‘Aqiidatun Najiin ( Siri 20 )
Maka alam itu dua bahagi :
Yang pertama : A’yaan .
Yang kedua : A’raadh, seperti kata setengah ‘Ulama΄ .
Bermula alam dengan sekelian suku-sukunya itu baharu, ya’ni adanya itu didahului oleh tiada kerana alam itu, adakala a’yan, ya’ni jirim yang berdiri ia dengan dzatnya dan adakala a’raadh yang berdiri ia kepada a’yaan, ya’ni ‘aradh itu berkehendak kepada a’yaan, tiada boleh ia asing sendirinya . Maka a’yaan itu barang yang ada baginya berdiri dengan dzatnya, tiada mengikut ia bagi yang lainnya dan mengambil lapang ia kadar lulus dzatnya .
Dan a’yaan itu adakalanya bersusun daripada beberapa jauhar, maka dinamakan jisim atau tiada bersusun, maka dinamakan jauharul fard dan iaitu sesuatu yang tiada menerima bahagi sekali-kali seperti nyawa .
Dan ‘aradh itu barang yang tiada dapat berdiri dengan dzatnya, ertinya tiada mengambil lapang ia dengan dzatnya dan sungguhnya mengambil lapang ia dengan yang lain, ya’ni mengikut ia akan a’yaan seperti akuan yang empat iaitu gerak dan diam dan bercerai dan berhimpun dan segala warna .
Dan makna warna itu kaifiat yang terhenti melihat akan dia itu atas melihat bagi suatu yang lain iaitu cahaya .
Dan makna cahaya itu kaifiat yang tiada terhenti melihat akan dia atas melihat bagi suatu yang lain .
Dan segala rasa dan baginya sembilan :
Bagi yang pertama : Pahit .
Dan kedua : Pedas .
Dan ketiga : Manis .
Dan keempat : Kelat .
Dan kelima : Masam .
Dan keenam : Perat .
Dan ketujuh : Masin .
Dan kelapan : Lemak .
Dan kesembilan : Tawar .
Dan segala bau-bauan, maka baginya amat banyak, maka sekelian itu ‘aradh yang baharu, ya’ni shifat bagi jirim .
Ketahui olehmu, apabila sudah tetaplah bahawa alam ini sekeliannya muhditsun, ya’ni baharu, maka yang mengadakan dia itu Allah Ta‘ala, dzat yang wajib al wujud yang tiada bagiNya permulaan dan tiada berkesudahan dan ada bagiNya beberapa shifat kamalat yang tiada terhingga bagiNya pada bilang-bilangan pada nafsu al amr, sama ada shifat yang wujudiyyah atau salbiyah kerana beberapa hadits menunjukkan tiada berkesudahan kamalat Allah Ta‘ala tetapi tiada wajib kita ketahui atas jalan tafshil, hanya wajib kita ketahui atas jalan ijmal .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan