( Kedelapan : Iradat ) Ertinya : Kehendak .
Dan makna kehendak di sini bahawasanya berlaku tiap-tiap suatu itu dengan sengajaNya Ta‘ala dan dengan rintahNya, tiada makna kehendak itu berhajat seperti barang yang terkadang diwahamkan dia kerana berhajat itu mustahil atasNya Ta‘ala dan iaitu shifat yang wujudiyah, lagi sedia yang berdiri pada dzat Allah Ta‘ala yang (1) menentu ia akan mumkin dengan setengah barang yang harus atasNya seperti ditentukan dia dengan wujud, atawa dengan putih, atawa hitam, atawa dengan panjang, atawa pendek dan umpama demikian itu .
(1) ( Qauluhu ; Menentu ia ) Ertinya ; Menentu oleh shifat iradat itu dan isnad menentu kepada iradat itu majaz ‘aqli daripada isnadkan sesuatu kepada sebabnya kerana bahawasa yang menentukan pada hakikat itu dzat Allah Ta‘ala dengan iradatNya . ﺍﻫ
Dan ta‘alluq iradat itu dengan tiap-tiap mumkin seperti qudrat tetapi ta‘alluq qudrat itu ta‘alluq mengadakan . Dan ta‘alluq iradat ini ta‘alluq menentukan, maka tiada ta‘alluq ia dengan yang wajib dan yang mustahil . Dan melengkapi mumkin itu akan yang baik dan yang jahat .
Bersalahan bagi Mu΄tazilah yang berkata mereka itu bahawasa iradat Allah Ta‘ala itu tiada ta‘alluq dengan segala yang jahat dan yang keji, tetapi wajib atas kita beradab serta Allah Ta‘ala dengan bahawa tiada kita bangsakan segala kejahatan dan kebajikan itu kepadaNya Ta‘ala melainkan pada maqam mengajar .
Dan tiada harus bagi seseorang berhujjah ia dengan bahawasa tiap -tiap kejahatan itu dengan kehendak Allah Ta‘ala dan qadarNya dahulu daripada jatuh dalam ma’shiat supaya jadi jalan bagi mengerjakan ma’shiat itu .
Dan berpegang dengan ini hujjah yang keji banyak jatuh istimewa daripada umpama raja dan orang-orang besar tatkala hendak menzhalim mereka itu akan orang, atawa hendak berzina dan sangka mereka itu akan lepas daripada ambilan Allah Ta‘ala dan murkaNya, maka jika menyertai akan demikian itu oleh menghalalkan umpama zhalim dan zina itu, nescaya kufur mereka itu . Wal ‘iyaa dzu billaahi Ta‘ala .
Demikian lagi tiada harus berpegang dengan hujjah yang tersebut kemudian daripada mengerjanya jika qashad ia akan lari daripada had atau ta’zir dengan sebab dosa itu . Maka jika qashad ia akan menegah cerca orang atasnya, maka harus baginya (2) berhujjah dengan demikian itu .
Dan tiada harus baginya redha dengan ma’shiat dan jika adalah ia dikehendaki oleh Allah Ta‘ala sekalipun daripada pihak keadaannya ditegah daripadanya kerana bahawasa redha dengan ma’shiat itu ma’shiat pula .
(2) ( Qauluhu ; Berhujjah dengan demikian itu ) Ertinya dengan bahawasa tiap-tiap kejahatan itu dengan kehendak Allah Ta‘ala dan qadarNya . ﺍﻫ
Dan wajib redha dengan ma’shiat daripada pihak keadaannya ia dikehendaki Allah Ta‘ala kerana bahawasanya redha dengan hukum Tuhan yang Mukhtar Jalla wa ‘Azza .
( Dan mustahil ) Lawannya iaitu ada sesuatu dengan ketiadaan kehendakNya seperti ada ia dengan tertegah atau dengan lalai atau terlupa (3) daripadaNya, atawa dengan ta’lil, atawa dengan thabi‘at .
(3) ( Qauluhu ; DaripadaNya ) Ertinya daripada Allah Ta‘ala . ﺍﻫ
Dan faraq antara keduanya bahawasa yang maujud dengan ta’lil itu tiada terhenti ia melainkan atas ‘illatnya jua, maka manakala didapatkan ‘illatnya didapatkan dia dengan tiada terhenti atas sesuatu yang lain seperti gerak anak jari, maka bahawasanya ia ‘illat bagi gerak cincin, manakala dapat yang pertama, dapatlah yang kedua .
Dan bahawasa yang maujud dengan thabi‘at itu terhenti ia atas ada syarat dan ketiadaan mani’ seperti api, maka bahawasanya tiada menghangus ia melainkan dengan syarat menyentuh dan ternafi basah, maka barang siapa i’tiqadkan (1) bahawasa sesuatu itu memberi bekas dengan ‘illat atau dengan thabiatnya, ya’ni dengan izinNya, maka tiada khilaf pada kufurnya .
(1) ( Qauluhu ; Bahawasa sesuatu ) Ertinya ; Sesuatu daripada hamba Allah Ta‘ala dan daripada segala sebab yang ber‘adat seperti api pada menghanguskan dan air pada memuas dahaga dan pisau pada melukakan . ﺍﻫ
Dan barang siapa i’tiqadkan bahawasanya memberi bekas dengan quwwah yang dijadikan dia oleh Allah Ta‘ala padanya, maka iaitu fasiq dan mubtadi’ dan pada kufurnya itu khilaf (2) .
Dan yang rajihnya ketiadaan kufur (3) dan setengah daripada ini orang yang i’tiqadkan bahawasa hamba ini memberi bekas pada perbuatan nya dengan qudrat yang dijadikan dia oleh Allah Ta‘ala padanya .
(2) ( Qauluhu ; Dan yang rajihnya ketiadaan kufur ) Ertinya ; Kerana mengakunya dengan bahawasanya yang menjadikan sesuatu memberi bekas dengan quwwah itu Allah Ta‘ala . ﺍﻫ
(3) ( Qauluhu ; Dan setengah daripada ini ) Ertinya ; Setengah daripada orang yang i’tiqadkan bahawasa sesuatu itu memberi bekas dengan quwwah yang dijadikan dia oleh Allah Ta‘ala padanya . ﺍﻫ Muallifah
Dan barang siapa i’tiqadkan bahawasa Allah Ta‘ala jua yang memberi bekas tetapi berlazim-laziman antara segala sebab yang ‘aadi dan barang yang menyertainya itu berlazim-laziman pada ‘aqal, tiada mumkin bersalahannya, maka orang itu jahil dengan hakikat hukum ‘aadi dan terkadang membawa kepada kufur .
Dan barang siapa i’tiqadkan baharu segala sebab dan tiada memberi bekas ia dengan ‘illat dan tiada dengan thabiatnya dan tiada dengan quwwah yang dijadikan Allah padanya dan i’tiqad ia akan sah menyalahi seperti didapatkan sebab seperti dan tiada didapatkan musabbab iaitu kenyang, hanya yang memberi bekas pada musabbab itu Allah Ta‘ala jua, maka orang inilah Muwahhid yang dapat kelepasan dengan kurnia Allah Ta‘ala .
( Dan ketahuilah olehmu ) Bahawasanya iradat itu pada Ahli Sunnah lain daripada suruh dan redha dan ‘ilmu, maka terkadang menghendaki dan tiada menyuruh dan redha Ia dengan sesuatu seperti iman Abu Bakar r.h . Dan tiada menghendaki dan tiada menyuruh dan tiada redha Ia dengan dia seperti kufurnya . Dan terkadang menghendaki dan tiada menyuruh dan tiada redha Ia seperti kufur Firaun . Dan terkadang menyuruh dan redha Ia dan tiada menghendaki Ia seperti imannya dan demikian itu kerana hikmah yang mengetahui ia akan dia .
﴾ ﻴﺴﺄﻟﻭﻦ ﻫﻡ ﻭ ﻴﻔﻌﻝ ﻋﻤﺎ ﻴﺴﺄﻝ ﻻ ﴿
Maka jadilah segala bahagi itu empat dan redha itu lazim bagi suruh .
( Dan dalil ) Iradat Allah Ta‘ala itu bahawasanya jika ternafi dari padanya oleh iradat, nescaya adalah Ia lemah kerana terhenti qudrat atas iradat pada bicara ‘aqal . Dan jika adam Ia lemah nescaya tiada menjadi Ia akan sesuatu daripada alam dan yang demikian itu bathil dengan musyaahadah, maka tsabitlah qudrat dan apabila tsabit qudrat, tsabitlah iradat . Dan apabila tsabit iradat, mustahillah lawannya iaitu ada sesuatu dengan ketiadaan kehendaknya .
Kitab Fariidatul Faraaid Fil 'Ilmil 'Aqaaid
Kitab Fariidatul Faraaid Fil 'Ilmil 'Aqaaid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan