Isnin, 8 Julai 2013

Puasa ( Faedah Lapar )

Ini suatu fashal pada menyatakan beberapa faedah lapar dan menyatakan kebinasaan kenyang .

( Bermula ) Faedah lapar itu iaitu sepuluh perkara :

( Faedah lapar yang pertama )

Lapar itu menyucikan hati dan menerangkan akan dia dan membukakan akan mata hati dan kenyang itu mengurangkan ‘aqal dan membutakan akan mata hati dam mematikan akan dia .

Sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Hidupkan oleh kamu akan hati kamu itu dengan sedikit tertawa-tawa dan sedikit kenyang dan sucikan oleh kamu akan hati kamu itu dengan lapar supaya jadi suci dan jadi lembut hati itu ’ .

 ( Faedah lapar yang kedua )

Lapar itu melembutkan hati dan dengan dia hasil lazat munaajat akan Tuhannya dan dengan dia hasil lazat di dalam berbuat ‘ibadat akan Tuhannya dan lazat di dalam dzikrullaah .

Kata Abu Sulaiman ; Bermula yang terlebih manis ‘ibadat itu kepada aku apabila berdampak belakangku itu dengan perutku . Dan lagi, ia berkata ; Bermula hati itu apabila lapar dan dahaga nescaya suci ia dan lembut ia dan apabila kenyang nescaya buta ia dan keras ia dan tidur ia .

( Dan faedah yang ketiga )

Lapar itu memecah akan hati dan menghinakan akan dia dan menghilangkan takabbur dan menghilangkan kesukaan di dalam dunia .

( Bermula ) Takabbur itu asal segala zhalim dan asal yang melupakan akan Allah Ta‘ala dan tiada sesuatu yang terlebih memecahkan akan hati dan yang terlebih menghinakan akan dia melainkan dengan lapar itu dan ketika kembali ia kepada Tuhannya dan tetap ia kepada Tuhannya dengan khusyu’ ia akan dia serta melihat dirinya hina dan melihat akan Tuhannya itu yang Amat Mulia . 

( Dan dari kerana ) inilah bahawasanya adalah Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam pada satu masa sangat lapar hingga ia mengikatkan akan batu di atas perutnya, maka datang Jibril ‘alaihis salaam padahal disuruh oleh Allah Ta‘ala menjadikan akan dua bukit yang di Makkah, emas supaya jadi belanja Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam, maka enggan Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam akan yang demikian itu, maka sabda ia dengan katanya :

Ertinya : ‘ Tiada aku berkehendak akan kekayaan dunia tetapi biar aku lapar di dalam sehari dan aku kenyang di dalam sehari, maka apabila aku lapar nescaya aku sabar dan aku memohon kembali kepada Allah Ta‘ala serta merendahkan diriku . Dan apabila aku kenyang nescaya aku kembali kepada Allah Ta‘ala serta mengucap akan syukur ’ .

Dan kata Imam Al Ghazali rahimahullaahu ta‘ala kemudian daripada ia menyebut akan hadits ini ;

Ertinya : Maka bathar, ya’ni membesarkan diri dan farah, ya’ni suka hati akan dunia itu iaitu satu pintu daripada beberapa pintu Neraka dan asalnya itu iaitu kenyang . ( Dan ) menghinakan diri dan memecahkan hati, ya’ni dukacita hati itu iaitu satu pintu daripada beberapa pintu Syurga dan asalnya itu iaitu lapar . Dan barang siapa menutup akan pintu daripada Neraka, maka sesungguhnya ia membuka akan pintu daripada pintu Syurga dengan lazim yang tiada syak kerana bahawasanya keduanya itu berlawanan seperti mashriq dan maghrib, maka jikalau hampir daripada salah suatu daripada keduanya nescaya jauh daripada yang lainnya .

( Dan faedah yang keempat )

Lapar itu tiada lupa akan bala΄ Allah Ta‘ala dan tiada lupa akan siksaNya dan tiada melupakan akan orang yang kena bala΄ dan tiada lupa akan orang yang kelaparan, maka bahawasanya kenyang itu melupakan akan orang yang lapar dan lupa akan dirinya itu lapar, kerana ingat akan bala di dalam dunia itu mengingatkan bala΄ Allah Ta‘ala di Akhirat, ya’ni ingat akan siksa di dalam Akhirat dan ingat akan lapar di dalam dunia itu iaitu mengingatkan akan lapar di dalam Akhirat dan dahaga di dalam Akhirat dan yang demikian itu membawa kepada takut akan Allah Ta‘ala .

Dan dari kerana inilah ditanya oleh orang bagi Nabi Yusuf ‘alaihis salaam dengan katanya ;

Ertinya : Mengapa engkau berlapar dan di dalam tanganmu beberapa harta yang di dalam perbendaharaan di dalam bumi, ya’ni di dalam dunia ?

Maka sabdanya : ‘ Aku takut jika aku kenyang, maka aku lupa akan orang yang lapar di dalam Akhirat dan orang yang lapar di dalam dunia kerana ingat akan orang yang lapar di dalam dunia itu membawa kepada kasih sayang akan makhluq yang lapar itu dan dengan dia membawa kepada membanyakkan memberi shadaqah akan orang yang lapar dan ingat akan yang demikian itu dapat pahala yang amat besar ’ .

Seperti sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Barang siapa memberi makan akan saudaranya yang Muslim hingga kenyang ia dan memberi minum akan dia hingga puas dahaganya nescaya menjauhkan Allah Ta‘ala akan dia daripada api Neraka dengan tujuh puluh dinding daripada parit dan tiap-tiap satu parit itu antaranya perjalanan lima ratus tahun

( Dan faedah yang kelima )

Lapar itu iaitu yang terlebih besar faedah lapar itu iaitu memecahkan akan segala syahwat ma’shiat dan dengan dia dapat mengerasi akan nafsu ammaarah dan dengan dia dapat mengerasi akan syaithan, dapat mengalahkan akan dia kerana bahawa kenyang itu asal kejadian segala ma’shiat .

Dan kata Dzun Nun rahimahullaahu ta‘ala, ertinya : Tiada aku kenyang sekali-kali melainkan jadi aku akan berbuat ma’shiat atau jadi aku bercita-cita dengan berbuat ma’shiat .

Dan lagi, kata Imam Al Ghazali rahimahullaahu ta‘ala :

Ertinya : Maka sekalian ma’shiat anggota yang tujuh itu sebabnya itu kuat yang hasil daripada kenyang .

( Dan faedah yang keenam )

Lapat itu menolakkan akan tidur dan mengekalkan akan berjaga malam kerana berbuat ‘ibadat, maka bahawasanya barang siapa banyak tidur itu menghilangkan umur dan meluputkan sembahyang tahajjud dan mengurangkan ‘aqal dan mengeraskan hati dan membanyakkan tidur itu iaitu mematikan hati dan iaitu asal segala kebinasaan .

Dan kata Imam Al Ghazali rahimahullaahu ta‘ala :

Ertinya : Dan berhimpun bicara tujuh puluh orang yang Shiddiqqin atas bahawasanya banyak tidur itu jadi daripada membanyakkan minum dan membanyakkan tidur itu menghilangkan akan umur itu iaitu sebaik-baik modal perniagaan Akhirat .

( Dan faedah yang ketujuh )

Bahawasanya lapar itu memudahkan mengekali atas berbuat ‘ibadat kerana bahawa membanyakkan makan itu menegahkan daripada membanyakkan berbuat ‘ibadat kerana membanyakkan makan itu berkehendak kepada memutuskan beberapa masa yang masyghul ( sibuk ) dengan dia dan terkadang berkehendak memutuskan beberapa masa di dalam masyghul dengan membeli makanan dan masyghul dengan memasak akan dia dan berkehendak kepada membasuh akan tangan dan berkehendak menyelat-nyelat akan gigi dan barang sebagainya, kemudian maka berkehendak berulang-ulang kepada tandas dan yang demikian itu menghilangkan beberapa masa berbuat ‘ibadat sebab masyghul ia dengan membanyakkan makan itu . Bersalahan jika mensedikitkan makan, maka kebanyakan masa itu masyghul ia dengan berbuat ‘ibadat, maka kebanyakan masanya itu tiada jadi sia-sia .

Dan kata Imam Al Ghazali rahimahullaahu ta‘ala :

Ertinya : Menghikayatkan oleh As Sari As Saqathi rahimahullaahu ta‘ala daripada setengah Masyaaikh bahawasanya adalah tiap-tiap makan itu memerlan ( menelan ) tepung yang dimasak jua padahal tiada pernah ia memamah akan roti, maka ditanya oleh orang baginya pada pekerjaannya yang demikian itu, maka ia menjawab ; Bahawasanya aku hisab di dalam antara memamah akan roti dan memerlan tepung yang dimasak itu tujuh puluh tasbih, maka sebab inilah tiada pernah aku memamah akan roti di dalam masa empat puluh tahun .

( Dan faedah yang delapan )

Bahawa mengurangkan makan itu menyihatkan badan dan menolakkan ia akan segala penyakit kerana membanyakkan makan itu iaitu sebab mendatangkan beberapa penyakit dan penyakit itu menegahkan daripada berbuat ‘ibadat dan menyusahkan hati dan lagi menegahkan membanyakkan dzikrullaah dan menegahkan akan berfikir yang iaitu yang dimaksud bagi orang yang menjalani akan jalan Akhirat itu . Dan lagi, penyakit itu berkehendak kepada ubat dan ubat itu berkehendak kepada belanja dan belanja itu barangkali tiada mudah bagi orang yang menjalani akan jalan itu .

Dan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Dan mengurangkan makan itu menyihatkan segala jisim daripada segala penyakit dan menyihatkan segala hati daripada penyakit dan ma’shiat yang bathin dan menghilangkan akan bathar, ya’ni kibr ( sombong ) di dalam hati dan yang selain daripada keduanya ’ .

( Dan faedah yang kesembilan )

Bahawa mengurangkan makan itu iaitu meringankan belanja kerana bahawasanya barang siapa mengurangkan makan itu iaitu memadalah ia sedikit harta . Bermula membanyakkan makan itu berkehendak kepada harta yang banyak dan banyak harta itu berkehendak kepada berusaha dan berusaha itu barang kali memutuskan ia akan jalan Akhirat yang iaitu maksud bagi orang yang salik .

( Dan faedah yang kesepuluh )

Bahawasanya mengurangkan makan itu iaitu dapat memberi shadaqah dengan makanan yang lebih makannya akan orang yang faqir dan orang yang miskin dan dapat memberi shadaqah kepada segala anak yatim dan dengan yang demikian itu dapat beberapa pahala yang amat banyak dan lagi, adalah shadaqahnya itu pada hari Qiyaamah jadi tempatnya bernaung daripada panas matahari seperti sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Beri oleh kamu akan shadaqah dan jikalau dengan satu buah tamar sekalipun, maka bahawasanya satu buah tamar itu memadai daripada orang yang lapar dan memadamkan akan kesalahan seperti memadamkan air akan api ’ .

Dan lagi, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Takuti oleh kamu akan api Neraka dan jikalau dengan memberi dengan sebelah buah tamar sekalipun, maka jikalau tiada ada kamu dapat yang demikian itu, maka memberi kamu akan nasihat dengan satu perkataan yang baik ’ .

Wallaahu a’lam .

Rujukan : Kitab Sairus Saalikiin jilid 3 . 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan