Rabu, 2 November 2011

Bab pada menyatakan qurban siri 2 - Jenis -Jenis Haiwan Qurban


Jenis – Jenis Haiwan Qurban

Bermula ﴿ Tiada memadai akan qurban daripada segala binatang melainkan na‘am jua, iaitu unta dan lembu dan kerbau dan kambing { termasuk biri-biri } kerana bahawasanya berqurban dengan yang lain daripada na‘am itu tiada manqul ia daripada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam dan segala Shahabat kemudiannya .

Maka tiada memadai akan qurban { kacukan antara } lembu hutan dan keldai hutan, ( tetapi ) memadai akan qurban itu lembu yang jadi antara dua jenis atau dua nau’ { kacukan } daripada na‘am .

Maka dii’tibarkan { dikira } umur yang tertinggi daripada umur ibu - bapanya seperti umur dua tahun pada yang jadi antara biri-biri dan kambing . Dan memadai seekor unta atau lembu atau kerbau daripada tujuh orang, sama ada sekelian mereka itu menghendaki akan qurban atau tiada .
   
Dan memadai seekor biri-biri atau kambing daripada seseorang jua dengan muwaafaqat antara ‘Ulama΄ . Dan tiada memadai ia daripada dua orang atau lebih, hingga jikalau menyembelih dua orang akan dua ekor kambing yang bersyarikat keduanya pada membeli tiap-tiap kedua ekor kambing itu, nescaya tiadalah memadai, kerana bahawasanya tiap-tiap daripada keduanya tiada  menyembelih ia akan seekor kambing .

Adapun ﴿ Hadits :
                                                                         ٍ ٱللَّهُمَّ  هَذَا  عَن  مُّحَمَّدٍ  وَ  ﺃمَّةِ  مُحَمّد  ﴿
Ertinya :   Hai  Tuhanku,  inilah  qurban  daripada  Muhammad  dan  pada ummat  Muhammad  ’ .
Maka iaitu ditanggungkan ia atas menyekutukan pada pahala, maka iaitu harus.


Dan dari kerana inilah berkata mereka itu bahawa harus bagi seseorang menyekutukan akan yang lain daripada pahala qurbannya dan hasil pahala bagi yang lainnya .

Dan yang terafdhal ﴿ Akan qurban itu, unta kerana bahawasanya dagingnya terbanyak daripada lembu dan kambing, maka lembu atau kerbau kerana dagingnya terlebih banyak daripada kambing, kemudian maka biri-biri, kemudian maka kambing kerana bahawasanya biri-biri terlebih baik dagingnya daripada kambing, kemudian maka yang bersyarikat daripada unta, kemudian  maka bersyarikat daripada lembu atau kerbau .

Dan tujuh ekor daripada biri-biri afdhal daripada tujuh ekor kambing, dan tujuh ekor kambing afdhal daripada seekor unta kerana bertambah qurbah kepada  Allah Ta‘ala sebab banyak darah yang ditumpahkannya .

Furu’ ﴿ Jika lazim akan seseorang itu tujuh ekor kambing dam pada haji, maka menyembelih ia seekor unta atau lembu daripada demikian itu, nescaya memada daripada tujuh kambing .

Bermula ﴿ Warna qurban yang terafdhal itu putih, kemudian maka kuning, kemudian maka kelabu, kemudian maka merah, kemudian maka belang putih dengan hitam, kemudian maka hitam .

Dan yang laki-laki { jantan } terafdhal daripada yang bini { betina }, itupun selama tiada banyak ia menjantan akan yang bini dan jika banyak ia menjantan akan yang bini, maka yang bini yang belum beranak terafdhal daripadanya .

Dan yang gemuk terafdhal daripada yang kurus, maka seekor yang gemuk terafdhal daripada dua ekor yang kurus dan jika ada bagi keduanya itu warna yang afdhal atau ada keduanya itu laki-laki sekalipun kerana qurban dengan gemuk itu tanda membesarkan qurban, maka telah terdahulu hadits Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam pada menyuruhkan dengan membesarkan qurban .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan