Adapun siksanya pada hari Akhirat, jikalau derhakanya perempuan itu sebab minta thalaq kerana tiada kesakitan yang tiada haruskan oleh Syara’, nescaya haramlah atas perempuan itu bau Syurga .
Dan jikalau derhakanya itu sebab menyakiti suaminya dengan perkataannya, nescaya digunting lidahnya di dalam api Neraka serta dituang air panas di dalam lehernya .
Dan jikalau derhakanya sebab keluar daripada rumah, maka dipandang oleh lelaki yang lain akan rambutnya, nescaya digunting rambut kepalanya di dalam api Neraka .
Demikianlah berbagai-bagai siksanya kerana berbagai-bagai derhakanya, seperti yang diceritakan oleh Saiyyidina ‘Ali Radhiyallaahu ‘anhu :
Adalah pada suatu hari masuk aku ke dalam rumah Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam, dan ada sertaku isteriku, Siti Fatimah Radhiyallaahu ‘anha, maka tatkala menepuk pintu, maka sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :
‘ Siapa yang di pintu itu ’ ?
Maka sahut Siti Fatimah : Kami dengan suami kami ‘Ali, hamba datang mengadap akan dikau, ya Rasulullah .
Maka tatkala membuka pintu bagi kami, maka tiba-tiba kami dapat akan Nabi hal keadaannya menangis akan sebagai tangis yang sangat.
Maka kataku baginya :
Penebusmu aku, engkaulah bapaku, dan ibuku, ya Rasulullah . Apalah yang menangiskan akan dia ?
Maka sabdanya :
‘ Bahawa sungguhnya telah aku lihat pada malam Mi’raj beberapa perempuan daripada ummatku di dalam siksa yang amat sangat, maka sangatlah salah pekerjaan mereka itu kerana itulah yang menangiskan akan daku daripada sangat siksa mereka itu ’ .
Berkata Saiyyidina ‘Ali radhiyallaahu ‘anhu :
Ya Rasulullah, betapa engkau lihat kepada mereka itu ?
Maka sabda Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :
‘ Telah aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan api Neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya ’ .
‘ Dan aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya ’ .
‘ Dan aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan kakinya padahal terikat lagi terlipat, telah megeluarkan segala Malaikat yang menyiksa itu dengan dua tangannya daripada pihak belakang dan minyak tanah itu dilumurkan pada badannya dan dituangkan air panas ke dalam lehernya ’ .
‘ Dan aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan masuk di dalam lehernya, erti buah zaqqum itu, iaitu buah kayu di dalam Neraka yang amat pahit, maka apabila memakan mereka itu akan zaqqum itu, nescaya mengelegak segala isi perut mereka itu dan otak mereka itu dan gusi mereka itu dan keluar lidah apinya daripada mulut mereka itu ’ .
‘ Dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung padahal memakan ia akan daging dirinya dan api Neraka dinyala-nyalakan daripada pihak bawahnya ’ .
‘ Dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung lagi menambat oleh segala Malaikat akan dua kakinya kepada dua susunya dan ditambatkan dua susunya kepada ubun-ubunnya dan dijadikan atas badannya itu beberapa ular dan kala, hal keadaannya memakan ia akan dagingnya dan minum ia akan darahnya ’ .
‘ Dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya buta dan tuli dan kelu di dalam kerongkongan api Neraka, padahal keluar otak daripada kepalanya, dan lagi mengalir ke dalam hidungnya dan segala badan nya itu amat busuk, lagi terputar-putar seperti kena penyakit yang besar ’ .
‘ Dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya dipotong segala daging badannya daripada hadapannya hingga ke belakangnya daripada segala anggotanya dengan gunting api Neraka ’ .
‘ Dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya hitam segala mukanya dan dua susunya dan api memakan isi perutnya ’ .
‘ Dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai dan di atasnya itu beribu-ribu warna daripada azab ’ .
‘ Dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung atas rupa anjing dan api Neraka itu masuk daripada bawah duburnya dan keluar ia daripada mulutnya dan segala Malaikat itu memukul mereka itu akan kepalanya dan badannya dengan pemukul api Neraka ’ .
Kata Saiyyidina ‘Ali : Maka berdiri Siti Fatimah Radhiyallaahu ‘anha kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam, maka berkata Siti Fatimah :
Hai kekasihku dan cahaya mataku, khabarkan olehmu apa-apa dosa mereka itu hingga jatuh atas sekelian mereka itu dengan beberapa siksa ?
Maka sabda Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam :
‘ Adapun perempuan yang tergantung dengan rambutnya itu, maka bahawa sungguhnya ia tiada mahu menutup rambutnya daripada lelaki yang lain yang haram memandangnya ’ .
‘ Dan adapun perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air yang panas dituangkan di dalam leher itu, maka bahawa sungguhnya ia menyakiti akan suaminya ’ .
‘ Dan adapun perempuan yang tergantung dua susunya itu, maka bahawa sungguhnya ia memberikan air susu suaminya tiada dengan izinnya ’ .
‘ Dan adapun perempuan yang tergantung dengan dua kakinya di dalam kerongkongan api Neraka itu, maka bahawa sungguhnya ia keluar daripada suaminya dengan tiada izin daripadanya ’ .
‘ Dan adapun perempuan yang tergantung dan memakan ia akan tubuhnya dan api Neraka dinyala-nyalakan daripada pihak bawahnya, maka bahawa sungguh nya ia memperhiasi tubuhnya kerana orang yang lain, yang tiada memperhiasi bagi suaminya’
‘ Dan adapun perempuan yang tergantung dengan dua kakinya yang tertambat kepada dua susunya bertambat pada ubun-ubun dan telah dijadikan kepadanya beberapa ular dan kala yang memakan ia akan dagingnya dan meminum ia akan darahnya bahawa sungguhnya ia di dalam dunia tiada hendak bersuci badannya dan tiada hendak mandi daripada junub dan haidh dan daripada nifas dan meringan-ringan akan sembahyang ’ .
‘ Dan adapun perempuan yang tergantung hal keadaan kelu dan buta dan tuli yang ada ia di dalam kurungan api Neraka, maka bahawa sungguhnya ada ia mendatangkan daripada anak zina ditambatkan akan dia pada batang leher suaminya ’ .
‘ Dan adapun perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya itu seperti badan himar, ya’ni keldai bahawa sungguhnya ia adalah sangat mengadu-adu lagi amat dusta ’ .
‘ Dan adapun perempuan yang seperti rupa anjing dan api masuk ia daripada mulutnya dan keluar ia daripada duburnya, maka bahawa sungguhnya ia adalah sangat membangkit akan manusia, lagi banyak dengki berdengki ’ .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan