Rabu, 4 Julai 2012

Puasa Siri 2

Fashal Pada Menyatakan Segala Rukun Puasa Dan Syaratnya Dan Barang Yang Ta‘alluq Dengan Dia


( Bermula ) Rukun puasa itu tiga perkara :

( Pertama ) Niat . Dan hanyasanya wajib niat dengan hati jua . Dan sunat melafazkan dia dengan lidah . Dan wajib berniat puasa tiap-tiap hari, sama ada puasa itu fardhu atau sunat dari kerana puasa di dalam tiap-tiap hari itu suatu ‘ibadah masing-masing berkehendak sekalian kepada niat . Maka jika berniat seseorang pada malam yang pertama daripada bulan Ramadhan bahawa ia puasa sebulan Ramadhan, tiadalah memada ia akan dia niat yang demikian itu melainkan bagi puasa hari yang pertama jua, tetapi sayugianya hendaklah ia berniat seperti demikian itu pada malam pertama daripada bulan Ramadhan supaya hasil pahala puasa Ramadhan jika lupa ia akan niat pada setengah daripada segala malamnya yang kemudian daripada itu dapar ia taklid pada madzhab Maliki memada ia akan niat yang demikian itu .

( Dan wajib ) Pada puasa fardhu berniat pada malam iaitu barang yang antara masuk matahari dan terbit fajar, sama ada ia fardhu Ramadhan atau nadzar atau kaffarah dan sama ada ia puasa tunai atau puasa qadha΄ dan jikalau pada puasa kanak-kanak yang mumaiyyiz sekalipun kerana sabda Nabi s.a.w :

Ertinya : Barang siapa tiada bermalamkan niat puasa dahulu daripada fajar, maka tiadalah baginya puasa ’ .

Dan tiada batal niat itu sebab jima’ ia atau makan atau minum atau menyahaja muntah atau barang sebagainya kemudian daripada berniat pada malam . Dan sah niat bagi perempuan yang haidh atau nifas jika putus haidhnya atau nifasnya kemudian daripada berniat pada malam dengan syarat jika genap masa sebanyak-banyak haidh atau nifas atau genap sekadar ‘adatnya, maka tiada wajib membaharu niat yang lain pada segala orang yang tersebut itu . Maka diketahui daripada wajib berniat itu pada malam, bahawa tiada memadai niat itu jika beserta ia dengan naik fajar atau syak ia pada niatnya itu, adakah jatuh ia dahulu daripada fajar atau kemudiannya, tetapi jika berniat ia, kemudian maka syak ia, adakah sudah terbit fajar tatkala berniat atau belum lagi terbit, maka iaitu tiada mengapa kerana yang asalnya itu malam jua .

( Dan demikian lagi ) Jika syak ia pada siang hari, adakah berniat ia pada malam atau tiada, kemudian maka ingat ia akan sudah berniat dan jikalau ada waktu ingat itu kemudian daripada lalu masa siang hari terbanyak daripada yang tinggal sekalipun seperti ingat ia dahulu daripada masuk matahari, maka iaitu tiada mengapa . Bersalahan jika lalu masa yang tersebut itu dan tiada ingat ia akan dia, maka tiadalah sah niatnya .

Dan tiadalah wajib pada segala puasa sunat berniat pada malamnya, hanya yang demikian itu terakmal jua . Maka memadailah pada puasa sunat berniat pada siang hari dahulu daripada gelincir matahari kerana tersebut di dalam hadits yang shahih bahawasanya Nabi s.a.w masuk ia kepada rumah Siti ‘Aisyah pada suatu hari, maka sabdanya bagi Aisyah :

Ertinya : Adakah pada kamu daripada makanan pagi ? Maka sembahnya Siti Aisyah ; Tiada ada, maka sabda Nabi s.a.w bahawasanya ; ‘ Aku puasa ’.

Dan tak dapat tiada daripada berhimpun bagi segala syarat puasa seperti bahawa ditahaninya dirinya daripada segala yang membatalkan puasa mula-mula dari pada fajar kerana dihukumkan di atasnya dengan bahawasanya ia puasa dari pada awal siang hari hingga diberi pahala ia atas sekalian hari puasanya kerana puasa tiada ia bersetengah . Dan jika tiada berhimpun segala syaratnya, maka tiadalah sah puasanya .

Dan jikalau berpagi-pagi seseorang dan tiada ia berniat puasa tatkala itu, kemudian maka berkumur-kumur ia dengan tiada mubaalaghah, maka lalu termasuk air ke dalam perutnya, kemudian maka berniat ia puasa sunat, sahlah puasanya . Dan seperti demikian inilah tiap - tiap barang yang tiada batal dengan dia puasa .

( Dan wajib ) Pula pada puasa fardhu itu menta’yinkan yang diniatkannya, sama ada yang diniatkannya itu puasa Ramadhan atau nadzar atau kaffarah seperti diniatkannya ; Sahaja aku puasa esok hari daripada bulan Ramadhan atau daripada nadzar atau daripada kaffarah, dan jika tiada dita’yinkannya akan sebabnya sekalipun, tetapi jika yakin seseorang akan bahawasanya ada atasnya puasa fardhu sehari dan syak akan ketentuannya, adakah ia fardhu qadha΄ atau nadzar atau kaffarah nescaya memadailah akan dia berniat puasa yang wajib dan jika ada ia serta syak sekalipun kerana dharurat .

( Dan demikian lagi ) Wajib ta’yin pada puasa sunat yang berwaktu seperti Isnin dan Khamis dan ‘Arafah dan ‘Asyuraa΄ dan Aiyyaam Al Baidha’ ( hari yang ketiga belas dan empat belas dan lima belas pada tiap-tiap bulan ) dan puasa enam hari daripada bulan Syawal .

( Dan demikian lagi ) Pada puasa sunat yang baginya sebab seperti puasa minta hujan yang tiada disuruhkan Imam dan hanyasanya ta’yin itu jadi syarat bagi sah puasa sunat jika ada puasa sunat itu dimaksud bagi dirinya dengan tertentu . Adapun jika tiada puasa itu dimaksud bagi dirinya dengan tertentu, hanya yang dimaksud wujud puasa sebarang puasa, maka ta’yin padanya tiada jadi syarat sah, hanya adalah ia jadi syarat sempurna dan menghasilkan pahala atasnya . Dan tiada wajib ta‘arrudh, ya’ni meniatkan fardhu puasa yang fardhu kerana bahawasanya puasa Ramadhan daripada yang baligh tiada jatuh melainkan fardhu . Bersalahan shalat, maka wajib padanya meniatkan fardhu dari kerana shalat Zhuhur umpamanya daripada yang baligh terkadang jatuh sunat seperti shalat mu‘aadah, maka diketahui daripada yang demikian itu bahawasanya sekurang-kurang niat puasa Ramadhan itu bahawa dihadirkannya di dalam hatinya : ‘ Sahaja aku puasa esok hari daripada Ramadhan’ .

( Bermula ) Niat yang akmal itu: Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta‘ala .

( Bermula ) Wajah akmal niat seperti demikian itu supaya sah ia dengan tiada khilaf sekalian ‘Ulama΄ dan supaya beza ia daripada segala lawannya seperti qadha΄ dan puasa sunat dan fardhu nadzar atau kaffarah dan Ramadhan tahun lain, maka diketahui daripada yang demikian itu bahawa tiada wajib meniatkan tunai dan mengidhafatkan kepada Allah Ta‘ala seperti tiada wajib meniatkan fardhu .

( Dan demikian lagi ) Tiada wajib mengta’yinkan tahun kerana meniatkan puasa esok hari itu memada ia daripadanya . Adapun meniatkan ‘esok hari’, maka iaitu wajib, tak dapat tiada daripadanya, tetapi memada ia pada setengah tempat meniatkan yang umum yang terkandung dalamnya, ‘esok hari’, iaitu seperti berniat seseorang pada malam yang pertama daripada bulan Ramadhan . Demikianlah niatnya : Sahaja aku puasa bulan Ramadhan sekaliannya . Maka sahlah puasanya bagi hari yang pertama dengan tiada meniatkan esok hari kerana sebulan Ramadhan itu mengandung ia akan esok hari . Demikianlah yang tersebut di dalam Tuhfah dan Nihaayah dan Mughni serta berlain-lainan ‘ibarat dan maksud satu jua . Adapun kata Syeikhul Islam di dalam Fathul Wahhab ; Tiada wajib meniatkan esok hari, maka iaitu dita΄wilkan dengan yang tersebut itu seperti ‘ibarat Nihaayah, ya’ni tiada wajib meniatkan esok hari dengan khusus esok hari kerana memada ia meniatkan yang umum yang mengandung ia akan esok hari tetapi salah suatu daripada keduanya wajib .

Soal ﴿ Jika seseorang makan sahur kerana puasa atau supaya kuat ia puasa atau minum air ia supaya tiada dahaga ia pada siangnya atau enggan ia dari pada makan atau minum atau jima’ kerana takut ia akan kedatangan terbit fajar, adakah memada ia yang demikian itu akan niatnya atau tiada ? Jawab ﴿ Memada ia yang demikian itu akan niatnya jika tergerak pada hatinya akan puasa dengan segala shifatnya yang disyaratkan pada niat seperti bergerak pada hatinya pada ketika itu puasa Ramadhan kerana yang demikian itu melazimkan qashad akan yang demikian itu pada ghaalib .

Masalah ﴿Jikalau berniat seseorang pada malam yang ketiga puluh daripada bulan Sya‘aban : Aku puasa esok hari daripada Ramadhan jika ada hari esok itu daripada Ramadhan, kemudian nyata keadaannya itu daripada Ramadhan, tiada sah puasanya kerana ketiadaan jazam ia pada niat melainkan jika dizhankan akan dia daripada Ramadhan sebab mendengar perkataan orang yang kepercayaan daripada sahaya atau perempuan atau fasiq atau muraahiq atau kanak-kanak yang mumaiyyiz atau dengan sebab melihat qandil ( lampu ) yang tergantung di atas menara, maka sahlah puasanya kerana jazam ia dengan niat hingga jika nyata pada malam itu bahawa esok hari daripada Ramadhan tiadalah berkehendak ia kepada memperbaharui niat .

( Jikalau ) Berniat ia pada malam yang ketiga puluh daripada Ramadhan ; Aku puasa esok hari jika ada ia daripada Ramadhan, sahlah puasanya daripada Ramadhan jika ada esok hari itu daripada Ramadhan kerana yang asalnya bahawa kekal keadaannya daripada Ramadhan .

Masalah ﴿ Jikalau serupa atas seseorang bulan Ramadhan dengan bulan yang lain sebab ditawan oleh kafir atau terpenjara, maka hendaklah ia puasa sebulan dengan ijtihad seperti ijtihad pada menentukan Kiblat dan waktu bagi shalat . Maka jika puasa ia sebulan dengan tiada ijtihad, tiadalah sah puasanya . Dan jika ketahuan kemudian bahawa yang dipuasakannya itu bulan Ramadhan sekalipun . Maka jika puasa ia sebulan dengan ijtihad, kemudian maka nyata bahawa puasanya itu jatuh di dalam bulan Ramadhan, maka jadilah puasanya itu tunai dan jika diniatkan qadha΄ sekalipun .

( Dan ) Jika jatuh puasanya itu kemudian daripada bulan Ramadhan, jadilah puasanya itu qadha΄ dan jikalau nyata kurang bulan yang dipuasakannya itu sehari dan adalah bulan Ramadhan itu genap tiga puluh, wajiblah atasnya qadha΄ sehari .

( Dan ) Jika jatuh puasanya itu dahulu daripada bulan Ramadhan, maka ditilik, jika didapatnya bulan Ramadhan seperti ketahuan halnya yang tersebut itu di dalam bulan Sya‘aban, wajiblah atasnya puasa pada bulan Ramadhan yang didapatnya itu . Dan jika tiada didapatnya bulan Ramadhan seperti ketahuan halnya yang tersebut itu di dalam bulan Syawal umpamanya, wajiblah atasnya mengqadha΄ dia kerana nyata bahawa puasanya yang dikerjakan dahulu daripada masuk waktunya, maka iaitu tiada memadai seperti perintah shalat jua Dan jika tiada nyata suatu hal daripada yang tersebut itu, maka tiadalah wajib atasnya qadha΄ kerana yang zhahir sah ijtihadnya .

( Dan demikian lagi ) Jika ijtihad ia, kemudian maka tahaiyyir ia, ertinya tercengang hatinya, tiada hasil baginya zhan akan ketentuannya bulan Ramadhan, tiadalah wajib atasnya suatu kerana ketiadaan yakin ia akan masuk waktu puasa . Dan jika serupa atas seseorang malam dan siang sebab terpenjara pada tempat yang kelam, wajiblah atasnya puasa dengan ijtihad pada menentukan siang daripada malam pada ketika ijtihad akan siangnya dan tiada qadha΄ atasnya jika tiada nyata salahnya kemudiannya .

( Rukun yang kedua ) Menahani dirinya daripada segala yang membatalkan puasa . Maka setengah daripada yang membatalkan puasa itu jima’ iaitu dengan memasukkan sekalian hasyafah dzakar atau kadar hasyafahnya pada dzakar yang terpotong ke dalam faraj jikalau dubur manusia atau lainnya sekalipun, maka batallah puasa dengan yang demikian itu jikalau tiada inzal sekalipun dengan syarat jika tahu ia akan haramnya dan disahajanya lagi dengan ikhtiarnya lagi ada ia waadhih, ya’ni bukan ia khuntsa musykil . Adapun jika ada ia jahil akan haramnya sebab baharu masuk Islam atau ada ia jadi daripada tempat yang jauh daripada ‘Ulama΄ atau jima’ ia dengan lupanya atau digagahi orang akan dia, tiadalah batal puasanya dengan dia .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasanya jika ada ia khuntsa musykil, sama ada dimasukkannya dzakarnya kepada qubul samanya khuntsa atau duburnya atau kepada qubul perempuan atau kepada dubur laki-laki melainkan jika wajib atasnya mandi seperti bahawa diyakinkan keadaannya yang mewathi atau yang diwathi, maka batallah puasanya .

( Dan demikian lagi ) Batal puasa khuntsa jika diwathi akan dia oleh laki-laki pada duburnya . Adapun jika diwathinya akan dia pada qubulnya, maka tiadalah batal puasanya dengan wathinya, tetapi batal puasanya pada pihak memasukkan ‘ain pada rongganya .

( Dan setengah daripada membatalkan puasa ) Mengeluarkan mani dengan yang lain daripada jima’, sama ada haram seperti dikeluarkannya dengan tangannya atau yang harus seperti dengan tangan isterinya atau sahayanya, maka batallah dengan dia puasa orang yang waadhih .

( Dan demikian lagi ) Batal puasa khuntsa yang musykil jika keluar mani itu daripada dua farajnya dengan syarat jika tahu ia akan haramnya lagi dengan disahajanya dan dengan ikhtiarnya . Bersalahan jika jahil akan haramnya dengan uzur seperti ada ia baharu masuk Islam atau jadi jauh daripada ‘Ulama΄ atau dikeluarkannya dengan lupanya atau digagahi orang akan dia, maka tiadalah batal puasanya dengan dia .

( Dan demikian lagi ) Batal puasa dengan inzal sebab bersentuh atau bercium atau berpeluk dengan perempuan dengan tiada berlapik tetapi tiada batal puasa sebab keluar madzi . Bersalahan bagi Madzhab Imam Malik .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasa dengan inzal sebab bersentuh dengan laki-laki yang amrad tetapi sayugia diqadha΄nya puasanya kerana yang demikian itu supaya keluar ia daripada khilaf .

Masalah ﴿ Jika mengaru-garu seseorang akan dzakarnya kerana sangat gatal atau barang sebagainya, maka lalu ia inzal tiadalah batal puasanya, kata Syeikh Muzjid .

Masalah ﴿ Jika gatal dzakar seseorang dan diketahuinya apabila digarunya akan dia nescaya inzal ia, maka digarunya akan dia lalu inzal, maka ditilik, jika tiada dapat ia menahani dirinya daripada mengaru dia, tiadalah batal puasanya dan jika dapat sabar ia yang demikian itu, maka batal puasanya .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasanya dengan inzal sebab tergaru dzakarnya dengan pelana kudanya tatkala mengenderai dia .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasa sebab ihtilam ( keluar mani ketika tidur )

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasa dengan inzal sebab menyentuh faraj binatang atau inzal dengan fikir dan menilik dan menyentuh perempuan dengan berlapik dan jika nipis lapik itu sekalipun dan jika berulang-ulang yang tiga itu dengan syahwat sekalipun kerana ketiadaan mubaasyarah seperti ihtilam tetapi haram mengulang-ulangi dia dan jika tiada inzal sekalipun . Demikianlah kata Asnawi . Dan kata Zarkasyi ; Tiada haram mengulang-ulangi dia melainkan jika inzal ia .

( Dan demikian lagi ) Haram atas yang mencium perempuan atau menyentuh dia pada mulutnya atau lainnya jika tiada kuasa ia menahani dirinya daripada jima’atau inzal kerana yang demikian itu membawa kepada kebinasaan ‘ibadah . Dan jika kuasa ia menahani dirinya daripada yang demikian itu, maka tiadalah haram atasnya mencium dan menyentuh dia tetapi terutama dengan dia meninggalkan dia .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasa dengan inzal sebab menyentuh barang yang tiada membatalkan wudhu΄ seperti menyentuh anggota perempuan yang bercerai .

( Dan demikian lagi ) Jika diciumnya atau dipeluknya akan perempuan dan dijauhkannya dirinya daripadanya dahulu daripada fajar, kemudian maka inzal ia mengiringi fajar, tiadalah batal puasanya dengan dia . Dan jika diciumnya akan perempuan pada siang hari tatkala ia puasa kemudian maka bercerai ia daripadanya saat, kemudian maka lalu inzal, maka ditilik, jika ada syahwatnya itu berkekalan dan dzakarnya itu lagi bangkit hingga inzal, maka batallah puasanya . Dan jika tiada seperti demikian itu, maka tiadalah batal puasanya .

( Dan setengah ) Daripada yang membatalkan puasa menyahaja muntah . Jika tahu ia akan haramnya, lagi dengan ikhtiarnya dan jika yakin ia akan tiada kembali suatu daripada muntah ke dalam perutnya sekalipun, maka batallah puasanya dengan dia . Adapun jika muntah ia dengan lupanya atau dengan digagahi orang akan dia atau jahil ia akan haramnya kerana uzur sebab baharu masuk Islam atau jadi ia jauh daripada ‘Ulama΄, maka tiadalah batal puasanya .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasanya jika ghalabah atasnya muntah, ya’ni mengerasi akan dia muntah sekira-kira tiada tertahan kerana tersebut di dalam hadits yang shahih bahawasanya sabda Nabi s.a.w :

Ya’ni : Barang siapa ghalabah atasnya muntah, maka tiadalah wajib atasnya qadha΄ dan barang siapa menyahaja muntah, maka hendaklah mengqadha΄ puasanya ’ .

( Kata ) Syeikh Ibnu Hajar di dalam Tuhfah ; Jumlah daripada menyahaja muntah orang yang menghela akan benang dari dalam perutnya pada siang hari yang ditelannya akan dia pada malam, maka batallah puasanya dengan dia . Bersalahan yang mengeluarkan pada siang hari akan kapas yang dimasukkannya pada malam ke dalam bathin dzakarnya atau farajnya, maka tiadalah batal puasanya dengan dia .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasanya atas qaul yang mu’tamad jika dikeluarkannya kahak daripada otaknya atau daripada perutnya lalu diludahkannya .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasanya dengan tiada berkhilaf jika keluar kahak daripada otak atau perut dengan sendirinya atau keluar ia dengan sebab batuk atau lainnya, maka lalu diludahkannya akan dia pada dua masalah ini tetapi jika ditelannya akan dia serta kuasa ia meludahkan dia kemudian daripada sampai ia kepada had zhahir mulut, maka batallah puasanya dengan tiada berkhilaf . Maka jika turun kahak daripada otaknya dan sampai ia kepada zhahir mulut iaitu makhraj Ø­ yang tiada bertitik, maka hendaklah diludahkannya akan dia supaya tiada termasuk suatu daripadanya ke dalam perutnya dari kerana jika tiada diludahkannya akan dia serta kuasa ia atas meludahkannya, maka sampai ia ke dalam perutnya, batallah puasanya dengan dia kerana taqshirnya . Bersalahan jika tiada sampai kepada had zhahir mulut dan jika kuasa atas meludahkan dia sekalipun atau sampai ia kepada had zhahir tetapi lemah ia daripada meludahkan dia, maka tiada batal puasanya dengan dia .

( Dan setengah ) Daripada yang membatalkan puasa itu memasukkan suatu ‘ain ke dalam lubang yang dinamai rongga dengan syarat jika sampai ia kepada rongga itu daripada lubang yang terbuka dan jika ada ‘ain yang dimasukkan itu kecil seperti biji sawi atau tiada dimakan ia pada ‘adat seperti batu yang seni sekalipun, maka batallah puasanya dengan dia jika tahu ia akan haramnya lagi dengan disahajanya dan dengan ikhtiarnya, sama ada pada rongga itu kuat yang menghancurkan makanan dan ubat seperti bathin perut dan perkemihan ( dubur atau faraj ) dan bathin otak atau tiada baginya kuat menghancurkan makanan dan ubat seperti bathin telinga dan bathin lubang dzakar atau faraj dan lubang hujung susu, maka batallah puasa dengan makan dan minum dan memasukkan sa‘uuth ( ubat bersin yang dimasukkan ke hidung ) ke dalam otak dan memasukkan huqnah ( jarum suntikan) ke dalam perkemihan atau memasukkan suatu ubat atau lainnya kepada bathin luka iaitu luka jaaifah iaitu luka yang terus ke dalam rongga seperti perut atau dada atau kepada bathin luka ma΄muumah iaitu luka yang sampai kepada kerongkong otak dan jika tiada sampai yang dimasukkan itu ke dalam otak sekalipun .

( Dan demikian lagi ) Batal puasa jika dititikkan air atau minyak atau barang sebagainya pada bathin lubang telinga dan lubang susu dan lubang dzakar dan jika tiada terlampau hasyafah dan hujung susu sekalipun .

( Dan demikian lagi ) Batal puasa jika dimasukkannya hujung jari pada dubur atau faraj hingga terlampau daripada had yang wajib membasuh dia tatkala istinja΄ . Maka keluar dengan kata, ‘yang dinamai rongga’, barang yang tiada dinamai rongga iaitu seperti di dalam sumsum dan di dalam daging paha . Maka jika mengubati seseorang akan lukanya yang pada betisnya atau pada betis pahanya, maka sampai ubat itu ke dalam sumsum betisnya atau ke dalam daging pahanya, maka tiadalah batal puasanya dengan dia .

( Dan demikian lagi ) Jika dicucukkannya jarum besi umpamanya ke dalam daging pahanya, tiadalah batal puasanya kerana tiada di sana rongga . Dan jikalau sengaja menikam seseorang akan dirinya dengan sikkin ( pisau ) umpamanya atau menikam akan dia orang yang lain dengan izinnya, maka sampai sikkin itu ke dalam rongganya atau dimasukkannya kayu atau barang sebagainya ke dalam lubang dzakarnya atau telinganya, maka sampai ia kepada bathinnya, batallah puasanya dengan dia .

Dan keluar dengan kata, ‘daripada lubang yang terbuka’, barang yang sampai kepada rongga daripada lubang yang tiada terbuka, maka tiada batal puasa dengan berminyak jika meresap minyak pada segala lubang pohon roma dan rambut dan dirasanya akan minyak itu sampai kepada rongganya sekalipun kerana tiada dimasukkannya kepada rongganya daripada lubang yang terbuka .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasa dengan bercelak dan jika didapatnya warna celak pada ludahnya dan dirasanya rasa celak pada kerongkongnya sekalipun dari kerana tiada lubang yang terbuka pada matanya hingga rongkongannya, maka iaitu seperti minyak yang meresap pada segala lubang pada pohon roma rambut jua .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasa dengan mandi dan jika meresap air kepada bathinnya daripasa segala lubang pohon roma dan rambut sekalipun kerana tiada sampai ia kepada kepada rongganya daripada lubang yang terbuka . Dan tiada makruh bagi yang puasa mandi dan berminyak dan bercelak, hanya yang demikian itu khilaful aula ertinya menyalahi yang terutama, maka yang terutama bagi yang puasa bahawa jangan ia mandi dan berminyak dan bercelak kerana pada Madzhab Imam Malik, batal puasa dengan bercelak .

( Dan ) Lagi akan datang perkataan bahawasanya jika termasuk air ke dalam rongganya daripada lubang yang terbuka seperti telinganya tatkala mandi menyelam kerana menyejukkan badan, batallah puasanya dengan dia . Dan tiada batal dengan berbuang darah dengan berpentik ( menderma darah ) atau berbekam tetapi terutama janganlah ia berbuang darah kerana yang demikian itu mendhaifkan badannya . Dan jika keluar dubur yang berpenyakit buasir, maka tiadalah batal puasanya dengan memasukkan dia atau termasuk ia dengan sendirinya kerana sangat hajatnya kepada memasukkan dia dan wajib membasuh duburnya dari pada cemar dan lendir yang ada ia padanya jika tiada memberi mudharat ia akan dia .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasa jika termasuk lalat atau nyamuk dan umpamanya pada bathin mulutnya, maka janganlah dikeluarkannya akan dia . Dan jika dikeluarkannya akan dia, batallah puasanya kerana yang demikian itu jumlah daripada menyahaja muntah kata Syeikh Ibnu Hajar di dalam Tuhfah . Dan adalah kebanyakan manusia yang termasuk lalat ke dalam perutnya tatkala ia puasa bersungguh-sungguh ia pada mengeluarkan dia, maka iaitu khatha΄ tetapi jika takut ia akan mudharat seperti yang mengharuskan tayammum, maka haruslah baginya mengeluarkan dia dan wajib atasnya menqadha΄ puasa itu .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasa termasuk debu jalan yang suci dan debu tepung tatkala diseraki, sama ada ia sedikit atau banyak kerana sukar memeliharakan daripadanya tetapi jika disahajanya membukakan mulutnya hingga masuk debu itu ke dalam mulutnya, maka batallah puasanya jika ada debu itu banyak . Dan jika ia sedikit pada ‘uruf, maka tiada batal puasanya . Kata Shaahibul Anwar ; Dan jikalau dibukakan mulutnya di dalam air, maka masuk air ke dalam perutnya, batallah puasanya kerana tiada sukar memeliharakan daripadanya . Dan jikalau dihantarkan suatu ke dalam mulutnya dengan disahajanya kerana gharadh, kemudian maka ditelannya akan dia dengan lupanya, tiadalah batal puasanya . Dan yang meneguh akan dia kata Daarimi ; Jikalau ada pada mulut seseorang atau hidungnya air, kemudian maka bersin ia lalu turun air ke dalam perutnya atau ternaik ia ke dalam otaknya, tiadalah batal puasanya .

( Dan demikan lagi ) Tiada batal puasa sebab merasai makanan dengan lidah dan jika sampai rasa makanan itu kepada rongkongan sekalipun dari kerana rasa makanan itu atsar jua, bukan ‘ain .

( Dan demikian lagi ) Tiada batal puasa sebab mencium bunga-bungaan atau asap setanggi atau barang sebagainya dan jika sampai bau dan asap itu ke dalam otak atau ke dalam perutnya sekalipun kerana bau asap itu atsar jua, bukan ‘ain pada ‘uruf . Kata Syeikh Syabramallisi ; Diambil daripada yang demikian itu bahawasanya tiada batal puasa dengan menghisap asap tembakau kerana asap tembakau itu atsar jua, bukan ‘ain pada ‘uruf seperti asap setanggi jua . Dan adalah Syeikh Zayaadi berfatwa ia ; Ia dengan yang demikian itu pada mula-mula, kemudian maka dibawa oleh setengah daripada segala murid Syeikh akan buluh penyedutan tembakau, maka dipecahnya akan dia di hadapan Syeikh itu dan diperlihatkannya akan dia ‘ain yang beku di dalam buluh daripada bekas asap tembakau serta katanya baginya ; ‘ Inilah ‘ain, bukan atsar ’, maka ruju’lah Syeikh itu daripada fatwa yang dahulu lalu berkata ia : Manakala adalah asap tembakau itu ‘ain, batallah puasa dengan menghisap dia . Kata Syeikh Thaaifi ; Maka tembakau apabila disampaikan asapnya kepada rongga, maka batallah puasa dengan dia pada Syeikh Ibnu Hajar dan Syeikh Zayaadi dan Syeikh Barmawi dan segala mereka yang mengikut dia apabila dihisap asap tembakau dan sampai kepada rongga, batallah puasa dengan dia katanya . Dan dibezakan antara asap tembakau dan asap setanggi bahawasanya asap tembakau itu diqashad akan dirinya, tiada baunya dan asap setanggi itu diqashad baunya, tiada dirinya dan lagi asap tembakau itu disampaikan ke dalam rongga dengan perbuatan atas kelakuan suatu yang diminum, maka sampainya ke dalam rongga terbanyak daripada barang yang sampai ia daripada asap setanggi dan adalah asap tembakau yang berhimpun dengan kelakuan yang tersebut itu dibilangkan ‘ain pada ‘uruf seperti yang didengar daripada ahlil ‘urfi hingga inilah hasil perkataan Syeikh Thaaifi . Dan seperti demikian itulah taqrir Syeikh Ahmad Nakhli dan Syeikh ‘Ali Shaufi di dalam pengajarannya .

( Syahdan ) Telah terdahulu perkataan bahawasanya batal puasa dengan menyahaja memasukkan ‘ain ke dalam rongga, lagi dengan syaratnya tahu akan haramnya, lagi dengan ikhtiar . Maka jika makan atau minum seseorang dengan lupanya akan dirinya puasa atau jahil ia akan haramnya atau digagahi orang akan dia atasnya, maka tiada batal puasanya dan jika ada yang dimakannya atau yang diminumnya itu banyak sekalipun kerana tersebut di dalam hadits shahih bahawasanya sabda Nabi s.a.w :

Ya’ni : Barang siapa lupa ia tatkala puasa, maka makan atau minum ia, maka hendaklah ditamamkannya puasanya, maka hanyasanya Allah Ta‘ala menganugerahi akan dia makanan dan minuman dan tiada qadha΄ atasnya dan tiada kaffarah ’ .

( Maka ) Iaitu bersalahan dengan hukum orang yang shalat, maka batallah shalatnya kerana makan banyak dengan lupanya . Maka dibezakan antara yang puasa dan yang shalat bahawasanya orang yang shalat ada baginya kelakuan yang mengingatkan akan dirinya di dalam shalat, maka dibangsakanlah dirinya itu kepada taqshir sebab makan banyak dengan lupa, maka batallah dengan dia shalatnya . Bersalahan yang puasa, maka tiada baginya kelakuan yang mengingatkan dirinya di dalam puasa, maka sebab itulah tiada dibangsakan dirinya kepada taqshir sebab makan banyak dengan lupa, maka tiadalah batal puasanya dengan dia . Dan seperti makan dan minum tiap-tiap yang membatalkan puasa apabila dikerjakan dengan lupa, tiada batal puasanya dengan dia melainkan riddah, maka batal puasa dengan dia dan jika segera ia kembali masuk Islam sekalipun .

Dan tiada batal puasa dengan menelan air liurnya semata-mata yang khaalish lagi suci yang di dalam mulutnya dan jikalau dengan dihimpunkannya hingga banyak lalu ditelannya sekalipun . Maka keluar dengan kata, ‘air liurnya’, menelan air liur orang lain, batallah puasanya dengan dia .

Dan keluar dengan kata, ‘air liurnya yang khalish’, menelan air liurnya yang tercampur suatu yang suci seperti memintal ia akan benang yang bernila dengan mulutnya maka tercampur air liurnya dengan nila benang itu lalu ditelannya, maka batallah puasanya dengan dia kerana sebab bercampur, jadilah seperti air liur orang yang lain .

Dan keluar dengan kata, ‘air liur yang suci’, iaitu menelan air liur yang kena najis dengan darah atau lainnya dan jika tiada kelihatan warna darah sebab diludah kannya beberapa kali sekalipun, maka batal puasanya kerana air liur itu sebab kena najis, jadilah seperti suatu ‘ain yang lain .

Dan keluar dengan kata, ‘air liur yang di dalam mulutnya’, iaitu menelan air liurnya yang telah keluar daripada mulutnya jikalau pada zhahir bibirnya sekalipun atau seperti dibasahinya benang atau sugi dengan air liurnya atau dengan air, kemudian maka dimasukkan benang atau sugi itu ke dalam mulutnya serta ada atasnya basah yang bercerai daripadanya lalu ditelannya, maka batallah puasanya dengan dia kerana air liur itu sebab bercerai ia daripada tempatnya di dalam mulut, jadilah ia seperti suatu ‘ain yang lain . Tetapi jika dikeluarkannya lidahnya yang ada atasnya air liurnya, kemudian maka dimasukkannya pula lidahnya lalu ditelannya air liur yang diatasnya, maka tiadalah batal puasanya kerana lidah itu barang betapa dibalik-balikkannya dan diulur-ulurkannya, dibilangkan ia di dalam mulutnya jua . Maka tiada dinamai bercerai air liurnya yang di atasnya itu daripada tempatnya .

( Dan ) Jikalau kena bala΄ seseorang dengan sentiasa berdarah gusinya atau pada ghaalibnya sekira-kira sukar memeliharakan daripadanya, maka iaitu dimaafkan . Dan memadai meludahkan dia ganti membasuh dia dan tiada diberati akan dia membasuh dia akan dia pada tiap-tiap ketika, dan dimaafkan bekas darah yang bercampur dengan air liurnya .

Masalah ﴿ Jikalau seseorang menelan setengah benang pada malam hingga sampai ia ke dalam perutnya dan setengahnya pada zhahir mulutnya lalu fajarlah dengan hal yang demikian itu padahal ia puasa, maka jika ditelannya akan yang pada had zhahir itu atau dihunus setengahnya yang pada had bathin, batallah puasanya dengan dia . Dan jika dibiarkannya akan yang pada had zhahir itu, tiadalah sah shalatnya dengan dia . Maka jalan yang menghasilkan sah shalat dan puasanya hendaklah dihunus akan dia oleh orang lain pada ketika lalainya, dari kerana jika dihunus orang akan dia pada ketika tiada dia lalai dan dapat ia menolakkan orang yang menghunus, maka tiada ditolakkannya akan dia, batallah puasanya dengan dia . Dan jika tiada ada orang yang menghunus dia seperti demikian itu, maka wajib atasnya memeliharakan shalatnya kerana hukum shalat itu terlebih besar daripada hukum puasa, maka dari kerana inilah dibunuh orang yang meninggalkan shalat dan tiada dibunuh orang yang meninggalkan puasa dan lagi shalat tiada harus meninggalkan dia sebab uzur dan harus meninggalkan puasa sebab uzur, maka apabila wajib atasnya memeliharakan shalatnya, wajib atasnya menghunus dia atau menelan dia kemudian diqadhainya akan puasanya . Sayugianya ditelannya dan jangan dihunusnya supaya tiada kena najis mulutnya, tetapi tempat yang tersebut itu sekaliannya apabila tiada dapat baginya memotong benang yang pada had zhahir daripada mulutnya . Adapun jika dapat yang demikian itu, maka wajib atasnya memotong yang pada had zhahir mulut dan menelan yang pada had bathin .

Syahdan ﴿ Yang dikehendaki dengan had bathin itu iaitu makhraj ﺀ dan ﻫ dan had zhahir itu iaitu makhraj ﺥ dan ﺡ kemudian di dalam mulut hingga kesudahan makhraj ﺥ dan di dalam hidung hingga kesudahan khaisyum baginya hukum zahir pada pihak membatalkan puasa dengan mengeluarkan muntah kepadanya dan menelan kahak daripada pihak tiada membatalkan puasa dengan masuk sesuatu ‘ain ke dalamnya dan pada pihak wajib membasuh dia apabila ia kena najis dan baginya hukum bathin pada pihak tiada batal puasa dengan menelan air liur daripadanya dan pada pihak tiada wajib membasuh ia tatkala mandi janaabah .

Soal ﴿ Apa sebab wajib membasuh mulut daripada najaasah dan tiada wajib membasuh dia daripada janaabah ? Jawab ﴿ Kerana najaasah itu terlebih keji daripada janaabah dan lagi ia terlebih nadir, maka dipicikkan pada najaasah barang yang tiada dipicikan pada janaabah .

( Dan ) Jikalau termasuk air madhmadhah atau air istinsyaaq kepada had bathin, maka ditilik, jika ada madhmadhah atau istinsyaaq itu dengan tiada mubaalaghah, maka tiada batal puasanya dengan dia . Dan jika ada ia dengan mubaalaghah, lagi ingat ia akan puasa, lagi tahu ia akan mubaalaghah itu tiada disuruhkan bagi orang yang berpuasa, batallah puasa dengan ia kerana orang yang puasa itu ditegahkan ia daripada mubaalaghah tatkala madhmadhah dan istinsyaq, tetapi jika kena najis mulutnya atau lubang hidungnya, maka dibasuhkan akan dia dengan mubaalaghah lalu termasuk air ke dalam rongganya, maka tiadalah batal puasanya kerana mubaalaghah pada membasuh dia itu wajib .

( Dan demikian lagi ) Jika termasuk air ke dalam rongga yang mandi kerana menyejukkan badan atau kerana membersihi dia atau termasuk air pada yang keempat kali pada madhmadhah atau istinsyaq, maka batal puasa dengan dia .

( Dan demikian lagi ) Jika termasuk air ke dalam rongga yang mandi menyelam daripada mulutnya atau hidungnya maka batallah puasa dengan dia kerana makruh menyelam bagi orang yang puasa seperti mubaalaghah pada madhmadhah dan istinsyaq jua tetapi jika diketahuinya daripada ‘adatnya apabila menyelam ia nescaya termasuklah air kepada rongganya, haramlah atasnya menyelam . Adapun jika termasuk air ke dalam rongga yang mandi wajib seperti mandi haidh atau nifas atau janabah atau mandi sunat maka tiadalah batal puasa dengan dia, itupun jika tiada menyelam ia tatkala mandi . Dan jika menyelam ia maka termasuk air ke dalam rongganya tatkala itu, batallah puasanya dengan dia .

( Dan jikalau ) Tertinggal makanan antara selang-selang giginya, maka mengalir dengan dia air liurnya lalu ditelan dengan tiada qashad, tiadalah batal puasanya jika lemah ia daripada membezakan dan meludahkan dia pada siang . Adapun jika ditelannya akan dia dengan qashad atau kuasa ia membezakan dia dan meludahkan dia, maka tiada dibezakannya dan tiada diludahkannya hingga sampai ia kepada rongganya, batallah puasanya dengan dia kerana taqshirnya .

Soal ﴿ Adakah wajib atas menyungkil giginya pada malam apabila diketahuinya tertinggal makanan pada siang hari antara giginya mengalir dengan dia air liurnya dan lemah ia daripada membezakan dia dan meludahkan dia atau tiada wajib atasnya yang demikian itu ? Jawab ﴿ Atas qaul yang mu’tamad bahawa tiada wajib atasnya menyungkil giginya pada malam tetapi sunat muakkadah baginya menyungkil gigi pada malam dan menghilangkan bekas makanan daripada antara giginya atau barang sebagainya supaya keluar ia daripada khilaf yang mewajibkan dia kerana kata setengah ‘Ulama΄ ; Wajib atasnya menyungkil giginya pada malam .

Syahdan ﴿ Haram berbuka puasa bagi yang syak akan masuk matahari kerana yang asal itu siang jua tetapi jika zhan ia akan masuk matahari dengan ijtihad dengan bukti atau dengan suatu kepandaian atau dengan kokok ayam yang telah tercuba atau barang sebagainya atau dengan mendengar bang orang yang ‘adil lagi ‘arif atau dengan khabar seorang ‘adil akan masuk matahari dengan dilihatnya, maka haruslah ia berbuka puasa kerana tersebut di dalam hadits yang shahih bahawasanya adalah Nabi s.a.w tatkala ia puasa menyuruhkan ia akan seseorang laki-laki naik ke atas tempat yang tinggi daripada bumi supaya dilihatnya akan masuk matahari, maka apabila dikatanya matahari sudah masuk, berbukalah Nabi s.a.w dan Shahabatnya tetapi yang ahwath janganlah ia berbuka puasa melainkan kemudian daripada yakin ia akan masuk matahari . Dan tiada haram makan dan minum sahur bagi yang zhan atau syak akan kekal malam kerana yang asal itu malam jua .

Masalah ﴿ Jika seseorang makan sahur atau berbuka puasa dengan ijtihadnya akan keadaan malam, kemudian maka nyata salahnya seperti bahawa jatuh makannya itu pada siang, nyatalah batal puasanya pada dua masalah itu kerana tiada kebilangan bagi zhan yang nyata salahnya . Tetapi jika tiada nyata suatu daripada halnya, maka sahlah puasanya pada kedua masalah itu . Inilah perintahnya jika ada ia makan sahur atau berbuka ia dengan ijtihad . Adapun jika ada ia makan sahur atau berbuka puasa dengan tiada ijtihad dan tiada nyata halnya pada dua masalah itu, sahlah puasanya pada masalah makan sahur kerana yang asal padanya malam jua . Dan sah puasanya pada masalah makan berbuka kerana yang asal padanya siang jua tetapi jika nyata salahnya pada kedua masalah itu, wajiblah atasnya qadha΄ dan jika nyata betulnya kedua masalah itu, maka tiada qadha΄ atasnya .

Soal ﴿ Jika ditanyai orang ; Telah dahulu perkataan pada syarat shalat, barang siapa shalat dengan tiada ijtihad pada menentukan Kiblat, tiada sah shalatnya dan jika betulnya sekalipun, maka apa jua perbezaan antara keduanya ? Jawab ﴿ Bahawa ia di sana syak pada wujud syarat sah shalat dan yang asal ketiadaan wujud syarat, maka tiadalah sah shalatnya, dan di sini syak ia pada wujud yang membinasakan puasa dan yang asal ketiadaan wujud yang membinasakan, maka sahlah puasanya .

Masalah ﴿ Jikalau terbit fajar shaadiq tatkala ia makan, maka hendaklah dibuangkannya barang yang ada di dalam mulutnya daripada makanan dahulu daripada masuk suatu daripadanya ke dalam rongganya atau kemudian daripada termasuk ia dengan tiada ikhtiarnya kerana jika dikulumnya akan makanan itu maka termasuk suatu daripadanya ke dalam rongganya, batallah puasanya kerana taqshirnya sebab mengulum dia adalah nazhiir yang demikian itu seperti mengulum ia akan makanan pada siang hari dengan disahajanya maka termasuk suatu daripadanya ke dalam rongganya, maka batallah puasanya dengan dia sebab taqshirnya dengan mengulum dia . Bersalahan jika ditelannya akan makanan itu dengan lupanya, maka tiadalah batal puasanya dengan dia kerana lupanya itu menghilangkan akan taqshirnya .

Masalah ﴿ Jikalau terbit fajar shaadiq tatkala ia jima’, wajib atasnya mengeluarkan dzakarnya dengan segeranya, maka tiadalah batal puasa dengan mengeluarkan dia dan jika inzal ia sekalipun kerana bahawasanya mengeluarkan dzakarnya itu meninggalkan jima’ jika diqashadnya dengan dia meninggalkan jima’ . Dan jika tiada diqashadnya dengan dia dengan meninggalkan jima’, tiada sah puasanya . Demikianlah yang tersebut di dalam Tuhfah .

Dan jika dikekalinya akan jima’ seperti tiada dikeluarkannya dzakarnya dengan segera pada ketika terbit fajar, tiadalah sah puasanya dan wajib atasnya kaffarah dari kerana tatkala adalah mengekali jima’ itu menegahkan sah puasa adalah ia seolah-olah membatalkan puasanya dengan jima’, maka iaitu mewajibkan kaffarah Inilah perintahnya pada yang tahu akan terbit fajar pada ketika permulaan terbitnya . Adapun jika lalu masa kemudian daripada terbit fajar, kemudian maka baharu tahu ia akan terbit fajar, maka dikekalinya jua akan jima’nya ketika itu, tiadalah wajib kaffarah atasnya dari kerana puasanya batal dengan jima’ yang dahulu pada ketika jahil ia akan terbit fajar, tiada dengan jima’ yang dikekalinya kemudian daripada tahu ia akan terbit fajar .

( Rukun yang ketiga ) Shaaim, ertinya, yang puasa .

( Bermula ) Syuruuth yang puasa itu tiga perkara :

( Pertama ) Hendaklah ada Islam daripada permulaan hari puasanya hingga akhirnya, maka tiadalah sah puasa kafir dengan sebarang jenis kafir dan batal puasa yang murtad di dalam hari puasa dengan ijma’ .

( Syarat yang kedua )

Hendaklah ada ia ‘aqil daripada fajar hingga datang kepada masuk matahari, maka tiadalah sah puasa yang gila daripada fajar hingga maghrib dan jika mendatang gila di dalam hari puasanya dan jikalau sekejap sekalipun, batallah puasanya dengan dia . Dan jika ada gilanya itu jadi daripada meminum pada malam akan minuman yang mengilakan sekalipun tetapi tiada batal puasa sebab pitam atau mabuk yang tiada disahajanya jika ia sembuh sekejap jua pun di dalam siang . Dan jika pitam atau mabuk ia daripada fajar hingga maghrib, tiadalah sah puasanya kerana pitam dan mabuk itu mengeluarkan ia akan seseorang daripada keadaan seseorang ahli bagi khithab . Bersalahan dengan tidur . Maka tiada batal puasa yang tidur daripada fajar hingga maghrib kerana kekal keadaannya ahli bagi khithab . Dan lagi yang tidur itu jika dijagakan, nescaya jagalah ia . Bersalahan dengan yang pitam dan yang mabuk . Dan lagi, wajib mengqadha΄ shalat yang luput sebab tidur dan tiada wajib qadha΄ shalat luput sebab pitam atau mabuk pada jumlah .

( Syarat yang ketiga )

Hendaklah ada ia suci daripada haidh dan nifas daripada fajar hingga maghrib, maka tiadalah sah puasa yang haidh dan yang nifas lagi haram . Dan jika mendatang haidh atau nifas di dalam suku hari puasanya nescaya batallah puasanya .

( Bermula ) Syarat sah puasa pada pihak masa itu hendaklah jatuh ia di dalam hari yang menerima ia bagi puasa iaitu yang lain daripada dua Hari Raya dan yang lain daripada tiga hari Tasyriq dan hari Syak. Maka haram lagi tiada sah puasa pada dua hari raya dan jika puasa fardu sekalipun kerana ditegahkan Nabi s.a.w puasa pada hari raya kedua di dalam hadits riwayat Bukhari dan Muslim .

( Dan demikian lagi ) Haram lagi tiada sah puasa pada hari syak dengan tiada sesuatu sebab kerana kata Ammar anak Yasir :

Ya’ni : Barang siapa puasa pada hari syak, makasanya derhakalah ia akan Nabi s.a.w . R. Tirmidzi dan lainnya dan kata mereka itu iaitu shahih .

( Adapun ) Jika ada puasa itu dengan sesuatu sebab seperti qadha΄ dan nadzar, maka sahlah puasanya lagi tiada haram melainkan jika disahajanya menjatuhkan puasa di dalam waktu syak itu, maka iaitu haram lagi tiada sah seperti shalat di dalam waktu karaahah kerana sabda Nabi s.a.w :

Ya’ni : Jangan kamu mendahului akan Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari melainkan laki-laki yang ada ia puasa wirid , maka hendaklah dipuasakannya akan dia ’ .

R. Bukhari dan Muslim, ya’ni seperti adalah ia ber‘adat puasa sepanjang-panjang tahun atau puasa sehari dan berbuka sehari . Dan diqiyaskan dengan puasa wirid itu yang lainnya seperti qadha΄ dan nadzar dan kaffarah .

( Bermula ) Hari Syak itu diharamkan puasa dalamnya dengan dua sebab :

( Pertama ) Keadaannya hari Syak itu .

( Kedua ) Keadaannya hari di dalam nisfu yang kedua daripada bulan Sya‘aban . Maka hari syak itu iaitu hari ketiga puluh daripada bulan Sya‘aban apabila berkhabar-khabar segala manusia dengan melihat bulan Ramadhan dan tiada naik saksi seseorang jua pun pada melihat dia atau naik saksi pada segala mereka itu yang tiada diterima saksinya seperti keadaan mereka itu kanak-kanak atau sahaya atau fasiq atau perempuan . Adapun jika tiada berkhabar-khabar manusia pada melihat bulan dan tiada naik saksi dengan dia seseorang jua pun, maka tiadalah hari syak hanya adalah ia daripada bulan Sya‘aban dan jikalau melengkapi ghubaar pada tepi langit sekalipun, maka tiadalah haram puasa di dalamnya pada pihak hari syak tetapi haram puasa pada malamnya pada pihak keadaannya daripada nisfu yang kedua daripada bulan Sya‘aban .

( Dan demikan lagi ) Haram puasa pada nisfu yang kedua daripada bulan Sya‘aban iaitu daripada hari yang keenam belas hingga akhir bulan Sya‘aban kerana sabda Nabi s.a.w :

Ya’ni : Apabila bertengahlah bulan Sya‘aban, maka janganlah kamu puasa ’ .

Melainkan puasa wirid seperti ber‘adat ia puasa sentiasa atau berselang-selang hari atau puasa Isnin dan Khamis atau puasa qadha΄ atau nadzar atau kaffarah atau dihubungkannya puasa dengan pada nisfu yang kedua dengan nisfu yang pertama seperti dipuasakannya pada hari yang kelima belas dan hari yang keenam belas . Maka haruslah ia puasa pada hari nisfu Sya‘aban yang kedua daripada bulan Sya‘aban kerana sekalian yang tersebut itu . Dan jikalau puasa ia pada hari yang kelima belas dan yang keenam belas, kemudian berbuka ia pada hari yang ketujuh belas, nescaya haramlah atasnya puasa pada hari yang kedelapan belas dengan tiada suatu sebab yang telah tersebut itu kerana hilang berhubung yang mengharuskan bagi puasa pada hari itu .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan