'AQIIDATUN NAJIIN ( SIRI 8 )
Bermula makna pengetahuan itu iaitu mendapat akan sesuatu yang berbetulan dengan hakikatnya . Bermula qaul yang sebenar bahawasa ‘ilmu dan ma’rifah itu bersamaan keduanya melainkan bahawasanya diithlaqkan atas Allah Ta‘ala itu ‘aalim, tiada harus diithlaqkan atasnya ‘aarif kerana bahawa ma’rifah itu menyeru ia akan mendahulukan jahil bersalahan ‘ilmu .
Dan keluar dengan kata pengetahuan itu empat perkara :
Pertama jahil iaitu terbahagi ia atas dua bahagi :
Pertama : Jahil basith namanya iaitu tiada mengetahui sekali-kali seperti dikata orang baginya : Apa kata engkau alam ini qadimkah atau baharu ? Maka jawab ia : Tiada aku ketahui sekali-kali .
Kedua : Jahil murakkab namanya iaitu mendapat atas bersalahan shifatnya pada waaqi’ .
Dan dinamakan dia dengan demikian itu kerana bersusunannya daripada dua jahil :
Pertama : Jahil empunyanya dengan barang yang pada waaqi’ .
Kedua : Jahilnya dengan bahawasanya dirinya jahil kerana sangkanya bahawa sanya ia yang mengetahui seperti i’tiqad falsafah bahawasa alam ini qadim .
Dan yang kedua daripada perkara yang keluar daripada pengetahuan itu syak iaitu mendapatkan tiap-tiap daripada dua ternafi itu atas bersamaan .
Dan yang ketiga zhan iaitu berat pada hatinya itu mengetahui dan ringan pada hatinya tiada mengetahui .
Dan yang keempat waham iaitu ringan pada hatinya itu pada mengetahui dan berat pada hatinya pada tiada mengetahui .
Maka orang yang bershifat dengan salah suatu daripada empat perkara ini tiada bagi mereka itu iman . Ertinya jikalau adalah ia i’tiqad akan Allah dan akan RasulNya dengan jahil atau dengan syak atau dengan zhan atau dengan waham, maka orang itu kafir .
Orang Taqlid
Adapun orang taqlid, ya’ni i’tiqad kepada Allah dan Rasul itu semata-mata ikut perkataan orang jua, maka ikut itu tiada dalil padanya padahal jazam ia akan taqlidnya itu, maka bersalahan ‘Ulama΄ pada sah imannya . Maka setengah, kafir ia iaitu dhaif . Dan kata setengah, mu΄min iaitu yang mu’tamad . Dan adakah berdosa ia atau tiada, maka iaitu baginya tafshil lagi akan datang sebutnya, insyaa Allah Ta‘ala .
Ketahui olehmu, bahawa sebab mendatang dapat ‘ilmu yang baharu itu tiga perkara :
Pertama : Khabar yang shaadiq iaitu khabar Allah Ta‘ala dan khabar Rasul dan khabar mutawaatir sekira-kira sampai bilang-bilangan yang banyak yang tiada tashawwur pada ‘aqal muwaafaqat oleh mereka itu atas dusta .
Dan kedua : ‘Aqal iaitu ‘aqal ghariiziah .
Dan ketiga : Segala pancaindera yang lima yang sejahtera iaitu penglihat dan pendengar dan pengcium dan pengerasa dan penjabat . Maka penglihat itu kuat yang dihantar pada mata, maka mendapat dengan dia daripada segala rupa dan warna dan lainnya daripada segala perkara yang dapat dilihat dengan syarat wasitah cahaya .
Dan pendengar itu kuat yang dihantar pada telinga yang mendapat dengan dia segala suara . Dan pengcium itu kuat yang dihantar pada hidung yang mendapat dengan dia daripada segala yang berbau . Dan pengerasa itu kuat yang dihantar pada lidah yang mendapat dengan dia daripada segala perkara yang mempunyai rasa seperti manis atau masam atau lainnya .
Dan penjabat itu kuat yang dihantar pada bertaburan pada segala tubuh yang mendapat dengan dia hangat dan sejuk dan licin dan kasat dan umpamanya . Tetapi telah maklumlah ‘ilmu yang boleh mengenal Allah dan Rasulullah itu tiada ia dengan pancaindera yang lima itu, maka yang mendapat itu adakalanya dengan Syara’ atau dengan ‘aqal yang shahih .
Bermula ‘ilmu yang hasil dengan salah suatu daripada tiga perkara itu, adakala tashawwur dan adakalanya tashdiq . Maka erti tashawwur itu mendapat akan suatu serta tiada dapat memutuskan hukum pengenalan itu dengan nafi dan itsbat seperti kita tashawwurkan makna alam itu tiap-tiap yang maujud yang lain daripada Allah .
Dan erti tashdiq itu mengetahui akan sesuatu serta boleh memutuskan hukum pengenalan itu dengan nafi dan itsbat seperti kita ketahui qidam bagi Allah, maka kita hukum tsabit qidam bagiNya dan nafi daripadaNya baharu .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan