Jumaat, 5 Julai 2013

Amaran Kepada Anak Yang Derhaka Kepada Ibu Bapanya

Hikayat Antara Anak Dan Ayahnya


Cerita daripada Thawus Al Yamani menyebut bahawa seorang lelaki telah jatuh sakit sedangkan ia mempunyai empat orang anak dan ia tidak mempunyai sebarang harta . Anaknya yang sulung pun berkata kepada ketiga-tiga saudaranya : ‘ Siapakah di antara kita yang sanggup menjaga bapa ? Kalau kamu mahu menjaganya, kamu tidak akan memperolehi apa-apa daripada harta pusakanya sebab bapa tidak berharta . Kalau aku menjaga pun, aku tidak akan memperolehi apa-apa ’ . Lalu ketiga-tiga saudaranya menjawab : ‘ Engkau sahajalah menjaganya ’ . Maka si abang yang sulung itu pun mengambil tanggung jawab menjaga bapanya yang sakit itu sehingga bapanya meninggal dunia tanpa memperolehi sebarang harta pusaka yang tiada itu .

Pada suatu malam si abang yang sulung itu bermimpi seseorang menyuruhnya : ‘ Pergilah ke tempat sekian dan ambil seratus dinar tetapi tiada sebarang berkat padanya ’ . Pada keesokan pagi itu ia memberitahu isterinya mengenai mimpinya itu dan isterinya mendesak supaya mengambilnya tetapi suaminya enggan .

Pada malam yang kedua, ia bermimpi lagi dan orang itu menyuruhnya pergi ke tempat sekian pula untuk mengambil sepuluh dinar tanpa sebarang berkat padanya . Sekali lagi ia memberitahu isterinya yang kuat menggesanya supaya pergi mengambil wang itu tetapi suaminya tetap enggan .

Pada malam yang ketiga, lelaki itu bermimpi orang itu menyuruhnya dengan berkata : ‘ Pergilah ke tempat sekian itu untuk mengambil berkat ’ . Kali ini ia pergi ke tempat tersebut dan mengambil berkatnya, kemudian ia pergi ke pekan dan tiba-tiba menemui seorang lelaki yang menjual dua ekor ikan . Ia menanyakan kepada penjual ikan itu tentang harganya yang dijawab oleh penjual ikan itu : ‘ Satu dinar ’ . Ia pun membeli kedua-dua ikan tersebut dan membawanya pulang ke rumah di mana ia membelah kedua-dua ekor ikan itu dan mendapati perut masing-masingnya mengandungi sebiji mutiara yang tidak pernah dilihat sepertinya sama sekali .

Ia membawa sebiji mutiara itu untuk ditunjukkan kepada raja dan setelah melihatnya, maka raja pun bertitah : ‘ Manakah pasangannya yang sebiji lagi ’ ? Maka jawab lelaki itu : ‘ Pasangannya ada pada patik ’ . Raja itu bertitah : ‘ Bawakannya kepada beta dan beta akan memberikan dikau hadiah yang berlipat kali ganda lagi ’ . Lalu lelaki itu pun pergi mengambil mutiara yang sebiji lagi itu dan menyerahkannya kepada raja yang memberikannya hadiah yang amat besar seperti yang dijanjikannya iaitu sebanyak 60 ribu dinar . Tidak lama selepas itu ia bermimpi orang yang sama berkata kepadanya :                             ‘ Itulah berkat khidmat baktimu kepada bapamu yang dibalas di dunia lagi . Balasan yang akan diberikan oleh Allah Ta‘ala di Akhirat kelak lebih afdhal  lagi ’ .

Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Ertinya : ‘ Barang siapa yang meletakkan di rumahnya makanan yang baik dan ia memakannya tanpa kedua ibu bapanya nescaya Allah Ta‘ala mengharamkannya menikmati kelazatan makanan Syurga ’ .

Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Ertinya : ‘ Barang siapa tidur dalam keadaan kenyang dan tanpa kehausan sementara salah seorang dari ibu bapanya lapar atau dahaga nescaya dikumpulkannya oleh Allah Ta‘ala pada hari Qiyaamah dala keadaan lapar dan dahaga dan Allah Ta‘ala tidak malu menyiksanya pada hari Qiyaamah ’ .


Tersebut di dalam Ihya’, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bahawa bau Syurga dapat dihidu dari jarak sejauh perjalanan 500 tahun dan orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya tidak akan dapat mencium baunya . Begitu juga orang yang memutuskan silatur rahim .


Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

Ertinya : ‘ Barang siapa mengangkat tangannya hendak memukul salah seorang daripada kedua ibu bapanya nescaya pada hari Qiyaamah tangannya dibelenggu ke lehernya dalam keadaan lumpuh ’ Mereka ( Shahabat ) bertanya : Ya Rasulullah, jika ia memukul kedua-dua ibu bapanya ? Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda : ‘ Dipotong tangannya sebelum ia menyeberangi Shirath dan dipukulnya akan dia oleh Malaikat ’ .

Wallaahu a’lam .

Rujukan : Kitab Jauharal Mauhub Wa Munabbihatul Quluub .















Tiada ulasan:

Catat Ulasan