Ahad, 30 Disember 2012

Kelebihan Takbiiratul Ihram


KELEBIHAN TAKBIIRATUL IHRAM MA΄MUM MENGIRINGI TAKBIRATUL IHRAM IMAM

Telah tersebut di dalam Kitab Syarhul Syihab : Diriwayatkan ada sekumpulan pencuri telah mencuri mereka empat ratus unta dan empat puluh orang hamba sahaya bagi Abu Umamah Al Bahili, kemudian masuklah ia menemui Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam dalam keadaan dukacita .

Maka ditanyanya oleh Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Dari apa yang mendukacitakannya ’ ?


Lalu ia pun mengkhabarkannya dengan peristiwa yang telah berlaku atas dirinya itu .


Maka bersabdalah Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam kepadanya :

Aku sangkakan engkau berdukacita kerana luput engkau daripada takbiiratul ihram mengiringi takbiiratul ihramku ’ .


Maka jawab Abu Umamah ;

Ya, Rasulullah, keluputan takbiiratul ihram itu bagi saya adalah lebih keras ( lebih besar lagi ) dari kehilangan itu semuanya ?

( ya’ni empat ratus unta dan empat puluh orang hamba sahaya yang dicuri orang itu )


Maka jawab Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam kepadanya :

Bahkan lebih keras ( lebih besar lagi ) daripada kehilangan unta sepenuh bumi ’ .

 

Wallaahu a’lam .

Rujukan : Kitab Al Qaulu Tam Fi Ahkam Al Ma΄mum Wal Imam

Ahad, 23 Disember 2012

Mensyukuri Nikmat Mata - Penawar Bagi Hati siri 8


Fatwa-Fatwa Khusus Berkaitan Dengan Mayat




Bila kita berhadapan dengan mayat dengan sendirinya kita akan berhadapan dengan pelbagai permasalahan dan cabaran kerana ketidaksamaan hal keadaan antara satu mayat dengan mayat yang lain  Justeru itu seharusnya kita fahami dan hayati beberapa fatwa yang berhubung dengan mayat iaitu kepentingan memastikan bahawa mayat berkenaan mampu diuruskan dengan segera, baik dan hormat seperti yang dikehendaki oleh Syara’ .


Antara fatwa-fatwa khusus yang berhubung dengan mayat :


1 : Mengesan nafas .


Kadangkala agak sukar untuk memastikan sama ada seseorang itu sudah meninggal atau masih ada hayatnya terutama sekali bagi pesakit-pesakit lama . Cara dan sasaran yang muktamad mengesan nafas seseorang itu ialah menekankan ibu jari tangan kita pada pusat orang yang terbabit dan terus rasakan denyutan dari dalam perutnya dengan penuh perhatian . Apakah pada ibu jari kita itu masih ada rasa denyutan atau tiada lagi rasa yang dimaksudkan . Seandainya rasa denyutan dari dalam perut orang berkenaan masih lagi ada menunjukkan bahawa orang berkenaan belum meninggal . Sebaiknya jika ada rasa denyutan dari dalam perut orang berkenaan sudah tidak ada, maka sudah jelas bahawa orang berkenaan telah meninggal dunia 

 

2 : Menahan Darah Yang Keluar Dari Dalam Badan Mayat


Besar kemungkinan akan berlakunya mayat-mayat tertentu bahawa darah dari dalam badannya terus keluar dengan berterusan sekalipun urusan pemandian ke atas mayat telah selesai terutama sekali pada mayat orang yang mati atas sebab-sebab kemalangan jalan raya atau penyakit pendarahan pada tubuh badan .


Untuk menahan atau memberhentikan pendarahan dari badan mayat, hendaklah dihancurkan tanah liat ke dalam air sehingga air berkenaan menjadi seolah-olah air lumpur ( pekat ) . Kemudian air tanah atau lumpur itu hendaklah disiramkan terus ke atas seluruh mayat berkenaan khususnya pada tempat pendarahan dan biarkan pada badan mayat tersebut dalam jangka masa sepuluh atau lima belas minit . Selepas itu barulah mayat tersebut diteruskan pengurusan pemandiannya . Insyaa Allaah, darah dari dalam badan tersebut akan terus berhenti .


3 : Mengawal Mayat Daripada Gangguan Semut

 

Lazimnya bila sesuatu mayat diletakkan pada sesuatu tempat dalam keadaan yang belum terurus buat seketika berkemungkinan akan diganggu oleh semut dengan memasuki setiap rongga mayat berkenaan seperti mata, hidung, mulut, telinga dan lain-lain .

 

Sejak dari dahulu lagi, kebanyakan orang tua dalam masyarakat kita mengawal mayat dari gangguan semut dengan menabur beras atau mengariskan kapur di sekeliling mayat yang dalam keadaan membujur terbaring . Sebenarnya budaya menabur beras atau mengariskan kapur di sekeliling mayat dan seumpamanya tidak seharusnya dihayati kerana kedua-dua merupakan bahan makanan utama bagi seluruh penduduk di Negara kita ini . Perbuatan menabur beras atau mengariskan kapur di sekeliling mayat itu merupakan satu perbuatan yang membazirkan barang-barang makanan itu sendiri sedangkan kita tahu bahawa perbuatan membazir tersebut dilarang oleh Islam .

 

Apa yang paling mudah, berkesan dan sesuai dilakukan dalam usaha untuk mengelakkan dari gangguan semut ini ialah dengan cara mengisikan air di dalam empat biji gelas sebanyak tiga perempat atau tiga suku muatan gelas berkenaan . Kemudian diletakkan gelas-gelas ialah antara satu hingga dua jengkal . Insyaa Allaah dengan cara demikian mayat tidak akan diganggu lagi oleh semut .

 

Wallaahu a’lam .

 

Rujukan : Buku Kaedah Pengendalian Jenazah

Oleh Uthman Bin HJ Ja’far

Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

( Dari pengalaman 40 tahun )

Sabtu, 15 Disember 2012

Syahwat Perut Dan Syahwat Faraj


BISMILLAAH .


Kata Imam Al Ghazali Rahimahullaahu Ta‘ala :


Ertinya ; Ketahui olehmu hai orang yang berkehendak kepada kemenangan di dalam dunia dan di dalam akhirat, bahawa tempat kejadian kebinasaan itu syahwat perut dan sangat gemar kepada makanan . Dan daripadanya bercabang syahwat faraj yang sangat gemar kepada jima’ . Dan lagi daripada syahwat perut itu terkena Nabi Adam ‘alaihis salaam, maka memakan ia buah yang ditegahkan oleh Allah Ta‘ala memakan akan dia . Dan dengan dia, dikeluarkan Nabi Adam ‘alaihis salaam itu daripada Syurga . Dan lagi, syahwat perut itu menyampaikan dengan orang laki-laki itu kepada bahawa ia menuntut akan kekayaan dunia dan sangat gemar ia di dalam dunia, ya’ni dengan sebab syahwat perut itu jadi gemar seseorang akan harta dan sangat gemar kepada dunia dan dengan dia asal segala kejahatan, seperti sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Sangat kasih akan dunia itu iaitu kepala segala kejahatan’ . R. Al Baihaqi

Dan lagi, sangat gemar kepada makan itu iaitu satu ma’shiat yang bathin . Demikian lagi, kasih kepada dunia itu iaitu satu ma’shiat daripada segala ma’shiat yang bathin iaitu :

1 ) Sangat gemar kepada membanyakkan akan makan .

2 ) Sangat gemar kepada membanyakkan berkata-kata di dalam barang yang tiada memberi faedah di dalam akhirat .

3 ) Kuat marah .

4 ) Dengki akan orang yang dapat nikmat daripada Allah Ta‘ala .

5 ) Bakhil dan kasih akan harta .

6 ) Kasih akan kemegahan dan kebesaran .

7 ) Kasih akan dunia .

8 ) Takabbur, ya’ni membesarkan diri .

9 ) Ujub, ya’ni hairan akan dirinya .

10 ) Riya, ya’ni berbuat ‘ibadat tiada kerana Allah Ta‘ala .

Wallaahu a’lam .

RUJUKAN : KITAB SAIRUS SAALIKIIN

Ahad, 9 Disember 2012

Sabar


Fashal Pada Menyatakan Sabar

( Syahdan ) Hakikat sabar itu iaitu menahan diri daripada memarah atas sesuatu yang tiada disukainya dan menahan lidah daripada mengadukan kepada yang lain daripada Allah Ta‘ala . Dan sabar atas berbuat thaat dan meninggalkan ma’shiat itu iaitu fardhu atas tiap-tiap mukallaf .

Dan demikian lagi, sabar atas bala dan segala kesakitan itu fardhu atas tiap-tiap orang yang mukallaf . Adapun sabar atas berbuat yang sunat dan meninggalkan yang makruh dan yang mubah ( harus ) dan meninggalkan dunia yang lebih daripada hajat, maka iaitu sunat 

Dan demikian lagi, sabar atas membalas akan seorang yang menyakiti akan dikau atau menzhalimi akan dikau iaitu sunat dan pahala yang demikian itu amat besar seperti firman Allah Ta‘ala, ertinya :

Hanya sesungguhnya disempurnakan akan
orang yang sabar itu akan pahala mereka itu
dengan tiada dapat dikira-kira .
Shurah Az Zumar : 10

Dan Sabar Itu Tiga Martabat

Pertama : Sabar orang yang ‘awam, ya’ni kebanyakan manusia iaitu menahan atas segala kesusahan dan kesakitan yang diperlakukan akan dia oleh Allah Ta‘ala daripada segala hukumNya kerana ia menilik akan tsawab ( pahala ) sabar yang disebutkan Allah Ta‘ala di dalam Al Quran . Dan demikian lagi, sabar atas berbuat thaat dan menjauh akan ma’shiat kerana hendak pahalaNya dan takut akan siksaNya.

Kedua : Sabar orang muriidin yang telah ringan di dalam hati mereka itu segala kesusahan dan kesakitan kerana menilik mereka itu dengan mata hati mereka itu akan sesuatu yang datang kepadanya itu semuanya daripada Allah Ta‘ala, maka ketika itu tiada susah ia meninggalkan akan sekalian yang demikian itu dan tiada menilik mereka itu akan pahalanya dan tiada menilik akan takut siksa dan hanya sesungguhnya ia semata-mata mengikut suruh daripada Allah Ta‘ala yang tersebut di dalam Al Quran dengan firmanNya, ertinya :

Sabar oleh kamu bahawasanya Allah Ta‘ala
serta orang yang sabar .
Shurah Al Anfal : 46

Ketiga : Sabar zaahidiin dan saalikiin, iaitu sabar atas segala hukum Allah Ta‘ala yang datang atas mereka itu serta berlepas mereka itu daripada ikhtiar dan tadbir kerana mereka itu telah melihat akan bahawasanya sekalian yang demikian itu daripada ketentuan Allah Ta‘ala dan tadbirnya yang di dalam azal, ya’ni di dalam Lauh Mahfuz tiada boleh berubah-ubah . Dan jika datang bala atas mereka itu atau sait, maka iaitu telah tersurat pada Lauh Mahfuz, tiada boleh berubah-ubah padahal hati mereka itu redha akan segala yang dihukumkan Allah Ta‘ala baginya . Dan jika ada padanya zhahir badannya itu merasa susah dan sakit sekalipun tetapi hati mereka itu redha akan Allah Ta‘ala dan akan segala hukumNya . Dan dinamakan sabar ini akan ‘sabar ‘alallaah’, ya’ni sabar atas hukum Allah Ta‘ala dan qadhanya .

Rujukan : Kitab Hidaayatus Saalikiin .

Adab Dalam Bershahabat



Ini Suatu Fashal Pada Menyatakan Adab Seorang
Yang Bershahabat Serta Shahabatnya

Dan adab orang yang bershahabat itu beberapa perkara tetapi disebutkan oleh Imam Al Ghazali rahimahullaahu Ta‘ala di dalam Bidaayatul Hidaayah dua puluh tiga perkara :

Pertama : Melebihkan ia akan taulannya itu atas dirinya dengan hartanya seperti ia memberi akan taulannya itu dengan hartanya pada hal dirinya itu berhajat kepada harta itu . Maka jikalau tiada kuasa akan yang demikian itu, maka hendaklah ia memberi akan taulannya yang lebih daripada hajat dirinya itu pada ketika berkehendak taulannya itu .

Kedua : Bahawa menolong ia dengan dirinya akan taulannya itu pada segala hajatnya atas jalan yang bersegera dengan tiada berkehendak taulannya itu meminta tolong akan dia .

Ketiga : Bahawa menyembunyikan ia akan rahsia taulannya itu .

Keempat : Bahawa menutup ia akan segala ‘aib taulannya itu .

Kelima : Apabila mendengari ia akan seorang yang mencela akan taulannya itu, maka jangan disampaikan perkataan itu kepada taulan itu .

Keenam : Apabila menyampaikan seorang akan dia dengan perkataan taulannya yang mencela akan dia, maka jangan didengar akan perkataan orang itu .

Ketujuh : Apabila mendengar ia akan seorang yang memuji akan taulannya itu atau mendengar sesuatu yang menyukakan akan dia, maka hendaklah ia menyampaikan akan yang demikian itu kepada taulannya .

Kedelapan : Apabila berkhabar taulannya itu akan dia, maka hendaklah sungguh ia mendengarkan akan khabarnya itu .

Kesembilan : Bahawa meninggalkan ia akan berbantah dengan taulannya itu .

Kesepuluh : Apabila memanggil ia akan taulannya itu, maka hendaklah ia memanggil akan namanya yang terlebih kasih ia dengan dia .

Kesebelas : Apabila melihat ia akan kebajikan taulannya itu, maka hendaklah ia memuji akan dia .

Kedua belas : Apabila berbuat taulannya itu akan sesuatu daripada kebajikan, maka hendaklah ia syukur atas perbuatannya itu .

Ketiga belas : Bahawa menegahkan ia akan seorang yang mencela akan taulannya itu pada ketika ia ghaib seperti menegahkan ia akan seorang yang mencela akan dia .

Keempat belas : Bahawa memberi nasihat ia akan taulannya itu dengan sindiran atau dengan perkataan yang lemah lembut apabila berkehendak akan yang demikian itu .

Kelima belas : Bahawa memaafkan ia akan segala kesalahan taulannya itu dan jangan ia tempelak akan dia .

Keenam belas : Bahawa mendoakan ia bagi taulannya itu di dalam sembahyangnya pada ketika hidupnya dan ketika matinya .

Ketujuh belas : Hendaklah berbuat kebajikan akan ahli taulannya itu dan akan segala keluarganya kemudian daripada matinya .

Kedelapan belas : Bahawa jangan memberati ia akan taulannya itu daripada sesuatu hajatnya supaya senang hati taulannya itu daripada kesusahannya .

Kesembilan belas : Menyatakan kesukaan dengan sebab segala yang dapat oleh taulannya itu daripada yang menyukakan akan dia dan menyatakan ia akan kedukaan dengan sebab yang didapat oleh taulannya itu daripada segala yang dibencinya . Dan sayugianya yang demikian itu bersamaan zhahirnya dan bathinnya supaya benar ia pada berkasih-kasihannya itu .

Kedua puluh : Hendaklah ia memulai memberi salam pada ketika berdapat dengan taulannya itu .

Kedua puluh satu : Apabila datang taulannya itu kepada suatu tempat perhimpunan duduk, maka hendaklah ia meluaskan baginya di dalam perhimpunan itu kedudukannya jika dapat diluaskannya . Maka jika tiada dapat, maka hendaklah ia berpindah daripada tempat duduknya itu kepada tempat yang lain .

Kedua puluh dua : Apabila keluar taulannya daripadanya, maka hendaklah ia megikut akan dia hingga ke pintu rumahnya atau barang sebagainya sekira-kira yang layak bagi memuliakan akan dia .

Kedua puluh tiga : Apabila berkata taulannya itu, hendaklah ia diam padahal ia mendengar akan perkataannya itu hingga selesai daripada perkataannya itu, maka memulai ia akan perkataan yang lain . Dan jangan memasukkan perkataannya itu di dalam perkataan orang itu .

Dan hasil daripada segala adab ini bahawasanya hendaklah diperbuat akan tiap-tiap seorang itu dengan segala perbuatan yang menyukai akan hati mereka itu dan jangan diperbuat akan seorang itu dengan segala perbuatan yang dibenci oleh mereka itu .

Rujukan : Kitab Hidaayatus Saalikiin .