Isnin, 20 Jun 2011

Akibat Tidak Redha Suami Berkahwin Muhimmah siri9



Hai segala kaum perempuan !!! Mengapakah tiada engkau redha dengan nikah suamimu akan perempuan yang lain, tiliklah olehmu hai segala perempuan, betapa engkau beri tipu daya oleh syaithan hingga jatuhlah engkau ke dalam kufur dan azab yang mengekalkan ia di dalam Neraka Jahannam . Berlindung kiranya kita kepada Allah daripada yang demikian itu  .

Hai segala kaum perempuan !!! Adakah bagimu kuasa menyabar atas panas api Neraka Jahannam ???

Atau yakinkah engkau bahawa dimasukkan engkau ke dalam Syurga, tiada sekali-kali yang demikian itu ???

Tidakkah engkau takut hai segala perempuan akan azab dan siksa api Neraka ???

Maka jikalau engkau syak, cubalah olehmu dahulu akan api dunia ini, sementara belum lagi datang api Neraka Jahannam . Kuasakah kamu sabar atau tiada ???

Maka bahawa sungguhnya api Neraka Jahannam itu terlebih panas dan keras siksanya daripada api dunia ini beberapa ribu kali ganda lagi .

Ketahui olehmu, hai segala perempuan !!! Jikalau banyak sekalipun amal kamu apabila tiada redha oleh suami kamu, nescaya tiada diterima { amal } kamu seperti { sabda } Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Barang di mana ada perempuan yang berbuat ‘ibadat seperti ‘ibadat Siti Maryam anak Imran, padahal tiada redha daripada perempuan itu oleh suaminya, nescaya tiada menerima Allah Ta‘ala daripadanya segala amalnya dan dimasukkan Allah Ta‘ala akan dia bersama-sama dengan segala kafir dan munaafiq dan lapis yang di bawah daripada segala Neraka melainkan bahawa taubat ia ’ .

Dan sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Barang di mana perempuan yang menilik ia akan muka suaminya dengan muka yang masam, nescaya disuratkan Allah Ta‘ala dengan sebilang-bilang tiap-tiap bintang di langit, kejahatan, maka jika mati ia dahulu daripada redha suaminya, nescaya dimasukkan ia ke dalam api Neraka ’ .

Dan lagi cerita daripada Hasan Basri Rahimahullaahu Ta‘ala, bahawa sungguhnya sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Apabila lari seorang perempuan daripada rumah suaminya, nescaya tiada menerima Allah Ta‘ala akan sembahyang hingga kembali ia kepada suaminya, dan ditaruhkan tangan itu kepada tangan suaminya dan berkata ia kepada suaminya : Perbuatlah olehmu dengan barang yang engkau kehendak, serta dengan manis muka dan jikalau tiada diperbuat seperti yang demikian itu serta kuasanya maka iaitu zalim, dan zalim itu haram dan dikutuki Allah Ta‘ala daripada yang demikian itu ’ .

Dan lagi cerita daripada Saiyyidina ‘Ali Radhiyallaahu ‘anhu : Bahawa sungguhnya telah berkata ia, adalah aku duduk serta Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam pada suatu hari di dalam rumah Siti Khadijah Radhiyallaahu ‘anha, menceritakan akan kami oleh Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam akan cerita Bani Israel, iaitu cerita ummat Nabi yang dahulu-dahulu, kemudian bersabda ia :

Tiada ada daripada perempuan yang berkata ia bagi suaminya ; Apa bagimu ? Ya’ni dengan perkataan yang membawa kepada marah dan sakit hati melainkan melaknatkan akan dia oleh Allah Ta‘ala dan segala Malaikat dan putuskan oleh segala amalnya perempuan itu ’ .

Hai segala perempuan !!! Hendak { hendaklah } engkau melepaskan daripada mengerjakan pekerjaan yang tiada diterima Allah Ta‘ala segala amal kamu supaya sejahteralah engkau daripada azab Allah Ta‘ala yang tiada sesiapa mengetahui di dalam negeri Akhirat .

Dan demikian lagi cerita daripada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :

Tiada daripada perempuan yang berkata ia dengan perkataan yang keji bagi suaminya melainkan mengeluarkan Allah Ta‘ala  akan dia akan lidahnya pada hari Qiyaamah daripada pihak belakangnya, kemudian digantung akan dia dengan lidahnya dan ditambatkan akan tangannya dan kakinya dengan rantai dan belenggu, kemudian maka diserukan atasnya pada Padang Mahsyar dengan serunya :

Inilah balasan bagi orang yang derhakakan suaminya ’, kemudian menghela akan dia oleh segala Malaikat Zabaniyyah ke dalam api Neraka, kemudian berkata pula : Rasa olehmu akan siksa yang amat sangat dengan sebab engkau derhaka dan menyakiti akan suamimu  di dalam dunia ’ .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan