Jumaat, 5 Julai 2013

Neraka ( Khabar Tentangnya )

Bismillaah .

Di dalam ‘Uyuunul Akhbar, Ath Thusi meriwayatkan daripada Anas bahawa Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam telah bertanya kepada Jibril mengenai firman Allah Ta‘ala :

Ertinya : “ Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu yang bertabur dan ditiup angin ” . ( QS Al Qaari‘ah : 5 )

Jibril berkata : ‘ Segala gunung-ganang menjadi hancur kerana ketakutan Neraka Jahannam . Pada hari Qiyaamah, ia, ya’ni Neraka Jahannam itu dibawakan serta ditunda dan diarak dengan 70 ribu tali penunda oleh 70 ribu Malaikat dan ditempatkan di hadapan Allah Ta‘ala, maka Neraka Jahannam itu pun berkata : ‘ Tiada Tuhan melainkan Engkau ’ . Demi ketinggianMu dan keagunganMu, sesungguhnya aku mahu menyiksa keranaMu pada hari ini setiap orang yang memakan rezekiMu dan menyembah selainMu . Tiada yang terlepas melainkan orang yang ada jawaz ’ .

Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bertanya : ‘ Wahai Jibril, apa erti jawaz itu ’ ? Jibril menjawab : ‘ Orang yang mengucapkan laa i laa ha illal laah, yang akan lalu melintasi di atas Neraka Jahannam itu ’ .

Riwayat daripada Adam bin Iyas daripada Ibnu Abbas radhiyallaahu ‘anhuma mengenai tafsir firman Allah Ta‘ala :

Ertinya : “ Apabila Neraka melihat mereka daripada tempat yang jauh, mereka mendengar suara kemarahannya dan suara nyalaannya ” .
( QS Al Furqan :12 )

Kata Ibnu Abbas : ‘ Itu ialah sejauh perjalanan 100 tahun . Neraka Jahannam itu ditunda dengan 70 ribu talu penunda yang setiap satunya ditarik oleh 70 ribu Malaikat . Jika dibiarkannya nescaya ia akan terus menerkam ahlil mauqif yang baik ( yang thaat ) dan yang fajir ( yang fasiq ) dan mereka mendengar suara kemarahannya dan ngaumannya . Sekali ia mengaum, airmata bercucuran jatuh ke bumi hingga tiada tinggal setitik pun di mata . Kali kedua ia mengaum segala hati gugur daripada tangkainya dan langit-langit daripada halqumnya . Firman Allah Ta‘ala :

Ertinya : “ Segala hati tiba ke halqum ” . ( QS Al Ahzab : 10 )

Ka‘ab meriwayatkan pada suatu hari bahawa Umar bin Al Khaththab berkata kepadanya ; Wahai Ka‘ab, ingatkan kami dengan sesuatu . Aku pun berkata ; Wahai Amirul Mu΄minin !!! Beramallah mengikut seorang lelaki yang sempurna amalannya seperti amalan 70 orang Nabi dan pada hari Qiyaamah ia berharap akan dapat menambahkan lagi amalannya itu kerana amat beratnya kehuru-haraan hari Qiyaamah seperti yang engkau tahu .

Saiyyidina Umar berkata : Tambahkanlah lagi peringatanmu itu !!! Aku menjawab ; Wahai Amirul Mu΄minin !!! Jika dibukakan pintu Neraka Jahannam di sebelah masyriq ( di sebelah matahari terbit ) sekadar lubang hidung lembu nescaya otak orang yang berada di sebelah maghrib ( di sebelah matahari terbenam ) akan mengelegak dan mencair kerana amat panasnya . Saiyyidina Umar berkata : Tambahkanlah lagi !!! Aku menambah ; Wahai Amirul Mu΄minin !!! Neraka Jahannam itu mengelegak dan mengaum pada hari Qiyaamah Sekali ia mengaum, setiap Malaikat yang Muqarrabin dan Nabi yang dipilih akan rebah dan melutut serta masing-masing berkata : ‘ Wahai Tuhanku !!! Diriku … diriku … tiada yang aku pinta pada hari ini melainkan untuk diriku sahaja . Aku berkata ; Wahai Amirul Mu΄minin !!! Bukankah ini tersebut di dalam kitab Allah iaitu firmanNya :

Ertinya : “ Pada hari setiap diri datang mempertikai tentang dirinya sendiri ” . ( QS An Nahl : 11 )

Wallaahu a’lam .


Rujukan : Kitab Jauhar Al Mauhuub Wa Munabbihaat Al Quluub .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan