Khamis, 7 Julai 2011

Memeliharakan Hati ( Penawar Bagi Hati ) siri 7


Kitab yang kedua pada menyatakan qalbu, ertinya jantung .


Dan padanya sepuluh bab yang mengandung akan sifat kecelaan yang sepuluh. Ketahui olehmu bahawasanya qalbu itu ada baginya dua makna :

1 ) Qalbu Jasmani

Iaitu daging yang ditaruh di dalam dada sebelah kiri yang menyerupai ia akan jantung pisang, dan iaitu daging yang tertentu di dalamnya ada lubang, dan di dalam lubang itu ada darah yang hitam .

2 ) Qalbu Rohani
Iaitu sesuatu yang halus yang mengetahui akan mengenal dan yang mendapat daripada manusia dan ia hakikat manusia . Dan ia jua yang dihadapkan kepadanya perkataan dan ia jua yang disuruh dan yang dilarang . Dan ada baginya sangkut-paut dengan qalbu jasmani . Dan sesungguhnya tercengang kebanyakan ‘aqal manusia pada mengetahui sangkut-paut antara keduanya, kerana persangkutan keduanya menyerupai akan persangkutan ‘aradh dan jisim, atau persangkutan yang memakai perkakas dengan perkakas . Dan apabila disebutkan akan jantung di dalam kitab itu, maka dikehendakinya makna yang kedua dan ialah yang dikehendaki dengan firman Allah Ta‘ala :


…..  ﺭﺑّ     ﺃﻤﺭ   ﻤﻥ    ﭐﻟﺭّﻮﺡ  ﻗﻞ

Ertinya : “…Bersabda olehmu hai Rasulullah !!! Bermula roh itu daripada pekerjaan Tuhanku ” .
( Shurah Al Isra΄ : Ayat 85 )

Pendeknya, qalbu dan roh dan nafas, ketiga-tiganya satu makna, pada salah suatu daripada segala makna ketiga-tiganya . Berkata akan dia oleh Hujjatul Islam Al Ghazali di dalam Ihya΄ Ulumiddin .

Kemudian lazimkan olehmu akan memelihara jantung engkau daripada segala kelakuan yang dicela, seperti takabbur, riya΄ dan akan menghiasinya dengan segala kelakuan yang dipuji seperti sabar dan merendah diri kerana beberapa perkara :

1.     Kerana firman Allah Ta‘ala :

….  ۚ  ﻗﻟﻮﺑﻜﻡ   ﻓﻰ   ﻤﺎ   ﻴﻌﻟﻡ   ﻮﭐﷲ

Ertinya : “… dan Allah Ta‘ala mengetahui Ia akan barang yang di dalam jantung kamu…” .
( Shurah Al-Ahzab : Ayat 51 )

2.     Kerana bersabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa salaam :

             ﺃﺑﺸﺎﺭﻛﻡ     ﺻﻭﺭﻛﻡ   ﺍﻟﻰ  ﻴﻧﻅﺭ      ﺘﻌﺎﻟﻰ   ٱﷲ  ﺇﻦّ

                             ﻗﻟﻭﺑﻛﻡ   ﺍﻟﻰ  ﻴﻧﻅﺭ    ﺇﻧّﻤﺎ 

Ertinya : ‘ Bahawasanya Allah Ta‘ala tiada menilik Ia kepada segala rupa kamu dan segala badan kamu, dan hanyasanya menilik Ia kepada segala jantung kamu ’ .
Diriwayatkan oleh Muslim dan Ibnu Majah dari Abi Hurairah Radhiyallaahu ‘anhu .

Maka jantung itu tempat tilik Allah Ta’ala, maka tiada patut bagi kita menghiasi muka kita yang ia tempat tilik manusia . Dan kita biarkan jantung kita kotor berlumuran dengan segala sifat kecelaan, yang ia tempat tilik bagi Tuhan kita, bahkan sayugia bagi yang ber‘aqal membersihkan jantungnya dan menghiasinya lebih bersangatan daripada membersihkan dan menghiasi mukanya .

3.      Bahawasanya jantung itu raja bagi segala anggota, dan segala anggota itu pula mengikut ia akan perintah rajanya . Dan apabila baik jantung itu, nescaya baik segala anggota dan apabila jahat ia, nescaya jahat segala anggota . Sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa salaam :

ﻜﻟّ   ﺍﻟﺠﺴﺪ   ﺼﻟﺢ    ﺼﻟﺤﺕ    ﺍﺫﺍ   ﻤﺿﻐﺔ   ﺍﻟﺠﺴﺪ   ﻓﻰ   ﺇﻥّ

ﺍﻟﻘﻟﺏ   ﻫﻲ      ﺍﻻ    ﻜﻟّ    ﺍﻟﺠﺴﺪ   ﻓﺳﺪ   ﻓﺳﺪﺕ   ﺍﺫﺍ 

Ertinya : ‘ Bahawasanya ada di dalam tubuh manusia itu sepotong daging, apabila baik ia, nescaya baik oleh tubuh itu semuanya. Dan apabila binasa ia, nescaya binasa oleh tubuh itu semuanya ’ . Diriwayatkan oleh Asy-Syaikhan, dari Nu’man bin Basyir Radhiyallaahu ‘anhuma .

Jaga-jaga, dan iaitu jantung dan apabila adalah baik jantung itu sebab bagi baik segala anggota, nescaya wajib atas kita bersungguh-sungguh pada membaikinya dan memeliharanya daripada segala kebinasaan .

4. Bahawasanya jantung itu tempat taruh bagi segala sifat-sifat kepujian, seperti iman dan ma’rifah dan tawakkal dan redha dan pengetahuan, maka patut sangat bagi pertaruhan yang seperti ini bahawa dipelihara akan dia daripada segala kelakuan yang dicela dan dijaga daripada seteru, iaitu syaithan .

5. Bahawasanya jantung itu tempat ilham daripada Malaikat dan tempat was-was bagi syaithan, dan lagi jantung itu tempat berperang ‘aqal dan hawa nafsu, maka ‘aqal itu menyeru ia kepada kebajikan dan hawa nafsu menyeru ia kepada kejahatan, maka sayugia bahawa tiada dilalaikan daripadanya, tambahan lagi bahawasanya kesalahan jantung itu lebih besar, sekurang-kurangnya keras ia tiada menerima pengajaran, dan kesudahannya kufur . Tiadakah engkau dengar akan firman Allah Ta‘ala :

٣٤ ﴿     ٱﻟﻜٰﻔﺭﻴﻥ     ﻤﻥ     ﻮﻜﺎﻥ   ٱﺳﺗﻜﺑﺭ      ﺃﺑﻰٰ ….

Ertinya : “…Enggan oleh Iblis daripada sujud kepada Adam ‘Alaihissalam dan membesarkan diri ia dan jadilah ia daripada sekalian yang kafir ” .
( Shurah Al Baqarah : Ayat 34 )

Maka adalah takbur itu di dalam jantungnya, maka menyebabkan ia akan tertegah daripada sujud dan akan kufur dengan TuhanNya . Wal ‘iyyaadzubillaah

Dan ketahuilah olehmu bahawasanya segala kelakuan yang dicela itu banyak, tetapi hamba sebutkan di sini sepuluh perkara pada sepuluh bab sahaja, kerana yang sepuluh ini asal bagi semuanya dan yang lain daripadanya terjadi ia daripada yang sepuluh ini :

1. Sangat haloba atas makan .

2. Sangat loba atas berkata-kata .

3. Marah .

4. Dengki .

5. Kikir dan kasih akan harta .

6. Kasih akan kemegahan .

7. Kasih akan dunia .

8. Membesarkan diri .

9. Ujub .

10. Riya΄.

Hendaklah bersungguh-sungguh engkau menghiasi jantung engkau dengan sifat kecelaan ini, nescaya adalah engkau mendapat kemenangan dunia dan akhirat, kerana firman Allah Ta‘ala :

٩ ﴿     ﺯﻜﻬﺎ     ﻤﻥ   ﺃﻓﻟﺢ    ﻗﺪ

Ertinya : “ Sesungguhnya dapat kemenangan mereka yang membereskannya ” ( ertinya : Membersihkan jantungnya daripada kelakuan yang dilarang ) .
( Shurah Asy-Syams : Ayat 9 )

Dan sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

ﺍﻹﻴﻤﺎﻥ    ﺷﻄﺮ    ﺍﻟﻄﻬﻮﺮ

Ertinya : ‘ Bersuci itu separuh daripada iman ’ .
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Muslim dan At-Tirmidzi, dari Abi Malik Al Asy‘ari Radhiyallaahu ‘anhu .

Memberi faham oleh ini akan bahawasanya sempurna iman itu adalah ia dengan membersihkan jantung dari barang yang tiada kasih akan dia oleh Allah Ta‘ala, dan menghiasinya dengan kelakuan yang kasih ia akan dia . Maka membersihkan itu setengah daripada iman seperti menghiasinya itu setengah daripada iman, dan perhimpunan kedua nya iman yang sempurna .

Wallaahu a’lam .



Tiada ulasan:

Catat Ulasan