Selasa, 15 November 2011

Soal jawab Tentang Ahli Syurga - ( Kitab Furu'ul Masaail )

SOAL JAWAB TENTANG AHLI SYURGA

Soal :

Orang yang hidup pada zaman ketiadaan Nabi dan Rasul iaitu selepas Nabi Isa diangkat ke langit sehingga saat kebangkitan Nabi Muhammad shallallaahu ‘alaihi wa sallam, mereka dinamakan sebagai Ahlul Fitrah dan juga mereka yang tidak sampai seruan agama yang dibawa oleh Rasul kepadanya, adakah mereka akan dimasukkan ke Syurga atau tidak ?

Jawab :

Orang Ahlul Fitrah akan dimasukkan ke Syurga dengan syarat mereka tidak menyembah yang lain daripada Allah seperti patung-patung dan berhala ( mereka tetap kekal di atas agama tauhid yang dibawa oleh Rasul sebelumnya ) .

Begitu juga anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan anak-anak orang kafir, mereka juga akan dimasukkan ke Syurga, bukan kerana mengikut bapanya tetapi kerana mengikut amal mereka sendiri kerana mereka tidak lagi dibangsakan kepada bapa mereka .

Soal :

Seorang perempuan semasa hidup di dunia pernah dikahwini ramai lelaki, tetapi ketika meninggal dunia dia tidak menjadi isteri sesiapa    ( janda ), atau ketika ia meninggal dunia dia adalah isteri kepada suaminya yang terakhir, atau seorang perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan belum lagi berkahwin, jika ditaqdirkan dia dapat masuk Syurga di akhirat nanti, kepada suami yang manakah ia akan dikembalikan ?

Jawab :

Jika seorang wanita pernah berkahwin dengan ramai lelaki semasa hidup di dunia, di akhirat nanti ia disuruh pilih yang mana satu antara bekas suami-suaminya yang paling baik perangainya atau yang mana satu yang paling disukainya .

Ada pendapat mengatakan ia akan dikembalikan kepada suaminya yang pertama jika sekiranya semasa ia meninggal dunia ia tidak menjadi isteri kepada mana-mana lelaki jika ia hanya mempunyai seorang suami sahaja dan semasa ia meninggal dunia, ia tidak menjadi isteri kepada lelaki itu, atau masih lagi menjadi isterinya, maka di akhirat nanti ia akan dikembalikan kepada suaminya itu .

Begitu juga sekiranya ia mempunyai ramai suami tetapi semasa ia meninggal dunia ia masih menjadi isteri kepada suaminya yang terakhir, ia akan dikembalikan kepada suaminya yang terakhir itu .

Berbeza bagi seorang lelaki yang pernah berkahwin dengan ramai wanita, walaupun bilangannya hingga seratus orang dan semua isterinya itu meninggal dunia ketika masih menjadi isterinya, maka di akhirat nanti semua isterinya itu akan dihimpunkan dan dikembalikan kepadanya .

Atau apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, tiba-tiba perempuan itu meninggal dunia, selepas itu ia berkahwin pula dengan adik atau kakak perempuan itu atau ibu saudara perempuan itu dan isteri yang kedua ini pun meninggal dunia juga, maka di akhirat nanti, semua mereka akan dipertemukan semula sebagai suami isteri .

Dalam Syurga soal cemburu dan iri hati sehingga membawa kepada permusuhan dan memutuskan silaturrahim tidak ada lagi . Demikian jawapan yang diberikan oleh Syeikh Muhammad Ramli .     

Soal :

Adakah wanita yang masuk Syurga akan mengandung dan melahirkan anak ?

Adakah lelaki yang masuk Syurga berjanggut atau tidak ?

Jawab :

Mengikut sesetengah pendapat, wanita Syurga tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak kerana semua penghuni Syurga tidak bernafsu untuk memperoleh anak .

Ada pendapat mengatakan, sekiranya seseorang wanita Syurga itu berkeinginan untuk mengandung dan melahirkan anak, ia akan segera dijadikan mengandung dan terus melahirkan anak pada ketika itu juga tanpa merasai sebarang kepayahan mahupun kesakitan .

Mengenai janggut lelaki, ada pendapat mengatakan hanya Nabi Ibrahim dan Nabi Harun ‘alaihis salaam sahaja yang akan masuk Syurga dalam keadaan kedua-duanya berjanggut . Begitulah disebut dalam kitab Fatawa Syeikh Ahmad Al Ramli Al Kabiir .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan