Fashal Pada Menyatakan Barang Yang Mengharuskan
Berbuka Puasa
( Bermula ) Harus berbuka puasa Ramadhan dan tiap-tiap puasa yang wajib kerana sakit yang memberi mudharat sertanya puasa dengan mudharat yang mengharuskan tayammum dan jika jadi sakitnya itu daripada menyahaja meminum pada malam akan minuman yang menjadikan sakit sekalipun tetapi wajib atasnya berbuka puasa kerana mudharat yang tersebut itu dan haram atasnya puasa dan jika tiada takut ia akan binasa dirinya sekalipun . Inilah barang yang mafhum di dalam Tuhfah dan yang tersebut di dalam Nihaayah dan Mughni bahawa wajib atasnya berbuka puasa apabila takut ia akan binasa dirinya sebab meninggalkan makan seperti yang telah dinyatakan dengan dia oleh Imam Ghazali dan yang dijazamkan dengan dia oleh Adzra‘ie .
( Bermula ) Orang yang sangat lapar dan dahaga itu seperti hukum orang yang sakit, ya’ni jika hasil mudharat sebab lapar atau dahaga itu dengan mudharat yang mengharuskan tayammum, harus baginya berbuka puasa . Dan jika tiada seperti demikian itu, maka tiada harus baginya berbuka . Dan tiada harus berbuka puasa kerana sakit yang sedikit seperti pening kepala dan sakit telinga dan sakit gigi melainkan jika takut ia akan bertambah sakit sebab puasa .
Maka diketahui daripada ‘ibarat Nihaayah dan Mughni bahawa orang yang sakit itu terkadang harus ia berbuka puasa jika ada sakitnya itu mengharuskan tayammum dan tiada takut ia akan binasa dirinya . Dan terkadang wajib ia berbuka jika takut ia serta yang demikian itu akan binasa dirinya . Dan apabila wajib atas yang sakit berbuka puasa, maka puasa jua ia, sahlah puasanya tetapi dosa atasnya sebab meninggalkan wajib .
Kemudian jika ada sakitnya sentiasa berkekalan pada malam dan siang atau mendatang sakitnya itu dahulu daripada fajar, maka tiadalah wajib atasnya berniat pada malam . Dan jika putus sakitnya dahulu daripada fajar atau ringan sakitnya pada ketika itu sekira-kira tiada diharuskan sertanya meninggalkan puasa, wajiblah atasnya berniat dahulu daripada fajar . Kemudian jika kembali pula sakitnya seperti penyakit demam, harus pula baginya berbuka puasa .
( Dan demikian lagi ) Harus bagi orang yang memotong umpama padi atau yang berbuat rumah berbuka puasa jika takut ia sebab puasa atas kebinasaan bumi perhumaannya atau rumah yang dikerjanya dan sukar ia bekerja pada malam atau tiada sukar tetapi adalah ia jadi cedera pekerjaannya sekira-kira membawa kepada kebinasaan atau kurang dengan kurang yang banyak, sama ada ia bekerja bagi dirinya atau bagi lainnya dengan mengambil upah atau dengan kerana Allah . Dan jikalau sangat berkehendak seseorang kepada kuat dirinya atau kuat ‘iyalnya ( keluarganya ) dan jika tiada dapat ia berusaha menghasilkan dia melainkan dengan berbuka, haruslah baginya berbuka kerana berusaha menghasilkan yang demikian itu tetapi atas sekadar dharurat jua . Inilah yang mafhum daripada ‘ibarat Tuhfah . Dan kata Syeikh Ramli di dalam Nihaayah ; Telah berfatwa Adzra‘ie dengan bahawasanya wajib atas segala mereka yang memotong umpama padi berniat puasa Ramadhan pada tiap-tiap malam kemudian jika masyaqqah atasnya bekerja pada siang harinya dengan masyaqqah yang sangat, maka harus baginya berbuka puasa .
( Dan demikian lagi ) Harus berbuka puasa bagi orang yang musafir dengan safar yang mengharuskan qashar iaitu yang lanjut, lagi mubah kerana firman Allah Ta‘ala :
Ya’ni : “ Maka barang siapa adalah ia daripada kamu sakit atau ada ia pergi-pergian, maka hendaklah ia puasa di dalam segala hari yang lain ”. Q.S Al Baqarah : 184
Ya’ni qadha΄ . Maka difaham daripada ayat ini harus berbuka puasa kerana sakit dan kerana pergi-pergian, sama ada puasa fardhu Ramadhan atau fardhu nadzar atau kaffarah atau qadha΄ . Adapun safar yang tiada harus di dalamnya qashar itu seperti safar yang singkat atau safar yang ma’shiat, maka tiada harus berbuka puasa di dalamnya . Dan tiada diharuskan berbuka puasa bagi orang yang musafir yang tiada diqashadnya suatu pada safarnya itu, hanya qashadnya semata-mata kerana hendak mengharuskan berbuka jua dan jika ada safarnya itu lanjut lagi mubah sekalipun . Adalah bandingnya seperti tiada diharuskan qashar bagi orang yang menjalani jalan yang terjauh daripada dua jalan kerana semata-mata menghendaki qashar jua .
﴾ Syahdan ﴿ Jikalau musafir orang yang puasa di negeri tempat kediamannya di dalam hari puasanya, tiadalah harus baginya membukakan puasanya di dalam safar pada hari itu kerana tatkala adalah setengah puasanya itu jatuh di dalam negeri dan dighaalibkanlah atasnya hukum di dalam negeri jua, dan lagi pula adalah safarnya itu dengan ikhtiarnya . Bersalahan jika mendatang sakit atas orang yang puasa hari puasanya, haruslah baginya berbuka puasa dengan tiada karaahah kerana diperoleh sebab yang mengharuskan berbuka iaitu sakit dengan tiada ikhtiarnya . Dan disyaratkan pada halal berbuka sebab uzur berniat tarakhkhush ( kelonggaran ) dengan muwaafaqat Tuhfah dan Mughni . Maka keluar dengan kata, ‘di dalam safar pada hari itu’, hari yang kemudian daripada hari itu, maka iaitu harus baginya berbuka dengan tiada karaahah selama ada ia lagi di dalam safarnya .
( Bermula ) Puasa di dalam safar afdhal daripada berbuka supaya diperoleh fadhilat waktu melainkan jika takut ia akan mudharat sebab puasa pada masa sekarang atau pada masa yang lagi akan datang, maka berbuka afdhal daripada puasa . Dan terkadang wajib berbuka jika takut ia sebab puasa itu akan mudharat yang mengharuskan tayammum seperti yang telah terdahulu bandingnya . Dan jikalau jadi muqim orang yang musafir atau sembuh orang yang sakit di dalam puasanya, maka haramlah atasnya berbuka kerana ketiadaan sebab yang mengharuskan berbuka . Apabila berbuka orang yang musafir atau yang sakit, wajiblah atas keduanya qadha΄ .
( Dan demikian lagi ) Wajib qadha΄ atas orang yang haidh dan nifas dan atas yang berbuka puasa dengan tiada uzur dan yang tiada berniat pada malam dengan sahaja atau dengan lupa . Dan wajib mengqadha΄ puasa yang luput sebab pitam dan riddah kerana bahawasanya pitam itu satu bahagian daripada sakit . Bersalahan dengan shalat, maka tiada wajib mengqadha΄ yang luput daripadanya sebab pitam kerana masyaqqah berulang-ulang padanya . Dan apabila Islam yang kafir asli, maka tiada wajib atasnya mengqadha΄ puasa yang luput di dalam masa kufurnya dengan ijma’ supaya mengemarkan akan dia pada Islam .
( Dan demikian lagi ) Apabila baligh kanak-kanak dan sembuh orang yang gila, maka tiada wajib atasnya menqadha΄ puasanya yang luput di dalam masa kanak-kanak dan masa gilanya melainkan jika gilanya di dalam murtadnya atau di dalam mabuknya, maka wajiblah atasnya menqadha΄ puasanya yang luput di dalam murtadnya dan mabuknya seperti yang telah terdahulu bandingnya pada Kitabush Shalah . Jika baligh kanak-kanak pada siang hari padahal ia puasa, wajiblah atasnya menyempurnakan puasa dan tiada qadha΄ atasnya .
Dan jikalau baligh kanak-kanak pada siang hari padahal tiada ia puasa atau sembuh orang gila atau Islam orang yang kafir pada siang hari, tiada wajib atas mereka itu qadha΄ kerana tiada dapat masa yang meluluskan puasa tunai atasnya dan tiada wajib mereka itu imsak pada yang tinggal daripada hari itu tetapi sunat imsak bagi mereka itu dan bagi perempuan yang suci haidhnya pada siang hari supaya keluar daripada khilaf orang yang mewajibkan dia .
( Dan demikian lagi ) Sunat imsak bagi yang sakit dan yang musafir yang hilang safarnya dan sakitnya kemudian daripada berbuka kerana menghormati bagi waktu .
( Dan wajib ) Imsak pada bulan Ramadhan atas barang siapa yang berbuka puasa dengan tiada uzur dan yang lupa akan niat pada malam dan yang zhan akan malam, kemudian maka nyata siangnya dan yang berbuka pada hari Syak, kemudian maka nyatalah keadaan hari itu daripada bulan Ramadhan kerana menghormati waktu . Maka diketahui daripada mengaitkan wajib imsak dengan bulan Ramadhan bahawa tiadalah imsak pada yang lain daripada Ramadhan seperti puasa nadzar dan qadha΄ .
( Bermula ) Orang yang imsak di dalam bulan Ramadhan itu tiada ia di dalam puasa pada Syara’ dan jika diberi pahala ia sebab imsak itu sekalipun . Maka jika mengerjakan ia di dalam imsaknya akan barang yang ditegahkan, tiadalah lazim akan dia suatu jua pun lain daripada dosa .
﴾ Syahdan ﴿ Sunat bagi orang yang berbuka puasa dengan uzur menyegerakan qadha΄ serta berturut-turut supaya segera lepas dzimmahnya daripada keberatan . Dan wajib menyegerakan qadha΄ serta berturut-turut atas orang yang berbuka puasa dengan tiada suatu uzur supaya keluar ia daripada ma’shiat dengan segera .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan