Selasa, 15 November 2011

Soal Jawab Bab Yaumul Mahsyar

Hari Perhimpunan ( Yaumul Mahsyar )

Soal :

Adakah orang yang tidak siuman dan orang yang tidak sedarkan diri sepanjang hayatnya akan dikumpulkan di Mahsyar nanti sama seperti keadaan mereka semasa di dunia ?

Jawab :

Mereka akan dibangkitkan dan dikumpulkan di Mahsyar nanti sama seperti keadaan mereka semasa hidup di dunia iaitu dalam keadaan tidak siuman dan tidak sedarkan diri sehingga ada riwayat mengatakan orang yang luka semasa meninggal dunia akan dibangkitkan dalam keadaan badannya luka .

Begitu juga orang yang dipotong tangannya, ia akan dibangkitkan bersama tangannya yang dipotong sehingga terlaksanalah baginya hukum qishash .

Soal :

Sekiranya seorang perempuan yang mengandung meninggal dunia, adakah ia akan dihidupkan di akhirat nanti dalam keadaan mengandung juga ?

Atau adakah di akhirat nanti kandungan itu akan digugurkan dan dimasukkan ke Syurga ?

Atau adakah diambil kira sekiranya kandungan itu sudah bernyawa, dimasukkan ke Syurga dan jika belum bernyawa tidak dimasukkan   ke Syurga atau bagaimana ?

Jawab :

Para ‘Ulama mufassirin berselisih pendapat tentang perkara ini . Adapun pendapat yang lebih jelas dan nyata yang berpandukan kepada nas Al Quran dan sunnah mengatakan bahawa perempuan yang mati dalam keadaan mengandung akan dihidupkan di akhirat nanti dalam keadaan mengandung juga .

Berkata Syeikh Buqa‘iy : Adapun firman Allah Ta‘ala :

َََْ   ٍ َْ   َﺍﺖِ    ُُّ  ُ ََﺿَ
Maksudnya : Dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya ” .
( Shurah Al Hajj : Ayat 2 )

Ayat ini menceritakan tentang bagaimana hebat dan dahsyatnya apabila berlaku Qiyaamah sehingga perempuan yang mengandung walaupun belum cukup bulan akan gugur kandungannya, ayat ini tiada kaitan dengan persoalan perempuan mengandung yang meninggal dunia .

Syeikh Muhammad Ramli menyatakan bahawa yang jelas daripada perbahasan dalam masalah ini dan yang muktamadnya ialah perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan mengandung akan dibangkitkan di akhirat nanti dalam keadaan mengandung juga .

Jika anak yang dikandung itu telah ditiupkan roh, ia akan dimasukkan ke Syurga tetapi jika belum lagi ditiupkan roh maka samalah ia seperti makhluq jamadat ( makhluq yang tidak bernyawa ) yang lain yang tiada memberi kesan apa pun .

Soal :

Bagaimana keadaan manusia yang dibangkitkan semula
di Padang Mahsyar ?

Jawab :

Semua manusia akan dibangkitkan dan dihimpunkan di Padang Mahsyar nanti dalam keadaan bertelanjang . Walaupun begitu, tidak ada seorang pun yang berkesempatan atau berpeluang untuk melihat aurat orang lain kerana keadaan huru-hara dan suasana amat kelam kabut sekali sehingga dia sendiri tidak sedar yang ia juga berkeadaan telanjang, inikan pula orang lain .

Soal :

Bilakah manusia akan dihisab segala amalan mereka di akhirat nanti ?

Dimanakah pula letaknya telaga Haudh ?

Jawab :

Adapun hisab dan kira bicara serta mengira dan menimbang segala amal manusia ( untuk menentukan sama ada tempatnya di Syurga atau di Neraka ) dilakukan selepas seseorang itu melintasi titian Shirath . Sementara telaga Haudh sebelum titian Shirath, inilah pendapat atau qaul yang shahih .

Soal :

Bagaimanakah Allah Subhaanahu wa Ta‘ala menimbang amalan kita sedangkan dosa dan pahala itu tidak dapat dilihat dan tidak berjisim ?

Jawab :

Ketika Allah Subhaanahu wa Ta‘ala hendak menimbang semua amal perbuatan manusia, terlebih dahulu Allah Subhaanahu wa Ta‘ala menjadikan segala amalan itu berjisim ( supaya senang diketahui berat ringannya ), dan semua amal perbuatan anak Adam akan ditimbang di akhirat nanti dengan alat timbangan
yang mempunyai dua tadahan .

Satu tadahan mampu memuatkan tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi, dan akan terbukti berat ringan timbangannya walaupun diisi dengan hanya sebiji sawi dalam tadahan yang sebesar itu . Ini membuktikan Allah itu Maha ‘Adil lagi Maha Berkuasa
atas apa yang Ia hendak lakukan .

Soal :

Seorang kafir dzimmi memberi hutang kepada seorang Muslim . Belum sempat hutang itu dijelaskan, kedua-duanya meninggal dunia sedangkan kafir dzimmi itu tidak mempunyai waris, adakah diambil sedikit daripada kebaikan orang Islam yang berhutang itu lalu diberikan kepada kafir dzimmi ( sebagai menjelaskan hutangnya ) ?

Atau diambil sedikit daripada kejahatan kafir dzimmi itu dan diberikan kepada Muslim yang berhutang ?

Atau adakah kafir dzimmi itu akan diringankan siksaannya kerana memberi hutang tersebut ?

Jawab :

Seharusnya Muslim yang berhutang itu menjelaskan hutangnya sebelum kematian orang yang memberi hutang ( walaupun mereka bukan Islam ) tetapi sekiranya hutang tidak dijelaskan atau tidak sempat untuk dijelaskan sehingga kedua-duanya meninggal dunia, tertanggunglah atas dzimmahnya .

Pendapat tentang hutang :

·  Ada pendapat mengatakan akan diambil sebahagian daripada kebaikan orang yang berhutang ( mengikut jumlah hutangnya ) dan diberikan kepada orang yang memberi hutang .
·       Ada pendapat lain pula mengatakan diambil sedikit kejahatan orang yang memberi hutang dan diberikan kepada orang yang berhutang .
·   Ada pula pendapat lain mengatakan orang yang memberi hutang akan diringankan sedikit siksanya pada hari akhirat nanti ( berdasarkan jumlah hutang yang diberikan ) . 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan