Fashal Pada Menyatakan Sunat Yang Dikerjakan Di Dalam Puasa
( Bermula ) Sunat makan sahur kerana sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Makan sahurlah kamu kerana bahawasanya pada makan sahur itu padanya berkat ’ . R. Bukhari dan Muslim .
Dan lagi, sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Minta tolonglah kamu dengan makan sahur atas puasa pada siang hari dan dengan tidur pada waktu qailullah pada siang atas berjaga pada malam kerana shalat ’ .
( Dan masuk ) Waktu makan sahur itu dengan masuk nisfu malam yang kedua .
( Dan ) Hasil sunat sahur dengan makan banyak atau sedikit dan dengan minum dan jikalau seteguk sekalipun kerana sabda Nabi s.a.w:
Ya’ni : ‘ Bersahurlah kamu dan jikalau dengan minum air seteguk sekalipun ’. R. Ibnu Hibban
( Dan ) Terafdhal makan sahur itu dengan kurma kerana sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Sebaik-baik sahur Mu΄min itu kurma ’ . R. Abu Daud
( Dan sunat ) Menta΄khirkan makan sahur kerana sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Adalah sentiasa segala manusia dengan kebajikan selama ada mereka itu menyegera akan berbuka dan menta΄khirkan sahur ’ . R. Imam Ahmad .
( Dan lagi ) Adalah tersebut di dalam riwayat hadis yang shahih bahawasanya Shahabat, berkata mereka itu :
Ya’ni : ‘ Telah makan sahur kami serta Rasulullah s.a.w, kemudian maka bangkit kami kepada shalat Shubuh dan adalah kira-kira barang yang antara sahur dan shalat itu kadar
( Dan adalah ) Pada hadits ini mendhabitkan bagi kadar yang hasil dengan dia sunat menta΄khirkan sahur .
( Bermula ) Hikmah sunat menta΄khirkan sahur itu iaitu supaya menghasilkan kuat berbuat ‘ibadah dan supaya menyalahi bagi kaum Yahudi dan Nashara tetapi tempat sunat menta΄khirkan sahur itu iaitu selama tiada jatuh ia pada syak akan terbit fajar dan jika ada syak ia pada yang demikian itu, maka tiada sunat baginya menta΄khirkan sahur, hanya terutamalah ia meninggalkan dia kerana sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Tinggalkan olehmu akan barang yang menjatuhkan akan dikau pada syak kepada barang yang tiada menjatuhkan ia akan dikau pada syak ’ .
Dan sunat menyegerakan berbuka apabila yakin ia akan masuk matahari . Dan sunat mendahulukan berbuka daripada shalat Maghrib kerana adalah tersebut di dalam hadits yang shahih bahawasanya Nabi s.a.w apabila ada ia puasa, tiada ia shalat Maghrib hingga dibawa akan kepadanya ruthab dan air, maka berbukalah ia dengan dia .
( Dan lagi ) Sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Sentiasa segala manusia dengan kebajikan selama ada mereka itu menyegerakan berbuka ’ . R . Bukhari dan Muslim .
( Adapun ) Jika tiada yakin akan masuk matahari seperti ada ia zhan dengan ijtihadnya akan masuk matahari, maka tiadalah sunat baginya menyegerakan berbuka tetapi haram menyegerakan akan dia serta syak akan masuk matahari . Dan makruh bagi yang yakin akan masuk matahari, ia menta΄khirkan berbuka jika dii’tiqadkannya ada di dalamnya fadhilat . Dan jika tiada dii’tiqadkannya seperti yang demikian itu, maka tiada mengapa .
( Dan sunat ) Berbuka puasa dengan ruthab iaitu kurma mengkal yang lagi basah dan jika adalah ia di negeri Mekah sekalipun . Inilah qaul yang mu’tamad . Dan kata setengah ‘Ulama΄ ; Jika ada ia di Mekah, maka sunat ia berbuka dengan air zam-zam, maka qaul ini dhaif kerana menyalahi sunnah dan nash . Dan jika tiada diperolehnya ruthab, maka sunat ia berbuka dengan tamar iaitu kurma masak sudah yang kering . Dan sunat keadaan ruthab atau tamar itu tiga biji . Dan jika tiada diperolehnya tiga biji, maka dengan sebiji, hasillah baginya sunat . Dan jika tiada diperolehnya ruthab dan tamar, maka sunat ia berbuka dengan air jua, tiada lainnya .
( Bermula ) Hukum sunat berbuka puasa dengan ruthab atau tamar kerana bahawasanya ia tiada tersentuh dengan dia api dan lagi kerana menghilangkan ia akan dhaif penglihatan mata yang hasil daripada puasa kerana ia mengeluarkan sekalian fadhalaat ( baki ) yang di dalam ma‘idah jika ada ia dan jika tiada ada fadhalaat, maka iaitu supaya akan jadi ghadaa΄ segala anggotanya yang kepala di dalam badannya . Adapun kata sekalian thabib bahawa tamar itu mendhaifkan penglihat mata, maka iaitu tempatnya apabila berbanyak-banyak ia memakan dia serta sentiasa dikekalinya akan dia dan suatu itu terkadang memberi manfaat sedikitnya dan memberi mudharat banyaknya .
( Faedah ) Ketahui olehmu bahawasanya muwaafaqat sekalian ‘Ulama΄ atas bahawasanya masuk permulaan puasa itu dengan fajar shaadiq dan putuslah kesudahannya dengan sempurna masuk matahari, ya’ni apabila masuk sekalian jirim matahari pada penglihatan kita, maka terbuka puasanya dengan sendirinya dan jika tiada ia makan atau minum suatu sekalipun dari kerana puasa itu pada siang jua, tiada pada malam .
﴾ Soal ﴿ Apabila terbuka puasa sendirinya dengan masuk matahari tiada dengan makan dan minum, maka apa jua makna Fuqaha΄ sunat menyegerakan berbuka apabila yakin akan masuk matahari ?
﴾ Jawab ﴿ Erti sunat menyegerakan berbuka, ya’ni sunat menyegerakan barang yang membukakan puasa apabila dikerjakan pada siang iaitu seperti makan dan minum . Kata segala Shahabat Syafi‘e ; Wajib imsak pada suatu suku daripada malam kemudian daripada masuk matahari supaya yakin dengan dia sempurna siang harinya tetapi tiada ia pada ketika imsak itu di dalam puasa Syari‘e .
﴾ Syahdan ﴿ Haram atas sekalian ummat puasa washal, ya’ni menghubungkan antara dua puasa seperti puasa ia dua hari berturut-turut dan tiada minum ia pada malamnya antara dua hari itu kerana ditegahkan daripadanya sebab mudharat itupun dengan syarat jika disahajanya lagi tahu ia akan tegah lagi dengan tiada uzur . Adapun Nabi kita, maka tiada haram atasnya puasa washal kerana ada baginya daripada kuat barang yang tiada ia bagi sekalian ummat . Dan sunat kemudian daripada berbuka puasa membaca :
Ya’ni : ‘ Hai Tuhanku, keranaMu jua aku puasa dan atas rezekiMu jua aku berbuka puasa ’ .
( Dan lagi ) Sunat membaca :
Ya’ni : ‘ Hai Tuhanku, telah hilanglah dahaga dan basahlah sekalian urat dan telah tsabitlah pahala Insyaa Allaahu Ta‘ala ’ .
( Sunat ) Memberi makanan atau minuman bagi orang yang puasa supaya berbuka ia dengan dia dan jikalau dengan sebiji tamar atau seteguk air atau lain daripada keduanya sekalipun tetapi yang lebih sempurna pada memberi makanan itu hendaklah ada ia mengenyangi akan mereka itu kerana sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Barang siapa memberi perbukaan akan orang yang puasa, maka adalah baginya pahala seperti pahala orang yang puasa itu dan tiada kurang suatu jua pun daripada pahala yang puasa ’ .
Dan sunat bahawa makan ia serta mereka itu kerana adalah yang demikian itu terlebih layak dengan tawadhu’ dan terlebih menyampaikan menjabar hati .
( Dan sunat ) Mandi janaabah atau haidh atau nifas dahulu daripada fajar supaya dikerjakannya ‘ibadahnya atas suci, maka dari kerana inilah sunat menyegera akan mandi daripada ihtilam pada siang hari dan supaya keluar ia daripada khilaf Madzhab Abu Hurairah yang mengatakan wajib mandi pada malam . Dan lagi katanya ; Tiada sah puasanya jika tiada ia mandi dan lagi supaya tiada termasuk air ke dalam rongga umpama telinganya atau duburnya . Maka dari kerana inilah disunatkan membasuh qubul dan dubur dan telinga dan hidung dahulu daripada fajar dengan niat mengangkatkan hadats jika tiada dikerjakannya mandi dengan sempurnanya dahulu daripada fajar tetapi telah terdahulu perkataan bahawa sanya jika termasuk air ke dalam rongga yang mandi wajib, tiadalah batal puasanya melainkan termasuk air ke dalam rongga daripada sebab mandi menyelam atau termasuk ia daripada sebab madhmadhah atau istinsyaq dengan mubaalaghah padahal bukan membasuh najis dan tiada ada najis pada mulutnya atau hidungnya, maka pada yang tiga masalah ini batallah puasanya . Maka diketahui daripada sekalian yang demikian itu bahawa sahlah puasa orang junub daripada jima’ ia pada malam dan mandi ia pada siang hari dari kerana Nabi s.a.w adalah ia berpagi-pagi junub dari pada jima’ pada malam, maka mandi ia pada siang hari puasanya serta disempurnakannya puasanya pada hari itu . Maka diqiyaskan haidh dan yang nifas atas orang yang junub . Adapun sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Barang siapa berpagi-pagi padahal ia junub, maka tiadalah puasa baginya ’ .
Maka iaitu hadits ini telah mansuh atau dita΄wilkan dengan berpagi-pagi ia jima’ ketika fajar serta dikekalkannya akan jima’nya atau dita΄wilkan dengan menafikan sempurna puasanya ya’ni barangsiapa berpagi-pagi dengan janaabah, maka tiada sempurna puasanya tetapi sah puasanya .
( Dan sunat ) Muakkadah pada pihak puasa memeliharakan lidah daripada berkata dusta dan mengumpat dan jikalau pada dusta dan mengumpat yang harus sekalipun . Adapun dusta yang wajib dan umpat yang wajib seperti berdusta kerana melepaskan orang yang teraniaya dan seperti menyebutkan ‘aib orang yang meminang atau barang sebagainya, maka tiada sunat bagi yang puasa neninggalkan dia, hanya wajib atasnya mengerjakan dia seperti orang yang tiada puasa jua kerana sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Barang siapa tiada meninggalkan ia akan kata-kata yang dusta dan mengamalkan dengan dia maka tiadalah bagi Allah Ta‘ala suatu hajat pada meninggalkan makanannya dan minumannya ’ . R. Bukhari .
( Dan demikian lagi ) Hendaklah ia memeliharakan lidahnya daripada menyumpah orang dan jikalau dengan sebenarnya sekalipun . Dan memeliharakan sekalian anggotanya daripada tiap-tiap pekerjaan yang diharamkan . Dan jikalau disumpahi orang akan dia, maka hendaklah diingatkannya di dalam hatinya bahawasanya ia orang yang puasa supaya sabar ia dan dikatanya dengan lidahnya bahawa ; ‘Aku puasa’, dua kali atau tiga kali dengan niat bernasihat orang yang menyumpah dia supaya berhenti daripada melakukan perbuatan menyumpah tersebut, tiada dengan riya΄, sum‘ah dan terutama hendaklah dihimpunkan antara mengata dia dengan hatinya dan dengan lidahnya . Maka jika disimpankannya kepada salah suatu daripada keduanya, maka terutama dengan lidahnya kerana tersebut di dalam hadits riwayat Bukhari dan Muslim sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘Puasa itu perisai daripada api Neraka . Maka apabila ada seseorang daripada kamu puasa, maka janganlah berbantah . Maka jika ada seseorang berbantah dengan dia atau menyumpah dia, maka hendaklah dikatanya bahawasanya ; ‘ Aku puasa, aku puasa ’ .
( Bermula ) Mengumpat dan berkata dusta dan menyumpah dan barang sebagainya itu membatalkan ia akan pahala puasa .
( Faedah ) Tersebut di dalam Mughni bahawasanya ditanyai orang akan Ibnu Shaifi ; Beberapa perkara engkau dapat akan ‘aib pada anak Adam ? Maka jawabnya bahawa ; ‘Aibnya terbanyak daripada dihingga dan yang kuhafazkan daripadanya delapan ribu ‘aib dan yang menutupi akan sekalian ‘aib itu memeliharakan lidah . Intaha .
( Dan lagi ) Sunat baginya meninggalkan segala keinginan yang mubah, sama ada keinginan itu daripada jenis yang didengarnya seperti mendengar nyanyi atau yang dilihat atau yang dicium atau yang dijabat seperti menilik bau-bauan atau mencium dia atau menjabat dia, maka sekalian itu makruh kerana barang yang di dalamnya daripada lazat dan syahwat yang tiada patut dengan hikmah orang puasa, maka sayugia ditinggalkan supaya terbayar ‘ibadat atas wajah yang kamal pada zhahir dan bathin .
( Dan sunat ) Meninggalkan berbuang darah dengan berbekam atau berpentik supaya keluar daripada khilaf mereka yang membatalkan puasa dengan dia dan lagi berbuang darah itu mendhaifkan badan maka iaitu makruh . Dan kata setengah ‘Ulama΄ ; Khilaful aula . Dan lagi, sunat meninggalkan memamah getah daripada umpama laban atau lainnya kerana yang demikian itu menghimpunkan air liur, maka jika ditelannya, batal puasa atas satu qaul dan jika diludahkannya menambahi dahaga ia . Maka dari kerana inilah dimakruhkan yang demikian itu tetapi tempatnya jika tiada bercerai daripada getah yang dimamah itu suatu ‘ain atau bercerai daripadanya suatu ain tetapi tiada ditelannya air liurnya yang bercampur dengan dia. Dan jika tiada seperti demikian itu, haramlah yang demikian itu, lagi batal puasanya dengan dia .
( Dan lagi ) Sunat meninggalkan merasai makanan dan lainnya kerana yang demikian itu makruh kerana takut sampai kepada rongkongannya atau takut akan lalu dimasukkannya akan dia sebab ghaalib syahwatnya tetapi jika berkehendak dia kepada memamahkan makanan kanak-kanak, tiadalah makruh yang demikian itu .
( Dan lagi ) Sunat meninggalkan mengucup dan mencium isterinya atau sahayanya pada mulutnya atau lainnya dan meninggalkan berpeluk dan menyentuh dia jika tiada takut ia inzal. Dan haram yang demikan itu jika takut ia akan inzal atau akan jima’ jikalau tiada inzal sekalipun kerana yang demikian itu menyahaja kepada membatalkan puasa .
( Dan makruh ) Bagi orang yang puasa bersugi kemudian daripada gelincir matahahari hingga masuk matahari dan jikalau puasa sunat sekalipun, dan jikalau berubah bau mulutnya sebab tidur atau sebab makan dengan lupa akan yang keji baunya sekalipun . Inilah yang dii’timadkan Syeikh Ibnu Hajar di dalam Tuhfah dan Fathul Jawad dan lainnya . Dan yang dii’timadkan Syeikh Ramli dan Khathib Syarbini di dalam Nihaayah dan Mughni bahawasanya jika berubah bau mulut sebab tidur atau sebab makan dengan lupa akan suatu yang keji baunya kemudian daripada gelincir matahari, maka tiadalah makruh bersugi . Adapun sebab makruh bersugi kerana berubah mulut orang yang puasa itu suatu fadhilat baginya maka makruhlah baginya menghilangkan dia dengan bersugi kerana sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Berubah bau mulut orang yang puasa itu pada hari Qiyamah terlebih harum pada Allah Ta‘ala daripada bau kasturi ’ R . Bukhari
( Bermula ) Makna harumnya pada Allah Ta‘ala iaitu puji Allah Ta‘ala atasnya dan redhaNya dengan dia, maka puji Allah Ta‘ala atasnya dan redhaNya dengan dia, tiada tertentu keadaannya pada hari Qiyaamah . Adapun menyebutkan hari Qiyaamah di dalam hadits yang tersebut itu tiada ia jadi qaid, hanya disebutkan akan dia kerana ia tempat membalas segala amal jua . Adapun sebab ditentukan karaahah bersugi itu dengan masa kemudian daripada gelincir matahari tiada dengan yang dahulu daripadanya kerana berubah bau mulut kemudian daripada gelincir matahari jadi ia pada ghaalib daripada sebab puasa dan ubahnya dahulu daripada gelincir matahari jadi daripada sebab makanan jua dan hilanglah karaahiyah bersugi itu dengan masuk matahari .
﴾ Soal ﴿ Jika ditanya orang ; Adalah tersebut di dalam hadits bahawasanya darah orang yang mati syahid seperti bau kasturi pada Allah Ta‘ala dan menghilangkan dia haram dan berubah bau mulut orang yang puasa terlebih harum pada Allah Ta‘ala daripada bau kasturi dan tiada haram atasnya menghilangkan dia bersugi, hanya makruh jua, maka apa jua perbezaan antara keduanya ? ﴾ Jawab ﴿ Bahawasanya menghilangkan darah orang yang mati syahid itu meluputkan fadhilat atas orang lain, maka iaitu haram dan pada menghilangkan ubah bau mulut bagi yang puasa itu meluputkan fadhilat atas dirinya, maka iaitu tiada haram, hanya makruh jua . Maka dari kerana inilah haram atas seseorang menghilangkan bau mulut orang yang puasa dengan sugi kemudian daripada gelincir matahari dengan tiada izinnya kerana yang demikian itu meluputkan fadhilat atas orang yang lain .
﴾ Syahdan ﴿ Sunat pada bulan Ramadhan melebihi nafkah dan belanja atas segala ‘iyalnya dan berbuat kebajikan kepada segala keluarganya dan yang sekampungnya dan berbanyak memberi shadaqah dan menambahi murah kerana tersebut di dalam hadits riwayat Bukhari dan Muslim bahawasanya sabda Nabi s.a.w adalah ia terlebih murah daripada segala manusia dengan kebajikan dan adalah barang yang bertambah-tambah murahnya pada bulan Ramadhan ketika bertemu dengan dia Jibril . Dan sunat berbanyak-banyak tilaawah Al Quran dan mudaarasah, ya’ni membaca Al Quran berganti-ganti kerana tersebut di dalam hadits riwayat Bukhari dan Muslim bahawasanya adalah Nabi s.a.w mudaarasah Al Quran serta Jibril pada tiap-tiap Ramadhan . Dan sunat berbanyak-banyak i’tikaf di dalam masjid kerana mengikut akan Nabi s.a.w dan lagi supaya terlebih pelihara diri daripada mengerjakan yang tiada patut istimewa lagi di dalam sepuluh yang akhir daripada bulan Ramadhan, maka iaitu terlebih utama berbanyak- banyak i’tikaf dan shadaqah dan tilaawah dalamnya kerana Nabi s.a.w adalah ia ijtihad pada yang demikian itu di dalam sepuluh yang akhir lebih daripada ijtihadnya di dalam masa yang lainnya . Dan lagi kerana diharap akan berbetulan ‘ibadat dengan Lailatul Qadr kerana Lailatul Qadr itu adalah ia tertentu di dalam masa sepuluh yang akhir daripada bulan Ramadhan tiada berpindah ia daripadanya kepada yang lainnya tetapi tiada tertentu pada suatu malam daripada yang sepuluh malam itu, hanya adalah ia berpindah-pindah daripada suatu malam kepada malam yang lainnya . Dan yang terlebih diharap daripadanya iaitu malam yang kasal iaitu yang ke21 atau yang ke23 atau yang ke25 atau yang ke27 atau yang ke29 . Inilah qaul yang mu’tamad yang tersebut di dalam Tuhfah dan Nihaayah, maka daripada sebab tertentu Lailatul Qadr itu di dalam sepuluh malam yang akhir daripada bulan Ramadhan . Jikalau berkata suami bagi isterinya : ‘ Engkau terthalaq pada malam Lailatul Qadr ’, nescaya jatuhlah thalaqnya pada malam yang akhir daripada bulan Ramadhan jika dikatanya yang demikian itu pada awal malam yang kedua puluh satu atau dahulunya . Dan jika dikatanya yang demikian itu di dalam siang hari yang kedua puluh satu, maka tiada terthalaq melainkan pada malam yang kedua puluh satu daripada tahun yang akan datang melainkan jika dilihatnya akan Lailatul Qadr itu pada malam yang kedua puluh tiga daripada Ramadhan tahun ta’liq, maka muhtamallah jatuh thalaqnya pada malam itu . Dan sunat menghidupkan malam Lailatul Qadr dan harinya dengan berbuat ‘ibadah serta dengan ikhlas dan yakin dan ijtihad di dalamnya pada berbuat amal kerana firman Allah Ta‘ala :
Ertinya : “ Berbuat amal di dalam malam Lailatul Qadr terlebih pahalanya daripada berbuat amal di dalam seribu bulan yang tiada dalamnya Lailatul Qadr ” .
Dan lagi, sabda Nabi s.a.w :
Ya’ni : ‘ Barang siapa mengerjakan amal pada malam Lailatul Qadr kerana percaya akan kebenarannya dan taat lagi kerana menuntut keredhaan Allah Ta‘ala dan pahalanya, tiada kerana riya΄ dan seumpamanya nescaya diampun Allah Ta‘ala baginya barang yang telah terdahulu daripada dosanya ’ .
( Dan sunat ) Pada malam Lailatul Qadr banyak-banyak membaca :
Ya’ni : ‘ Hai Tuhanku, Engkau jua yang mengampuni dosa lagi Engkau jua yang mengasih akan ampun, maka ampuni olehMu dosaku ’ .
Kerana Nabi s.a.w adalah ia menyuruhkan akan Siti Aisyah membaca doa itu pada ketika itu .
Dan apabila melihat seseorang akan Lailatul Qadr, sunat baginya menyembunyikan dia . Dan setengah daripada segala ‘alamat Lailatul Qadr, tiada hangat dan tiada sejuk pada malam itu dan terbit matahari pada esok harinya padahal putih warnanya, tiada banyak cahayanya daripada sebab kebanyakan segala Malaikat turun dari langit dan naik, maka jadi terdindinglah cahaya matahari dan benderangnya dengan sayap Malaikat dan dengan jisimnya yang halus dan tiada diperoleh sempurna Lailatul Qadr melainkan orang yang mengetahui akan dia .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan