Ini
suatu fashal pada menyatakan beberapa faedah lapar dan menyatakan kebinasaan
kenyang .
( Bermula
) Faedah lapar itu iaitu sepuluh perkara :
( Faedah lapar yang pertama )
Lapar itu menyucikan hati dan
menerangkan akan dia dan membukakan akan mata hati dan kenyang itu mengurangkan
‘aqal dan membutakan akan mata hati dam mematikan akan dia .
Sabda Nabi shallallaahu
‘alaihi wa sallam :
Ertinya : ‘ Hidupkan oleh
kamu akan hati kamu itu dengan sedikit tertawa-tawa dan sedikit kenyang dan
sucikan oleh kamu akan hati kamu itu dengan lapar supaya jadi suci dan jadi
lembut hati itu ’ .
( Faedah lapar
yang kedua )
Lapar itu melembutkan hati
dan dengan dia hasil lazat munaajat akan Tuhannya dan dengan dia hasil lazat di
dalam berbuat ‘ibadat akan Tuhannya dan lazat di dalam dzikrullaah .
Kata Abu Sulaiman ; Bermula
yang terlebih manis ‘ibadat itu kepada aku apabila berdampak belakangku itu
dengan perutku . Dan lagi, ia berkata ; Bermula hati itu apabila lapar dan
dahaga nescaya suci ia dan lembut ia dan apabila kenyang nescaya buta ia dan keras
ia dan tidur ia .
( Dan faedah yang ketiga )
Lapar itu memecah akan hati
dan menghinakan akan dia dan menghilangkan takabbur dan menghilangkan kesukaan
di dalam dunia .
( Bermula
) Takabbur itu asal segala zhalim dan asal yang melupakan akan Allah Ta‘ala dan
tiada sesuatu yang terlebih memecahkan akan hati dan yang terlebih menghinakan
akan dia melainkan dengan lapar itu dan ketika kembali ia kepada Tuhannya dan
tetap ia kepada Tuhannya dengan khusyu’ ia akan dia serta melihat dirinya hina
dan melihat akan Tuhannya itu yang Amat Mulia .
( Dan
dari kerana ) inilah bahawasanya adalah Nabi shallallaahu ‘alaihi wa
sallam pada satu masa sangat lapar hingga ia mengikatkan akan batu di atas
perutnya, maka datang Jibril ‘alaihis salaam padahal disuruh oleh Allah Ta‘ala
menjadikan akan dua bukit yang di Makkah, emas supaya jadi belanja Nabi
shallallaahu ‘alaihi wa sallam, maka enggan Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam
akan yang demikian itu, maka sabda ia dengan katanya :
Ertinya : ‘ Tiada aku
berkehendak akan kekayaan dunia tetapi biar aku lapar di dalam sehari dan aku
kenyang di dalam sehari, maka apabila aku lapar nescaya aku sabar dan aku
memohon kembali kepada Allah Ta‘ala serta merendahkan diriku . Dan apabila aku
kenyang nescaya aku kembali kepada Allah Ta‘ala serta mengucap akan syukur ’ .
Dan kata Imam Al Ghazali
rahimahullaahu ta‘ala kemudian daripada ia menyebut akan hadits ini ;
Ertinya :
Maka bathar, ya’ni membesarkan diri dan farah, ya’ni suka hati akan dunia itu
iaitu satu pintu daripada beberapa pintu Neraka dan asalnya itu iaitu kenyang .
( Dan ) menghinakan diri dan memecahkan
hati, ya’ni dukacita hati itu iaitu satu pintu daripada beberapa pintu Syurga
dan asalnya itu iaitu lapar . Dan barang siapa menutup akan pintu daripada
Neraka, maka sesungguhnya ia membuka akan pintu daripada pintu Syurga dengan
lazim yang tiada syak kerana bahawasanya keduanya itu berlawanan seperti
mashriq dan maghrib, maka jikalau hampir daripada salah suatu daripada keduanya
nescaya jauh daripada yang lainnya .
( Dan faedah yang keempat )
Lapar itu tiada lupa akan
bala΄ Allah Ta‘ala dan tiada lupa
akan siksaNya dan tiada melupakan akan orang yang kena bala΄ dan tiada lupa akan orang yang
kelaparan, maka bahawasanya kenyang itu melupakan akan orang yang lapar dan
lupa akan dirinya itu lapar, kerana ingat akan bala di dalam dunia itu
mengingatkan bala΄
Allah Ta‘ala di Akhirat, ya’ni ingat akan siksa di dalam Akhirat dan ingat akan
lapar di dalam dunia itu iaitu mengingatkan akan lapar di dalam Akhirat dan
dahaga di dalam Akhirat dan yang demikian itu membawa kepada takut akan Allah
Ta‘ala .
Dan dari kerana inilah
ditanya oleh orang bagi Nabi Yusuf ‘alaihis salaam dengan katanya ;
Ertinya :
Mengapa engkau berlapar dan di dalam tanganmu beberapa harta yang di dalam
perbendaharaan di dalam bumi, ya’ni di dalam dunia ?
Maka sabdanya : ‘ Aku takut jika
aku kenyang, maka aku lupa akan orang yang lapar di dalam Akhirat dan orang
yang lapar di dalam dunia kerana ingat akan orang yang lapar di dalam dunia itu
membawa kepada kasih sayang akan makhluq yang lapar itu dan dengan dia membawa
kepada membanyakkan memberi shadaqah akan orang yang lapar dan ingat akan yang
demikian itu dapat pahala yang amat besar ’ .
Seperti sabda Nabi
shallallaahu ‘alaihi wa sallam :
Ertinya : ‘ Barang siapa
memberi makan akan saudaranya yang Muslim hingga kenyang ia dan memberi minum
akan dia hingga puas dahaganya nescaya menjauhkan Allah Ta‘ala akan dia
daripada api Neraka dengan tujuh puluh dinding daripada parit dan tiap-tiap
satu parit itu antaranya perjalanan lima ratus tahun ’
( Dan faedah yang kelima )
Lapar itu iaitu yang terlebih
besar faedah lapar itu iaitu memecahkan akan segala syahwat ma’shiat dan dengan
dia dapat mengerasi akan nafsu ammaarah dan dengan dia dapat mengerasi akan
syaithan, dapat mengalahkan akan dia kerana bahawa kenyang itu asal kejadian
segala ma’shiat .
Dan kata Dzun Nun
rahimahullaahu ta‘ala, ertinya : Tiada aku
kenyang sekali-kali melainkan jadi aku akan berbuat ma’shiat atau jadi aku
bercita-cita dengan berbuat ma’shiat .
Dan lagi, kata Imam Al
Ghazali rahimahullaahu ta‘ala :
Ertinya :
Maka sekalian ma’shiat anggota yang tujuh itu sebabnya itu kuat yang hasil
daripada kenyang .
( Dan faedah yang keenam )
Lapat itu menolakkan akan
tidur dan mengekalkan akan berjaga malam kerana berbuat ‘ibadat, maka
bahawasanya barang siapa banyak tidur itu menghilangkan umur dan meluputkan
sembahyang tahajjud dan mengurangkan ‘aqal dan mengeraskan hati dan
membanyakkan tidur itu iaitu mematikan hati dan iaitu asal segala kebinasaan .
Dan kata Imam Al Ghazali
rahimahullaahu ta‘ala :
Ertinya :
Dan berhimpun bicara tujuh puluh orang yang Shiddiqqin atas bahawasanya banyak tidur
itu jadi daripada membanyakkan minum dan membanyakkan tidur itu menghilangkan
akan umur itu iaitu sebaik-baik modal perniagaan Akhirat .
( Dan faedah yang ketujuh )
Bahawasanya lapar itu
memudahkan mengekali atas berbuat ‘ibadat kerana bahawa membanyakkan makan itu
menegahkan daripada membanyakkan berbuat ‘ibadat kerana membanyakkan makan itu
berkehendak kepada memutuskan beberapa masa yang masyghul ( sibuk
) dengan dia dan terkadang berkehendak memutuskan beberapa masa di dalam
masyghul dengan membeli makanan dan masyghul dengan memasak akan dia dan
berkehendak kepada membasuh akan tangan dan berkehendak menyelat-nyelat akan
gigi dan barang sebagainya, kemudian maka berkehendak berulang-ulang kepada
tandas dan yang demikian itu menghilangkan beberapa masa berbuat ‘ibadat sebab
masyghul ia dengan membanyakkan makan itu . Bersalahan jika mensedikitkan
makan, maka kebanyakan masa itu masyghul ia dengan berbuat ‘ibadat, maka
kebanyakan masanya itu tiada jadi sia-sia .
Dan kata Imam Al Ghazali
rahimahullaahu ta‘ala :
Ertinya :
Menghikayatkan oleh As Sari As Saqathi rahimahullaahu ta‘ala daripada setengah
Masyaaikh bahawasanya adalah tiap-tiap makan itu memerlan ( menelan ) tepung yang dimasak jua padahal tiada
pernah ia memamah akan roti, maka ditanya oleh orang baginya pada pekerjaannya
yang demikian itu, maka ia menjawab ; Bahawasanya aku hisab di dalam antara
memamah akan roti dan memerlan tepung yang dimasak itu tujuh puluh tasbih, maka
sebab inilah tiada pernah aku memamah akan roti di dalam masa empat puluh tahun
.
( Dan faedah yang delapan )
Bahawa mengurangkan makan itu
menyihatkan badan dan menolakkan ia akan segala penyakit kerana membanyakkan
makan itu iaitu sebab mendatangkan beberapa penyakit dan penyakit itu menegahkan
daripada berbuat ‘ibadat dan menyusahkan hati dan lagi menegahkan membanyakkan
dzikrullaah dan menegahkan akan berfikir yang iaitu yang dimaksud bagi orang
yang menjalani akan jalan Akhirat itu . Dan lagi, penyakit itu berkehendak
kepada ubat dan ubat itu berkehendak kepada belanja dan belanja itu barangkali
tiada mudah bagi orang yang menjalani akan jalan itu .
Dan sabda Nabi shallallaahu
‘alaihi wa sallam :
Ertinya : ‘ Dan mengurangkan
makan itu menyihatkan segala jisim daripada segala penyakit dan menyihatkan
segala hati daripada penyakit dan ma’shiat yang bathin dan menghilangkan akan
bathar, ya’ni kibr ( sombong ) di dalam hati dan yang selain daripada keduanya ’ .
( Dan faedah yang kesembilan )
Bahawa mengurangkan makan itu
iaitu meringankan belanja kerana bahawasanya barang siapa mengurangkan makan
itu iaitu memadalah ia sedikit harta . Bermula membanyakkan makan itu
berkehendak kepada harta yang banyak dan banyak harta itu berkehendak kepada
berusaha dan berusaha itu barang kali memutuskan ia akan jalan Akhirat yang
iaitu maksud bagi orang yang salik .
( Dan faedah yang kesepuluh )
Bahawasanya mengurangkan
makan itu iaitu dapat memberi shadaqah dengan makanan yang lebih makannya akan orang
yang faqir dan orang yang miskin dan dapat memberi shadaqah kepada segala anak
yatim dan dengan yang demikian itu dapat beberapa pahala yang amat banyak dan
lagi, adalah shadaqahnya itu pada hari Qiyaamah jadi tempatnya bernaung
daripada panas matahari seperti sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :
Ertinya : ‘ Beri oleh kamu
akan shadaqah dan jikalau dengan satu buah tamar sekalipun, maka bahawasanya
satu buah tamar itu memadai daripada orang yang lapar dan memadamkan akan
kesalahan seperti memadamkan air akan api ’ .
Dan lagi, sabda Nabi shallallaahu
‘alaihi wa sallam :
Ertinya : ‘ Takuti oleh kamu
akan api Neraka dan jikalau dengan memberi dengan sebelah buah tamar sekalipun,
maka jikalau tiada ada kamu dapat yang demikian itu, maka memberi kamu akan
nasihat dengan satu perkataan yang baik ’ .
Wallaahu a’lam .
Rujukan : Kitab Sairus
Saalikiin jilid 3 .