Ahad, 19 Jun 2011

Qidam Dan Keterangannya


‘Aqiidatun Najiin ( Siri 26 )

Dan kata Mushannif :


  ﻭﺍﻠﻘﺪﻢ  ﴿

Ertinya : Yang kedua daripada shifat yang wajib bagi Allah Ta‘ala itu qadim . Ertinya : Sedia .

Dan makna qidam pada hak Allah Ta‘ala itu ketiadaan ‘adam yang mendahului bagi wujud . Dan jika engkau kehendak, nescaya engkau kata : Tiada mendahului akan Dia oleh ‘adam .

Dan jika engkau kehendak pula, nescaya engkau kata : Tiada permulaan bagi wujudnya, maka ketiga-tiganya itu satu makna jua .

Dan adapun qidam pada hak yang lain daripada Allah seperti kata mereka itu ﺑﻧﺎﺀ ini qadim, maka maknanya panjang masa itu satu tahun . Maka apabila berkata ia tiap-tiap orang yang ada ia yang qadim daripada hambaku nescaya mereka itu merdeka, maka merdekalah orang yang ada baginya di sisinya itu setahun

Bermula qaul yang shahih bahawasanya harus diithlaqkan qadim itu atas Allah Ta‘ala kerana tsubut yang demikian itu dengan ijma’ . Dan datang warid pada setengah riwayat ganti daripada awal itu dengan qadim .

Dan bermula qaul yang tahqiq bahawasa qadim dan azali itu satu makna dan iaitu barang yang tiada awal baginya wujudi ada ia, atau ‘adami berdiri dengan sendiri ada ia iaitu seperti shifat Allah Ta‘ala . Maka sekelian shifat Allah Ta‘ala itu qadim sekeliannya, sama ada nafsiyah, atau ma‘ani, atau ma’nawiyah, atau salbiyah, lagi azali .

Khilaf bagi Sa‘ad yang berkata ia : Qadim itu tiada permulaan bagi wujudnya, dan azali itu barang yang tiada permulaan baginya, sama ada ia wujudi atau ‘adami . Maka atas kata Sa‘ad ini qidam bagi Allah itu qadim lagi azali . Dan Syarik al Bari itu azali jua, tiada dikatakan qadim . Maka azali itu umum dan qadim itu khusus . Atas qaul Sa‘ad ini iaitu qaul dhaif .

Ketahui olehmu, bahawa qadim itu tiga bahagi :

Pertama : Qadim Hakiki, iaitu qadim bagi dzat Allah dan segala shifatNya dan segala Asma΄Nya .
    
Kedua : Qadim Zamani, ya’ni lama zaman seperti yang telah lalu sebutnya didhabitkan dia sekurang-kurangnya setahun .

Ketiga : Qadim Idhafi namanya seperti terdahulu bapa daripada anak 

Bermula qadim hakiki itu tiada harus dikatakan yang lain daripada Allah Ta‘ala. Maka barang siapa mentsabitkan bagi yang lain daripada Allah Ta‘ala itu qadim hakiki, maka iaitu kufur seperti falsafah ia mengi’tiqadkan qidam falakiyyah dan ‘anasir .

Dan qadim dan wajib dan maujud dan shaani’, maka keempat-empatnya itu setengah daripada nama Allah Ta‘ala dengan ijma’ .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan