Selasa, 15 November 2011

Soal jawab Tentang Ahli Syurga - ( Kitab Furu'ul Masaail )

SOAL JAWAB TENTANG AHLI SYURGA

Soal :

Orang yang hidup pada zaman ketiadaan Nabi dan Rasul iaitu selepas Nabi Isa diangkat ke langit sehingga saat kebangkitan Nabi Muhammad shallallaahu ‘alaihi wa sallam, mereka dinamakan sebagai Ahlul Fitrah dan juga mereka yang tidak sampai seruan agama yang dibawa oleh Rasul kepadanya, adakah mereka akan dimasukkan ke Syurga atau tidak ?

Jawab :

Orang Ahlul Fitrah akan dimasukkan ke Syurga dengan syarat mereka tidak menyembah yang lain daripada Allah seperti patung-patung dan berhala ( mereka tetap kekal di atas agama tauhid yang dibawa oleh Rasul sebelumnya ) .

Begitu juga anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan anak-anak orang kafir, mereka juga akan dimasukkan ke Syurga, bukan kerana mengikut bapanya tetapi kerana mengikut amal mereka sendiri kerana mereka tidak lagi dibangsakan kepada bapa mereka .

Soal :

Seorang perempuan semasa hidup di dunia pernah dikahwini ramai lelaki, tetapi ketika meninggal dunia dia tidak menjadi isteri sesiapa    ( janda ), atau ketika ia meninggal dunia dia adalah isteri kepada suaminya yang terakhir, atau seorang perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan belum lagi berkahwin, jika ditaqdirkan dia dapat masuk Syurga di akhirat nanti, kepada suami yang manakah ia akan dikembalikan ?

Jawab :

Jika seorang wanita pernah berkahwin dengan ramai lelaki semasa hidup di dunia, di akhirat nanti ia disuruh pilih yang mana satu antara bekas suami-suaminya yang paling baik perangainya atau yang mana satu yang paling disukainya .

Ada pendapat mengatakan ia akan dikembalikan kepada suaminya yang pertama jika sekiranya semasa ia meninggal dunia ia tidak menjadi isteri kepada mana-mana lelaki jika ia hanya mempunyai seorang suami sahaja dan semasa ia meninggal dunia, ia tidak menjadi isteri kepada lelaki itu, atau masih lagi menjadi isterinya, maka di akhirat nanti ia akan dikembalikan kepada suaminya itu .

Begitu juga sekiranya ia mempunyai ramai suami tetapi semasa ia meninggal dunia ia masih menjadi isteri kepada suaminya yang terakhir, ia akan dikembalikan kepada suaminya yang terakhir itu .

Berbeza bagi seorang lelaki yang pernah berkahwin dengan ramai wanita, walaupun bilangannya hingga seratus orang dan semua isterinya itu meninggal dunia ketika masih menjadi isterinya, maka di akhirat nanti semua isterinya itu akan dihimpunkan dan dikembalikan kepadanya .

Atau apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, tiba-tiba perempuan itu meninggal dunia, selepas itu ia berkahwin pula dengan adik atau kakak perempuan itu atau ibu saudara perempuan itu dan isteri yang kedua ini pun meninggal dunia juga, maka di akhirat nanti, semua mereka akan dipertemukan semula sebagai suami isteri .

Dalam Syurga soal cemburu dan iri hati sehingga membawa kepada permusuhan dan memutuskan silaturrahim tidak ada lagi . Demikian jawapan yang diberikan oleh Syeikh Muhammad Ramli .     

Soal :

Adakah wanita yang masuk Syurga akan mengandung dan melahirkan anak ?

Adakah lelaki yang masuk Syurga berjanggut atau tidak ?

Jawab :

Mengikut sesetengah pendapat, wanita Syurga tidak akan mengandung dan tidak akan melahirkan anak kerana semua penghuni Syurga tidak bernafsu untuk memperoleh anak .

Ada pendapat mengatakan, sekiranya seseorang wanita Syurga itu berkeinginan untuk mengandung dan melahirkan anak, ia akan segera dijadikan mengandung dan terus melahirkan anak pada ketika itu juga tanpa merasai sebarang kepayahan mahupun kesakitan .

Mengenai janggut lelaki, ada pendapat mengatakan hanya Nabi Ibrahim dan Nabi Harun ‘alaihis salaam sahaja yang akan masuk Syurga dalam keadaan kedua-duanya berjanggut . Begitulah disebut dalam kitab Fatawa Syeikh Ahmad Al Ramli Al Kabiir .

Soal Jawab Bab Yaumul Mahsyar

Hari Perhimpunan ( Yaumul Mahsyar )

Soal :

Adakah orang yang tidak siuman dan orang yang tidak sedarkan diri sepanjang hayatnya akan dikumpulkan di Mahsyar nanti sama seperti keadaan mereka semasa di dunia ?

Jawab :

Mereka akan dibangkitkan dan dikumpulkan di Mahsyar nanti sama seperti keadaan mereka semasa hidup di dunia iaitu dalam keadaan tidak siuman dan tidak sedarkan diri sehingga ada riwayat mengatakan orang yang luka semasa meninggal dunia akan dibangkitkan dalam keadaan badannya luka .

Begitu juga orang yang dipotong tangannya, ia akan dibangkitkan bersama tangannya yang dipotong sehingga terlaksanalah baginya hukum qishash .

Soal :

Sekiranya seorang perempuan yang mengandung meninggal dunia, adakah ia akan dihidupkan di akhirat nanti dalam keadaan mengandung juga ?

Atau adakah di akhirat nanti kandungan itu akan digugurkan dan dimasukkan ke Syurga ?

Atau adakah diambil kira sekiranya kandungan itu sudah bernyawa, dimasukkan ke Syurga dan jika belum bernyawa tidak dimasukkan   ke Syurga atau bagaimana ?

Jawab :

Para ‘Ulama mufassirin berselisih pendapat tentang perkara ini . Adapun pendapat yang lebih jelas dan nyata yang berpandukan kepada nas Al Quran dan sunnah mengatakan bahawa perempuan yang mati dalam keadaan mengandung akan dihidupkan di akhirat nanti dalam keadaan mengandung juga .

Berkata Syeikh Buqa‘iy : Adapun firman Allah Ta‘ala :

َََْ   ٍ َْ   َﺍﺖِ    ُُّ  ُ ََﺿَ
Maksudnya : Dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya ” .
( Shurah Al Hajj : Ayat 2 )

Ayat ini menceritakan tentang bagaimana hebat dan dahsyatnya apabila berlaku Qiyaamah sehingga perempuan yang mengandung walaupun belum cukup bulan akan gugur kandungannya, ayat ini tiada kaitan dengan persoalan perempuan mengandung yang meninggal dunia .

Syeikh Muhammad Ramli menyatakan bahawa yang jelas daripada perbahasan dalam masalah ini dan yang muktamadnya ialah perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan mengandung akan dibangkitkan di akhirat nanti dalam keadaan mengandung juga .

Jika anak yang dikandung itu telah ditiupkan roh, ia akan dimasukkan ke Syurga tetapi jika belum lagi ditiupkan roh maka samalah ia seperti makhluq jamadat ( makhluq yang tidak bernyawa ) yang lain yang tiada memberi kesan apa pun .

Soal :

Bagaimana keadaan manusia yang dibangkitkan semula
di Padang Mahsyar ?

Jawab :

Semua manusia akan dibangkitkan dan dihimpunkan di Padang Mahsyar nanti dalam keadaan bertelanjang . Walaupun begitu, tidak ada seorang pun yang berkesempatan atau berpeluang untuk melihat aurat orang lain kerana keadaan huru-hara dan suasana amat kelam kabut sekali sehingga dia sendiri tidak sedar yang ia juga berkeadaan telanjang, inikan pula orang lain .

Soal :

Bilakah manusia akan dihisab segala amalan mereka di akhirat nanti ?

Dimanakah pula letaknya telaga Haudh ?

Jawab :

Adapun hisab dan kira bicara serta mengira dan menimbang segala amal manusia ( untuk menentukan sama ada tempatnya di Syurga atau di Neraka ) dilakukan selepas seseorang itu melintasi titian Shirath . Sementara telaga Haudh sebelum titian Shirath, inilah pendapat atau qaul yang shahih .

Soal :

Bagaimanakah Allah Subhaanahu wa Ta‘ala menimbang amalan kita sedangkan dosa dan pahala itu tidak dapat dilihat dan tidak berjisim ?

Jawab :

Ketika Allah Subhaanahu wa Ta‘ala hendak menimbang semua amal perbuatan manusia, terlebih dahulu Allah Subhaanahu wa Ta‘ala menjadikan segala amalan itu berjisim ( supaya senang diketahui berat ringannya ), dan semua amal perbuatan anak Adam akan ditimbang di akhirat nanti dengan alat timbangan
yang mempunyai dua tadahan .

Satu tadahan mampu memuatkan tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi, dan akan terbukti berat ringan timbangannya walaupun diisi dengan hanya sebiji sawi dalam tadahan yang sebesar itu . Ini membuktikan Allah itu Maha ‘Adil lagi Maha Berkuasa
atas apa yang Ia hendak lakukan .

Soal :

Seorang kafir dzimmi memberi hutang kepada seorang Muslim . Belum sempat hutang itu dijelaskan, kedua-duanya meninggal dunia sedangkan kafir dzimmi itu tidak mempunyai waris, adakah diambil sedikit daripada kebaikan orang Islam yang berhutang itu lalu diberikan kepada kafir dzimmi ( sebagai menjelaskan hutangnya ) ?

Atau diambil sedikit daripada kejahatan kafir dzimmi itu dan diberikan kepada Muslim yang berhutang ?

Atau adakah kafir dzimmi itu akan diringankan siksaannya kerana memberi hutang tersebut ?

Jawab :

Seharusnya Muslim yang berhutang itu menjelaskan hutangnya sebelum kematian orang yang memberi hutang ( walaupun mereka bukan Islam ) tetapi sekiranya hutang tidak dijelaskan atau tidak sempat untuk dijelaskan sehingga kedua-duanya meninggal dunia, tertanggunglah atas dzimmahnya .

Pendapat tentang hutang :

·  Ada pendapat mengatakan akan diambil sebahagian daripada kebaikan orang yang berhutang ( mengikut jumlah hutangnya ) dan diberikan kepada orang yang memberi hutang .
·       Ada pendapat lain pula mengatakan diambil sedikit kejahatan orang yang memberi hutang dan diberikan kepada orang yang berhutang .
·   Ada pula pendapat lain mengatakan orang yang memberi hutang akan diringankan sedikit siksanya pada hari akhirat nanti ( berdasarkan jumlah hutang yang diberikan ) . 

Isnin, 14 November 2011

SOALAN MUNKAR DAN NAKIR

Semua orang yang meninggal dunia apabila dimasukkan ke alam kubur berhadapan dengan Munkar dan Nakir yang diwakilkan oleh Allah Subhaanahu wa Ta‘ala untuk bertanya beberapa soalan . Jika sekiranya semua soalan yang dikemukakan itu dapat dijawab dengan lancar dan sempurna, maka ia akan terlepas dan terselamat daripada azab siksa kubur tetapi jika sekiranya soalan yang diajukan tidak dapat dijawab, maka ia akan disiksa sehinggalah ia dapat menjawabnya atau hingga ke hari Qiyaamah .

SOAL :

Orang yang mati lemas dan tenggelam di lautan, 

adakah akan disoal juga oleh Munkar dan Nakir atau tidak ?

Bagaimana pula dengan kanak-kanak, 

adakah mereka juga akan disoal ?

Bagaimanakah pula orang yang mati syahid dalam perang Sabil ?

JAWAB :

Kanak-kanak yang masih kecil dan juga orang yang mati syahid dimedan perang, mereka akan terselamat dan tidak akan ditanya oleh Munkar dan Nakir ketika dimasukkan ke dalam kubur .

Adapun orang yang mati lemas dan tenggelam di lautan, orang yang mati syahid dunia, orang gila, orang yang meninggal dunia pada malam Juma‘at, orang mati pada zaman kemelesetan atau mati di tempat yang tidak mempunyai makanan ( mati kelaparan ) semua mereka akan disoal oleh Munkar dan Nakir tetapi soalan dalam bentuk penghormatan, senang dan mudah untuk menjawabnya . Akhirnya mereka juga akan terselamat daripada siksa kubur . ( Adapun selain daripada mereka yang disebutkan, akan menghadapi soalan Munkar dan Nakir dalam bentuk yang amat berat sekali ) .  

SOAL :

Seorang yang kena pancung kepalanya dan meninggal dunia, yang dikebumikan hanya badannya sahaja sedang kepalanya tidak ditanam bersama badannya, adakah Munkar dan Nakir akan bertanya soalan kepada tubuh yang dikebumikan tanpa kepala atau kepalanya juga mesti ditanam bersama tubuhnya untuk menjawab soalan ?

Adakah siksa kubur itu hanya mengenai badannya sahaja atau dengan kepalanya sekali ?

JAWAB :

Seperti mana yang telah dijelaskan, roh seseorang itu berhubung kait dengan badan dan kepalanya walaupun kedua-duanya terpisah jauh . Adapun soalan Munkar dan Nakir akan diajukan kepada anggota yang biasanya boleh berkata-kata iaitu kepalanya, begitu juga tentang azab siksa, roh yang akan merasainya, maka hasillah siksa ini ke atas tubuh dan juga kepalanya, sebaliknya jika mendapat nikmat, semua akan merasainya .

Sementara kesan daripada azab siksa kubur ini tidak akan dapat dilihat dan diketahui oleh manusia yang masih hidup walaupun kuburnya dibongkar dan jenazahnya digali semula, jasadnya tetap kelihatan sama seperti hari dikebumikannya .

SOAL :

Adakah terdapat nas daripada hadits shahih yang menceritakan tentang persoalan dua Malaikat di dalam kubur, orang yang mati akan dihidupkan semula untuk menjawab soalan Munkar dan Nakir ?

Apakah mereka akan dihidupkan semula dengan kehidupan yang sebenar dengan dikurniakan ‘aqal pemikiran sehingga dapat menjawab semua soalan sama seperti keadaan hidup di dunia atau bagaimana ?

JAWAB :

Roh orang yang meninggal dunia akan dikembalikan kepada jasadnya sebaik sahaja jenazah itu dikebumikan dan ia akan hidup semula dengan kehidupan yang sempurna . Sebahagian pendapat ‘Ulama mengatakan bahawa jenazah yang dikebumikan itu dihidupkan hanya separuh bahagian atas badannya sahaja iaitu dari pinggang hingga kepala, selepas dihidupkan semula, ia akan didudukkan untuk ditanya beberapa soalan .

Antara hadits yang membuktikan adanya persoalan kubur seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud :

Sesungguhnya roh orang yang beriman daripada kalangan kamu hidup dalam keadaan gembira dan sukacita . Apabila mereka bertemu antara satu sama lain, mereka akan bertanya mengenai si fulan, apakah Allah telah lakukan terhadap si fulan yang lelaki, dan apa pula yang telah Allah lakukan terhadap si fulan yang perempuan ? .

Jika mereka menjawab dengan mengatakan, bukankah si fulan atau si anu juga telah datang ke alam ini bersama-sama kita ? Maka mereka akan berkata, adapun si fulan telah dipertemukan dengan ibunya ’ .

Daripada cerita ini, jelas menunjukkan bahawa orang yang telah mati juga boleh berkata-kata, berbual-bual dan bertanya khabar sesama mereka .  

SOAL :

Ada pendapat menyatakan bahawa mayat yang dikebumikan itu akan hidup semula apabila dikembalikan roh kepadanya, selepas itu ia akan didudukkan untuk dikemukakan beberapa soalan . Sekiranya kubur itu dibiarkan terbuka tanpa ditutup untuk beberapa hari atau beberapa bulan dan kita mengintainya dari jauh, adakah kita akan dapat melihat mayat itu hidup dan duduk untuk menjawab soalan, atau kita akan dapati mayat itu akan hilang ?

JAWAB :

Orang yang telah mati akan dihidupkan semula, didudukkan dan ditanya beberapa soalan . Ia menjawab soalan yang dikemukakan, semua ini tidak akan dapat dilihat dan disedari oleh orang yang hidup walaupun kita duduk bersamanya di dalam kuburnya .

Apa sebenarnya yang berlaku ke atas mayat itu tidak akan dapat dikesan oleh pancaindera manusia yang hidup kerana ia berlaku pada alam lain iaitu alam barzakh yang berlainan sama sekali dengan keadaan alam dunia ini .

Bukankah kita juga pernah duduk berhampiran dengan orang yang sedang tidur dan kita hanya melihat jasadnya yang tidak bergerak      ( tetapi kita tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku ke atas orang yang sedang tidur itu ) .

Kadang-kadang dia berasa takut dan menjerit sekuat-kuatnya, kadangkala dia bergaduh dan bertumbuk dengan seseorang . Terkadang dia merasai keseronokan, bahkan terkadang ia merasakan seolah-olah ia berjalan dan berbagai-bagai lagi . Semua perlakuan ini kita tidak dapat melihatnya, yang kita lihat hanyalah jasadnya yang terbujur kaku .

Begitu juga orang yang berjaga ( tidak tidur ) tidak akan dapat melihat dengan matanya apa yang berlaku di sebalik dinding, sedangkan orang yang tidur terkadang dapat melihat dan mengetahuinya, perkara ini tidak mustahil berlaku bagi orang yang sedang tidur, maka begitulah halnya perbandingan bagi orang yang telah meninggal dunia .      

PERINGATAN  !!!

Wahai saudaraku,

Apakah kita telah mempersiapkan diri 

untuk melangkah ke alam barzakh ini ???

Apakah segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah Ta‘ala

 kepada kita selama ini telah kita manfaatkan melalui amal yang 

shaleh untuk kita jadikan sebagai bekal menemani kita 

ketika kita sendirian di alam barzakh nanti ???

Siapakah yang dapat kita harapkan yang bakal sentiasa

 menitipkan doa keselamatan untuk kita 

apabila kita kembali ke alam barzakh ini ???

Suami kitakah ??? 

Isteri-isteri kitakah ???

Anak-anak kitakah ???

Kawan-kawan kitakah ???

Atau siapa ???

Fikir – fikirkanlah wahai saudaraku !!!

Ahad, 13 November 2011

PERSOALAN ROH ( KITAB FURU'UL MASAAIL )


ASAL USUL KEJADIAN ROH

Soal :

Adakah roh itu bershifat dengan shifat qadim ( tiada berpermulaan ) atau ia bershifat dengan shifat hadits ( shifat baharu yang ada berpermulaan ), dan apakah hakikat sebenar roh itu ?

Jawab :

Mengikut Madzhab Ahli Sunnah Wal Jama‘ah, roh itu bershifat dengan shifat hadits . Adapun hakikat roh, pada ‘Ulama berselisih pendapat mengenainya .

Antara mereka, ada yang berpendapat mengatakan bahawa persoalan mengenai roh adalah urusan Allah Subhaanahu wa Ta‘ala, tiada siapa yang berhak membicarakannya . Cuma, mereka sekadar mengatakan bahawa roh itu memang wujud ( ada ) . Ini adalah pendapat kebanyakan ahli tafsir .

Manakala pendapat lain mengatakan kita boleh membicarakan mengenai roh, cuma sejauh mana kita dibenarkan membicarakan mengenainya dan cara mana membicarakannya . Ini yang menjadi perbezaan pendapat sehingga terdapat lebih daripada seribu pendapat mengenainya .    

Jumhur Mutakallimin berpendapat bahawa roh itu ialah jisim yang amat halus, ia meresap ke dalam seluruh badan, sama seperti tumbuhan ( yang hidup ) di mana rohnya meresap ke seluruh dahan, ranting dan daunnya .

Kebanyakan mereka berpendapat mengatakan roh itu ialah ‘arad ( benda yang hidup ) yang mengerakkan segala anggota badan selagi ia masih wujud dalam badan, walaupun ia boleh keluar dan masuk semula ke dalam badan menjadikan badan itu boleh hidup . Berkata Syeikh Saharwardi : Justeru itulah roh dishifatkan sebagai hadits, boleh naik dan turun, pergi dan datang dari alam barzakhnya .

Golongan ahli falsafah dan ‘Ulama sufi berpendapat bahawa roh itu bukan jisim dan bukan ‘arad tetapi ia adalah jauhar yang tersendiri di mana ia berdiri dengan sendirinya . Ia tidak mengambil tempat untuk menetap cuma ia dihubungkan dengan badan bertujuan untuk mengerakkan dan mentadbirkan pergerakan badan . Ia bukan bertempat di dalam badan, oleh itu tidak timbul soal ia keluar dari badan . Jumlahnya amat banyak berdasarkan berapa banyak jumlah alam .

Ia berlainan antara satu sama lain mengikut kelainan jenis anggota fizikal yang digerakkannya, tetapi ia boleh terhimpun menjadi satu gabungan antara jenis dan bentuknya, pelbagai rupa dan perbezaannya . Dengan perbandingan ini samalah seperti dikatakan bahawa bala tentera itu bersatu, ertinya berbagai-bagai unit dan ketumbukan dalam tentera yang berbeza tugas dan peranan, berbeza anggota dan pangkatnya .

Roh bercantum menjadi satu dalam melaksanakan peranannya pada anggota tubuh badan manusia walaupun jenisnya berbeza . Perbezaan ini berdasarkan kepada perbezaan anggota badan manusia sama seperti perbezaan antara manusia dan jin .

ROH TIDAK BOLEH DIBELAH DUA

Soal :

Ditaqdirkan jika badan seorang manusia dipotong dua atau dibelah dua sehingga terpisahlah kedua-duanya tetapi kedua-duanya bahagian badan yang terpisah itu masih boleh bergerak-gerak ( masih hidup ), maka yang mana satukah antara dua bahagian badan itu yang mempunyai roh ?

Jawab :

Sebenarnya roh bagi satu jasad manusia itu hanya satu sahaja, tidak berasingan antara satu sama lain . Ia tidak berada di dua tempat yang berasingan tetapi ia masih wujud dalam jasad manusia dan tetap berhubung antara satu sama lain walaupun jasad itu terpisah atau dipisahkan .

Apabila jasad seorang manusia dikerat dua ( atau dibelah dua ) dan kedua-duanya masih boleh bergerak, maka roh dalam kedua-dua bahagian itu masih ada hubungan antara satu sama lain sama seperti asalnya ketika sebelum ia terpisah .

KEADAAN ROH YANG TERPISAH DARIPADA JASADNYA  

Soal :

Jika kita menziarahi kubur seseorang pada hari Juma‘at atau pada pagi Sabtu, adakah roh mengetahui orang yang menziarahi kuburnya padahal ia tidak bersama jasadnya ?

Adakah roh masih ada hubungan dengan jasad di dalam kuburnya ?

Jawab :

Sebenarnya roh orang yang meninggal dunia mengetahui orang yang menziarahi kuburnya walaupun jasadnya telah hancur dan binasa, roh tetap mengetahui siapa yang menziarahi kuburnya kerana perhubungan di antara jasad dan roh tidak terputus .


KEJADIAN ROH DAN JASAD

Soal :

Antara roh dan jasad manusia, mana yang dijadikan lebih dahulu dan adakah kedua-duanya akan binasa ?

Jawab :

Roh sebenarnya telah terlebih dahulu wujud sebelum wujudnya jasad manusia . Roh tidak akan rosak, yang rosak dan binasa hanya jasad sementara nikmat dan azab siksa akan dirasai oleh kedua-duanya iaitu roh dan jasad .


ROH SALING MENGENALI

Soal :

Adakah roh-roh di alam barzakh saling mengenali antara satu sama lain ?

Jawab :

Roh bagi orang beriman akan terus mendapat nikmat yang berkekalan, mereka mengenali antara satu sama lain . Suami mengenali isterinya, begitu juga sebaliknya, si bapa akan mengenali anak-anaknya, begitu juga sebaliknya . Shahabat kenalan mengenali shahabatnya yang lain, bahkan mereka saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain .

Segala kebaikan dan perkara yang kebajikan yang mereka lakukan semasa hidup di dunia dulu didatangkan kepada mereka dalam bentuk kebaikan, tidak kira sama ada yang kecil mahupun yang besar, walaupun terkadang kebaikan yang dilakukan itu hanyalah sekadar memberi minum seteguk air kepada orang yang memerlukan tetapi pahalanya di sisi Allah Subhaanahu wa Ta‘ala amat besar .

Kadangkala hanya sekadar membelanjakan satu atau dua dirham ke jalan Allah didapati ganjarannya amat besar . Terkadang hanya dengan sekali memberi makan faqir miskin, didapati ganjaran pahalanya di sisi Allah amat besar .

KEADAAN ORANG MATI DI DALAM KUBUR DAN HARI AKHIRAT

Soal :

Bagaimana keadaan orang mati ketika di dalam kubur dan pada hari Qiyaamah nanti ?

Jawab :

Orang yang mati di dalam kubur saling menziarahi dalam keadaan berbalut kain kafan masing-masing tetapi apabila mereka dibangkitkan semula pada hari Qiyaamah nanti, keadaan mereka bertelanjang bogel kecuali mereka yang gugur syahid di medan pertempuran .

Terdapat hadits yang diriwayatkan daripada Saiyyidina Ali karramallaahu wajhah yang bermaksud :

Orang pertama yang akan diberikan persalinan pakaian iaitu dua helai kain Qibti ialah Nabi Ibrahim ‘alaihis salaam selepas itu dikurniakan pula kepada Nabi Muhammad shallallaahu ‘alaihi wa sallam kain hibrah yang didatangkan dari pihak kanan ‘Arasy sebelum mereka berdua dibawa masuk ke Syurga . Selepas itu barulah akan diberikan pakaian kepada sesiapa yang Allah kehendakiNya sebelum mereka dibawa masuk ke Syurga ’ .


TEMPAT ROH DISIMPAN

Soal :

Di manakah roh-roh manusia akan ditempatkan ?

Jawab :

Roh orang beriman ditempatkan di ‘Iliyyin, manakala roh orang kafir ditempatkan di Sijjin . Walau bagaimanapun roh masih tetap ada hubungan dengan jasadnya .

Berkata Syeikh Al Qurthubi : Roh para syuhada berada di dalam Syurga dan ada pula pendapat mengatakan bahawa roh orang yang beriman semuanya di dalam Syurga .

Apabila tiba saat kematian bagi seseorang, Malaikat Maut akan ditugaskan mengambil nyawanya dan selepas itu rohnya akan disambut oleh para Malaikat. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam ada bersabda yang bermaksud :

Sesungguhnya roh orang yang beriman daripada kalangan kamu hidup dalam keadaan gembira dan sukacita . Apabila mereka bertemu antara satu sama lain, mereka akan bertanya mengenai si fulan, apakah Allah telah lakukan terhadap si fulan yang lelaki, dan apa pula yang telah Allah lakukan terhadap si fulan yang perempuan . Jika mereka menjawab mengatakan bukankah si fulan atau si anu juga telah datang ke alam ini bersama-sama kita, maka mereka akan berkata, adapun si fulan telah dipertemukan dengan ibunya ’ .  

Daripada cerita ini jelas menunjukkan bahawa orang yang telah mati juga boleh berkata-kata, berbual-bual dan bertanya khabar sesama mereka .

Cerita ini samalah seperti hadits yang menceritakan mengenai orang yang telah meninggal dunia dan telah dikebumikan, menjawab salam yang diucapkan oleh orang yang hidup ketika melintasi kawasan kuburnya .

Kadangkala ada manusia yang sampai ke tahap keramat / karamah ( wali ) dan setelah dikebumikan, mereka juga akan diperdengarkan kepadanya apa yang sedang berlaku di dunia . 

Perihal Nabi Isa 'alaihis salaam turun kebumi sebelum Qiyaamah ( Kitab Furu'ul Masaail )

Soal :

Berapa lamakah Nabi Isa ‘alaihis salaam akan berada di bumi selepas Baginda kembali dan apa yang akan dilakukannya ?

Jawab :

Adapun lama masa Nabi Isa ‘alaihis salaam berada di bumi mengikut sesetengah pendapat ‘Ulama ialah selama 40 tahun, ada pendapat lain mengatakan selama 33 tahun iaitu sama usianya ketika ia diangkat naik ke langit dan dialah yang akan membunuh Dajjal di Damsyik ( Syria ) .

Kemudian keluar pula Ya΄juj dan Ma΄juj lalu Nabi Isa ‘alaihis salaam dan orang beriman akan lari ke Bukit Thur . Selepas itu, Al Quran pula diangkat dan akhir sekali barulah semua manusia dimatikan . Selepas itu, tinggallah bumi selama 40 tahun sebelum ditiup sangkakala yang pertama, kemudian itu diturunkan hujan yang dinamakan “ air hidup ” .

Sebaik turun hujan, maka tumbuhlah jasad-jasad manusia . Pada ketika itu itulah ditiupkan sangkakala yang kedua, tiba-tiba keluarlah roh-roh mencari jasadnya . Sebaik roh bertemu semula dengan jasadnya, maka iapun hidup semula .  
     

'AQABAH KEDUA : 'AQABAH TAUBAT - SIRI 3 ( KITAB MINHAJUL 'ABIDIN )

AQABAH TAUBAT SIRI 3 

FASHLUN

Ini suatu fashal, kemudian ketahui olehmu dengan yakin bahawasanya ‘aqabah ini ialah ‘aqabah yang sangat payah pekerjaannya, amat dicita-cita dan mudharatnya amat besar . Maka sanya telah sampai akan kami daripada Ustaz Abi Ishaq Al Asfarayini Rahimahullaahu Ta‘ala dan adalah ia daripada orang yang mahir pada ‘ilmu lagi ‘amilin bahawasanya berkata ia : Aku pinta akan Allah Ta‘ala tiga puluh tahun bahawa diberikan daku taubat yang nashuha . Maka tiada diberi akan daku hingga sekarang . Kemudian maka tercengang aku pada diriku dan berkata aku : Subhaanallaah, satu hajat aku minta akan Allah padanya tiga puluh tahun, maka tiada perkenan bagiku, maka aku lihat seperti barang yang melihat oleh orang yang tidur seperti bahawasanya kata ia bagiku : Adakah engkau ‘ujub daripada yang demikian itu, adakah kamu ketahui apa yang kamu pinta . Sungguhnya kamu meminta Allah bahawa Ia kasih akan dikau : Tiadakah engkau dengar firman Allah Ta‘ala :

َ ﭐﻟﻤََُِِّﻴﻦ    ُُِّ  َ   َ ﭐﻟﺘََّّٰﺑِﻴﻦ   ُُِّ   َ ﭐﷲ  َّ ٳﻦ
Bahawasanya Allah Ta‘ala kasih akan orang yang banyak taubatnya dan kasih akan orang yang banyak bersuci
( Shurah Al Baqarah : Ayat 222 )

Maka adakah ini hajatnya itu mudah, ya’ni minta tiga puluh tahun itu nisbah bahawa dikasih Allah akan dia amat sedikit lagi mudah .

Dan adapun mudharat yang ditakut itu, maka bahawasanya pertama-tamanya dosa itu keras hati dan akhirnya kami berlindung dengan nama Allah kelam dan celaka . Maka takut olehmu, dan bahawa engkau lupa akan pekerjaan Iblis dan Bal‘am bin Ba‘ura adalah ia mula-mula pekerjaannya dosa dan akhirnya kufur, maka binasa keduanya serta orang yang binasa selama-lamanya . Maka lazim olehmu dikasihani Allah akan kamu dengan jaga dan bersungguh-sungguh, mudah-mudahan bahawa engkau tinggalkan urat mudharat ini daripada hatimu dan engkau lepas batang lehermu daripada dosa ini dan jangan kamu sentosakan daripada keras hati dan tilik olehmu akan kelakuanmu .

Sanya telah berkata setengah daripada orang yang shalihin : Bahawasanya hitam hati itu daripada dosa . Dan ‘alamat kelam hati itu bahawa tiada dapat daripada dosa itu terkejut, ya’ni tiada terkejut hatinya tatkala jatuh dosa dan tiada bagi tha‘at itu terasa manisnya dan tiada bagi pengajaran itu masuk pada hati . Dan jangan kamu hinakan daripada dosa suatu, maka sangka akan dirimu orang taubat dan engkau itu mengekali atas dosa .

Maka sungguhnya telah sampai kepada kami daripada Kahmas anak Hasan bahawasanya berkata ia : Berdosa aku akan dosa yang amat besar dan aku duduk menangis atasnya masa empat puluh tahun . Ditanya orang baginya : Dan apa ia hai Aba ‘Abdullah ? Katanya : Telah ziarah akan daku saudara bagiku fillaahi Ta‘ala . Maka aku beli baginya ikan, maka makan ia, kemudian berdiri aku kepada pagar rumah jiranku, maka aku ambil daripadanya sepotong tanah, maka membasuh dengan dia tangannya dan tiada aku minta halal daripada empunyanya dahulu, inilah dosaku .

Dan demikian lagi ada seorang lagi menyurat surat kiriman padahal ia duduk pada rumah sewanya berkehendak ia bahawa menaruhkan debu pada suratannya daripada tanah yang pada jidar ( dinding ) rumah itu, maka terlintas dengan hatinya bahawasanya rumah ini sewa . Kemudian maka terlintas pula pada hatinya tiada yang membinasakan dengan sedikit tanah ini, maka diambil akan dia, maka ditaruh pada suratnya . Maka mendengar ia akan hatinya berkata lagi : Akan mengetahui oleh orang yang meringan dengan tanah ini barang yang dijatuhkan esok hari daripada panjang hisabnya . Maka bersungguh-sungguh olehmu kira-kira dirimu dan hisabkan dia dan segerakan kepada taubat, maka bahawasanya ajalmu itu tersembunyi daripadamu dan dunia banyak tipu-dayanya dan tadarru’ olehmu kepada Allah dan menghinakan diri dan sebut olehmu akan hal bapa kamu Adam ‘Alaihis salaam yang telah dijadikan Allah dengan tanganNya dan ditiup padanya rohnya dan menanggung akan dia kepada Syurga di atas bahu Malaikat dan tiada berdosa ia melainkan dosa yang satu jua . Maka diturunkan dia barang yang turun hingga diriwayat bahawasanya Allah Ta‘ala berfirman baginya : Hai Adam, di mana sekampung ada aku bagimu . Maka sembah ia : Bahkan, sebaik-baik sekampung hai Tuhanku itu Engkau . FirmanNya : Hai Adam, keluar olehmu daripada berjiran bagiKu dan hantarkan daripada kepalamu mahkota karamahKu, maka bahawasanya tiada berjiran akan Daku daripada orang yang ma’shiat akan Daku .

Hingga bahawasanya diriwayat, menangis ia atas dosanya dua ratus tahun hingga diterima Allah akan taubatnya dan diampun akan dosanya yang satu . Dan ini halnya Allah Subhaanahu wa Ta‘ala serta NabiNya dan shafiyahNya        ( pilihanNya ) pada dosa yang satu . Maka betapa hal orang yang lain di dalam dosa yang tiada berhingga .

Dan inilah serta tadarru’ dan ibtihal orang yang taubat, maka betapa orang yang meninggalkan lagi memayahkan dan memudahkan . Dan sungguhnya telah elok orang yang berkata takut di atas dirinya oleh orang yang bertaubat, maka betapa engkau lihat hal mereka yang tiada sekali-kali taubat . Dan jika engkau taubat, kemudian maka engkau binasakan taubat engkau dan kembali engkau pula kepada dosa yang kedua kalinya, maka kembali pula olehmu kepada taubat pula dengan bersegera . Dan kata olehmu bagi dirimu : Mudah-mudahan aku mati dahulu daripada bahawa aku kembali kepada dosa sekali ini . Dan demikian lagi kedua kalinya dan ketiga kalinya .

Dan demikianlah dan seperti kamu mengerjakan dosa dan kembali pula kepadanya mengerjakan dia ‘ibadat, maka ambil olehmu akan taubat dan kembali kepadanya akan kerjaanmu pula . Maka jangan kamu jadikan taubat itu terlebih lambat ( melambat-lambatkan ) daripadamu seperti barang yang kembali mengerjakan dosa dan jangan kamu putus asa dan jangan menegahkan dikau oleh syaithan daripada taubat dengan sebab yang demikian itu, maka bahawasanya tanda kebajikan, tiadakah engkau dengar sabda ‘alaihish shalaatu was salaam :
ٍ ََّﺍﺏ  ٍ ََُّ   ُّ ُ   ْ َِﺎﺭُُ
Sebaik-baik kamu itu tiap-tiap yang kebanyak fitnah taubatnya ’ .

Ertinya, yang banyak kena bala dengan dosa, banyak taubat daripadanya dan kembali kepada Allah Ta‘ala ‘Azza wa Jalla dengan nadaamah, ya’ni menyesal dan istighfar dan ingat bagi firman Allah Subhaanahu wa Ta‘ala :

َِﻳﻤً  َُﻭﺮً َ ﭐﷲ ِ َِ  ﭐﷲَ ِ ََِۡۡ  َُّ  َََۡ٫ُ  ۡ َِۡ  ﺃﻭۡ  ًََ  ََۡۡ  َ  ﻭَ
Barang siapa mengerjakan kejahatan atau menzalimkan dirinya, kemudian minta ampu akan Allah, didapat ia akan Allah Tuhan yang amat mengampuni lagi amat kasih sayang ” .
( Shurah An Nisaa΄ : Ayat 110 )

Maka inilah wabillaahi taufiq .