Khamis, 23 Jun 2011

Adab – Adab Isteri Yang Tha‘at Muhimmah siri12


Dan setengah daripada adab yang lazim atas isterinya :



Kasih sayang ia atas segala kelakuan suaminya .

Dan memeliharakan ia akan harta suaminya, sama ada suaminya itu hadir atau ghaib .

Dan kasih sayang ia dengan segala kerabat suaminya .

Dan kasih sayang akan segala anak suaminya .

Dan memeliharakan ia daripada memaki anaknya .

Dan memeliharakan pula daripada melawan perkataan suaminya 


Dan sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Bermula yang terlebih hampir perempuan kepada rahmatnya Tuhannya itu, apabila ada ia duduk di dalam rumahnya, dan bahawa sesungguhnya sembahyang di dalam serambi rumahnya itu terlebih afdhal ia daripada sembahyang di dalam masjid .

Dan sembahyangnya di tengah rumah itu yang terlebih afdhal ia daripada sembahyangnya di dalam serambi rumahnya . Dan sembahyang di dalam rumahnya itu terlebih afdhal daripada sembahyang di tengah rumah .

Dan apabila keluar perempuan dengan izin suaminya, maka sayugianya dengan pakaian yang buruk-buruk,

Dan jangan berhiasan dengan memakai pakaian yang baik-baik, dan jangan memakai bau-bauan,

Dan sayugianya, berjalan ia pada tempat yang sunyi, jangan ia berjalan pada tengah pekan dan pada hadapan orang yang banyak-banyak, serta memeliharakan pula daripada di dengar oleh lelaki yang helat ( ajnabi ) akan suaranya,

Dan memeliharakan pula daripada dikenal oleh orang akan rupanya. Dan jangan ia hirau sekali-sekali kepada lelaki yang lain daripada shahabat suaminya pada menuntut satu hajat .

Dan setengah daripada adab yang lazim atas isterinya itu bahawa :

Jangan ia membanyakkan pergi-datang kepada rakan sekampung 

Dan jangan membanyakkan berkata dengan orang yang sekampung .

Dan jangan ia masuk ke rumah sekampungnya, melainkan kerana suatu hajat yang tiada dapat tiada .

Dan apabila meminta izin akan dia oleh seorang daripada shahabat suaminya masuk ke rumah padahal suaminya tiada hadir, maka jangan sekali-kali ia memberi izin akan dia kerana memeliharakan ia akan cemburu oleh suaminya itu 

Dan lagi hendaklah memadai dengan barang yang memberi rezeki akan dia oleh Allah Ta’ala . Dan jangan ia menuntut akan suaminya itu sesuatu yang lebih daripada yang didatangkan oleh suaminya itu .

Dan lagi sayugianya mendahulukan ia akan hak suaminya daripada hak dirinya dan daripada hak segala kerabatnya .

Dan setengah daripada adab yang lazim atas isterinya itu, hendaklah menuntut ia akan kesukaan suaminya itu sekalian perbuatannya . Dan jangan sekali-kali ia berbuat khianat akan suaminya, dan akan hartanya .

Dan hendaklah pula isterinya, ia sentiasa suci badannya dan kainnya kerana menyediakan ia akan dirinya bagi suaminya, manakala dikehendak oleh suaminya, nescaya hadir ia padanya .

Dan jangan pula bangkit atas suaminya sebab elok rupanya atau sebab banyak hartanya . Dan jangan pula menghina-hinakan suaminya itu kerana faqir dan miskin .

Dan jangan sekali menyakiti akan suaminya pada suatu hal, sama ada perbuatan atau perkataan atau pada kelakuan, maka jikalau adalah salah suatu daripada yang tersebut itu sehabis-habis celaka, dan lagi akan menyesallah ia pada hari Akhirat sehabis-habis sesal daripada segala perbuatan yang menyakiti akan suaminya di dalam dunia ini, maka tiada jua suatu faedah kerana bukan ketika itu, dan bukan pula waktunya .

Dan hendaklah ia berkhidmat akan sekalian pekerjaan yang di rumah suaminya itu sekira-kira kuasa atasnya .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan