( Dan wajib ) Bagi segala Rasul ‘alaihimush shalaatuwas salaam empat perkara :
( Pertama : Shiddiq ) Ertinya benar pada sekelian perkataan mereka itu. Dan makna benar itu berbetulan dengan nafsu pekerjaan . Maka wajib kita i’tiqadkan benar mereka itu pada dakwa mereka itu akan Nubuwwah dan Risalah dan pada barang yang menyampai mereka itu akan kita daripada Allah Ta‘ala dan pada segala khabar mereka itu daripada segala (1) perkara yang ghaib (2) dan lainnya dan jika atas jalan seloro sekalipun .
(1) ( Qauluhu ; Perkara yang ghaib ) Ertinya daripada barang yang telah lalu seperti ehwal Anbiya΄ yang dahulu-dahulu dan barang yang lagi akan datang seperti ehwal Qiyaamah dan Syurga dan Neraka .
(2) ( Qauluhu ; Dan lainnya ) Ertinya lain daripada yang ghaib seperti segala hukum dan segala pekerjaan yang bergantung dengan dunia seperti ; telah datang si anu, dan telah makan aku .
( Dan mustahil ) Lawannya iaitu dusta .
( Dan dalil ) Shiddiq mereka itu bahawasanya jika berdusta mereka itu nescaya dusta pula khabar Allah Ta‘ala kerana membenarNya Ta‘ala akan mereka itu dengan mengurniaNya akan mereka itu beberapa mu’jizat yang menempati firmanNya : “ Telah benarlah hambaKu ” . Dan dusta pada khabar Allah Ta‘ala itu mustahil, maka tsabitlah benar mereka itu . Dan apabila tsabit ia, mustahillah dusta .
( Kedua : Amanah ) Ertinya kepercayaan . Dan maknanya terpelihara mereka itu daripada mengerjakan segala barang yang ditegah dan jika makruh, dan khilaful aula sekalipun pada zhahir dan bathin pada ketika kecil dan besar dan pada dahulu daripada jadi Nabi dan kemudiannya .
( Dan mustahil ) Lawannya iaitu khianat .
( Dan dalil ) Amanah mereka itu bahawasanya jika khianat mereka itu dengan memperbuatkan yang haram atawa yang makruh nescaya adalah kita disuruh kita dengan mengerjakan seumpama perbuatan mereka itu . Dan tiada sah bahawa disuruhkan kita dengan khianat itu kerana tiada menyuruh Allah Ta‘ala dengan kejahatan sekali-kali .
( Ketiga : Tabligh ) Ertinya menyampaikan barang yang disuruh mereka itu menyampaikan dia kepada makhluq, maka adalah barang yang diwahyu oleh Allah Ta‘ala kepada segala Rasul itu tiga bahagi :
Satu bahagi menyuruh Allah Ta‘ala akan mereka itu dengan ketiadaan menyampaikan dia kepada makhluq, maka tiada harus bagi mereka itu dengan menyampaikan dia .
Dan satu bahagi memberi pilih Allah Ta‘ala akan mereka itu padanya, maka harus bagi mereka itu menyampaikan dia dan ketiadaan menyampainya .
Dan satu bahagi menyuruh Allah Ta‘ala akan mereka itu dengan menyampainya, maka telah menyampai mereka itu akan dia kepada makhluq dan tiada menyembunyi mereka itu daripadanya akan sesuatu .
( Dan mustahil lawannya ) Iaitu menyembunyikan barang yang tersebut itu .
( Dan dalil tabligh ) Itu bahawasanya jika menyembunyi mereka itu akan suatu daripada barang yang disuruh mereka itu dengan menyampaikan dia nescaya adalah disuruhkan kita dengan menyembunyikan ‘ilmu kerana disuruhkan kita dengan mengikut mereka itu .
Dan tiada sah bahawa disuruhkan kita dengan menyembunyi ‘ilmu kerana orang yang menyembunyi ‘ilmu itu dikutuki, maka tsabitlah bagi mereka itu tabligh . Dan apabila tsabit ia, mustahillah menyembunyikannya .
( Keempat : Fathanah ) Ertinya cerdik dengan sekira-kira ada pada mereka itu kuasa atas menghentikan perkataan segala lawan dan berhujjah akan mereka itu dan membatalkan segala dakwa mereka itu yang bathil .
( Dan mustahil ) Lawannya iaitu buda { bodoh } . Dan dalil fathanah itu bahawasanya jika ternafi daripada mereka itu oleh fathanah nescaya tiada kuasa mereka itu atas mendirikan hujjah atas segala lawan mereka itu dan iaitu mustahil kerana mengkhabar oleh Al Quran dengan mendiri mereka itu akan hujjah atas segala lawan, maka tsabitlah cerdik mereka itu . Dan apabila tsabit ia, mustahillah bodoh .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan