Selasa, 25 Jun 2013

Puasa - Darjat Orang Yang Berpuasa

Tiga Darjat Orang Yang Berpuasa

Ini suatu fashal pada menyatakan rahsia puasa dan menyatakan segala syarat yang bathin .

( Ketahui olehmu ) Hai orang yang menjalani jalan Akhirat dan jalan kepada Allah Ta‘ala bahawa adalah bagi puasa itu tiga darjat :

( Darjat yang pertama ) Puasa orang yang ‘awam, ya’ni puasa kebanyakan manusia iaitu menegahkan ia daripada makan dan minum dan jima’ dan menahan daripada segala yang membatalkan puasanya seperti yang tersebut pada fashal yang dahulu itu .

( Darjat yang kedua ) Puasa orang yang khawash iaitu puasa orang yang shalihin dan orang yang Muttaqin iaitu menegahkan akan segala yang tersebut pada darjat yang pertama iaitu menegahkan pula akan segala anggotanya daripada berbuat ma’shiat dan daripada berbuat yang sia-sia yang tiada memberi manfaat kepada Akhirat dan hasil kesempurnaan puasa mereka itu dengan tujuh perkara :

1 : Memejamkan kedua matanya dan menegahkan akan keduanya itu daripada melihat kepada tiap-tiap yang haram dan yang makruh dan menegahkan keduanya itu daripada melihat kepada sesuatu yang mubah ( yang harus ) yang membimbangkan ( yang menghalang ) akan hatinya daripada dzikir Allah Ta‘ala dan daripada ingat kepada Allah Ta‘ala .

Sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Bermula melihat itu iaitu satu panah yang dibubuh racun daripada beberapa panah Iblis, maka barang siapa meninggalkan akan melihat itu kerana takut akan Allah Ta‘ala nescaya memberi akan dia oleh Allah Ta‘ala akan iman yang dapat manis iman itu di dalam hatinya, ya’ni diberi oleh Allah Ta‘ala akan dia tetap iman ’ .

Lagi, sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Lima perkara yang membatalkan ( pahala ) akan yang puasa, yang pertama berdusta dan kedua mengumpat akan orang dan ketiga mengadu-ngadu akan orang dan keempat bersumpah dengan dusta dan kelima melihat akan suatu dengan syahwatnya, ya’ni dengan ingin ’ .

2 : Memeliharakan lidah daripada perkataan yang haram dan daripada perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam Akhirat dan memeliharakan pula akan lidah daripada berdusta dan daripada mengumpat akan orang dan daripada mengadu-ngadu akan orang dan memeliharakan pula akan dia daripada segala perkataan yang keji-keji dan memeliharakan pula akan dia daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan orang dan memeliharakan daripada memaki orang dan sayugianya hendaklah orang yang puasa itu melazimkan akan diam dan masyghul ( sibuk ) ia dengan membanyakkan dzikrullaah dan membanyakkan membaca Al Quran .

Dan kata Mujahid : Ertinya : Dua perkara membinasakan ia akan puasa pertama mengumpat-ngumpat akan orang dan kedua berdusta .

Dan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Hanya sanya puasa itu perisai, maka apabila ada seseorang kamu puasa, maka jangan mengerjakan suatu yang sia-sia dan jangan berbuat akan perbuatan orang yang jahil dan jika ada seseorang hendak membunuh akan dia atau memaki akan dia, maka hendaklah ia berkata bahawasanya aku puasa bahawasanya aku puasa dan jangan dilawan akan orang itu ’ .

3 : Sayugianya ( sebaiknya ) bagi orang yang puasa itu memeliharakan akan telinganya daripada mendengarkan perkataan yang haram dan perkataan yang makruh dan memelihara akan telinganya daripada mendengar perkataan yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam Akhirat .

Dan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Bermula orang yang mengumpat akan orang dan orang yang mendengar akan dia itu bersekutu, keduanya itu berdosa ’ .

4 : Sayugianya bagi orang yang puasa itu memeliharakan tangannya dan kakinya daripada segala yang diharamkan dan segala yang makruh dan segala yang sia-sia yang tiada memberi manfaat di dalam Akhirat .

5 : Memeliharakan perut pada ketika waktu berbuka itu daripada memakan makanan yang haram itu atau memakan yang syubhat, maka tiada faedah bagi puasa iaitu meninggalkan daripada makan yang halal, kemudian maka berbuka dengan makanan yang haram, maka adalah mitsal ( umpama ) orang yang puasa itu seperti mitsal orang yang berbuat mahligai padahal ia merobohkan akan negeri kerana makanan yang halal itu memberi mudharat ia dengan memakan banyak akan dia dan tiada memberi mudharat ia dengan makan sedikitnya dan puasa itu mensedikitkan akan makan yang halal itu ubat yang memberi manfaat bagi hati dan membanyakkan akan dia itu membinasakan akan hati dan memakan yang haram itu membinasakan akan agama .

Sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Beberapa daripada orang yang puasa padahal tiada baginya daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga jua ’ .

Maka kata setengah ‘Ulama΄ iaitu yang berbuka dengan memakan yang haram . Dan kata setengah ‘Ulama΄ iaitu orang yang menahan daripada memakan yang halal dan berbuka dengan daging manusia dengan mengumpat-ngumpat akan orang dan mengumpat itu haram . Dan kata setengah ‘Ulama΄ iaitu orang yang tiada memeliharakan segala anggotanya daripada yang haram yang membawa kepada dosa .

6 : Sayugianya bahawa jangan membanyakkan pada ketika berbuka itu dengan memakan yang halal sekira-kira memenuh perutnya .

Sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Ertinya : ‘ Tiada memenuh oleh anak Adam akan suatu tempat yang terlebih jahat daripada memenuhi perutnya dengan memakan yang halal ’ .

Kerana maksud dengan puasa itu iaitu hendak mengurangkan makan supaya dhaif syahwat nafsunya dan syahwat syaithannya, maka jika dihempaskannya makanan yang pagi-pagi dan makanan yang petang-petang itu dengan segala makan pada ketika berbuka puasa itu, maka tiada faedah puasanya itu dan tiada manfaat puasanya itu pada ketika membanyakkan akan makan melainkan dengan sedikit daripada memakan yang halal kerana tiap-tiap daripada mengurangkan akan makan itu, maka iaitu meringankan tubuh daripada berbuat ‘ibadat dan berbuat sembahyang Tahajjud pada malam hari dan merajinkan akan mengerjakan wiridnya dan dzikirnya hingga terang hatinya ’ .

7 : Sayugianya bahawa adalah hatinya kemudian daripada berbuka itu berulang-ulang antara khauf dan raja’, ya’ni berulang-ulang antara takut akan Allah Ta‘ala dan antara harap akan Allah Ta‘ala kerana tiada diketahui, adakah diterima akan puasanya itu, maka iaitu daripada orang yang Muqarrabin atau ditolakkan akan puasa itu atasnya, maka iaitu daripada orang yang dimurkai Allah Ta‘ala . Dan sayugianya ia menghadhirkan akan yang demikian itu pada ketika kemudian daripada tiap-tiap ‘ibadat yang lain daripada puasa itu . Wallaahu a’lam .

( Dan darjat puasa yang ketiga ) : Puasa orang yang khawashul khawash iaitu puasa orang yang Muqarrabin yang ‘Arifin iaitu menahan hati daripada mencita-cita akan dunia dan daripada memikirkan akan dia dan mengosongkan rahsia yang di dalam hati daripada barang yang lain daripada Allah Ta‘ala dan sentiasa hatinya itu syahdu kepada Allah Ta‘ala dan batal puasanya itu dengan memikirkan akan barang yang lain daripada Allah Ta‘ala dan ( mencita-cita atau memikirkan )  yang lain daripada negeri Akhirat .

Demikian lagi, batal puasa itu dengan memikirkan akan pekerjaan dunia melainkan jika ada dunia itu membawa kepada manfaat Akhirat dan jadi bekal baginya di dalam Akhirat, maka iaitu tiada dinamakan akan dunia kerana inilah kata ‘Ulama΄ Ahlil Bathin :

Ertinya : Barang siapa bergerak-gerak citanya dengan berbuat di dalam harinya itu kerana membicarakan akan sesuatu yang dimakannya dengan dia pada ketika berbukanya itu nescaya disuratkan atasnya akan dosa kerana yang demikian itu kurang percaya dengan anugerah Allah Ta‘ala dan kemurahanNya pada mmeberi rezeki akan dia dan kurang yakin ia dengan rezekinya yang dijanjikan oleh Allah Ta‘ala .

( Dan darjat puasa yang ketiga ) ini iaitu martabat Anbiya΄ dan orang yang Shiddiqqin dan orang Muqarrabin yang ‘arifin kerana cita-cita hati mereka itu semata-mata berhadap kepada Allah Ta‘ala dan berpaling hati mereka itu daripada segala yang lain daripada Allah Ta‘ala dan telah masuk mereka itu di dalam makna firman Allah  Ta‘ala :   

Ertinya : “ Ucap olehmu akan Allah Ta‘ala, kemudian maka tinggalkan olehmu akan manusia di dalam pekerjaan mereka itu padahal bermain-main mereka itu ” ya’ni : “ Katakanlah ( kepada mereka ) : "Allah jualah ( yang menurunkannya ) ", Kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya . ( QS Al An‘am : 91 )

Wabillaahi taufiq .


Rujukan : Kitab Sairus Saalikiin jilid 1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan