Go To Budilosong web
http://budilosong.orgBagi seseorang ma΄mum semasa berjema‘ah dengan imamnya, ia mesti berada dalam salah satu dari dua keadaan, sama ada dia menjadi seorang muwaafiq ( bersama ) dengan imamnya atau masbuq ( didahului ) oleh imamnya .
Atau dengan lain perkataan, bahawa setiap ma΄mum kadang-kadang dia sempat bersembahyang bersama imamnya daripada permulaan sembahyang imamnya . Dan kadang-kadang dia masuk berjema‘ah lewat sedangkan imam sedang sembahyang atau kadang-kadang seorang ma΄mum niat berjema‘ah bersama imam pada awal takbiiratul ihram lagi tetapi apabila sampai dipertengahan sembahyang, ma΄mum tersebut ditinggalkan oleh imamnya dengan sebab sesuatu hal .
Oleh itu, seorang ma΄mum kadang-kadang dia menjadi seorang masbuq dan kadang-kadang ia menjadi muwaafiq . Jika semasa dia menjadi muwaafiq, maka wajib ke atasnya menjaga hukum dan syarat-syarat muwaafiq, kalau tidak, sembahyang ma΄mum itu tidak sah dan batal . Dan begitu juga, manakala semasa dia menjadi seorang yang masbuq, kewajiban ke atasnya memelihara syarat dan peraturan-peraturan sebagai seorang masbuq pula .
Muwaafiq : Seorang ma΄mum yang sempat berjema‘ah dengan imam semasa berdiri imamnya di mana ia sempat berjema‘ah dengan imam sekadar masa yang membolehkan ia membaca shurah Al Faatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan dikalangan ‘uruf orang ramai, tidak berdasarkan kepada bacaan ma΄mum itu dan juga tidak berdasarkan kepada bacaan imamnya, tetapi berdasarkan kepada bacaan ‘uruf orang ramai .
Masbuq : Seorang ma΄mum yang tidak sempat berjema‘ah semasa berdiri imamnya sekadar masa membaca Al Faatihah dengan bacaan yang pertengahan, tidak terlalu cepat dam tidak terlalu lambat malahan perhitungan bacaan Al Faatihah itu tidak berpandukan kepada bacaan imam dan tidak berpandukan kepada bacaan ma΄mum itu bahkan mengikut bacaan ‘uruf orang ramai . Mana-mana ma΄mum yang tidak sempat berjema‘ah dengan imam semasa berdiri imamnya sekadar masa yang membolehkan ia membaca Al Faatihah hingga selesai, maka dinamakan masbuq .
Muwaafiq dan masbuq boleh berlaku ke atas seseorang ma΄mum pada empat raka‘at, sama ada pada raka‘at pertama, raka‘at kedua, raka‘at ketiga dan seterusnya pada raka‘at keempat .
Hukum bagi orang muwaafiq dimaafkan kepadanya tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya, tidak termasuk rukun-rukun yang pendek, rukun-rukun yang panjang itu seperti ruku’ dan sujud manakala rukun yang pendek seperti i’tidal dan duduk di antara dua sujud .
Juga dikehendaki ketinggalan tiga rukun yang panjang itu tidak termasuk dan dikira duduk istiharah . Begitu juga tidak kira duduk tasyahud awal dan i’tidal .
1 : Seorang ma΄mum yang muwaafiq sedang sembahyang berjema‘ah sebelum imam berdiri tegak daripada sujud yang kedua dia sudah ruku’, maka ma΄mum berkenaan mendapat raka‘at itu kerana ketingalannya daripada imam belum masuk kepada rukun keempat .
2 : Seorang ma΄mum yang muwaafiq sedang sembahyang berjema‘ah sebelum imam duduk tasyahud akhir ma΄mum berkenaan sudah ruku’, hukumnya dia juga mendapat raka‘at itu .
Kedua-dua contoh di atas menunjukkan bahawa ma΄mum berkenaan masih lagi berada dalam jarak tiga rukun daripada imamnya belum lagi masuk ke rukun yang keempat sebagaimana contoh-contoh di atas itu bahawa rukun-rukun yang renggang atau jarak antara ma΄mum dengan imam ialah tiga rukun yang dikira daripada :
a ) : Ruku’ b ) : Sujud yang pertama c ) : Sujud yang kedua .
3 : Jika seorang muwaafiq itu sembahyang berjema‘ah apabila imamnya sudah berada dalam berdiri raka‘at kedua untuk membaca Al Faatihah tetapi ma΄mum berkenaan masih lagi berada ketika berdiri pada raka‘at yang pertama masih lagi belum selesai bacaan Al Faatihahnya atau imam telah berada pada tasyahud akhir sedangkan ma΄mum masih lagi berdiri dalam raka‘at pertama dan bacaan Al Faatihahnya masih belum selesai, maka hukumnya adalah batal sembahyang ma΄mum yang sedemikian, kecuali jika ia membuat dua pilihan segera ketika imam hendak berpindah kepada rukun keempat iaitu :
Pilihan pertama : Ma΄mum berkenaan dikehendaki meninggalkan bacaan Al Faatihahnya dan terus mengikut dan melakukan apa yang sedang dilakukan oleh imam dan ia tambah satu raka‘at lagi selepas salam imam .
Pilihan kedua : Ma΄mum berkenaan dikehendaki niat mufaaraqah dari mengikut imam kemudian ia hendaklah meneruskan bacaan Al Faatihahnya dan rukun-rukun yang lain dengan seorang diri sehingga selesai sembahyangnya .
Jika ma΄mum berkenaan gagal membuat pilihan segera sebelum imam sampai kepada rukun keempat iaitu berdiri pada raka‘at yang kedua atau imam sampai kepada tasyahud akhir, maka batal sembahyang ma΄mum itu apabila sampainya imam kepada rukun yang keempat sedangkan ma΄mum itu masih berada pada rukun yang pertama, tetapi tidak mengapa jika serentak ma΄mum berpindah kepada ruku’, manakala imam pada ketika itu berpindah kepada berdiri dalam raka‘at yang kedua atau serentak dengan imam yang berpindah kepada tasyahud akhir .