanan itu di atas meja tetapi adalah yang demikian itu bid‘ah yang mubah .

Adab yang keempat : Bahawa membaikkan akan kedudukannya itu dengan sopan, ya’ni tetap duduknya daripada permulaan makan itu hingga akhirnya kerana adalah Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam itu terkadang menaruhkan ia akan kedua lututnya dan duduk ia di atas dua belakang kakinya dan terkadang mendirikan ia akan kakinya yang kanan dan duduk ia di atas kakinya yang kiri 

Dan makruh makan padahal ia berdiri atau berbaring atau bersandar kerana sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Tiada aku makan padahal aku bersandar, hanya sanya aku hamba Allah, aku makan seperti barang kelakuan makan seorang hamba dan aku duduk seperti barang kelakuan duduk hamba ’ .
R. Al Bazzaar .

Dan demikian lagi, makruh minum air padahal ia berdiri atau bersandar atau berbaring tetapi tiada makruh memakan buah-buahan atau barang sebagainya padahal ia bersandar atau berbaring atau berdiri .

Diriwayatkan oleh setengah ‘Ulama΄ daripada Saiyyidina Ali karramallaahu wajhah bahawasanya ia makan roti kering di atas tilamnya padahal ia berbaring atas perutnya dan orang ‘Arab sesungguhnya telah memperbuat ia akan dia .

Adab yang kelima : Bahawa berniat ia dengan makannya itu akan kuat dengan dia atas thaat akan Allah Ta‘ala supaya jadi makannya itu akan thaat . Dan jangan mengqashad dengan makannya itu akan berlazat-lazat dan bersedap-sedap jua . Dan sayugianya bahawa ia mengurangkan makan itu kerana makan itu tiada menjadi akan ‘ibadat melainkan dengan demikian itu . Sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Tiada memenuh oleh anak Adam akan sesuatu bejana yang terlebih jahat daripada memenuh akan perutnya . Memadalah akan anak Adam memakan akan beberapa suap yang mendirikan shulbinya pada berbuat ‘ibadat . Maka jikalau tiada diperbuat akan yang demikian itu, maka sepertiga perut yang pertama itu bagi tempat makanan dan sepertiga yang kedua itu bagi tempat minuman dan sepertiga yang ketiga itu bagi tempat bernafas ’ .
R. Tirmidzi dan Ibnu Majah .

Dan lagi, sayugianya jangan ia makan melainkan kemudian daripada lapar kerana makan padahal ia kenyang itu mengaratkan akan hati dan mengelapkan akan dia . Dan sunat ia berhenti daripada makan itu dahulu daripada kenyang .

Adab yang keenam : Bahawa redha ia dengan makanan yang ada kepadanya daripada rezekinya dan redha ia dengan makanan yang hadir padanya dan jangan ia bersungguh-sungguh pada menuntut makanan yang sedap-sedap dan yang lebih-lebihdan jangan ia menanti akan lauk makan yang baik-baik daripada gulai dan sayur-sayuran .

Adab yang ketujuh : Bahawa bersungguh-sungguh ia memilih makan itu beserta dengan orang banyak dan jikalau bersama-sama dengan ahlinya dan anaknya sekalipun kerana sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Berhimpun oleh kamu atas makanan kamu supaya diberi berkat bagi kamu di dalamnya ’ . R. Abu Daud dan Ibnu Majah .

Dan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Makanan yang terlebih baik iaitu makanan yang banyak atasnya berhimpun tangan ’ . R. Abu Ya’la dan Ibnu Hibban .

Dan kata Anas radhiyallaahu ‘anhu ; Adalah Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam, tiada makan ia sendirinya melainkan serta orang banyak .

Rujukan : Kitab Sairus Saalikiin jilid 2 .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan