Isnin, 8 Julai 2013

Puasa ( Mengira Kadar Fidyah Puasa )

Kaifiat ( cara ) bagi mengira jumlah fidyah puasa yang wajib dibayar atas puasa Ramadhan yang telah sengaja ditinggalkan


Contoh : Jika seseorang telah sengaja meninggalkan puasa Ramadhan pada tahun 2005, ya’ni tanpa uzur Syar‘ie sebanyak 10 hari, maka :

1 : Wajib ia mengqadhakannya dan wajib disegerakan qadhanya iaitu wajib ia memulakan qadha itu bermula pada dua hari bulan Syawal pada tahun 2005 itu serta wajib pula diqadhanya itu dengan cara berturut-turut bagi menunaikan kewajiban bersegera qadhanya .

Perhatian !!!

Seseorang yang meninggalkan puasa tanpa uzur diwajibkan mengqadhakan sebanyak jumlah hari yang ditinggalkannya pada tahun yang sama dan tidak diwajibkan membayar fidyah terhadap jumlah hari yang ditinggalkan pada tahun itu melainkan apabila telah berlalu masa sehingga masuk kepada tahun yang kedua .

2 : Dan jika tiada diqadhakannya sehingga masuk Ramadhan tahun 2006, maka wajib ia mengqadhakan puasa Ramadhan 2005 yang berjumlah 10 hari yang ditinggalkannya dahulu itu iaitu bermula pada dua hari bulan Syawal pada tahun 2006 juga dengan cara berturut-turut bagi menunaikan kewajiban bersegera qadhanya serta wajib membayar fidyah puasa 10 hari itu dengan sebanyak 10 cupak beras .

Akan tetapi jika seseorang itu meninggal dunia selepas hari raya Fitrah pada tahun 2006, maka jumlah fidyah puasanya yang wajib ditunaikan telah menjadi kepada 20 cupak beras iaitu 10 cupak beras daripada fidyah puasanya serta dicampurkan dengan jumlah 10 hari yang wajib diqadhakannya diganti dengan 10 cupak beras kerana ia tiada lagi dapat mengqadhakannya disebabkan oleh kematiannya itu .        

3 : Dan jika masih belum diqadha akan puasanya itu sehingga masuk pula Ramadhan pada tahun 2007, maka wajib ia mengqadhakan puasa Ramadhan 2005 yang berjumlah 10 hari yang ditinggalkannya dahulu itu iaitu bermula pada dua hari bulan Syawal pada tahun 2007 dengan cara berturut-turut bagi menunaikan kewajiban bersegera qadhanya serta wajib membayar fidyah puasa sebanyak 10 hari pada tahun 2005 itu menjadi berganda kerana telah masuk kepada tahun yang ketiga iaitu dengan sebanyak 20 cupak beras .

Akan tetapi jika seseorang itu meninggal dunia selepas hari raya Fitrah pada tahun 2007, maka jumlah fidyah puasanya yang wajib ditunaikan telah menjadi kepada 30 cupak beras iaitu 20 cupak beras daripada fidyah puasanya serta dicampurkan dengan jumlah 10 hari yang wajib diqadhakannya diganti dengan 10 cupak beras kerana ia tiada lagi dapat mengqadhakannya disebabkan oleh kematiannya itu .

Perhatian !!!

Dan perlu diperingatkan di sini bahawa jumlah hari yang wajib diqadhakannya itu tidaklah menjadi berganda apabila bertukar tahun, cuma kewajiban membayar fidyah puasa sahaja yang menjadi berganda apabila masuk kepada tahun yang ketiga dan kepada tahun yang seterusnya iaitu daripada sebanyak 10 cupak beras menjadi kepada 20 cupak beras atau kepada 30 cupak beras atau seterusnya .. 

4 : Dan jika telah berlalu masa sehingga tahun 2013 sedangkan ia masih belum mengqadhakan puasa yang ditinggalkannya sebanyak 10 hari pada tahun 2005 dahulu, maka wajib ia mengqadhakan puasa itu iaitu bermula pada dua hari bulan Syawal pada tahun 2013 dengan cara berturut-turut bagi menunaikan kewajiban bersegera qadhanya serta wajib membayar fidyah puasa sebanyak 10 hari pada tahun 2005 itu menjadi berganda daripada 10 cupak beras kepada 80 cupak beras .

Akan tetapi jika seseorang itu meninggal dunia selepas hari raya Fitrah pada tahun 2013, maka jumlah fidyah puasanya yang wajib ditunaikan telah menjadi kepada 90 cupak beras iaitu 80 cupak beras daripada fidyah puasanya serta dicampurkan dengan jumlah 10 hari yang wajib diqadhakannya diganti dengan 10 cupak beras kerana ia tiada lagi dapat mengqadhakannya disebabkan oleh kematiannya itu . 

Perhatian !!!

Apabila meninggalnya seseorang Muslim yang memiliki harta, maka wajib atas wali atau ahli keluarganya mengeluarkan daripada harta peninggalan si mati bagi menjelaskan segala hutang-hutang si mati jika ada termasuk fidyah puasa ini sebelum membahagikan pesaka kepada pewaris . Dan jika si mati tiada meninggalkan harta peninggalannya sedang ia masih terdapat hutang-hutang yang belum lagi diselesaikan, maka menjadi sunat hukumnya bagi wali atau ahli keluarganya atau orang lain menolong akan si mati itu bagi menjelaskan hutang-hutang tersebut .

Seseorang yang sengaja meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur :

1) Haram jika ia sengaja meninggalkan puasa Ramadhan .

2) Haram jika ia tidak mengqadhakannya .

3) Haram jika ia melambatkan qadhanya .

4) Haram jika ia tidak melakukan qadha secara berturut-turut .

5) Haram jika ia tidak bertaubat kerana sengaja meninggalkan puasa .

Serta :

1) Wajib bertaubat jika ia sengaja meninggalkan puasa Ramadhan .

2) Wajib bertaubat jika ia tidak mengqadhakannya .

3) Wajib bertaubat jika ia melambatkan qadhanya .

4) Wajib bertaubat jika ia tidak melakukan qadha secara berturut-turut

5) Wajib bertaubat jika ia tidak bertaubat kerana sengaja meninggalkan puasa .


Wallaahu a’lam .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan