Isnin, 27 Jun 2011

Fadhilat 'ilmu

Ini suatu faedah pada menyatakan beberapa fadhilat ilmu



Allah Taala berfirman :


   ﺩﺭﺟﺎﺕ   ﺍﻟﻌﻟﻡ  ﺃﻭﺗﻭﺍ   ﭐﻟﺫﻴﻦ    ﻤﻧﻜﻡ   ﺁﻤﻧﻭﺍ   ﭐﻟﺫﻴﻦ   ﭐﷲ   ﻴﺭﻓﻊ

Ertinya : Telah  mengangkat  oleh  Allah  Taala  akan  orang-orang  yang beriman  daripada  kamu  dan  orang-orang  yang diberikan ilmu beberapa darjat  .
( Q.S Al Mujaadalah : 11 )

Kata Ibnu Abbas r.a : Bagi mereka itu beberapa darjat yang lebih atas orang Mu΄minin dengan tujuh ratus darjat barang yang antara satu darjat kepada satu darjat itu perjalanan lima ratus tahun seperti barang yang antara langit dan bumi .    

Riwayat daripada Dailami daripada Ibnu Umar hadits Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam dikatakan bagi orang yang alim :

Syafaatkan olehmu daripada anak muridmu dan jikalau sampai sebilang-bilang bintang di langit sekalipun ’ .

Dan riwayat daripada Malik bin Dinar : Barang siapa menolong akan orang yang menuntut ilmu, diberi akan dia oleh Allah suratnya dengan tangan kanan . Dan barang siapa kasih akan orang yang menuntut ilmu, sesungguhnya kasih ia akan Anbiya΄ . Dan barang siapa kasih akan Anbiya΄, adalah ia sertanya . Dan barang siapa benci akan orang yang menuntut ilmu, maka sanya benci ia akan Anbiya΄, maka balasannya Jahannam .

Dan  bahawasanya bagi penuntut ilmu, syafaat seumpama syafaat Anbiya΄, dan baginya pada Syurga Firdaus, sepuluh ribu mahligai dan pada Syurga Jannatul Khuldi, seratus ribu madinah daripada nur dan pada Syurga Jannatul Ma΄wa, tiga puluh ribu darjat daripada yaqut yang merah dan baginya dengan tiap-tiap dirham yang ia nafqahkan di dalam menuntut ilmu daripada bidadari sebilang-bilang bintang di langit dunia dan sebilang-bilang Malaikat .

Dan barang siapa berjabat tangan akan penuntut ilmu, diharamkan oleh Allah jasadnya atas api Neraka . Dan barang siapa menolong akan penuntut ilmu, disurat oleh Allah kelepasan daripada api Neraka. Ketahuilah olehmu bahawasanya penuntut ilmu apabila mati diampunkan Allah bagi orang yang hadir jenazahnya .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Bahawa setengah daripada manusia itu beberapa manusia masuk mereka itu akan Syurga semata-mata .

Maka sembah mereka itu : Siapa mereka itu ya Rasulullah ?

Sabdanya :

Iaitu mereka yang ada pada hatinya itu kasih akan Ulama΄ kadar satu mitsqal dzarrah . Dan bahawa sanya setengah daripada manusia beberapa manusia masuk mereka itu akan Neraka semata-mata .

Maka sembah mereka itu : Siapa mereka itu ya Rasulullah ?

Sabdanya :

Iaitu mereka yang ada pada hatinya benci akan Ulama΄
kadar mitsqal dzarrah .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Barang siapa menolong akan orang yang alim atau orang yang belajar ilmu dan jikalau dengan satu peminuman air sekalipun, maka seperti ia perbuat ia akan Kaabah tujuh puluh kali .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Menuntut ilmu itu fardhu atas tiap-tiap Muslim
       laki-laki dan Muslimah yang perempuan .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Barang siapa berpagi-pagi ia kepada masjid tiada berkehendak ia melainkan kerana belajar akan kebajikan atau mengajar ia akan dia, maka baginya pahala orang yang haji yang sempurna hajinya .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Apabila lalu orang yang belajar ilmu atas satu dusun,
diangkat Allah akan azab empat puluh hari daripada
segala kubur demikian dusun itu .

Sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bagi Ibnu Masud :

Hai Ibnu Mas‘ud, duduk engkau satu saat ( satu jam ) pada majlis ilmu padahal tiada engkau menyentuh akan qalam dan tiada engkau menyurat satu huruf juapun terlebih baik daripada merdeka seribu sahaya dan menilik engkau kepada muka orang alim terlebih baik daripada seribu kuda yang engkau shadaqah dengan dia di dalam sabilillah dan memberi salam engkau atas orang alim terlebih baik daripada ibadat seribu tahun, yani daripada yang sunat .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Bahawasanya Allah Taala dan Malaikat dan ahli langit dan
ahli bumi dan ikan di laut shalawat mereka itu ’,
yani meminta ampun mereka itu atas orang yang mengajar akan manusia dengan kebajikan .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Barang siapa kasih bahawa menilik kepada pemerdekaan Allah Taala daripada api Neraka, maka tilik olehmu akan orang yang belajar ilmu, maka demi Tuhan, diri Muhammad dengan tangan qudratNya, tiada daripada orang yang belajar ilmu yang pergi datang kepada pintu orang alim melainkan disurat Allah baginya dengan tiap-tiap langkah ibadat setahun dan diperbuat baginya dengan tiap-tiap langkah itu mahligai di dalam Syurga dan berjalan ia di atas bumi dan bumi meminta ampun baginya .

Sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam ;

Barang siapa berpindah kerana belajar ilmu, diampuni baginya dahulu daripada bahawa melangkah ia daripada tempatnya, yani jika menghendaki dengan belajar itu bagi wajah Allah Taala ’ .

Sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Barang siapa belajar satu bab daripada ilmu yang dapat manfaat dengan dia pada akhiratnya dan pada dunianya nescaya terlebih baik baginya daripada tujuh ribu tahun puasa pada siang harinya dan sembahyang pada malamnya, lagi makbul amalnya, tiada mardud ’ .
     
Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Adalah bagi Allah Taala pada tiap-tiap hari dan malam seribu rahmat sembilan ratus sembilan puluh sembilan bagi Ulama΄ dan bagi segala orang yang menuntut ilmu dan rahmat yang satu, bagi segala manusia yang lain daripada mereka itu ’ .
   
Saiyyidina Ali r.a berkata : Barang siapa ada ia di dalam menuntut ilmu, adalah Syurga itu di dalam tuntutnya dan barang siapa ada ia di dalam menuntut mashiat, adalah Neraka itu di dalam tuntutnya .
    
Dan lagi daripada Ibnu Abbas r.a ; Bahawasanya Allah Ta‘ala bermegah-megah akan Malaikat dengan dakwat Ulama΄ seperti bermegah-megah Ia dengan darah orang yang mati syahid .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Apabila berkhabar-khabar orang alim pada majlisnya dengan ilmu padahal tiada masuk akan dia main-main dan tiada sia-sia, nescaya menjadi Allah Taala daripada tiap-tiap kalimah yang keluar daripada mulutnya satu Malaikat meminta ampun ia baginya dan bagi orang yang mendengar hingga hari akhirat .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Barang siapa ziarah akan orang alim, yani pada kuburnya kemudian membaca ia di sisinya akan satu ayat daripada kitab Allah nescaya memberi akan dia Allah Taala dengan sebilang-bilang langkahnya satu mahligai di dalam Syurga daripada emas .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Bahawasanya setengah daripada segala dosa itu beberapa dosa yang tiada mengampuni akan dia oleh sembahyang dan puasa dan haji dan tiada perang sabilillah melainkan segala dukacita di dalam menuntuti ilmu .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Berapa banyak daripada amal dirupakan dengan rupa amal dunia kemudian jadi ia dengan baik niat itu daripada amal akhirat . Dan berapa banyak daripada amal dirupakan dengan rupa akhirat kemudian jadi ia daripada amal dunia dengan sebab jahat niat .

Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Sesungguhnya yang terlebih sangat siksa pada hari Qiyaamah itu orang alim yang tiada memberi manfaat akan dia ilmunya .

Kata Imam Syafie r.a : Barang siapa tiada kasih akan ilmu, tiada kebajikan padanya, maka jangan ada antara kamu dan antaranya berkenalan dan bertaulan dengan dia, maka bahawasanya ilmu itu menghidupkan segala hati dan pelita bagi segala hati .
  
( Tanbih ) Hendaklah berniat dengan menuntut ilmu itu akan keredhaan Allah Taala dan akan negeri akhirat dan menghilangkan jahil daripada dirinya dan terjauh daripada orang yang jahil dan menghidupkan agama kerana bahawa sanya kekal agama Islam itu dengan ilmu . Dan tiada sah zuhud dan taqwa melainkan dengan ilmu dan berniat syukur atas nikmat iman dan aqal dan sihat badan . Dan jangan berniat dengan berniat menuntut ilmu itu akan berhadap manusia kepadanya dan mendatangkan dunia dan kemuliaan pada raja-raja dan lainnya daripada dunia, maka tiadalah dapat fadhilat menuntut ilmu yang tersebut . Dan hendaklah bagi orang yang menuntut itu memelihara akan adabnya kerana tiada mencapai akan ilmu dan tiada manfaat dengan dia dan tiada berkat padanya melainkan dengan beradab .

Setengah daripadanya, membesarkan ( menghormati ) ilmu dan ahlinya dan membesarkan gurunya . Dan setengah daripadanya, membesarkan dia ialah jangan berjalan di hadapannya dan jangan duduk pada tempatnya dan jangan memulai perkataan dan jangan membanyakkan perkataan dan tertawa-tawa di hadapannya melainkan dengan izinnya atau redhanya . Dan jangan bertanya akan dia masalah pada ketika ia jemu dan jangan diserukan dia dengan namanya seperti jangan diserukan dua ibu-bapanya dengan nama keduanya .

Dan setengah daripadanya membesarkan kitabnya, maka jangan mengambil akan dia melainkan dengan wudhu΄ kerana bahawasanya ilmu itu nur dan wudhu΄ itu nur, maka bertambah nur ilmu itu dengan nur wudhu΄ dan jangan menghanjurkan kakinya kepada kitab dan jangan menghantarkan  atasnya sesuatu, maka iaitu haram melainkan kerana hajat .

Dan setengah daripada membesarkan ilmu itu, membesarkan taulannya yang bersekutu pada menuntut ilmu dan memeliharakan daripada perangai yang keji-keji dan menjauhkan dia .

Dan setengah daripada wara yang kamil bahawa memelihara ia daripada kenyang dan daripada banyak tidur dan dari pada membanyak perkataan yang sia-sia dan memelihara ia daripada makan akan makanan pekan kerana makanan pekan itu terlebih hampir bagi najis dan khianat dan terlebih jauh daripada dzikrullah dan terlebih hampir kepada lalai dan lagi kerana bahawasanya mata segala faqir jatuh atasnya dan tiada kuasa mereka itu membeli akan dia dan jadi menyakiti mereka itu dengan demikian itu, maka hilang berkatnya .  

Rujukan dari sebahagian kitab-kitab jawi lama .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan